Tags: coffee

Sarapan pagi usai hujan subuh

Subuh itu hujan sederhana lebat. Memandang hujan dari tingkap kamar Voilet Viola.

Sarapan pagi pukul 8:44 pagi. Makan nasi lauk semalam. Ayam Masak Serai. Kubis Tumis Taucu Pedas. Goreng tiga biji telur buat lauk tambahan. Telur Goreng Mata Lembu.

Kopi Moconna O panas dalam mug dulu beli di Wales. Mug beli di carboot sales.

Kopi panas brunch terakhir dua puluh sembilan belas

Kopi panas brunch terakhir 2019. Pukul 11 pagi itu. Kopi Moconna dalam mug beli di Oxford, England. Biskut Foxs dari England beli di Jaya Grocer. Kaktus-kaktus mini beli di Genting Highlands.

Kopi panas brunch terakhir 2019. Pukul 11 pagi itu. Violet Voila home office keduaku. Kopi Moconna panas dalam mug beli di Oxford, England. Kenangan satu malam singgah service di Oxfordshire dalam perjalanan dari Wales menuju London. Biskut Foxs dari England beli di Jaya Grocer. Sepasu kaca kaktus-kaktus mini beli di Genting Highlands.

Pagi selepas dua cawan Nescafe kaw Gunung Semanggol sepulang dari utara bermula musim rindu

Nescafe panas kaw Gunung Semanggol


Singgahan rasa pagi hari Isnin 5 Januari

Pagi selepas solat sunat. Kemas kamar beradu. Kemas cadar krim kuning susu berbunga-bunga tulip krim kelabu. Segar harapan bersemangat baru berlatar minggu baru hari baru. Selepas senantiasa berwilmana sebermula awal November lalu. Sepulang dari dua hari utara belum pun hilang penat selepas Melaka dan Kuantan sepulang dari Australia selepas Kota Kinabalu. Selepas Bukit Fraser menyulam semai rasa berbulan madu. Selepas bulan Syawal bulan sana sini bertemu. Bulan meriah kalbu. Jamuan bertemu mesra. Kenduri kendara. Barulah hari ini berehat dari jalan-jalan selalu.

Lega syukur berlagu mahu rehat. Namun rasa berehat ini mungkin hanyalah buat sehari dua. Sebelum bermula kerja kemas mengemas simpan. Kemas simpan barang susun tepi. Ubah susun atur perabot. Sebelum bermula cerita sekali lagi berpenat-penat menghadap kerja-kerja pengubahsuaian rumah buat kali ketiga. Antara cerita penat paling penat dalam hidup terkini. Penat semasa rumah sedang diubahsuai. Selalu bermohon doa pada yang Maha Esa. Semoga Allah taala mempermudahkan semua. Semoga Allah taala mempermudahkan semua urusan berkaitan pengubahsuaian kali ini. Semoga kesihatan ini sihat bagus sepanjang masa rumah ini bakal berkelentang kelentung lagi.

Pagi bersanubari lega namun sunyi waima bersyukur dengan segala apa ketentuan cerita. Waima mana boleh sembunyi. Rasa sendu rindu sudah bermula tempiasan singgah sehari dua sebelum semalam. Semalam petang melepas pergi intan payung hati.

Petang Jumaat sebelum pergi utara hari Sabtu. Bertiga dalam perjalanan pulang malam dari MV. Shopping cari dompet idaman. Musim ingin terkini. Dambaan miliki dompet kulit warna merah dari Jerman. Malam Sabtu itu. Tiada dompet merah yang berkenan pada mata kalbu.

Kala kenderaan susur lalu Lebuhraya Persekutuan sekitar Sungai Besi sebelum Serdang. Kala kenderaan biru susur lalu tepi lebuhraya sebelah kirinya McD pandu lalu.

" Esok Ayang Mak dah nak balik asrama. Nanti Mak sedih rindukan Ayang. Nanti Mak nangis sorang-sorang bila rindu. "

" Itu Allah nak bagi Mak berlatih dari sekarang. Nanti Idris pergi jauh lagi. "

Kata Idris itu walau bernada gurau namun memotivasi sanubari. Sudah sedia maklum faham namun mengubat hati.

Insaf sememangnya senantiasa insaf sedar namun tetap bertempias sedih. Tahun ini utara. Tahun hadapan entah pergi mana. Selepas itu memana IPT entah mana jauh pergi. Selepas itu dunia berkerjaya entah daerah mana. Selepas itu berkeluarga sendiri. Namun insaf inilah realiti kehidupan pasti ditempuh lalui setiap ibu.

Juga insaf sesungguhnya insaf. Sedih berpisah sementara ini mana sama dengan sedih ibu-ibu kehilangan cahayamata terkorban di hadapan mata di Palestin sana.

Pun kata hati. Remuk redam hati bapa dan ibu di muka bumi dengan tinggi kepadatan bakal syurga itu. Hanyalah buat selama bersedih di bumi fana ini. Anakanda ditangisi bakal menunggu bakal menanti ibu di pintu syurga. Namun setiap cerita dunia. Tamsilan dan ingatan buat yang celik mata hati berkongsi rasa.

Pagi menjengah kamar putera. Redup hati mulai berlabuh rasa rindu.

Juga menjengah kamar dua puteri. Komen sendiri di dalam hati. Kala berdiri di hadapan pintu kamar puteri. Walaupun sesekali melintas lalu cerita buat penat hati. Tetap berkelibas pandang memori lalu. Memori cahayamata musim masih kecil. Sebagaimana kata hati ini pada musim semua cahayamata masih kecil comel penghibur mata hati ibu. Musim menghadap kerenah cahayamata kecil berkelaku semuanya comel walaupun memerah penat dan masa. Safura kuat menjerit. Suraya kuat merengek. Khadijah bising bercakap. Muhammad Idris pula. Tiada masalah. Anakanda paling bagus laku sedari lahir. Alhamdulillah dan semoga sampai habis hayat ibu. Pun begitu semua cahayamata Alhamdulillah anugerah Ilahi dengan kesitimewaan masing-masing pelengkap cahaya hati.

Masa itu. Kata hati. Nikmatilah hari-hari mereka ini masih kecil comel. Sebelum sampai hari-hari hati ibu ini merindui masa-masa mereka kecil ini. Sabar melayan sebelum sampai masa mulai merindu masa itu. Sebelum satu hari nanti bertembung dengan masa bertimpa rasa rindu pada kenangan hari-hari dengan semua kerenah itu.

Begitulah juga dengan hari ini. Walau sesekali bersinggah cerita pening kepala dengan kerenah cahayamata meningkat dewasa. Pulang melewati lepas tahap masa sebagaimana janji. Kurang tulus mengurus kemas rumah tanpa disuruh perintah. Kala mengurut rasa dengan situasi cerita kini. Kenangilah hari-hari comel mereka masa mereka kecil dulu. Kenangan itu pastinya membasahi lembut hati.

Sebagaimana pagi ini. Bagaikan terbayang-bayang dua puteri kecil comel itu di hadapan mata ini di rumah Bandar Bandar Bangi ini. Imbasan masa kecil puteri-puteriku di Kota Kinabalu dulu. Imbasan musim awal sekolah mereka di Aberystwyth dulu. Kenangan pada musim lampau buat redup hati. Bagaikan pagi ini berada nun di Kota Kinabalu kota tertinggal kalbu. Bagaikan terpandang kelibat suasana rumah atas bukit Aberystwyth selalu melambai rindu.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Singgah senja Melbourne Central minum kopi usai beli Delicious dengan segala Food Ideas


Kopi putih berkrim Kamil's Kebabs Melbourne Central
Originally uploaded by Ssuriha

Sambung cerita 13 April Melbourne. Cepat cepat perabis cerita 13 April. Boleh cerita Melbourne yang lain.

Beberapa langkah sebelum kami menaiki escalator sayup tinggi paling sebelah kanan bangunan Melbourne Central. Selepas melintas La Trobe Street. Escalator sebelah tepi atasnya dinding bertanda nama jenama beg mahal itu. Baru teringat. Mahu singgah kedai jual majalah. Kedai newsagent sebelah kiri dari pintu utama Melbourne Central. Sebelah papan tanda bertampalan iklan majalah itu. Kedai wajib singgah kalau singgah Melbourne Central ini.

Pertama kali Su singgah kedai newsagent ini dua tahun lepas. Terujanya kita melihatkan bersusun edisi terkini majalah-majalah Australia kegemaran kita. Delicious, Gourmet, Donna Hay. Macam-macamlah lagi..

Pun sedikit reda teruja ini selepas melihatkan murahlah lagi harga majalah-majalah ini kalau di Malaysia. AUD9.99 di Melbourne ini. RM21 di Malaysia. Selalunya kurang dari RM30. Hanya kalau di Australia negara penerbit majalah-majalah ini. Majalah-majalah ini lebih awal edisi terkini. Masih segar baru bau kertas majalah.

Kalau di Malaysia. Lambat pergi kedai majalah. Nantinya pusing merata mencari majalah Delicious selalu habis terjual. Bukan cepat habis kerana terlalu laris laku. Mungkin cepat habis kerana kurang bekalan.

Petang ini mengenangkan berat pulalah nanti membimbit beg dengan majalah. Lainlah kalau datang berkereta. Lagipun lama lagi kita di Melbourne ini.

Hanya beli tiga majalah. Majalah Delicious dengan gambar kulit majalah berpampangan gambar puding coklat lembut basah cair di tengah. Kelihatan delicious menggiur selera. Food Ideas. Woman's Day Everyday Food dengan gambar kulit hadapan warna merah. Gambar Tomato Pumpkin Pizza.

Mahu beli majalah lain. Majalah bukan masakan. Kebanyakannya dengan gambar kulit hadapan mempamerkan modelnya bergaya buka-bukaan.

" Hi teruknya gambar kat kulit depan ni.. "

Selamba jawab Safura. " Orang sini.. "

Itu baru edisi autumn dan winter. Belum lagi edisi summer dengan gaya musim panas. Gamaknya gambar-gambar begitu buat memanaskan dingin winter.

Juga beli coklat buat mengalas perut kalau tiba-tiba nanti tiada pula kedai makan kami berhajat singgah selepas itu.

Sampai kaunter bayaran. Baru teringat. Lupa beli poskad. Malas berpatah semula. Bayar saja. Seperti biasalah. Beli poskad konon-kononnya mahu kirim pada teman-teman dan keluarga di Malaysia. Begitulah selalu. Sudahnya poskad tersimpan begitu saja.

Selepas terima wang baki bayar bil. Gadis bertugas di kaunter bayaran. Terus berurusan melayan pembeli lain tanpa memasukkan majalah kami ke dalam beg. Sabar sajalah menunggu gadis mungkin belasan tahun ini selesai urusan dengan pembeli di sebelah kami. Mana mungkin tiga majalah kami usung bawa tanpa beg. Apa terpandang. Gadis bertugas itu terlupa memasukkan barangan kami beli itu ke dalam beg.

Datang seorang petugas lain. Lelaki muda kurus tinggi pun mungkin berumur belasan tahun. Su minta majalah-majalah kami beli itu dimasukkan ke dalam beg.

Kata Safura bila kita komen dalam bahasa Melayu bab tiada beg ini.

" Kat Melbourne ni kita kena minta beg. Diaorang kan kuat kempen kurangkan recycle. "

" Mak dah selalu beli majalah kat sini. Selalunya diaorang bagi beg. "

Kedai newsagent ini. Sebelah kiri dari pintu Melbourne Central kalau dalam gambar di bawah ini.

Kami singgah kedai jual majalah ini ikut pintu tepi. Sebelah kiri lorong dalam gambar di bawah ini. Pintu tepi bertangga itu. Sebelah kiri seorang wanita sedang lalu tepi itu.

Sebelum itu. Sempat lagi bergambar-gambar di hadapan pintu utama Melbourne Central.

Dari situ. Selalunya kami pusing kiri selepas tanda Pharmacy itu. Menuju medan makan di tingkat lebih bawah. Tingkat sama level dengan palang get menuju platfom keretapi di bawah tanah. Platfom keretapi di tingkat lebih bawah.

Kedudukan medan makan Melbourne Central ini. Lebih kurang kedudukan Restoran McD di sebelah escalator menuju get platfom komuter KL Sentral. Bagaimanapun medan makan Melbourne Central ini bukan di sebelah escalator.

Ada satu lagi medan makan di tingkat paling atas Melbourne Central. Kami belum pernah singgah makan di situ.

Selepas beli majalah. Pintu tepi sudah ditutup menjelang pukul lima petang. Terpaksa keluar ikut pintu utama menghadap Swanston Street nun di seberang sana State Library. Keluar saja dari pintu kaca menghadap Swanston Street. Baru perasan. Hari mulai gelap senja. Maghrib autumn Melbourne. Sebelum pukul lima petang.

Sebagaimana dengan kedai-kedai di United Kingdom. Kedai-kedai dan mall di Melbourne ini tutup pukul lima petang. Kecuali pasaraya makanan seperti Coles. Coles tutup awal malam. Coles ini lebih kurang Spar di United Kingdom. Kedai tutup malam.

Sembang Su dengan Safura. Bandaraya di Australia ini sebagaimana dengan bandaraya di United Kingdom sana. Bandaraya sunyi sepi malam. Kedai tutup pukul lima petang. Bandaraya sampai larut malam. Paris. Hong Kong. Singapura? Malaysia pula. Hanya kedai-kedai tertentu buka sampai pukul sepuluh malam.


Melbourne Central buat teringat KL Sentral
Originally uploaded by Ssuriha

Alhamdulillah kedai Kamil's Kebab's masih buka. Kedai kebab Lebanon dengan tanda halal. Sebelah kanan sana ada kedai Nasi Goreng Thai tetapi tiada kelihatan pun tanda halal. Di Melbourne ini meriah sebenarnya restoran Malaysia dengan nama kedainya dalam bahasa Malaysia. Bagaimanapun kebanyakan kedai makan Malaysia ini kedai orang Cina Malaysia. Tiada tanda halal.

Mulanya Su mencadangkan Safura booking meja makan. Kita belikan makanan. Safura pun mahu pilih makanan. Beli dulu. Meja makan cari kemudian.

Kala kopi panas Su minta dibancuh pembantu kedai. Gadis manis orang Lebanon. Su ditanya kalau mahu kopi dengan gula. With milk please but no sugar. Tanya gadis ini lagi. Minta kepastian. Soalan dengan senyuman manis. No sugar? Orang Australia kan kuat manis. Kebanyakan makanan dan minuman sini manis belaka.

Su makan Roti Kebab dengan daging kambing biri-biri campur ayam seperti di dalam gambar tertera di bawah ini. Safura makan Roti Kebab Ayam. Roti Pita Kebab bungkus dengan hirisan kebab daging ayam di dalam balutan roti.

Kami duduk semeja dengan tiga orang wanita Arab besar tinggi, berpakaian macam orang putih. Gaya ranggi wanita Arab selalu terlihat di saluran Arab Australia tv Astro itu. Lupa nama saluran itu.

Tiga wanita Arab gaya orang kaya-kaya itu. Mungkin Arab Lebanon. Australia ramai Arab Lebanon. Terdengar mereka bertiga ini bertutur dalam bahasa Arab.

Baru teringat. Saluran ART. Saluran ART ini berpengkalan di Sydney. Bertahun-tahun tiadalah terfikir mahu bersinggah jengah lama saluran ini. Mulanya dulu. Tahun 2000 kot. Terperanjat melihatkan pakaian kurang sopan wanita-wanita jelitawan memukau mata lewat saluran ini. Bukan semua Arab itu Islam.

" Lupalah pula nak belikan kebab kat Kakak dengan Abang Naza. Tak pe lah. Karang kita beli donut Krispy Kreme. Kedai donut ni kat belakang tu. "

Meja makan menghadap kedai Kamil's Kebabs. Meja panjang dengan bangku seperti kayu log. Sebelah meja makan. Kioks Cafe Gloria's Jean Coffees.

" Laa Mak suka kopi Gloria's Jean ni. Tapi dah beli kopi ni. Tapi kopi kedai kebab ni pun sedap. Macam kopi Arab [dengan susu]. "

Selepas makan. Berehat-rehat dulu. Lagipun lamalah juga mahu menghabiskan roti pita dengan daging hiris menimbun.

Kiub putih kecil itu. Mulanya kita fikirkan itu tauhu. Sekali termakan. Payahnya mahu menghabiskan. Itu keju. Hanya makan satu. Selebihnya tinggalkan begitu saja.

Sembang Su dengan Safura. Sedap daging bakar masakan orang Arab.

" Orang Arab memang pakar bab bakar membakar daging. Terutamanya daging lamb. Orang putih pun belajar bakar membakar ini selepas Perang Salib. "

Pada kita orang Melayu. Sebut daging. Maksudnya itu daging lembu. Kari Daging. Kari daging lembu. Kalau pada orang Arab dan Pakistan. Sebut daging. Maksudnya daging kambing. Pernah seorang kawan Pakistan di Abersytwyth mengomen orang Malaysia suka makan daging lembu. Kata kawan ini. Kalau di Pakistan sana. Orang miskin saja yang makan daging lembu. Beras pula sentiasa beras Basmati. Amboi.

Kata kawan kita orang Malaysia. Dia tak cerita ramai lagi orang kat negara dia tu yang nak makan daging lembu pun susah.

" Masa kat Aberystwyth dulu. Mak tanya kawan Iraq ni. Nama kawan ni Nadar. Maksud Nadar tu embun. Macam mana daging lamb diaorang bakar tu lembut sangat. Daging lamb bakar satu ekor. Masa tu kami buat jamuan hari raya. Dia kata diaorang bakar daging tu semalaman sampai pagi. Guna api perlahan. Dalam perut lamb tu diaorang bubuh kentang, tomato, bawang. Sos lamb bakar perlahan campur sayur-sayur ni. Jadi sedap sangat. Halus lembut daging tapi bukan hancur. "


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Satu mug kopi panas : Satu kalendar baru 2008 : pagi hari tahun baru segar harapan


Kuning KLIA Pan Pacific berseri krim keemasan
Originally uploaded by Ssuriha

Ini cerita 2 Januari. Update pada 22 Januari. Dua puluh hari selepas cerita. Sebenarnya mencatat ini sepulang dari cuti hujung minggu. Tiga hari dua malam Pan Pacific KLIA. Cuti pertama tahun 2008. Segar santai sesegar pandangan hijau. Pun begitu demamlah pula sepulang dari Sepang. Walhal keesokan hari bakal bercuti lagi.



Hari kedua Januari tahun baru 2008. Setiap 2 Januari. Pasti teringat. 2 Januari harijadi Rozi. Juga kini. Satu lagi cerita 2 Januari. 2 Januari hari walimah di Ipoh tiga tahun lalu. 2 Januari tahun ini. Santai berdua di rumah dengan putera mahkota. Suraya dan Safura kembali ke kampus U** seawal pagi pukul tujuh setengah selepas solat Subuh. Sebagaimana 2 Januari setahun lalu. Safura pulang ke kampus pagi 2 Januari.

Tahun lalu Safura masih berulang pergi kampus Petaling Jaya. Tahun ini Alhamdulillah dua puteri satu kampus. Sampai hari ini. Belum sampai kolej kediaman Safura kerana kereta merah baru beli diguna pakai puteri kedua. Safura belum boleh bawa kereta ke kampus kerana baru tahun satu. Pun sesekali Safura bawa juga kereta biru muda itu.

Idris belum mula sekolah tahun 2008. Tidak seperti sekolah lain. Idris mula bersekolah pada minggu hadapan. Sama hari dengan pendaftaran pelajar baru tingkatan empat. Lalu pagi hari ini masih bertemankan putera hati peneman ibu masa kini.

Lewat pagi ini merakamkan gambar dompet baru beli. Sebagai kenangan cerita 1 dan 2 Januari. Kekadang bila kami terlupa apa cerita peristiwa pada haribulan sekian-sekian. Gambar-gambar terakam buat mengembali ingatan. Selain dari jurnal blog ini sebagai rujukan. Gambar dompet dan kalendar meja baru beli malam tadi. Kalendar meja buat meja putera mahkota. Kalendar meja International Hotels.

Su sendiri kini lebih selalu menggunakan meja Idris bila siang seorang diri di rumah. Jarang lagi menggunakan meja tulis di tingkat bawah. Berkira-kira mahu beli meja tulis kecil kayu jati buat kamar utama. Kamar utama sudah bagaikan pejabat. Hampir semua dinding dirapati dengan kabinet buku. Bersusun majalah dan buku-buku baru beli di atas lantai. Satu pandangan indah pada mata ini. Melihat buku-buku bersusun tinggi merata. Hampir segenap lantai tepi kamar utama kami sudah bertutupan dengan susunan tinggi buku dan majalah.

Gambar tertera di bawah ini. Buku-buku menunggu kala sedang beragenda mengemas kini susunan buku dalam kabinet. Semua itu buku-buku Su. Bukan buku suami. Buku sejarah perang itu. Beli dari satu kelab buku sejarah di Wales dulu. Buku Mr. Spock itu. Sama umur dengan puteri sulung. Buku kecil itu. Beli pada tahun 1988 di Kota Kinabalu. Buku soal jawab ugama dengan Ustaz Ismail Kamus. Tidaklah tersangka gambar ini mencatat pelawat melebihi 250 padahal belum pun setahun lama paparan gambar ini. Mungkin orang mencari gambar buku.



Sarapan pagi minum satu mug kopi pekat O panas tanpa gula. Kopi International Roast bawa pulang dari Melbourne masih bersisa. Tahun lepas pagi 2 Januari bersarapan pagi minum kopi O panas dan Coklat Brownies Resipi Rahsia Seremban 2. Pagi 2 Januari ini sarapan pagi minum kopi O panas dan Soft Cookies Famous Amos. Soft Cookies beli malam tadi. Pagi ini bersarapan pagi di hadapan tv kamar utama. Selepas selesai urusan membasuh kain dan membersihkan sinki dapur. Santai bersarapan sambil baca surat khabar dan buka laptop.

Surat khabar hari ini. Selalunya pagi dengan surat khabar perdana dibeli suami. Petang pula dengan surat khabar kecil Su pesan Idris beli sepulang dari solat Asar di surau. Selepas tahun 1998. Sudah sepuluh tahun. Belum terbuka hati mahu berlanggan tetap surat khabar. Dulu-dulu memang sentiasa berlanggan surat khabar harian secara tetap kecuali di luar negara. Kini hanya beli surat khabar mengikut musim cerita. Kecuali pada hari minggu. Selalunya beli paling kurang dua atau tiga. Antara keseronokan pagi hari minggu sedari zaman belum bersekolah. Surat khabar pagi hari minggu.

Semasa di Sabah. Su turut berlanggan beli beberapa majalah tempatan dari Cina surat khabar. Cina surat khabar ini hanya berbasikal. Bonda datang ke Kota Kinabalu. Kaget kerana Cina surat khabar ini hanya berbasikal menderingkan loceng basikal bila hantar surat khabar. India penghantar surat khabar Bonda di Johor Bahru sana bermotosikal. Surat khabar semenanjung sampai awal pagi. Surat khabar Sabah sampai petang. Itu kalau surat khabar dari Kuala Lumpur. Tahun-tahun di Kota Kinabalu. Kami berlanggan dua surat khabar Sabah dan dua surat khabar dari semenanjung.

Sebagaimana semasa kecil dulu puteri sulung kaget kerana penjual ais krim di Johor Bahru bermotosikal. Penjual ais krim di Kota Kinabalu sana selalunya menggunakan van putih bermelodi kuat lagu ais krim. Lama sudah tidak berkisahan anak-anak menunggu penjual ais krim. Kali akhir. Idris masa kecil di Kajang dulu. Tahun Idris belum sekolah.

Waktu itu selalunya Su pesan Idris ambil duit hijau RM5 atau duit merah RM10 dari dompet. Ini bila Su tahun itu petangnya selalu kepenatan amat selepas setiap lima pagi berulang memandu hantar dan jemput Idris dari sekolah tadika. Tangan dan kaki sakit goncang-goncang selepas dua kali setiap hari memandu pergi sekolah Idris.

Pernahlah sekali. Idris pulangkan duit. Mak. Nah balik duit lima ringgit. Idris tak beli ais krim. Tak sempat. Orang ais krim tak berhenti. Sekali bukan duit RM5 dipulangkan Idris. Duit kertas biru RM50. Selepas cerita hari itu. Su selalunya pesan Idris ambil duit merah. Dari dulu sampailah sekarang. Kalau Idris perlukan wang. Selalunya Su suruh Idris ambil sendiri dari dalam dompet ibu. Idris memang jujur tiada terfikir mengambil lebih dari dipesan ibu. Juga Idris sebagai pemegang amanah tabungan kita.

Selitan berita utama muka hadapan kebanyakan surat khabar tempatan hari ini. Cerita menteri dan hotel di Batu Pahat. Malam tadi kala kami bertiga sedang makan di Medan Selera Saji Sogo. Berita pukul lapan malam. Sedutan rakaman video. Tayangan berita pukul lapan ini mungkin satu peristiwa bakal diingat antara peristiwa utama 1 Januari 2008. Senario mengejutkan bagaikan menonton berita dari luar negara.

Kala kami bertiga serius melangut memandang tv dengan suara dari tv boleh tahan kuat terpasang. Beberapa mata dari meja berdekatan pun turut mengalih pandang. Satu meja dengan sepasang suami isteri muda dan bayi kecil di hadapan kami. Satu meja dengan tiga wanita muda di sebelah kami. Semuanya Melayu.

Komen Suraya. Pada diaorang benda macam ni cuma berkait dengan moral. Kita orang Islam ada dosa dan neraka.

Komen kita malam tadi kala berulang lebih daripada sekali kelibat rakaman video itu lewat berita perdana tv saluran swasta. Hissy. Macam-macam.. Kekasih Gelap lah. Ni perempuan simpan..

Kami suami isteri pernah menginap di hotel itu. Tahun pilihan raya umum 2004. Malam menonton siaran secara langsung keputusan pilihan raya. Malam itu singgah Batu Pahat dari Pontian. Itulah antara hotel terbagus bandar Batu Pahat ketika itu. Seingat-ingat Su. Itulah kali terakhir kot Su sampai Batu Pahat. Bercinta rasanya kalau terpaksa menginap di hotel itu lagi. Hotel Katerina. Satu-satunya hotel empat bintang di Bandar Penggaram itu. Terlihatkan gambar hotel itu dalam surat khabar. Terus tahu nama hotel kerana pernah menginap situ tiga tahun lalu.

Lewat pagi bercatat tanda dalam fikiran nama entri 2 Januari. Satu mug kopi panas satu kalendar baru 2008. Pagi bermula hari dengan seribu rasa sedih kalbu berseribu kenangan berlalu. Tangis sebu dalam hati namun berlagu harapan. Sesekali sedih itu berlagu. Pun begitu senantiasa hidup ini berlagu harapan sentosa hati hari mendatang. Pagi 2 Januari berlagu pilu namun sedar insaf berlagu redha itulah realiti warna-warni kehidupan. Keyakinan selalu. Hujung cerita selalunya terang sentosa.

Selepas solat sunat lewat pagi. Redha tenang sentosa terima setiap cerita perjalanan. Kembali santai sentosa berserah sentiasa dengan berdoa seperti selalu. Juga usaha itu pasti dengan azam harapan. Hidup ini seperti selalu. Bahagia itu pada penerimaan.

Singgah Melaka panas petang 1 hari 1 Syawal 1428 H



Sambungan cerita catatan 1 Syawal 1428H hari Sabtu 13 Oktober lalu. Antara catatan kenangan cerita harian paling kita suka mencatat tulis. Mencatat dengan bersenang hati gembira rasa. Catatan kenangan pada hari raya pertama. Kenangan semusim hari raya. Update entri sambungan cerita 1 Syawal ini pada 27 haribulan petang hari Sabtu.

Alhamdulillah serba selesa perjalanan berkereta sepetang 1 Syawal 1428H dari Bandar Baru Bangi singgah Seremban menuju Melaka. Perjalanan berwilmana bersantai selesa tanpa perlu berkejar laju mengejar masa. Setengah awal perjalanan masih bising kereta dengan sembang bergurau berkedengaran perlahan suara dan lagu dari radio kereta.

Awal perjalanan kala kereta melepasi simpang dua antara selatan dan Kuala Lumpur. Lagu hari raya Junainah M. Amin.Marilah adikku. Marilah bersamaku. Ku pakaikan baju baru.. Lagu hari raya kegemaran sedari zaman belasan masih sekolah. Mungkin masih gemar itu kerana nostalgia. Nostalgia zaman belasan tahun masih sekolah di Melaka.

Berceritalah santai tentang lagu hari raya. Lagu asal Sanisah Huri versi baru dendangan penyanyi Lelaki Ini. Lebih suka lagu asal versi Sanisah Huri. Tiga cahayamata lebih suka lagu versi baru. Pun begitu. Tiga cahayamata bersetuju dengan kita. Inilah satu-satunya antara lagu-lagu dendangan semula yang dilagukan dengan versi sendiri dengan bagus sekali tanpa terikut-ikut gaya penyanyi asal. Sebelum ini. Pada pandangan kita. Hanya Sudirman paling bagus dalam melagukan semula lagu-lagu lama. Lagu Tanggal 31 Ogos misalnya. Juga Sharifah Aini. Bunga Tanjung. Syair Kamaruzzaman.

Lain-lain lagu raya kegemaran. Lagu Anuar Zain masa kecik-kecik dulu. Lagu Aidilfitri Fazidah Junid. Lagu Dengar-dengar beduk berbunyi.. Rafeah Buang. Lagu Selamat Hari Raya Ahmad Jais. Pilihan nombor satu. Satu Hari Di Hari Raya. Lagu paling nostalgia. Minta Mak kuih sepotong. Saya mahu makan kerna perut kosong. Versi asal Saloma tahun kita masih di Singapura. Versi ada senikata dang dang dum bunyi mercun..

Berceritalah kita. Kamal putera sulung Johan semasa kecil. Suka melagukan lagu ini. Kamal umur belum tadika. Suka melagukan senikata minta mak kuih sepotong..

Sampai Restoran Jejantas PLUS Ayer Keroh sekitar pukul lima setengah petang. Seperti selalu. Selalulah pula cerita sama dari salah seorang cahayamata bila sampai kawasan rehat ini pada siang hari. Dulu kita nampak Ramli Sarip kat kawasan rehat ni. Hari kami bersama pasangan anakanda melawat Safura di Pontian. Pasangan anakanda bercuti dari Melbourne.

Kekadang itu kita sambung kata. Dah dua kali kita ternampak dia. Kali pertama dulu kat Temerloh. Tahun itu kami suami isteri dan dua cahayamata. Pulang dari Kelantan dari Banding. Singgah Terengganu singgah Cherating singgah Temerloh. Singgah makan tengah hari di satu kedai makan di hadapan masjid. Sebelum singgah masjid. Penyanyi itu baru keluar dari masjid berkubah kuning di bandar Temerloh itu. Itu zaman belum siap LPT. Kini kalau ke pantai timur. Jaranglah lagi singgah bandar Temerloh. Kini lebih selalu singgah Kawasan Rehat LPT Temerloh.

Kereta diberhentikan di hadapan surau. Berderetan kami berlima menuju kedai makan. Kereta diberhentikan terang benderang di hadapan surau. Parking sebelah kereta Naza Ria hitam. Lalu kami bertawakal tinggalkan tiga laptop di dalam but kereta.

1 Syawal tahun lalu suasana lebih ramai meriah di kawasan rehat ini. 1 Syawal tahun ini kelihatannya kurang begitu ramai bersinggah sini. Tahun-tahun lepas pada singgahan 1 Syawal di kawasan rehat ini berduyun-duyun ramainya manusia. Pun begitu pemakaian busana hari raya menyerlah suasana hari raya walaupun sederhana ramai.

Hari ini ramai musafir lalu bersinggah rehat kelihatannya hanya lebih kurang ramai pada hari-hari biasa. Mungkin tahun ini ramai pulang kampung sebelum hari raya. Selalunya ramai sungguh manusia pada setiap singgahan kami di kawasan rehat ini pada hari raya pertama. Sederhana ramai sampai boleh memilih-milih meja makan kosong. Selalunya kalau singgahan 1 Syawal. Terpaksa menunggu meja kosong. Seperti selalu. Meja–meja restoran ini berkawan lalat. Walaupun tahun ini kawanan lalat ini sedikit kurang. Sebelum ini lalat-lalat ini bagaikan menyerang.

Mulanya Su memilih satu meja empat kerusi. Memilih meja ini kerana sedikit bersih dan jauh dari hurungan lalat. Safura mahu kami memilih meja lain. Meja pilihan Safura ini sedikit berlekit. Malasnya kita makan di meja berlekit ini. Tinggalkan tiga anakanda dan suami yang sedang menjengah restoran menjual nasi campur. Su mencari restoran lain. Mencari sampai seberang sana. Hanya ada restoran makanan segera. Berkira-kira mahu makan Kentang Goreng KFC. Ramailah pula beratur.

Berselisih dengan suami di hadapan Restoran KFC. Suami mencari restoran menjual sup ataupun soto. Su mencadangkan suami menjengah restoran paling hujung bersempadan dengan deretan kedai mengarah utara.

Sudahnya kembalilah kita bersinggah restoran hujung sedang berkumpul makan tiga orang anakanda. Suami sendirian mencari restoran menjual sup.

Sebelum itu. Singgah kedai menjual barangan Agro lupa apa nama penuh kedai. Beli Kopi Latte. Panas petang buat terasa dahaga. Bagaimanapun panas 1 Syawal hari ini hanya bersederhana bahang. 1 Syawal tahun lepas di kawasan rehat ini lebih panas berbahang. Walaupun kami berteduh melega rasa panas di tepi kolam seperti di dalam gambar tertera. Gambar pada 1 Syawal tahun lepas. Su dan dua cahayamata menunggu suami di tepi kolam berbatu itu.

Melambai pada Safura kelihatannya baru terpandangkan ibu di dalam kedai minuman. Berselisih pandangan dengan seorang lelaki Melayu beratur di hadapan kita. Member melemparkan senyuman. Beliau mungkin awal 50-an ini pakai baju Melayu sepasang warna merah jambu samar seakan burgundi muda. Siap bersamping bersongket. Beliau ini sebelum ini berbual dengan seorang lelaki Cina. Terdengar perbualan mereka berdua ini dalam bahasa Inggeris. Beliau ini menemankan seorang kawan datang dari Jerman. Terpandangkan seorang perempuan orang putih menunggu di meja makan.

Sudahnya sekali lagi bersinggahlah kita restoran paling hujung selalu kami singgah bila singgah kawasan rehat ini. Singgah selalu kerana tiada pilihan lain restoran menjual nasi campur di Restoran Jejantas Ayer Keroh mengarah selatan ini. Ada satu restoran lain menjual nasi. Restoran kafe berpendingin udara. Hanya pernah sekali singgah makan di restoran ini. Makan Mee Kari. Mulanya tadi suami mencadangkan singgah makan di restoran ini. Kita berkeputusan kami singgah restoran hujung sana. Restoran hujung itu lebih pilihan makanan.

Makan Nasi Lemak. Tiada pilihan lauk-pauk. Hanya Nasi Lemak dengan sambal merah menyala dan Telur Goreng Mata Lembu dingin. Juga beli Kuih Bakar Melaka. Kalau orang utara. Kuih Bakar Kemboja. Inilah antara Kuih Bakar Melaka paling menepati citarasa. Kuih Bakar Melaka beli di restoran ini.

Kembalilah berkumpul dengan tiga anakanda. Kita mengomen sedap sambal walaupun pedas. Tiga anakanda makan Nasi Campur berlauk Kari Ayam. Su pula memang kurang gemar masakan ayam kalau beli dari kedai makan. Kecuali Ayam Goreng.

Sambil makan. Mata pandang-pandang wanita pencuci kawasan rehat sedang berdiri berehat di tepi restoran. Seperti selalu. Pencuci berunifom putih berketurunan India ini. Seperti selalu. Wanita separuh umur ini selalunya kelihatan penat.

Juga mata ini terpandangkan seorang pekerja restoran. Lelaki muda Melayu kelihatan bersungguh-sungguh bergaya menyanyikan satu lagu tahun 80-an. Menyanyi menuruti lagu berkumandang kuat di radio. Su tersenyum sendiri. Bercerita hal ini pada tiga anakanda. Kata Safura. Biarlah dia.

Selepas makan. Singgah semula kedai Agro. Beli dodol buat Bonda. Bonda penggemar dodol. Sebagaimana dengan Su juga. Dodol bungkus dalam upih pinang. Pun pilihan dodol dalam upih pinang ini lebih kerana nostalgia masa kecil. Suraya menunggu di luar kedai selepas menjengah sekejap. Menanyakan ibu mencari apa. Cari kuih nak bagi Mak Ngah.

Masih ingat lagi 1 Syawal tahun lepas. Panasnya hari itu. Su sengaja berlama-lama di bawah kipas siling kedai. Tahun ini sederhana panas. Masih okay walau tanpa lalu di bawah kipas.

Sehari dua sebelum ini. Kala tv bertayangan iklan kanak-kanak riang bermain tarik upih pinang. Kata Su pada Safura dan Idris. Engkau orang tak de kenangan main macam ni kan. Mak dulu selalu main mcam ni kat Taiping. Pakcik Abi tukang tarik upih.

Menurut Safura. Safura pernah berpengalaman bermain upih begitu. Satu masa dulu bila bercuti di rumah seorang sahabat di Pontian.

Selepas bayar harga dodol. Terlihatkan pula satu bekas buah-buahan potong di dalam peti ais. Minta tolong Suraya belikan satu bekas buah itu buat ibu. Panas-panas begini. Leganya kalau makan buah-buahan potong dingin dari peti ais.

Menuju kereta. Dari jauh kelihatan suami duduk di atas batu tepi perdu pokok. Member senyum sorang-sorang. Sambil tangan ralit memicit tulis SMS. Sepetang ini memang member kerap benar melayan balas SMS. SMS hari raya.

Tengok tu Abah engkau orang. Dah macam orang muda. Tangan asyik picit SMS.

Satu pandangan hari ini di kawasan rehat ini. Ramainya sana sini orang ralit membalas SMS. Tua dan muda tidak kira umur. Apa lagi kalau bukan balas SMS hari raya.

Sampai Su dan Suraya ke kereta. Datang suami baru selesai balas SMS. Masih senyum sorang-sorang walaupun baru selesai berSMS. Senyum semacam. Dalam hati. Hmm ini mesti SMS pelajar. Senyum bukan main..

" Amboi bukan main senyum panjang balas SMS. "

Jawab suami. SMS Mohamad sekian-sekian.. Setahu kita. Mohamad itu bukan orangnya akan berkirim SMS bergurau senda sampai buat member tersenyum begitu.

Dalam hati. Ye lah tu. Saya kenallah senyum itu.

Alhamdulillah perjalanan seterusnya dari Ayer Keroh sekitar pukul 6 suku petang. Giliran suami sambung memandu.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Bermula kembara timur bulan November singgah Hentian Singgah kuning hijau

Singgah kuning berseri berlembayung hijau petang menawan


Catatan pada hari pertama ke Terengganu sudah lama tersimpan di dalam fail draft. Kembara Terengganu dan Pahang bulan November tahun lalu. Sehari berperjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu singgah Pahang pada 5 November 2006. Update pada 23 Mac 2007 bertepatan dengan layout baru bertema kopi.

Berempat beransur ke pantai timur semenanjung lewat pukul 11 pagi. Selepas suami beres urusan kerja di pejabat. Lewat pagi terang benderang sentosa hari kala kenderaan meninggalkan pintu pagar rumah beriringan doa memagar rumah.

Bacaan Ayatul Kursi tutup dengan kalimah Laa haulaa walaa sampai habis dengan membayangkan kalimah ini sebagai kunci pagar mengunci kawasan rumah. Doa menaiki kenderaan dan doa bermusafir dengan senyum pada langit. Senyum pada para malaikat mengaminkan doa. Amalan selalu pada setiap kali menaiki kenderaan memulakan permusafiran. Mohon keselamatan perjalanan dengan izin Allah subhanahuwataala.

Juga amalan sentiasa bersolat sunat musafir sebelum bermusafir. Mengingatkan semua dalam kereta. Jangan lupa baca doa menaiki kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Kadang-kadang hanya kerana tersilap langkah salah seorang daripada ahli rombongan, mampu menjejas kesentosaan perjalanan. Kerana itulah kita disarankan memilih teman yang bagus pekerti sebagai peneman bermusafir.

Menelefon Suraya kala kereta sedang susur lalu MRR2 bersebelahan Lembah Keramat. Sekali lagi menanyakan kalau-kalau Suraya mahu kami singgah. Ibu besar hati mahu singgah menjengah cahayamata. Suraya berkeputusan tidak perlu singgah. Puteri ini bergegas mahu ke kuliah pukul 2. Mahu solat Zohor selepas mandi dan sebagainya. Sebenarnya kuliah dengan kuiz ujian walaupun hari ini hari minggu.

Sekali lagi menelefon Suraya kala kereta menghampiri simpang ke kampus U** lewat pukul 12. Sekali lagi berjawapan tidak perlu singgah. Suraya sedang bersiap-siap mahu ke kuliah. Tinggallah Suraya seorang di Selangor sementara kami berempat jalan-jalan pantai timur. Suami seminggu di hutan. Su dan dua cahayamata belum tentu bila kami pulang ke Selangor. Berkira-kira mungkin mahu bertiga kembara sampai Kelantan.

Suami tersilap simpang kala Su sedang ralit menelefon Suraya. Begitulah halnya bila sesekali kita terleka. Kereta tersusur lalu simpang ke pusat bandaraya selepas simpang ke kampus U***.

Terpaksa berpatah semula menghala ke Batu Caves dan Kuantan lalu tepi perumahan rumah Johan. Perumahan rumah Johan bukan jauh dari kampus pengajian Suraya.

Leka memerhati pemandangan hijau disepanjang tepi lebuhraya. Terlalu selalu berkereta ke utara dan selatan, sesekali pandangan ke timur semenanjung satu pandangan lega dari biasa. Hijau bukit dan hutan redup mata memandang.

Bagaimanapun mulai mata lari dari pandangan tepi bila mulai pening kepala selepas kereta mulai meluncur perlahan susur kawasan berbukit berhutan gunung. Jalan mulai berbengkang-bengkok bagai ular dipalu.

Berhenti di Kawasan Rehat Petronas di Bentong. Menurut suami. Nama tempat ini Bukit Mustaffa. Su tercari-cari papan tanda nama. Mahu mengesahkan informasi nama tempat ini dari suami. Suami memang selalu berulang singgah kawasan rehat ini.

Gambar Medan Selera Singgah bersebelahan Kedai Mesra Petronas di Kawasan Rehat Petronas Bentong. Beberapa kilometer sebelum bermula Lebuhraya Pantai Timur.

Apa-apa hal solat dulu. Solat Zohor di surau kecil di sebelah kiri restoran. Surau kecil bertingkap kecil mengadap pandang binaan batu penampan tepi bukit. Penuh surau dengan jemaah wanita rata-ratanya warga emas. Solat di tepi tempat wudhu' bertempias renjisan air dari paip tempat mengambil wudhu'. Bersalam dengan seorang warga emas selepas solat. Wanita lebih kurang seumur Bonda ini berwajah redup keibuan.

Telefon Safura berkumandang panggilan dengan nada dering bising berlagu orang putih. Nasiblah ketika itu Safura sudah selesai solat. Telefon bimbit dua puteri sememangnya hampir-hampir tidak tahu berehat.

Keluar dari surau. Terpandangkan seorang gadis mungkin pelajar sekolah baru belasan tahun. Gadis ini berdua-duaan dengan kekasihnya jauh lebih senior umur di tepi tiang. Pasangan ini sedikit tersembunyi di belakang tiang.

Berkumpul berempat di Medan Selera Singgah. Su mengomen bukankah surau di kedai Petronas sana lagi selesa bersih. Kenapa suami mengajak kami ke surau kecil sempit di sebelah kiri Medan Selera Singgah.

Jawapan biasa suami. Sajaa. Tahu surau sebelah sana lebih selesa.

Mulanya malas makan kerana masih kenyang. Hanya minta suami belikan Nescafe Ais. Melihatkan sedap lauk diambil Safura dan Idris, sudahnya makan juga. Idris suka makan nasi di Medan Selera Singgah ini. Komen Idris tadi dalam kereta bila tahu kami akan singgah kawasan rehat ini. Lauk sini sedap-sedap. Kita pula mengomen harga makanan di sini boleh tahan mahal. Mahal berbanding dengan medan selera lebuhraya yang lain.

Makan nasi panas biasa. Sebelum itu buka tengok bekas Nasi Lemak dan Nasi Beriani. Makanan dijual secara layan diri. Nasi putih panas-panas berlaukkan Ikan Kembung Goreng Masak Taucu, Sup Tauhu, Sambal Kentang Campur Tempeh.

Ambil semangkuk Kari Daging. Istimewa buat Idris penggemar gulai kari. Sebenarnya tadi sempat Idris berbisik pada ibu. Idris mahu ambil Kari Daging tetapi bimbang nanti mahal sangat Abah bayar. Su menggamit panggil Idris sedang makan. Minta tolong bayarkan harga semangkuk kecil Kari Daging ini. Suami beralasan tiada duit kecil. Berikan RM5 pada Idris. Terpaksalah Idris meninggalkan sekejap nasi sedang dimakan. Lagipun kari ini ibu beli istimewa buat Idris penggemar gulai kari.

Sambung mencari lauk selepas beri semangkuk Kari Daging dan duit pada Idris. Mencari sambal. Tiada sambal berkenan pada selera pandangan. Terus ke kaunter bayaran. Sepinggan nasi campur dengan beberapa lauk harganya berbelas ringgit. Memanglah berkategori mahal. Harga bersekali dengan VAT [Value Added Tax].

Basuh tangan di sinki bersebelahan tv dipasang tinggi. Tv tutup. Bagaimanapun bising ruang dalam restoran bergema dengan lagu-lagu penyanyi wanita berasal dari Pahang bapanya berasal dari Taiping. Lagu berkumandang membisingi medan selera kerana terpasang lebih kuat dari tahap selesa didengar telinga.

Selepas makan keluar sekejap dari restoran. Merakamkan gambar seekor gajah di atas lori. Teruja Idris bila menyedari kehadiran gajah di atas lori ini. Lori bertulis Jabatan Pengurusan Gajah. Satu panorama istimewa merakamkan kenangan tersendiri seawal perjalanan kali ini.

Masuk ke Kedai Mesra hanya di sebelah Medan Selera Singgah. Sebenarnya tidak perlu keluar dari Medan Selera Singgah. Boleh terus ke Kedai Mesra melalui pintu penghubung dua kedai ini masih di bawah satu bumbung.

Beli kudap-kudapan pilihan dua orang cahayamata. Sebelum itu dua cahayamata ini ke tandas Kedai Mesra. Tandas di bahagian belakang kedai. Bersebelahan dengan surau lebih selesa. Dua surau dalam satu kawasan rehat.

Su singgah kedai kopi Nescafe di hujung dalam Kedai Mesra. Kafe kopi ini di sebelah laluan ke tandas memang bersih. Seperti selalunya bila singgah Kedai Mesra ini. Bersambutan ucapan salam Assalamu'alaikum semua pekerja kedai ini dan kedai kopi. Beli bungkus Sandwich Tuna dan Puf Tuna. Bekalan buat makan bila sampai hotel nanti.

Beli segala macam kudap-kudapan dan coklat. Coklat di kedai ini mahal berganda-ganda dari kedai biasa. Beli lebih dari satu surat khabar dan majalah buat dibaca di hotel nanti. Juga sebenarnya kurang pilihan coklat kegemaran biasa kami.

Seorang lelaki India di hadapan Su beratur menunggu di kaunter bayaran. Lelaki India ini beli ubat. Menanyakan tiadakah saiz kepingan ubat yang lebih murah dari itu.

Sambung perjalanan. Sekitar pukul 3 petang. Sebelum itu Safura dan Idris menjengah semula Medan Selera Singgah. Belikan kita ais krim coklat Cornetto. Sesekali teringat mahu makan ais krim ini. Selalunya Su suka ais krim Mg vanila bersalut coklat badam.

Sepasang lelaki dan wanita sedang makan di meja tepi restoran di sebelah dinding kaca. Lelaki Melayu sedang baca surat khabar ini pandang-memandang bila melihatkan kita memegang kamera merakamkan gambar luar bangunan kawasan rehat. Saya bukan mahu ambil gambar kamu berdua ya..

Mencari-cari mana tanda nama Bukit Mustaffa. Hanya terlihatkan papan tanda Kawasan Rehat dan Rawat PSS Bentong.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counter Tetamu Rasanubari