Home

Pergi utara lagi hanya tiga hari selepas Nibong Tebal sempat lagi singgah Kopitiam Bangi

  • Jun. 27th, 2009 at 2:05 PM
Sarapan pagi Roti Bakar Kopitiam Bangi


Hari Khamis 30 April. Sudah Jun mulai melambai Julai waima masih dengan kisah dibulan April. Tulis ikut suka ikut mood semasa. Mood semasa mahu mencatat buat entri terkini. Mahu sebenarnya mencatat cerita terkini tetapi malaslah pula mengarang tulis panjang. Entri ini sudah lama dalam draft.

Hari Rabu hari Muhammad Idris selesai Kejohanan Taekwondo Se-MRSM di Nibong Tebal. Malamnya sepulang Idris dari Nibong Tebal sampai maktab sendiri. Panggilan telefon dari Idris lewat malam.

" 1 Mei ni boleh balik rumah tapi Idris lambat bagi nama. Bas dah penuh. "

" Okay Ayang tunggu sekejap. Mak nak tanya Baby. "

" Baby. Esok boleh kita pergi ambil Idris? Pergi balik hari. Macam biasalah. Upah upah.. "

Bila perlu pemandu berkelana jauh beratusan batu. Umpan selalu. Upah buat pemandu.

Wajah ceria suka bakal bertambah elaun pendapatan bulan ini. Ceria bersetuju.

" Okay esok Mak dengan Baby pergi jemput Ayang. Ayang tunggu je tau. "

Gamaknya Idris berharap-haraplah ibunya berkata. Tak de bas? Kalau macam tu tak payah baliklah. Tidaklah juga kita bertanyakan dulu pada suami kerana sudah menjangkakan kebarangkalian jawapan menampar telinga. Kalau tak de bas tak payahlah balik. Mungkin juga bukan begitu. Kini bila member baru tahu sebenarnya selama ini kita pergi sana sini mengupah pemandu. Member menurut saja. Sebenarnya bukan upah. Ganjaran kerana menyenangkan hati ibu.

Nasi Lemak Kopitiam Bangi sebelum pergi Penang


Makanya pagi ini. Keluar berdua dengan Safura selepas pukul sepuluh. Suami tidak ikut sama. Hari ini hari kerja. Sedikit wang petrol buat kami. Suraya pula kini pelajar berlatihan praktikal. Tempat berlatihan praktikal masih di bandar kediaman. Lalu sampai Julai ini. Bukan lagi hanya berdua.

Kami suami isteri pernah mengomen ramai pelajar masa kini gemar memilih tempat berlatihan industri berhampiran dengan rumah keluarga. Bukan seperti zaman kami dulu. Ramai mencari lokasi latihan jauh dari keluarga. Mencari pengalaman jauh dari tempat tinggal. Bila sampai masa anakanda sendiri. Su sendiri minta Suraya cari tempat latihan berhampiran rumah. Lebih selamat.

Mulanya jangkanya Suraya berlatihan di Melaka. Su mulai berusaha mencari serviced apartment sewa buat kami berdua. Alhamdulillah bila sudahnya berlatihan di Bangi.

" Kita nak singgah sarapan kat mana ni? Lepas tu tak payah berhenti dah. "

Mahu cepat kerana menurut kata Idris. Boleh pulang seawal pukul dua belas tengah hari. Cuti tiga hari kerana 1 Mei cuti Hari Pekerja.

Safura mencadangkan Kopitiam Bangi singgahan selalu. Setuju saja walaupun kita lebih berkira-kira mahu bersarapan di Restoran Jejantas PLUS Sungai Buluh. Itu singgahan bersarapan pagi kalau berwilmana berdua dengan suami.

Walaupun bukan hujung minggu. Seperti selalu bila singgah sini. Tetap ramai orang. Su hanya makan Roti Bakar dengan Telur Separuh Masak dan Scrambled Eggs. Safura berhidangan Nasi Lemak dengan Rendang Ayam.

Seperti selalu. Kerap benar Telur Separuh Masak kopitiam ini telurnya mentah. Minta tukarkan dengan telur lain. Saya kalau Telur Separuh Masak. Gemar kuning telur itu sedikit masak namun lembut bukan cair mentah.

Minum Teh O panas. Kopi bersusu buat Safura. Berdiri sebelah kami. Berdiri tepi kipas semacam pendingin udara. Dua pekerja restoran ini berbual dalam bahasa ganjil pada pendengaran kami. Bahasa daerah Indonesia tiada satu pun bunyi bahasa baku negara itu. Sama sebagaimana restoran di Jalan 11 itu. Restoran ini mulai berwajah ramai orang seberang.

Sarapan dan sembang-sembang. Pukul sebelas baru bermula perjalanan dari Bandar Baru Bangi. Itu pun sempat lagi singgah stesen petrol. Masuk Kedai Mesra beli air mineral dan singgah ATM.

Sembang-sembang sepanjang perjalanan. Perjalanan tanpa henti dari Bandar Baru Bangi pukul sebelas. Sampai sekolah Idris belum pukul tiga petang. Lengang parkir bukan seperti selalu kalau kami datang pada hujung minggu.

Safura telefon Idris. Idris belum mandi lagi.

Solat di surau MRSM ini. Senyap sunyi surau. Senyap sunyi sekolah. Ramai pulang hujung minggu cuti empat hari tiga malam. Surau lengang. Selain dari dua pelajar perempuan sedang solat. Seorang pelajar perempuan mengaji Al Quran selepas solat. Gamaknya tiga pelajar ini tidak pulang bercuti.

Penat teramat. Kuatkan hati dan badan. Sabar sabar. Kalau mahu pengsan pun. Tunggu sampai rumah.

Tunggu itu ini. Pergi sana sini. Sudahnya perjalanan dari sekolah Idris hanya selepas pukul empat.

Cucur Udang Penang Hentian  PLUS Juru


Singgah Kawasan Rehat PLUS. Ada dua meja panjang kosong. Sampai kami di meja panjang ini. Ada seorang lelaki di meja panjang sebelah beritahu kami. Meja itu ada orang. Hai tiada sesiapa pun di situ. Kami sampai situ dulu. Hai boleh senang-senang kata meja itu sudah dibooking. Tiada pun tanda booking seperti tinggalkan beg dan yang seangkatan. Malas cari fasal. Cari saja meja lain. Lelaki itu booking meja itu buat rombongan mereka ramai satu keluarga.

Makan Cucur Udang bercicahkan Kuah Kacang. Berbeza dengan Cucur Udang selatan atau kawasan tengah semenanjung berkuah Garam Lada atau Sos Cili cair. Cucur Udang sini kuahnya Kuah Kacang kacangnya kisar halus.

Tidak seperti kunjungan sini sebelum ini Cucur Udang ini panas-panas. Hari ini. Cucur Udangnya bukan baru lepas goreng buat kurang berselera makan. Kuahnya kurang sedap seperti selalu. Mungkin Safura beli cucur ini dari gerai lain. Bukan gerai Su biasa beli Cucur Udang bila singgah kawasan rehat ini.

Idris makan Nasi Ayam. Safura makan Laksa.

Bukan main lagi Idris. Sebelum keluar dari kereta. Salin baju. Tiada lagi kemeja batik berwarna biru. Salin pakai kemeja T Quicksilver beli di Melbourne. Ramainya pelajar sekolah Idris. Meja makan di sebelah kami. Satu keluarga dengan dua pelajar perempuan. Kata Idris. Itu junior. Begitu juga dengan meja makan di hadapan kami. Sekeluarga dengan seorang junior Idris. Pun pelajar junior perempuan.

Cerita Safura senyum-senyum selepas beli ABC dan Cucur Udang buat ibu.

" Budak perempuan sebelah tu tegur. Hai Abang Idris. "

Komen ibu. Komen bernada bergurau.

" Mesti laa kenal Abang Idris. Ketua pasukan rumah sukan. Nama dengan gambar tersenarai kat papan kenyataan tu. Top ten best students tingkatan empat tahun lepas. "

Datang pula seorang sahabat Idris. Pun sudah bertukar baju bukan lagi baju batik biru. Bersalaman dengan Idris sebelum menuju pergi parkir kereta. Pelajar lelaki ini senyum sambil menganggukkan kepala tanda hormat dengan ibu Idris. Tahu pun selalu kawan-kawan lelaki Idris. Sekadar senyum tanpa bersalam.

Mee Kari Shalala Coffee Kawasan Rehat PLUS Tapah sepulang dari Penang


Selepas pukul lima dari Kawasan Rehat PLUS singgah makan Cucur Udang minum ABC.

Kurang dari satu jam selepas itu. Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Gunung Semanggol. Bukan kerana mahu pergi tandas ataupun singgah minum kopi panas. Safura mahu berehat tidur. Tidurlah dua anakanda dalam kereta. Sabar menunggu. Malaslah pula keluar minum Nescafe kaw satu kedai minum situ. Penat teramat sangat badan. Radio kereta terpasang perlahan.

Sebelum pukul tujuh. Sebelum Maghrib. Sambung perjalanan pulang. Sebelum itu singgah stesen petrol situ.

Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Tapah sebelum pukul sembilan malam. Selepas solat. Singgah Cafe Shalala Coffee. Makan Mee Kari. Sandwich dan Puff buat dua anakanda. Capucinno panas buat kita. Air dingin buat dua anakanda.

Sebelum itu. Singgah kedai cenderamata di sebelah cafe. Beli satu kaftan dan satu raga anyaman daun mengkuang.

Penat teramat. Sedari Tapah lebih kurang pukul sembilan setengah. Selepas kemas kerusi belakang. Su berbaring tidur di kerusi belakang. Siap buka tudung lagi. Idris mengambil tempat ibu. Kerusi permaisuri di sebelah kerusi pemandu.

Jenera tidur. Terjaga bangun bila susuran kereta bercahayakan terang benderang lebuhraya lalu kota. Lebuhraya Kuala Lumpur sekitar Sungai Besi.

Alhamdulillah selamat sampai rumah sebelum pukul dua belas malam.

Eh mana sebelah lagi sandal warna beige kita? Laa tadi sebelum kita memasuki kereta. Kita tertinggalkan sebelah sandal di luar kereta. Ini tertinggal hanya sebelah sandal. Pernah lebih dari sekali. Su tertinggal sandal di luar kereta semacam meninggalkan kasut di luar pintu rumah. Kali akhir sebelum ini. Tertinggal sandal di luar kereta selepas solat di Masjid Al Hasanah Bangi. Kembali berpatah semula pergi parkir masjid. Elok tersusun sepasang sandal merah di tengah parkir di hadapan anjung masjid.

Itu sandal kegemaran Su. Sandal dari Perancis beli di Malaysia bukan pun mahal harga. Sudah tersurat sampai sini saja jodoh sandal itu dengan kita. Kita beli sandal berfaktorkan keselesaaan bukan harga atau jenama.

Sesampai Idris di kamar tidur putera mahkota. Cari PSP. Sesekali. Beri peluang intan payung tidur lewat.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Petang hujan Keramat bawa pulang misai kucing ungu

  • Jun. 20th, 2009 at 9:25 PM
Harum merah jambu basah selepas hujan singgah Kuala Lumpur


Sehari selepas petang berdua berpandangan kelibat Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. 28 April hari Selasa.

Malam tadi. Terlupa catat. Sebelum restoran Jalan 11 itu. Kami singgah satu kedai dua puluh empat jam berhampiran situ. Pesanan beli top up telefon bimbit Safura. Sebelum kereta sampai parkir di hadapan kedai gunting rambut hanya selang beberapa pintu dari kedai mahu dituju. Terlihat sesaorang melintas jalan di hadapan kereta biru kami.

" Eh tu macam Ramlee AM je. "

Lamalah juga menunggu suami. Sambil menunggu. Pandang memandang kedai gunting rambut orang India singgahan selalu suami dan putera mahkota. Suami kita mana-mana pergi pun. Tetap cari kedai gunting rambut orang India.

Teringat semasa kecil dulu. Dari sekolah rendah sampailah tahun-tahun awal sekolah menengah kami hidup bertiga tanpa ayah ibu. Su selalu menemankan Johan pergi kedai gunting rambut. Selalunya sementara menunggu. Su baca majalah bertulisan Tamil. Bukan baca pun. Hanya tengok gambar filem-filem Tamil. Kalau Indian Movie News. Ada segmen filem-filem Hindustan. Filem Hindustan separuh majalah. Filem Tamil separuh majalah.

Datang suami. Teruja member bercerita tadi bersembang sebentar dengan Ramlee AM. Suami kita cerita pada Ramlee tentang pergi Pesta Buku Kuala Lumpur tempoh hari tidak sempat bertemu novelis itu.

" Ramlee bagitahu dia ada kat pesta buku tu sampai pukul tujuh. "

" Itu laa.. Ikut jadual. Diaorang kat situ sampai pukul tujuh.

Cerita kawan itu. Ramai betul orang bah. Orang surut saja aku cabut.

" Tahu dah malam-malam dia jemput anak dia kat tuisyen tu. Kalau nak minta dia sain buku. Lepas solat Isya' pergi laa situ. Tak boleh letak dalam blog nama tuisyen tu. Bahaya. "

Sepetang UIA Kuala Lumpur dari jendela kereta sebelum singgah Keramat


Sepatutnya petang semalam Su pergi rumah Shimah. Berjanji dengan Shimah mahu pergi rumah Shimah seawal petang semalam. Tiada kenderaan. Safura pergi pejabat pos. Lalu hari ini merealisasikan perjalanan tertangguh semalam. Semalam Safura ambil bungkusan dari pejabat pos.

Dua orang tuan puteri kami. Lima tahun kebelakangan ini. Selalulah dengan aktiviti shopping dan menjual barangan secara online. Masa mula-mula dulu. Selalulah kita ini menunggu di tingkat bawah pada hari-hari jangkanya sampai bungkusan. Kini malas lagi. Malas tunggu.

Selalunya selesai urusan berkebun dan kemas dapur dan apa-apa di tingkat bawah. Kita berehat di tingkat atas sebelum tengah hari. Jadi selalulah posman tinggalkan kad nota ambil bungkusan di pejabat pos.

Sedari awal tahun ini Su mulai melazimkan diri dengan tiga solat hajat selepas solat sunat pagi. Walau bagaimana penat sekali pun. Su tidak tinggalkan satu solat sunat hajat ini. Kurang sebulan selepas solat-solat hajat ini. Januari lalu kami suami isteri di Bogor. Su terima berturutan emel dari Shimah. Ada empat pelawaan perjalanan kalau Su mahu ikut sama. Bulan September pergi London. Bulan Mac pergi Padang. Bulan Julai pergi Korea singgah Vietnam. Satu lagi perjalanan. Hujung tahun ini.

Mulanya berkira-kira mahu pergi Padang. Bagaimanapun perjalanan itu hanya sebulan dua selepas Bogor dan Jakarta dan Sandakan. Baca itinerari wisata. Memenatkanlah juga. Sebelum Bogor itu baru pulang dari Melbourne. Berderetan penat berkumpul. Lalu tangguh dulu pergi Padang. Lagipun Julai ini mungkin pergi Jakarta lagi. September itu. Sukacita kalau dapat pergi tetapi perlu menimbangkan itu bulan Ramadhan. Juga Muhammad Idris bulan itu menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Korea dan Vietnam. Sedang timbang-timbangkan. Perjalanan bulan November sampai Disember itu. Itu sudah bulat hati.

Sujud syukur pada Ilahi. Kurang sebulan solat hajat. Sesungguhnya Allah subhanahuwataala itu Maha Mendengar.

Perjalanan petang ini pergi rumah Shimah. Berkaitan perjalanan hujung tahun ini InsyaAllah semoga diperkenankan Allah subhanahuwataala. Pada yang lama mengikuti cerita sanubari ini dan faham perjalanan itu pergi mana. Doa-doakanlah. Mulanya Su pergi seorang ikut rombongan Shimah. Alhamdulillah kini suami terbuka hati mahu ikut sama.

Misai kucing ungu petang hujan Keramat


Selepas solat Zohor sebelum pergi rumah Shimah. Singgah kampus U** dulu. Safura berurusan pembayaran denda lima puluh RM berkena mengena dengan hal kolej kediaman. Su tunggu dalam kereta. Kereta biru gelap menghadap pemandangan meredup mata sebagaimana tertera pada gambar nombor dua. Menurut Safura. Semasa cuti ada orang luar menginap di kamar itu tidak tutup lampu. Sudahnya mereka penghuni kamar itu kena bayar denda.

Sampai Keramat berhampiran rumah Shimah. Hujan mulai turun renyai-renyai. Sebelum lebih jauh ronda dan tawaf. Su telefon Shimah tanya arah. Kali akhir pergi rumah Shimah. Tiga tahun lepas.

Kali akhir datang perumahan situ. Tahun lepas. Hadir Jamuan Eidulfitri sahabat dulu sama sekolah di Melaka. Sahabat ini kini hilang khabar berita ramai mencari selepas khabarnya bermasalah suami bercinta dengan pembantu rumah berasal dari seberang. Suaminya senior lebih sepuluh tahun dari kami. Bukan muda pun lagi.

Shimah minta kami tunggu situ. Kami tunggu di hadapan satu rumah tadika. Tadika nama wanita Melayu. Shimah datang menjemput. Ekori kereta krim Shimah. Oh dekat saja rupanya dari situ. Selalunya kami terbiasa pergi lalu Jalan Jelatek dari Ampang. Hari ini lalu simpang lain dari lebuhraya. Terpusing ronda tawaf sana sini. Dulu kalau pergi rumah sepupu. Pun selalunya terpaksa tawaf sana sini.

Lalu lorong nama burung sedikit menuruni bukit hujungnya dulu rumah sepupu Su kini sudah terjual rumah itu bila sepupu perempuan ini beli rumah di Bangi.

Pesan kita pada Safura. " Ingat lain kali kalau kita datang sini. Dari depan tadika tadi. Simpang kiri lalu kedai. Simpang kanan. Simpang kiri turun bukit. Simpang kanan simpang kanan lagi. Simpang kiri simpang kiri. "

Waduh berbelit-belit berapa banyak simpang. Sebagaimana kata Shimah. Memang ramai mengadu susahnya cari rumah Shimah ni. Walhal ini bukan kali pertama Su pergi situ.

Alhamdulillah bertemu lagi berpandangan mata. Sahabat sedari umur Su tujuh belas tahun. Antara sahabat paling tahu tentang cerita hidup kita ini. Bukan cerita masa kini. Cerita masa lalu.

Hujan semakin deras lebat kala kereta sampai di hadapan rumah Shimah. Shimah datang memayungkan kita dari kereta. Hanya dua orang cahayamata Shimah di rumah. Seorang ralit dengan laptop. Seorang lagi ralit dengan komputer desktop. Anak perempuan menghadap laptop. Baru selesai kursus matrikulasi.

" Cadangnya nak pergi mana selepas ni? "

" UKM. Kursus Kejuruteraan. "

Anak lelaki guna komputer. Baru bersekolah rendah. Manakala anak lelaki paling bongsu. Baru darjah satu ke dua. Lupa. Antara ramai sahabat karib lebih kurang sama umur. Su saja yang tiada lagi anak kecil. Intan payung putera mahkota. Itulah anakanda paling kecil. Sebelum ini. Tidaklah tersangka itu yang bongsu.

Hanya selang dua pintu dari rumah Shimah. Rumah sahabat karib sama sekolah menengah di Melaka. Malah kami sama sekolah sedari zaman bersekolah rendah di Taiping. Setiap hari kami berseiringan berjalan kaki pergi sekolah kerana kami hidup berjiran. Kali akhir Su bertemu mata dengan sahabat seorang doktor perubatan ini. Kenduri kahwin puteri sulung. Ini bukan sahabat yang suami buat hal itu. Ramai lagi sahabat dulu sama sekolah di Melaka rumahnya sekitar sini.

Dua tahun lepas. Kami suami isteri hadir jamuan Eidulfitri alumni sekolah lama kami di Melaka di rumah seorang sahabat di sini. Pertemuan pertama kali dengan ramai selepas berpisah selepas tingkatan tiga. Kalau sahabat sama sekolah di Pahang. Ramai di Bangi. Sahabat-sahabat Aberystwyth dari dua dekad. 80-an dan 90-an. Ramai di Bandar Baru Bangi.

Solat Asar di rumah Shimah. Kamar tingkat bawah. Minum secawan kopi O panas. Kopi dalam cawan warna coklat kopi. Sesekali minum kopi panas. Hari hujan pula. Terasa lazat mereda penat.

" Dulu malam Su** datang masa pergi rumah sepupu Su** tu saya tak de kat rumah "

" Sepupu tu dah jual rumah tu. Dia beli rumah di Bangi. Dua tahun lebih dah. Rumah dia tu dekat dengan rumah MP Kulim dulu lawyer sekian-sekian orang. Apa nama dia. Lupa laa.. Muka ingat. "

" Oh yang selalu naik motor besar tu? Zulkifli ******. "

Pulang sebelum pukul enam berbekal sepasu pokok misai kucing warna putih, seperdu pokok bunga misai kucing warna ungu, beberapa kuntum bunga waterlilies. Lupa apa nama bunga hidup terapung atas air ini dalam bahasa Melayu. Bukan bunga teratai. Juga satu beg buah mangga segar hasil tanaman Shimah. Sempatlah lagi bergambar-gambar. Bukan selalu bertemu mata walaupun kerap berhubungan samada menelefon atau beremel-emelan.

Lalu satu bangunan besar tepi lebuhraya.

" Orang muka hero sinetron Indonesia yang dulu suka kat Mak masa kat I** tu. Dulu dia kerja kat sini laa.. Rumah dia pun dekat-dekat sini. Baru-baru ni Mak terjumpa blog dengan Buku Muka dia. "

" Kawan-kawan I** Mak ramai betul rumah kat sini. Macam berkampung kat sini. "

Sampai Bandar Baru Bangi. Perjalanan sepatutnya lebih kurang tiga puluh lima minit sudah jadi hampir satu jam lama kerana kesesakan lebuhraya waktu orang pulang dari pejabat. Pun begitu sampai bandar kediaman sebelum pukul tujuh. Telefon suami. Jom minum kopi di restoran sekian-sekian. Restoran Nasi Kukus. Suami kita pergi dulu. Berbasikal dari rumah. Restoran ini hanya sepelaung dari rumah. Masih satu seksyen. Bandar Baru Bangi pun baru lepas hujan.

" Orderkan Su Teh O Limau panas. "

Sampai restoran. Suami kita sudah sedia menjamu selera. Makan Meehoon Sup. Su makan Mee Goreng. Safura makan Kuetiau Goreng. Beli bungkus dua ketul Ayam Goreng Kampung buat Suraya malas keluar rumah kerana penat baru pulang dari kerja. Suraya sudah seminggu berlatihan praktikal.

Azan Maghrib berkumandang. Suami kita pulang dulu. Suami terus pergi surau bukan pun jauh dari situ. Su dan Safura menghabiskan makanan. Tuan punya restoran mejanya di belakang meja makan kami. Pun bangun meninggalkan meja bila azan berkumandang. Lelaki berumur mungkin lewat 60-an itu. Sebelum itu ralit menghadap komputer. Intai lihat apa dibaca tokeh itu. Satu forum maya. Antara aktiviti dunia internet. Antara teramat-amatlah jarang kita singgah. Memana forum dan sesi sembang maya. Lebih gemar pada apa-apa berkaitan baca membaca.

Alhamdulillah sampai rumah sebelum pukul lapan malam. Alhamdulillah syukur dengan perjalanan petang ini. Perjalanan ambil borang. Pada yang tulus hati mengenangkan diri ini. Tolonglah doa-doakan semoga tercapai hajat Su berperjalanan nan satu ini. Semoga doa-doa itu pun terkembali semula makbulnya buat orang yang berdoa.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Menjelang senja mengintai kemunting Cina Al Hasanah

  • Jun. 18th, 2009 at 8:44 PM
Suraya sekembali dari mengaji posing tepi bunga ungu biru Kota Kinabalu


Update cerita 27 April hari Isnin. Sehari selepas perjalanan pergi utara pagi pulang malam. Tanpa duga tersinggah MRSM Transkrian ziarah putera mahkota bermukim situ lima hari.

Antara aktiviti berdua masa kini. Aktiviti bila kini hanya berdua di rumah sedari putera mahkota pindah sekolah. Pun hanya bermula selalu aktiviti ini baru lagi tahun ini. Selalunya selepas pukul enam sehabis masa pejabat sesaorang itu. Keluar minum petang berdua. Selalunya istilah kami. Jom pergi minum kopi. Walhal selalunya minum teh.

Sesaorang itu yang memulakan ini. Satu hari member menelefon mencadangkan kami keluar petang berdua minum kopi. Ini selepas pernah kita mengingatkan. Kalau selalu sangat balik lewat sampai Maghrib. Selepas Asar saya pergi pejabat. Sama-sama kita tunggu pejabat sampai Maghrib. Jangan terkejut tiba-tiba saya muncul di pintu pejabat. Kalau pelajar buat temu janji selepas waktu pejabat. Biar kita temankan. Jangan ingat kita tiada kaki kita tidak boleh sampai pejabat. Tiada kaki kerana tiga kereta semuanya diguna pakai. Dua dibawa pergi U** kampus dua puteri.

Kini tiada lagi masalah memikirkan cahayamata kecil tertinggal di rumah. Kalau sihat kuat tanpa demam. Boleh terbang kemana saja. Antara sebab hampir sepanjang hujung minggu setengah tahun ini. Tiada di rumah pada hujung minggu selalunya sebermula hari Jumaat sampai hari minggu.

Hari Isnin selepas sehari sebelum itu berkisah peristiwa pergi Nibong Tebal tanpa rancang. Berdua keluar minum petang selepas pukul enam. Kami sekeluarga semua sama citarasa. Kalau sudah suka satu-satu kedai makan itu. Berulang kedai makan yang sama. Dua kali sebelum ini. Minum petang di restoran Nasi Kukus berhampiran rumah. Hari ini. Mahu cuba satu restoran baru hanya sepelaung dari rumah tetapi jauhlah juga kalau berjalan kaki buat saya ini. Restoran korner deret kedai seberang jalan sebelahnya Tasik Cempaka. Belakang blok restoran ini. Perumahan atas bukit sebelah hotel lima bintang. Situ rumah bekas juara satu siri realiti tv. Selebriti berasal dari tanah rancangan selatan.

Petang ini. Sesaorang itu bercerita. Ada orang beritahu. Rumah itu terjual tinggi sejuta lebih RM kerana nama orang yang membeli. Kata dalam hati. Hai? Orang U** pun sembang fasal ni?

Lengang restoran hanya dua meja dengan pelanggan. Satu daripada meja kayu coklat hitam itu. Berdua di meja itu. Rasa-rasanya itu pasangan tuan punya restoran berumur enam puluhan.

Makan Meehoon Goreng. Basahlah pula meehoonnya. Kita mana gemar meehoon goreng basah begini. Meehoon goreng kegemaran. Gorengan meehoon cara ibunda saya. Warna merah pedas cili dan sedikit kering. Kalau gorengan suami kita. Member pakar goreng Meehoon Singapura warna putih berlada hitam itu.

Apa pun walaupun basah lenjun. Okaylah juga rasa. Cuma sikit sangat portion hidangan.

" Sikitnya. Banyak lagi Meehoon Goreng seringgit setengah beli pagi-pagi kat warung tu. Restoran baru. Ke diaorang ni tak tahu kot nak agak berapa banyak satu pinggan. "

Suami seperti selalu masa kini. Bila makan di kedai makan. Makan Sup Sayur.

Oh ada ABC? Minta juga ABC selain dari minuman panas. ABC minuman berais kegemaran kita selalu selain dari Cendol Pulut. Okaylah juga ABCnya tetapi bahan-bahannya lebih kepada benda-benda bersedara mara dengan cincau. Boleh dikira bilangan kacang merah. Sedari cerita wabak kolera hujung dekad lalu kerana cincau. Sampailah sekarang ini Su tidak makan cincau dan yang seangkatan.

Keluar minum kopi tetapi dua-dua minum Teh O Limau panas kurang gula. Kalau di rumah. Sudah bertahun rasanya kita minum minuman panas tanpa gula. Kecuali sesekali minum minuman 3 dalam 1. Kini suami pun meniru kelaziman Su ini. Minum teh O panas tanpa gula.

Hanya tinggalkan restoran selepas habis siaran hafazan Al Quran ditayangkan di kaca tv restoran. Itu siaran ulangan.

Catharantus roseus vinca kemunting cina Masjid Al Hasanah Bangi


Alang-alang menjelang azan Maghrib. Su cadangkan kami terus pergi masjid. Tunggu Maghrib. Antara azam tahun baru setahun dua ini. Mahu lebih kerap solat di masjid. Terutamanya solat Subuh dan solat Maghrib dan Isya'.

Sesampai perkarangan masjid. Masjid Al Hasanah Bangi. Masjid bernostalgia perkahwinan puteri. Sampai parkir menghadap masjid. Seperti selalu. Kita curi masa merakamkan gambar seperdu pokok bunga kemunting cina warna ungu. Bunga kemunting ini ada versi warna putih. Antara bunga-bunga kegemaran kita. Bunga melur, bunga kemunting cina, bunga raya warna merah hati, bunga siantan atau ixora atau bunga jarum, bunga cempaka, bunga tanjung.

Semua bunga-bunga ini. Ikatan suka itu kerana bertautan dengan cerita nostalgia. Bunga melur bunga kegemaran ibunda sampaikan itu nama manja kita sedari lahir. Bunga raya merah hati antara bunga runasan kita selalu di halaman rumah Opah sepindah kami dari Singapura. Begitulah juga dengan bunga siantan atau ixora selalu Su hisap madu jejarum bunga itu. Pun di halaman rumah Opah. Rumah Opah berjiran dengan rumah keluarga Jins Shamsudin.

Itu arwah opah saudara. Ibu kandung Ayahanda meninggal semasa Ayahanda kecil. Ayahanda dan Bonda. Kedua-duanya anak yatim kematian ibu semasa kecil.

Kalau bunga kemunting cina berwarna ungu. Rumah lama kala masih serumah dengan ayah ibu di utara sana. Bersusun rimbunan pokok bunga kemunting cina warna ungu ini di atas batas di hadapan rumah. Bunga kemunting cina ini Bonda tanam berkumpul dengan perdu pokok bunga keembong warna ungu dan pokok puding berdaun warna jingga.

Rumah lama di Reservoir Garden Kota Kinabalu. Pun bersusun pepohon bunga renek comel ini. Sebagaimana kelihatan kelibat pokok bunga kemunting cina ini dalam gambar paling atas.

Gambar paling atas. Dua anakanda puteri posing tepi pokok bunga kemunting cina rumah Reservoir Garden. Gambar itu. Sepulang dua tuan puteri dari kelas mengaji Muqaddam di surau belakang rumah. Hari itu. Puteri kedua baru dua tahun sepuluh bulan. Hari itu. Su sarat hamilkan puteri bongsu lahir hanya beberapa hari selepas rakaman gambar ini. Puteri sulung hari itu. Baru enam tahun. Sebelah kiri bunga warna biru itu. Bunga raya merah hati lebat berbunga.

Tahun lepas kami ronda berkereta singgah pandang rumah lama ini. Pohon bunga raya merah hati tanaman Su itu sudah ditebang potong oleh tuan rumah baru bukan orang Melayu. Bunga raya merah hati ini bukan dengan lima kelopak ranggi. Bunganya bergumpal seperti bunga carnation.

Antara impian mungkin mustahil tercapai. Su berangan mahu beli rumah sekitar perumahan itu. Rumah persinggahan bila pulang Kota Kinabalu. Kenangan berumah situ. Antara nostalgia paling melekap tersemat kuat pada sanubari sepanjang tujuh tahun bermukim di kota kelahiran tiga puteri kami.

Vinca Catharantus Roseus Kemunting Cina kala senja Masjid Al Hasnah Bangi


Selepas solat. Suami mencadangkan kami singgah PKNS Bangi. Lamalah juga situ. Su belikan dua kemeja warna biru dan krim buat suami. Satu kemeja T warna merah jambu salmon buat putera mahkota. Suami beli fius dan itu ini buat bulb lampu kamar Idris. Lama kamar Idris bergelap sedari hujung tahun lepas. Bab membaiki benda rosak. Tunggu berzaman sebelum orang baiki. Itu cerita biasa. Semakin lali. Alah bisa tegal biasa.

Kereta meninggalkan Kompleks PKNS menjelang azan Isya'. Kita cadangkan singgah masjid dulu. Ada orang mahu pulang juga. Mahu hantar kita pulang ke rumah sebelum member pergi surau. Sudahnya singgah juga surau.

Ini bila kita mengingatkan. Janganlah sampai terlepas pula solat berjemaah kalau mahu hantar Su pulang dulu ke rumah. Sebelum ini. Kita menegur member kebelakangan ini terpaksa tinggalkan solat Zohor berjemaah kerana mesyuarat waktu tengah hari. Pesan kita. Berhati-hatilah bila kesibukan hal dunia buat kita beransur meninggalkan kelaziman selalu.

Su tunggu dalam kereta. Gelap lorong mahu menuju pintu ruang solat wanita. Penat pun sama.

Selepas itu pergi restoran singgahan selalu kami di Jalan 11. Belikan makanan buat Safura.

Sekali lagi. Su tunggu dalam kereta. Kebelakangan ini. Kurang selesa lagi pergi restoran sudah semacam restoran orang seberang ini. Dari petugas biasa sampailah tokeh kaunter bayar. Semuanya orang seberang. Kurang selesa kerana entah kenapa kini kalau pergi sana Su pulangnya mesti demam. Selalu petugas situ demam kot. Terutama yang baru sampai dari seberang. Kita ini mudah berjangkit demam. Daya tahan badan bukan seperti dulu lagi.

Teringat pernahlah sekali dulu kami di restoran itu. Kita minta seorang pekerja restoran sedang menyapu tolong kuatkan kipas. Boleh lelaki seberang ini tidak faham apa yang kita maksudkan dengan kipas laju. Selepas kita terpaksa beri isyarat tangan. Barulah lelaki muka seberang itu faham. Oh kipasnya mahu diputar keras. Kita pun ketawa mengulang kata. Ya minta kipasnya putar keras.

Komen kita pada suami. " Baru sampai dari Indonesia kot. "

Tadi di restoran baru berpandangan Tasik Cempaka itu. Belikan Suraya Meehoon Tomyam bungkus. Lama singgah sana singgah sini. Alamat kembanglah meehoon itu. Ini kerana meehoonnya sudah dicampur sekali ke dalam kuah tomyam.

Sudahnya asalnya keluar rumah sebelum pukul enam. Sampai rumah pukul sembilan. Mulanya hanya keluar minum kopi. Sudahnya shopping malam singgah dua restoran.

Apa-apa pun Alhamdulillah hari sentosa walaupun belum hilang penat semalam pergi utara pulang hari.

Hmm catatan cepat berlebih kurang kerana mahu mencatat cerita berulang pergi sekolah Idris kurang seminggu selepas pergi MRSM Transkrian. Saya mencatat ikut mood apa mahu dicatat cerita. Bukan ikut kronologi haribulan.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Profile

Melbourne2007
[info]rasanubari
Rasanubari SJ | 365 Beautiful Days
Tetamu

Latest Month

June 2009
S M T W T F S
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930    

Tags

Syndicate

RSS Atom
Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow