Trefor Road Culdesac (rasanubari) wrote,
Trefor Road Culdesac
rasanubari

  • Mood:

Malam 1 Januari berselimut semangat bauran kalbu sepanjang setahun berlalu



Kisahan 1 Januari hari Selasa. Update pada petang Jumaat 4 Januari. Gambar kalendar meja pertama tahun ini. Kalendar meja International Hotels beli di Sogo pada 1 Januari.

Malam tahun baru 2008. Penat teramat selepas dua hari jalan-jalan meraikan anakanda berkeputusan PMR 8A. Bukan pun anakanda pertama PMR 8A. Namun keputusan kali ini buat rasa gembira bersyukur bukan kepalang. Ini PMR penutup dalam keluarga ini. Kecuali kalau panjang umur lima belas tahun lagi. Kalau pun lima belas tahun lagi masih wujud lagi peperiksaan itu. [Terbayangkan Safiyyah di Melbourne sana]. Oh sudah pun satu hari itu berangan-angan mahu hadir hari pertama Safiyyah mula bersekolah. Hari tontoni kisahan pendaftaran murid-murid darjah satu lewat berita tv. Baru-baru ini terbaca. Berangan-angan itu sebenarnya bagus pada minda. Mengaktifkan impian dan harapan.

Juga harapan sedikit berbeza pada putera tunggal ini. Antara bicara bual cerita beberapa minit selepas tahu keputusan. Sekarang ni InsyaAllah semakin dekat peluang Idris sambung belajar pergi England.

Tidaklah pula begitu harapan bila puteri sulung 8A walaupun terkujat terkejut bersyukur masih bagaikan boleh ingat rasa. Juga bila puteri sulung berkeputusan SPM semua A. Puteri sulung sedari umur enam tahun bercita-cita sambung belajar ilmu perubatan di luar negara. Doa-doa masa itu. Apa lebih diberkati di sisi Allah subhanahuwataala.

Pengamatan pandang selama ini. Apa dicita-cita dengan usaha dan azam membuahkan bunga masih berkaitan dengan cita-cita asal. Suraya sedari kecil lagi bercita-cita mahu belajar di IPT berdekatan dengan rumah. Mungkin keluar negara hanya selepas ijazah pertama. Safura bercita-cita sambung belajar dalam bidang berkaitan dengan hobi santai. Su bercita-cita mahu menjadi guru sedari hari pertama bersekolah. Bonda bekas guru. Sampailah juga cita-cita yang satu ini walaupun hanya buat sementara sebelum terbang jauh. Boleh bercerita pada generasi seterusnya. Kita ini pun bekas seorang guru.

Kebelakangan ini Idris berminat apa saja tentang Jepun. Baru-baru ini minta ibu belikan buku belajar bahasa Jepun. Sedang belajar sendiri tulisan Kanji dan Kana Jepun.

Terluah kata. Oh tolonglah. Idris boleh pergi sambung belajar mana-mana pun asalkan janganlah US dengan Jepun. Jepun.. Kalau melancong okay. Kalau pergi belajar sana. Tolonglah.. Kecualilah kalau post grad. USA pula kerana jauh menyeberangi benua. Susah Mak nak pergi ziarah. Tak larat lagi Mak nak naik kapal terbang jauh-jauh. Jauh macam tu. Idris mana boleh balik Malaysia selalu. Jepun pula sejujurnya kerana kita berpersepsi tersendiri. Pun persepsi itu mungkin mampu berubah berseiringan masa.

Namun itu semua sekadar cakap-cakap waima bertempiasan harapan. Memana sajalah menurut ketentuan Ilahi sesungguhnya lebih Maha Mengetahui. Selama ini pun manalah pernah menahan kemahuan dan azam harapan semua cahayamata. Mengiringi dengan dorongan dan doa ibu. Misalnya dulu berpesepsi kuranglah mahu bermenantukan orang dari negeri ayah ibu. Kini cucunda kami berketurunan separuh darah negeri kelahiran Ayahanda Bonda. Sebenarnya lebih dari separuh. Ayahanda Bonda kelahiran negeri itu.

Selama ini pesan gurau pada semua cahayamata. Tolonglah usah berpasangan dengan orang Dusun. Cukuplah ibu kamu seorang. Belum tentu sanubari cahayamataku sekuat tabah hati sanubari ibu. Terutamanya kalau Dusun daerah kelahiran bapa mereka. Dusun mukim berpandangan indah Gunung Kinabalu. Bagaimanapun bila baru-baru ini berkisah seorang cahayamata meleret pandang sesaorang berketurunan Dusun. Sesaorang dari keluarga sahabat. Barulah kita perasan. Persepsi keras lama tersimpan itu bisa cair bila bersabit cahayamata. Lagipun realiti cerita mampu mengubah sulaman sanubari.

Kembali kepada sebermula cerita seawal paragraf entri. Mood mencatat menulis kembali datang. Potensi meleret cerita bukan lagi cerita asing pada yang terbiasa baca.

Petang Sabtu tiga hari sebelum tahun baru 1 Januari. Jalan-Jalan Shopping Sogo. Jalan Jalan Tuanku Abdul Rahman beli unifom sekolah Idris. Dua lokasi petang hari Sabtu. Masih ada Globe tetapi sudah bertukar nama. Sarah Hughes @ Globe. Juga sempatlah petang itu singgah Pasar Malam mingguan sekitar situ.

Jalan-jalan The Gardens @ Mid Valley hari minggu. Jalan-jalan sekeluarga. Hari minggu meriah makan malam sekeluarga. Bukan mudah lagi kini keluar berkumpul sekeluarga. Selalunya masing-masing beragenda tersendiri walaupun berkebetulan bercuti pada hari yang sama. Hujung minggu misalnya. Suami kini semakin selalu berpergian dari rumah.

Restoran nama penyanyi lagu country. Satu hari entah bila berzaman dulu. Seorang anakanda kami. Kaget bila kita bercerita. Nama Kenny itu sebenarnya seorang penyanyi popular dunia kini sedikit reda sohor. Sebagaimana kemungkinan ada anak kecil kaget bila dikatakan yang kancil itu juga nama seekor binatang. Bukan sekadar nama kereta. Sebagaimana seorang sahabat kaget rasa kelakar bila bertemu berkenal dengan orang Jepun namanya Toyota. Mungkin satu hari nanti. Mungkin generasi mendatang kaget bila tahu Paul Newman itu bukan sekadar hanya nama sos pasta. Sekadar contoh cerita.

Malam hari minggu yang sama itu. Shopping jualan murah Robinsons @ The Gardens malam penghujung tahun. Dua gaun comel Princess dan Cinderella buat Safiyyah di Melbourne. Kini kalau jalan-jalan shopping. Mata meleret laju bila lalu kedai pakaian bayi. Teruja tidak terkira bila sampai tingkat lima Pavillion. Tingkat comel bertema segala stor pakaian dan barangan kanak-kanak kecil dan bayi. Semuanya berkumpul comel pada satu level. Mothercare. Baby Gap. Pumpkin Patches. Roxy Baby berserba warna merah jambu. Early Learning. Macam-macamlah lagi. Kata teruja bersemangat Opah masa itu. Tunggulah bila Safiyyah sampai Malaysia nanti. Opah bawa pergi tingkat lima Pavillion. Sambung lagi kata bual teruja malam itu. Kenalah Opah bawa berkepul duit. Semuanya mahal-mahal..

Malam sama Jalan-Jalan Mid Valley dan The Gardens itu. Angkut bersusun majalah dari dua kedai newsagent Mid Valley. Majalah edisi Januari awal tahun. Seingat-ingat kita. Majalah-majalah bulan Januari 2007 pun bersusun yang masih belum terbaca. Kini mulai berpada-pada beli majalah. Hanya beli majalah-majalah tertentu. Sudah terlalu meninggi majalah dalam kamar utama. Majalah-majalah lama terkumpul sedari awal tahun 80-an. Baru-baru ini kembali beraktiviti gunting-gunting surat khabar dan majalah lama. Hobi mengumpul buat buku skrap kenangan.

Tidur awal malam 31 Disember selepas pukul sembilan malam. Terjaga sekitar pukul 12 malam. Terjaga berkelibatan pandang Suraya berpijama merah jambu berulang datang menjengah kamar. Pijama beli jalan-jalan shopping 1 Januari tahun lalu. Jusco Seremban 2 antara lokasi selalu sepanjang enam bulan pertama tahun lalu. Enam bulan kedua. Selalu Kuala Lumpur dan sekitar Mutiara Damansara. Paling selalu. Tentunya lokasi hanya sepuluh minit memandu dari rumah. Sampaikan kata Su pada cahayamata. Kalau rasa-rasa mahu jumpa kawan tanpa merancang. Jalan-jalan Alamanda.. Kini selalu benarlah bertembung sahabat dan saudara mara kalau pergi Alamanda.

Mengimbas siapa-siapa Su bertembung terjumpa dalam sebulan dua ini di Alamanda. Sahabat Aberystwyth sekeluarga. Sepupu sekeluarga. Jiran sebelah rumah kami. Paling terkini. Bertembung dengan sahabat sama kelas tutorial semasa di ITM dulu. Kali akhir bertemu. Walimah puteri sulung di Kelab Danau. Itu belum lagi bab bertembung orang popular. Selebriti dan orang ternama. Juga blogger itu ini. Kita kenal tahu rupa orang itu wajah orang ini dari gambar tertera dalam blog.

Tahun lepas. Kerap berselisih dengan orang-orang yang diam-diam kita baca blog. Masih berhobi singgah baca blog orang. Salah seorang dari mereka ini. Su mengejar menegur. Warta Bangi Utama. Blogger pertama Su singgah komen dalam tahun 2001. Seorang lagi. Berselisih bahu di Mid Valley. Antara blog pertama Su baca dalam tahun 2000 atau 2001. Mulanya berkira-kira mahu menegur sapa. Hari itu berkelam-kelibut mahu cepat. Singgah situ sebelum hantar Safura pulang ke kampus U** hanya sepelaung dari situ. Lagipun waktu itu orangnya kelihatan serius berjalan sorang-sorang. Ada beberapa orang lagi. Sekadar pandang memandang. Paling terkini. Sama satu pesawat hari terbang pergi Bandung dengan sesaorang pun aktif menulis blog. Malah kami berbalasan senyum.

Sambung cerita malam 1 Januari pukul dua belas malam.

Telinga tertangkap dengar dentuman bunga api sayup-sayup dari ibu kota. Idris tekun mengadap komputer sebelah katil. Meja komputer Idris di sebelah katil. Putera hati ralit dengan PC Games. Su sambung tidur bila perasan sudah bertahun baru. Jaga mamai sekadar lima minit walaupun kamar terang benderang. Penat bukan alang kepalang.

Pagi hari 1 Januari tahun baru 2008 bersemangat biasa-biasa. Pun begitu 1 Januari 2008 kelihatan berseri dipandang. Mulanya mahu mencatat segala imbasan kronologi setahun berlalu. Pun begitu kebelakangan ini malas menghadap blog. Senggang masa santai lebih selesa dengan baca buku dan hobi tanpa buka laptop.

Siang 1 Januari waima tetap mengundang sedikit berbeza lagu sanubari. Sementelah 1 Januari kali ini berterang benderang hari selepas beberapa hari mendung awan berhujan petang. Juga 1 Januari sebagai penanda tahap azam dan laluan cerita berterusan. Pun begitu. Lebih tetap ingat dan menunggu. 1 Muharram 1429 H pada 10 Januari nanti.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Tags: 1haribulan, 1januari, 4haribulan, alamanda, friday, harapan, malam, mall, restoran, safiyyahnuha, sanubari, sembang, sentosa, shopping, smugmug, tuesday
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Comments allowed for friends only

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment