Trefor Road Culdesac (rasanubari) wrote,
Trefor Road Culdesac
rasanubari

  • Mood:

Bertembung lewat berpesta-pestaan buku

Sabar menunggu satu petang Pan Pacific Kuala Lumpur


Setiap kali meredah pengunjung bertali arus Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Pasti bertembung dengan orang itu orang ini menangkap mata menguja meriah rasa. Paling mengujakan. Tentunya bila bertembung dengan mereka rapat karib atau pernah rapat dalam hidup. Sahabat handai dan saudara-mara. Manakala bertembung terpandang personaliti tertentu. Kekadang itu mampu merakam kenangan diari satu hari lewat berpesta buku.

1. Sepuluh tahun kebelakangan ini sedari bermula cerita kembali menginap di tanah semenanjung. Setiap kali berPesta Buku Kuala Lumpur. Selalunya kami menginap di hotel bersebelahan dengan bangunan PWTC itu. Buat lebih santai berpesta-pesta bagi kita dengan kesihatan kurang tahan bersesakan dalam suasana ramai gamat. Boleh berehat bila penat. Boleh dari hotel berulang jengah lokasi pesta lebih dari sekali dalam sehari.

Beberapa tahun lalu. Lupa tahun bila. Mungkin 2004 atau 2005. Malas singkap baca cari dalam arkib. Hari itu pukul dua petang. Selepas check-in. Sementara menunggu kamar sedang disiap kemas. Hari itu ramai personaliti dan artis tanah air baru lepas check-out. Selepas sehari sebelum itu berlangsung satu majlis anugerah di dewan dalam kawasan PWTC. Su suami isteri dan Muhammad Idris santai berehat menunggu sambil minum Jus Oren. Welcoming drinks. Sofa selesa seselesa mata memandang pandangan ruang lobi lembut redup dekorasi. Suasana lobi lebih tenang berbanding ramai dari lokasi pesta buku lalu lalang tepi hotel.

Pandang sana sini. Mata pandang hadapan. Mata terpandangkan kelibat seorang wanita kecil comel langsing bertudung. Manis berseri wajah bersenyuman menawan datang mampir set sofa di sebelah kami. Mula-mula kurang ingat itu siapa. Wajah seperti biasa terlihat. Selepas itu baru perasan itu siapa. Penyanyi lagu Wasini popular ketika itu.

Gurau Su dengan Idris. Mahukah ibu merakamkan gambar Idris dengan penyanyi itu. Jual mahallah pula Idris. Idris waktu itu umur sekolah rendah. Pun komen kita hari itu. Tak sesuailah Idris ambil gambar dengan dia. Lainlah Adik atau Baby.

Tahun sebelum tahun lepas. Muhammad Idris baru tingkatan tiga. Sepulang Idris dari bermain futsal dalam satu kejohanan futsal. Lokasi kejohanan. Gelanggang futsal bersebelahan dengan Lake Garden. Senyum meriah Idris bercerita. Ada Waheeda. Idris ambil gambar dengan dia. Bukan berdua. Ramai-ramai dengan kawan-kawan pemain futsal. Bukan hanya penyanyi itu selebriti dalam gambar itu. Juga dalam gambar itu. Seorang penyanyi lelaki. Kalau tidak silap namanya Didi. Dua penyanyi itu tetamu menyerikan kejohanan itu.

Komen ibu. Amboi. Masa kecik dulu bukan main jual mahal tak mau bergambar. Ni dah besar. Bukan main teruja lagi. Mana gambar tu Mak nak tengok..

Sampai kini. Belum lihat gambar itu. Guna kamera hand phone kawan.

2. Tahun 2004 kot. Tahun itu pun kami menginap di Hotel Pan Pacific itu. Sementara tunggu suami check in hotel. Su dan Muhammad Idris menunggu di Pesta Buku. Belum melepasi pintu kawasan booth buku. Menunggu di kawasan dengan meja-meja makan gerai makan. Sedang Su beli Nescafe panas dan sandwic. Tiba-tiba ada orang beri salam di belakang bahu. Tahun itu. Dua kali Su ditegur pembaca blog ini. Dalam hati ketika itu. Hai pembaca blog lagi ke. Toleh pandang. Lebih mengujakan. Salam dari isteri saudara sepupu. Antara bertembung bertemu mengujakan rasa. Tentu saja bila bertembung dengan saudara-mara. Saudara sepupu Su seorang profesor ini. Pun sama seperti Su. Ulat buku sedari kecil.

Muhammad Idris santai selepas sarapan pagi Pan Pacific Kuala Lumpur


3. Tahun yang sama bertembung dengan saudara sepupu itu. Hari yang lain. Su penat teramat. Berehat seorang diri. Minum Nescafe O panas sementara menunggu suami dan cahayamata shopping beli buku. Lalu tepi meja. Satu grup orang muda berpakaian ranggi. Terdengar siulan orang dari tepi. Mereka ini ceria menoleh. Beberapa ketika selepas itu baru perasan. Ini grup satu kumpulan penyanyi semua lelaki Su kurang pasti nama juga kurang pasti apa lagu mereka. Cuma Su perasankan pada wajah seorang dari mereka ini yang kemudiannya berkahwin dengan anak bekas menteri besar negeri Selangor.

4. Lupa tahun bila. Awalan dekad ini mungkin. Bertembung mata dengan seorang sahabat sama kolej zaman Shah Alam. Sahabat seorang jurutera ini sekeluarga dari Kuantan. Datang ke Kuala Lumpur semata-mata kerana Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu. Itu kali kedua Su bertembung dengan sahabat ini selepas kami grad. Kali pertama. Tahun pertama hari pertama kali kami suami isteri dan puteri sulung sampai London. Hari itu Su menyusukan puteri sulung belum pun berumur sebulan di satu kawasan lapang dalam tandas Malaysian Hall. Datang sahabat ini. Sahabat ini ketika itu baru berkahwin. Datang London dari bandaraya lain England kerana urusan biasiswa.

Sama seperti kami bertembung kali pertama. Su terlupa nama sahabat ini walhal dulu kami berjiran kamar dan selalu bertemu di surau. Lain kursus tetapi seorang sahabat karib Su sama kursus dengan sahabat ini. Hari itu di Pesta Buku. Su minta sahabat ini tuliskan nombor telefon dalam buku nota. Cara biasa untuk tahu nama kawan kita terlupa. Nama sahabat ini. Sama nama dengan nama seorang permaisuri.

5. Beberapa tahun lepas. Selepas check out dari Hotel Pan Pacific. Sempat lagi kami suami isteri dan Idris singgah lagi Pesta Buku. Petang itu. Berselisih dengan seorang sahabat Aberystwyth di sebelah dalam pintu ruang pameran tingkat buku-buku Melayu. Sahabat ini bertemankan tiga cahayamata terkecil. Sahabat satu taman perumahan. Walaupun satu perumahan. Pertemuan secara bertembung tanpa duga itu tetap menguja meriah hati.

6. Hari yang sama itu. Hari bertembung dengan Dr. Normadiah itu. Ketika mahu keluar dari ruang pameran. Berselisih dengan seorang novelis juga popular dengan buku masakan. Kecil comel orangnya. Rendah dari paras bahu kita.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur jumpa lagi tahun hadapan


7. April tiga tahun lalu. Lewat malam selepas pukul sembilan. Su dan suami. Hanya kami berdua. Buat kali pertama. Kami tidak menginap sewa di hotel sebelah PWTC itu selepas bertahun-tahun rutin tahunan bercuti berpesta buku menginap di Hotel Pan Pacific. Malam itu kami parkir kereta berhampiran bangunan dulunya pejabat imigresen berhampiran Hotel Dynasty. Kami pergi malam selepas Maghrib. Malam terakhir Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu.

Bangunan imigresen itu merakamkan kenangan Su pertama kali buat pasport antarabangsa. Sebelum buat pertama kali pergi Wales. Masa itu. Su masih dalam pantang selepas melahirkan puteri sulung berumur baru dua minggu.

Malam itu. Buat pertama kali. Kami suami isteri bersinggah makan lewat malam di medan selera berhampiran bangunan dulunya pejabat imigresen itu.

Pesta Buku Kuala Lumpur malam parkir berhampiran bangunan imigresen tahun 80-an itu. Malam itu berselisih dengan seorang sahabat bertahun-tahun Su simpan dalam berkecil hati dengan member ini. Satu hari lebih lima belas tahun lalu. Kami keluar tiga hari. Kami dengan bayi kecil ditempatkan di satu rumah bukan bersama dengan mereka datang tanpa anak kecil. Malam itu kami tidur bersebelahan atas satu tilam. Masing-masing susukan bayi. Idris belum pun setahun.

Malam itu. Swansea musim bunga. Member bertanyakan apa aktiviti dakwah Su di Aberystwyth. Kemudiannya member komen panjang. Bagaimana mahu majlis diberkati kalau para hadirin datang tanpa menutup aurat sempurna. Ini bila Su katakan itu halaqah santai. Apa yang utama. Kita mendekati mereka tanpa mengira latar belakang dan gaya kehidupan. Majlis berkumpul mengeratkan persaudaraan sambil menyulamkan peringatan dengan sesi tazkirah. Member ketika itu sentiasa berjubah tebal warna hitam. Purdah labuh hitam tutup muka.

Malam itu Swansea lebih lima belas tahun lalu. Member itu bertanyakan umur kita. Jawab member bila tahu umur kita. Eh nampak muda. Ingatkan muda dari saya. Patutlah kata-kata member malam itu pedas kurang menghormati kita. Member ingat kita ini lebih muda. Kami berbeza umur tiga tahun.

Malam itu. Pesta Buku Kuala Lumpur tiga tahun nan lalu. Kita bertembung dengan member ini pakai tudung sedikit jarang bukan lagi labuh. Komen suami kita. Eh baju pun nampak bentuk badan? Begitulah orang lelaki. Cepat terpandang hal sebegitu walhal malam itu Su kurang perasan tentang busana member itu. Hanya perasan tiada lagi kain tutupan wajah. Lebih bergaya dari dulu.

Baru-baru ini awal bulan April ini. Seorang sahabat lain menelefon. Menurut cerita sahabat menelefon itu. Member yang Su bertembung itu semakin seakan melarikan diri. Gaya kehidupan semakin bergaya orang kaya. Rezeki mencurah-curah. Wajah member terutamanya suami member seorang profesor. Semakin kerap keluar surat khabar dan tv. Baru-baru ini satu keluarga makan angin pergi Eropah. Bila mulai ternama kaya raya. Semakin kurang aktiviti dulu-dulu.

Komen Su. Itulah. Kita jangan sesekali memandang rendah orang lain yang terlihat kurang usaha dari kita. Kita belum tahu bagaimana kita ini esok lusa. Kalau terlihat sahabat kita kurang usaha. Kita mendoakan buat sahabat itu juga buat diri sendiri. Kita tidak tahu bagaimana ujian bakal kita terima esok dan lusa. Antara ujian bahaya. Ujian kemewahan harta. Juga dalam hidup ini biarlah berbagus sangka kalau hanya dari pandangan mata atau dengar-dengar cerita. Kita belum tahu antara orang itu dengan kita siapa lebih mulia pada hari kemudian nanti di hadapan Allah subhanahuwataala.

8. Tahun sebelum tahun lepas. Su pergi dengan dua puteri selepas solat Maghrib. Sampai Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu lewat pukul sembilan. Kami parkir kereta berhampiran tempat parkir kami pada tahun sebelum itu. Berhampiran dengan medan selera sebelah satu hotel bajet. Malam itu hanya beberapa hari sebelum kami terbang pergi Melbourne menjelang kelahiran Safiyyah. Sama sebagaimana tahun sebelum itu. Tiada cerita bermalam di Hotel Pan Pacific kerana semuanya tiada masa buat bermalam situ kecuali kita seorang.

Malam itu. Sedang Su memilih kitab ugama. Bertembung pandang dengan sesaorang popular dengan satu majalah wanita pada hujung tahun 80-an dan awal 90-an. Beliau ini menjengah booth yang sama. Besar tinggi lawa bergaya. Beliau ini tersenyum manis pada kita. Kalau bukan kerana kamera lemah bateri. Mungkin Su minta izin mahu bergambar. Ini kerana kita peminat majalah beliau pada hujung 80-an itu. Beliau dengan suami baru? bukan bekas suami dulu tokeh majalah-majalah Va*** popular pada dua dekad sebelum ini. Tokeh itu berkahwin dengan penyanyi Wirdaningsih dari Indonesia.

9. Beberapa tahun lalu. Susuri ruang legar PWTC menuju dewan pameran buku. Su dan Idris bertembung dengan seorang personaliti berketurunan Tionghua kini sudah berugama Islam dengan nama Adam. Beliau ini berdiri bersandar di dinding dewan. Senyum-senyum mesra pada seorang anak kecil berselisih dengan kami. Kata ibu anak lelaki mungkin berumur enam tahun itu. Pergi laa salam.

10. Beberapa tahun lalu. Su singgah booth UKM. Beli buku biografi Jins Shamsudin. Datang seorang profesor madya perempuan pakar bahasa Melayu. Beliau ini sahabat karib kepada Bonda. Bonda banyak memuji tentang pakar bahasa ini. Mulanya mahu menegur beritahu. Saya ini anakanda sekian-sekian. Melihatkan wajah serius tanpa senyum beliau ini. Malaslah. Apa pun memang Su perasan mata beliau itu sesekali mencuri pandang kita. Mungkin beliau itu tahu kita pun sedang pandang memandang.

11. April tahun ini. Hari Sabtu lepas selepas hari gaji. Ramai sungguh manusia. Su sedang berehat selepas pitam hampir terjatuh pengsan. Lalu sebelah kami. Seorang profesor perempuan bos kanan tempat kerja suami. TNC universiti tempat kerja suami. Beliau itu tidak perasankan kami tepi tiang. Baru seminggu lepas. Kami di satu hotel dalam negeri Pahang. Beliau ini datang bersalam dengan kita. Makan malam hari pertama seminar. Tanya beliau ini bersenyum mesra. Su ini U** dari fakulti mana. Jawab suami. Bukan orang U**.

Komen kita dengan seorang sahabat pun hadir makan malam itu. Beliau ini sama dengan bos nombor satu universiti. Tidak sombong. Tidak lokek senyum. Beliau yang datang menghampiri kita hulur tangan buat bersalam.

" Kadang-kadang yang sombong ni. Budak-budak yang baru kerja ni. Baru merasa duit lebih. Dah rasa besar sangat. "

Ada seorang pensyarah perempuan ini. Pensyarah muda baru bertugas belum pun sepuluh tahun. Setiap kali bertembung dengan kita. Kita senyum pun dia boleh buat dek. Satu ketika berselisih dengan kita dan suami. Bukan main lagi senyum meleret paling manis dia buat suami kita. Kita di sebelah suami boleh dia pandang sebelah mata berwajah sadin pura-pura tidak perasan. Bukan sekali cerita sebegitu. Apa dia ingat kita ini suri rumah tak sekolah?

Walhal ikut hukum ugama malah budaya bangsa. Sewajarnya senyuman itu lebih afdal buat kita bukan buat suami kita lelaki bukan muhrim dia.

Baru-baru ini member ini minta pertolongan suami. Member ini antara staf perempuan terbiasa berSMS dan menelefon nombor telefon bimbit suami kita. Kata orang. Kalau mahu mengorat anak. Buat baik dengan ibu. Mahu minta pertolongan suami orang. Jangan sombong dengan isteri lelaki itu. Kadang-kadang isteri ini ada kuasa veto dalam beberapa hal bila suami minta pandangan. Kata hati bila tahu tentang minta pertolongan itu. Dasar tidak tahu malu.

Apa yang Su ingat sangat tentang profesor lalu tepi kala Su baru lepas pitam petang Sabtu itu. Busana profesor itu sama dengan busana beliau pakai pada malam beliau mesra datang bersalam dengan Su di Pahang itu. Busana dan tudung yang sama serupa.

12. Juga tahun ini. Hari Sabtu lalu. Su dan Safura berehat dalam Cafe Riverside selepas Su terpitam. Suami dan Suraya shopping buku. Datang suami meriah wajah bercerita. Suami kita bertembung dengan pengantin baru. Kami hadir kenduri pengantin baru itu minggu lepas di Teluk Intan. Kekanda ipar kepada Khadijah. Kekanda kepada Naza itu datang suami isteri dengan rombongan orang kampung dari Teluk Intan. Rombongan pergi Pesta Buku Kuala Lumpur tahun 2009.

Ini catatan cerita bertembung tanpa dirancang. Bukan cerita berjumpa sudah awal terancang. Ataupun bertemu sesaorang memang dicari lewat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape
Tags: 30haribulan, bertemu, flickr, hotel, kenangan, kualalumpur, nostalgia, pestabuku, thursday
Subscribe

Comments for this post were disabled by the author