Trefor Road Culdesac (rasanubari) wrote,
Trefor Road Culdesac
rasanubari

  • Mood:

Pagi selepas dua cawan Nescafe kaw Gunung Semanggol sepulang dari utara bermula musim rindu

Nescafe panas kaw Gunung Semanggol


Singgahan rasa pagi hari Isnin 5 Januari

Pagi selepas solat sunat. Kemas kamar beradu. Kemas cadar krim kuning susu berbunga-bunga tulip krim kelabu. Segar harapan bersemangat baru berlatar minggu baru hari baru. Selepas senantiasa berwilmana sebermula awal November lalu. Sepulang dari dua hari utara belum pun hilang penat selepas Melaka dan Kuantan sepulang dari Australia selepas Kota Kinabalu. Selepas Bukit Fraser menyulam semai rasa berbulan madu. Selepas bulan Syawal bulan sana sini bertemu. Bulan meriah kalbu. Jamuan bertemu mesra. Kenduri kendara. Barulah hari ini berehat dari jalan-jalan selalu.

Lega syukur berlagu mahu rehat. Namun rasa berehat ini mungkin hanyalah buat sehari dua. Sebelum bermula kerja kemas mengemas simpan. Kemas simpan barang susun tepi. Ubah susun atur perabot. Sebelum bermula cerita sekali lagi berpenat-penat menghadap kerja-kerja pengubahsuaian rumah buat kali ketiga. Antara cerita penat paling penat dalam hidup terkini. Penat semasa rumah sedang diubahsuai. Selalu bermohon doa pada yang Maha Esa. Semoga Allah taala mempermudahkan semua. Semoga Allah taala mempermudahkan semua urusan berkaitan pengubahsuaian kali ini. Semoga kesihatan ini sihat bagus sepanjang masa rumah ini bakal berkelentang kelentung lagi.

Pagi bersanubari lega namun sunyi waima bersyukur dengan segala apa ketentuan cerita. Waima mana boleh sembunyi. Rasa sendu rindu sudah bermula tempiasan singgah sehari dua sebelum semalam. Semalam petang melepas pergi intan payung hati.

Petang Jumaat sebelum pergi utara hari Sabtu. Bertiga dalam perjalanan pulang malam dari MV. Shopping cari dompet idaman. Musim ingin terkini. Dambaan miliki dompet kulit warna merah dari Jerman. Malam Sabtu itu. Tiada dompet merah yang berkenan pada mata kalbu.

Kala kenderaan susur lalu Lebuhraya Persekutuan sekitar Sungai Besi sebelum Serdang. Kala kenderaan biru susur lalu tepi lebuhraya sebelah kirinya McD pandu lalu.

" Esok Ayang Mak dah nak balik asrama. Nanti Mak sedih rindukan Ayang. Nanti Mak nangis sorang-sorang bila rindu. "

" Itu Allah nak bagi Mak berlatih dari sekarang. Nanti Idris pergi jauh lagi. "

Kata Idris itu walau bernada gurau namun memotivasi sanubari. Sudah sedia maklum faham namun mengubat hati.

Insaf sememangnya senantiasa insaf sedar namun tetap bertempias sedih. Tahun ini utara. Tahun hadapan entah pergi mana. Selepas itu memana IPT entah mana jauh pergi. Selepas itu dunia berkerjaya entah daerah mana. Selepas itu berkeluarga sendiri. Namun insaf inilah realiti kehidupan pasti ditempuh lalui setiap ibu.

Juga insaf sesungguhnya insaf. Sedih berpisah sementara ini mana sama dengan sedih ibu-ibu kehilangan cahayamata terkorban di hadapan mata di Palestin sana.

Pun kata hati. Remuk redam hati bapa dan ibu di muka bumi dengan tinggi kepadatan bakal syurga itu. Hanyalah buat selama bersedih di bumi fana ini. Anakanda ditangisi bakal menunggu bakal menanti ibu di pintu syurga. Namun setiap cerita dunia. Tamsilan dan ingatan buat yang celik mata hati berkongsi rasa.

Pagi menjengah kamar putera. Redup hati mulai berlabuh rasa rindu.

Juga menjengah kamar dua puteri. Komen sendiri di dalam hati. Kala berdiri di hadapan pintu kamar puteri. Walaupun sesekali melintas lalu cerita buat penat hati. Tetap berkelibas pandang memori lalu. Memori cahayamata musim masih kecil. Sebagaimana kata hati ini pada musim semua cahayamata masih kecil comel penghibur mata hati ibu. Musim menghadap kerenah cahayamata kecil berkelaku semuanya comel walaupun memerah penat dan masa. Safura kuat menjerit. Suraya kuat merengek. Khadijah bising bercakap. Muhammad Idris pula. Tiada masalah. Anakanda paling bagus laku sedari lahir. Alhamdulillah dan semoga sampai habis hayat ibu. Pun begitu semua cahayamata Alhamdulillah anugerah Ilahi dengan kesitimewaan masing-masing pelengkap cahaya hati.

Masa itu. Kata hati. Nikmatilah hari-hari mereka ini masih kecil comel. Sebelum sampai hari-hari hati ibu ini merindui masa-masa mereka kecil ini. Sabar melayan sebelum sampai masa mulai merindu masa itu. Sebelum satu hari nanti bertembung dengan masa bertimpa rasa rindu pada kenangan hari-hari dengan semua kerenah itu.

Begitulah juga dengan hari ini. Walau sesekali bersinggah cerita pening kepala dengan kerenah cahayamata meningkat dewasa. Pulang melewati lepas tahap masa sebagaimana janji. Kurang tulus mengurus kemas rumah tanpa disuruh perintah. Kala mengurut rasa dengan situasi cerita kini. Kenangilah hari-hari comel mereka masa mereka kecil dulu. Kenangan itu pastinya membasahi lembut hati.

Sebagaimana pagi ini. Bagaikan terbayang-bayang dua puteri kecil comel itu di hadapan mata ini di rumah Bandar Bandar Bangi ini. Imbasan masa kecil puteri-puteriku di Kota Kinabalu dulu. Imbasan musim awal sekolah mereka di Aberystwyth dulu. Kenangan pada musim lampau buat redup hati. Bagaikan pagi ini berada nun di Kota Kinabalu kota tertinggal kalbu. Bagaikan terpandang kelibat suasana rumah atas bukit Aberystwyth selalu melambai rindu.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape
Tags: 5haribulan, 9haribulan, coffee, flickr, friday, harapan, kenangan, monday, nostalgia, rindu, sanubari, sentosa, singgahsana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Comments allowed for friends only

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

  • 2 comments