rasanubari

Rasanubari SJ | 365 Beautiful Days

Sepanjang-Perjalanan-Ini


Previous Entry Add to Memories Share Next Entry
Jalan-Jalan Jalan Tuanku Abdul Rahman tiada kelibat delima petang Eiduladha
rasanubari
Merah jambu berseri malam tahun baru Sogo Kuala Lumpur


Sepetang 31 Disember 2006 berupdate catatan pada 18 Januari 2007.

Keluar dari pintu utama Sogo mengadap Jalan Tuanku Abdul Rahman. Susur jalan menuju kedai selalu beli unifom sekolah putera. Ramainya orang Indonesia. Juga kawanan lelaki Bangladesh. Ramai pasangan cowok dan cewek Indonesia. Majikan bercuti pulang kampung menyambut Hari Raya Aidiladha. Pekerja santai berehat meronda kota. Kuala Lumpur bagai diserbu ramai warga pendatang bila warga kota pulang kampung. Begitulah selalu pandangan biasa ibu kota bila cuti umum.

Sekawan segerombolan lelaki warga Bangladesh seiring dengan kami dari hadapan tangga lebar bangunan Sogo. Lebih dari satu pasangan kekasih warga Indonesia dari arah bertentangan. Boleh kenal gaya pakaian warga pekerja wanita Indonesia.

Kaki sebelah kiri sakit tiba-tiba selepas menyeberang simpang di sebelah bangunan Sogo. Memperlahan jalan. Suraya dan Idris nun di hadapan.

Lalu tepi dua kedai kain ela sedang berjualan diskaun sampai 70 peratus. Kedai kain bersebelahan dengan Restoran Insaf. Restorannya tutup cuti raya.

" Laa.. Restoran Insaf tutup. Ingat tadi nak makan Nasi Beriani Restoran Insaf. "

Rancangan awal tadi berkira-kira mahu singgah makan Nasi Beriani Restoran Insaf sebelum kembali ke Sogo. Restoran selalu singgah kerana hanya ini pilihan restoran singgahan terdekat bila kepenatan amat meronda shopping susur jalan ini. Selain dari Restoran Selera Kampung di bawah lobi satu hotel itu.

" Kedai First Lady pun tutup. "

Kedai selalu singgah beli jubah murah. Hanya kedai kain Nagoya buka seperti biasa. Kedai Harison tutup dengan tampalan notis bakal berpindah alamat premis. Kedai Harison di bawah Hotel Noble. Komen saya dalam hati. Kemaslah sikit pintu ke Hotel Noble. Mungkin pintu hotel ini bakal mengadap Jalan Tuanku Abdul Rahman. Selama ini perlu ikut pintu belakang kalau mahu ke lobi hotel ini. Lobi di tingkat 8 kalau tidak silap. Pernah dua kali menginap di hotel ini. Cuti-cuti shopping Jalan Tuanku Abdul Rahman dua tahun lalu.

Senyum-senyum Suraya berkomen kala kami menunggu lampu merah lorong melintas. " Pak cik mak cik buta yang nyanyi depan Globe tu pun cuti.. "

" Mestilah. Dia orang pun nak sambut hari raya. "

Globe Silk Store lengang kosong. Senyum-senyum kala menaiki escalator. Sunyi lengang stor hanya berkelibat kami bertiga pelanggan menjengah pada hari raya. Lain-lainnya hanya para pekerja stor.

Bersenyum-senyum kala mula berada di tangga escalator kurus kecil laluan. Kalau tidak silap saya. Dua kedai kain popular di Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah dua kedai pertama di Kuala Lumpur dengan escalator. Satu pasaraya di Kota Kinabalu, pasaraya pertama dengan escalator, pun escalatornya kurus kecil. Bukan luas lebar sebagaimana escalator terbiasa pada hari ini.

"Kita je dalam kedai. Merdeka kita. "

Suraya mencuba satu percubaan berteruja gurau. Escalator kecik ni muat-muat untuk sorang saja. Samada escalator kecil sempit Globe ini boleh muat dua orang. Boleh pun. Suraya kurus berdiri di sebelah ibu.

Tingkat 1 menjual pakaian dan kelengkapan kembali ke sekolah. Hanya dua orang pelanggan wanita Punjabi selain dari kami.

Beli tiga kemeja putih. Empat seluar. Satu baju Melayu. Satu sepatu bintang utara. Habis RM273- Selalunya berhabis lebih RM300 setiap seorang bila beli unifom sekolah. Tahun ini hanya beli tiga kemeja baru bila dua dari kemeja beli tahun lepas masih belum dipakai Idris. Juga masih ada satu seluar beli pada tahun lepas belum dipakai Idris. Dapat tiga beg biru kain kanvas warna biru. Beg jenama baju sekolah Vox ini. Pertama kali beli jenama ini. Menurut gadis India bertugas di bahagian unifom. Kemeja Vox lebih putih dari jenama kami selalu beli.

Mencadangkan Suraya merakamkan gambar kami bertiga shopping baju sekolah menggunakan kamera telefon bimbit baru beli.

Kaat Idris sejurus usai bayar bil. " Sampai tiga ratus! Selama ni Idris tak pernah tahu sampai banyak tu Mak beli baju sekolah Idris. "

Senyum-senyum kaget kurang percaya intan payung ibu.

" Itu pun sikit sebab baju Idris beli tiga je. Selalunya lebih 300 sebab Mak beli baju paling kurang mesti lima. Selalunya paling kurang lima ratus. Hari ni tak beli seluar PJ [Pendidikan Jasmani]. Tak beli singlet. "

Dulu-dulu Su sentiasa buat simpanan tetap bulanan berdikit-dikit sebagai tabungan perbelanjaan besar kembali ke sekolah dihujung tahun. Bila tiba musim membeli, menggunung simpanan sedari awal tahun. Tabungan untuk shopping kembali ke sekolah dihujung tahun. Selepas itu mulakan semula simpanan. Begitu juga dengan tabungan untuk shopping dibulan Ramadhan. Tabungan di dalam sampul surat.

" Kenapa Mak beli baju sampai lima? " Komen Suraya.

" Satu hari satu. Lima hari sekolah. Kalau-kalau Mak penat nak basuh baju sekolah. Idris bukan pandai nak berus kolar kalau basuh sendiri baju sekolah. "

" Mak suruhlah Idris berus sendiri baju sekolah. "

Hanya diam. Berjawapan dalam hati. Selalu pun Idris berus. Cuma ibu puas hati kalau berus sendiri.

Sambung semula. " Kakak mula-mula masuk asrama lagilah. Semua baju sekolah dengan tudung mesti tujuh. Satu hari satu. Jadi kalau kotor tak basuh, mesti ada satu baju untuk satu hari. "

Lebih berpada-pada membeli bila Suraya dan Safura masuk asrama. Baju berlebih buat tuan punya baju lebih leka. Selalu baju hilang lesap di ampaian.

Sebelum ke kaunter bayaran. Singgah bahagian beg sekolah. Tiada beg yang Idris berkenan. Kalau boleh Su mahu beres beli semua kelengkapan kembali ke sekolah pada hari ini juga. Lusa nanti mahu beres beli buku.

" Idris nak beg yang berjenama lah Mak.. " Gurau kekanda bersenyum-senyum.

" Tu beg jenama juga apa.. Jenama macam cap Idris tu. Sebab murah heh.. Lima puluh ringgit. Nak cari yang mahal-mahal? "

Satu beg warna jingga lembut berjenama bagus menambat mata ibu.

Senyum-senyum Suraya mengomen. " Bukan jenama biasa-biasa macam tu. Idris suka yang branded punya. "

Senyum-senyum ibu. " Ya lah. Tu beg jenama biasa-biasa. "

Baru-baru ini beli beg buat diguna pakai Idris semasa keluar bermain bola. Kurang seringgit satu ratus. Beli di Kota Kinabalu.

Kala baru menaiki escalator. Mengomen senang hati. " Beli tiga ratus dapat tiga beg. Satu beg untuk seratus ringgit. "

Naik ke tingkat 3. Sebelum itu kami saling menanya kala baru melepasi escalator. Pakaian wanita di tingkat berapa. Sambil baca informasi aras tercatat di dinding tepi pangkal escalator.

Berjawapan pekerja wanita India sedikit gempal di kaunter bayaran.

" Baju kanak-kanak tingkat 4, puan. "

Pekerja India berunifom warna merah hati ini tersilap dengar. Kita menanyakan tingkat pakaian wanita. Mungkin kedengaran pada telinga pekerja ini kala Su sedang baca tingkat 4 tingkat pakaian kanak-kanak. Namun tetap bersenyum manis muka mengucapkan terima kasih. Pekerja mesra pelanggan.

Naik lif ke tingkat 3. Sebelum itu dua wanita Indonesia bergaya rangggi di hadapan kami. Mulanya mereka ini bertutur dalam loghat pekat Indonesia. Sekali terus bertukar bahasa pertuturan ke bahasa Kuala Lumpur bila Su berdiri di sebelah. Kelakar pula rasanya. Berubah loghat bila perasankan kami di sebelah.

Memang gaya cakap berubah tukar kepada bagaikan loghat orang Kuala Lumpur jati. Namun gaya berpakaian masih gaya pakaian ramai pekerja wanita Indonesia. Bibir merah menyala. Mekap sedikit terlebih terang.

Mereka berdua ini berkeputusan mahu menggunakan tangga. Beralasan mungkin lif rosak kerana lama tidak berhenti. Kami berkeputusan menunggu. Seorang lelaki India warga emas selain dari kami bertiga.

Sekali baru dua wanita Indonesia ini meninggalkan kami, terbuka pintu lif. Komen saya senyum-senyum pada putera puteri. Bukan rezeki diaorang.

Tingkat pakaian wanita kosong. Meronda bahagian jubah. Tiada yang berkenan. Berceritalah kita pada Idris. Suami kita mengomen belilah yang elok sikit bila kita pernah sekali dulu beli satu jubah murah dari stor ini. Jubah berharga satu RM79 berwarna kuning hitam. Komen kita. Jubah-jubah kelihatan murah tetapi bukanlah terlalu murah. Buat dipakai kalau berkereta tanpa keluar dari kereta. Atau keluar makan malam di warung-warung.

Bertemu semula dua wanita Indonesia tunggu lif tadi di bahagian pakaian lelaki mengadap pintu belakang ke Lorong Tuanku Abdul Rahman. Dua wanita Indonesia ini pekerja Globe bercuti raya. Saling bergurau dengan pekerja lelaki Globe. Nak balik dah. Balik nak beraya lah ni. Bergurau ketawa gaya menggoda lebih kepada beristilah flirty dalam bahasa orang putih.

Beli tiga singlet putih Byford. Harga kurang seringgit 30. Setiap kali ke bahagian lelaki stor ini. Selalunya kami beli singlet buat dua hero dalam rumah. Juga seluar Bermuda buat Idris.

Menelefon suami. Mahu menanyakan saiz seluar dan baju. Suami ke majlis kenduri. Telefon tertinggal di rumah. Hanya Safura di rumah. Batalkan rancangan mahu beli satu seluar ini buat suami kerana kurang pasti saiz terkini.

Keluar dari Globe Silk Store lewat pukul 5. Terasa panas di luar kedai sejurus keluar dari stor selesa nyaman berpendingin udara. Semakin penat bila berpanas petang. Bagaimanapun petang ini bercuaca bagus bukan panas berbahang.

Sekali lagi susur lalu di hadapan kedai-kedai menjual kain ela. Lelaki India berkulit cerah dengan kertas promosi jualan. Berkempen menjual dalam bahasa Inggeris. Gaya bukan orang India tempatan. Berwajah Hindustan.

Memang berkenanlah juga pada jualan murah ini. Kain buat tudung. Sudah mulai penat. Lain kali saja. Bakal ke sini lagi sebelum 19 Januari. 19 Januari tarikh terbang sahabat Khadijah pulang ke Melbourne. Mahu berkirim jubah.

Ketawa dua anak. Lengangnya. Mana orang jual delima? Kata soal bernada kaget betapa lengangnya Jalan Tuanku Abdul Rahman petang ini. Sudah terbiasa dengan pandangan orang menjual buah delima di tepi jalan ini. Buah delima RM10 tiga.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari


You are viewing rasanubari