Tags: lebuhraya

Pergi utara lagi hanya tiga hari selepas Nibong Tebal sempat lagi singgah Kopitiam Bangi

Sarapan pagi Roti Bakar Kopitiam Bangi


Hari Khamis 30 April. Sudah Jun mulai melambai Julai waima masih dengan kisah dibulan April. Tulis ikut suka ikut mood semasa. Mood semasa mahu mencatat buat entri terkini. Mahu sebenarnya mencatat cerita terkini tetapi malaslah pula mengarang tulis panjang. Entri ini sudah lama dalam draft.

Hari Rabu hari Muhammad Idris selesai Kejohanan Taekwondo Se-MRSM di Nibong Tebal. Malamnya sepulang Idris dari Nibong Tebal sampai maktab sendiri. Panggilan telefon dari Idris lewat malam.

" 1 Mei ni boleh balik rumah tapi Idris lambat bagi nama. Bas dah penuh. "

" Okay Ayang tunggu sekejap. Mak nak tanya Baby. "

" Baby. Esok boleh kita pergi ambil Idris? Pergi balik hari. Macam biasalah. Upah upah.. "

Bila perlu pemandu berkelana jauh beratusan batu. Umpan selalu. Upah buat pemandu.

Wajah ceria suka bakal bertambah elaun pendapatan bulan ini. Ceria bersetuju.

" Okay esok Mak dengan Baby pergi jemput Ayang. Ayang tunggu je tau. "

Gamaknya Idris berharap-haraplah ibunya berkata. Tak de bas? Kalau macam tu tak payah baliklah. Tidaklah juga kita bertanyakan dulu pada suami kerana sudah menjangkakan kebarangkalian jawapan menampar telinga. Kalau tak de bas tak payahlah balik. Mungkin juga bukan begitu. Kini bila member baru tahu sebenarnya selama ini kita pergi sana sini mengupah pemandu. Member menurut saja. Sebenarnya bukan upah. Ganjaran kerana menyenangkan hati ibu.

Nasi Lemak Kopitiam Bangi sebelum pergi Penang


Makanya pagi ini. Keluar berdua dengan Safura selepas pukul sepuluh. Suami tidak ikut sama. Hari ini hari kerja. Sedikit wang petrol buat kami. Suraya pula kini pelajar berlatihan praktikal. Tempat berlatihan praktikal masih di bandar kediaman. Lalu sampai Julai ini. Bukan lagi hanya berdua.

Kami suami isteri pernah mengomen ramai pelajar masa kini gemar memilih tempat berlatihan industri berhampiran dengan rumah keluarga. Bukan seperti zaman kami dulu. Ramai mencari lokasi latihan jauh dari keluarga. Mencari pengalaman jauh dari tempat tinggal. Bila sampai masa anakanda sendiri. Su sendiri minta Suraya cari tempat latihan berhampiran rumah. Lebih selamat.

Mulanya jangkanya Suraya berlatihan di Melaka. Su mulai berusaha mencari serviced apartment sewa buat kami berdua. Alhamdulillah bila sudahnya berlatihan di Bangi.

" Kita nak singgah sarapan kat mana ni? Lepas tu tak payah berhenti dah. "

Mahu cepat kerana menurut kata Idris. Boleh pulang seawal pukul dua belas tengah hari. Cuti tiga hari kerana 1 Mei cuti Hari Pekerja.

Safura mencadangkan Kopitiam Bangi singgahan selalu. Setuju saja walaupun kita lebih berkira-kira mahu bersarapan di Restoran Jejantas PLUS Sungai Buluh. Itu singgahan bersarapan pagi kalau berwilmana berdua dengan suami.

Walaupun bukan hujung minggu. Seperti selalu bila singgah sini. Tetap ramai orang. Su hanya makan Roti Bakar dengan Telur Separuh Masak dan Scrambled Eggs. Safura berhidangan Nasi Lemak dengan Rendang Ayam.

Seperti selalu. Kerap benar Telur Separuh Masak kopitiam ini telurnya mentah. Minta tukarkan dengan telur lain. Saya kalau Telur Separuh Masak. Gemar kuning telur itu sedikit masak namun lembut bukan cair mentah.

Minum Teh O panas. Kopi bersusu buat Safura. Berdiri sebelah kami. Berdiri tepi kipas semacam pendingin udara. Dua pekerja restoran ini berbual dalam bahasa ganjil pada pendengaran kami. Bahasa daerah Indonesia tiada satu pun bunyi bahasa baku negara itu. Sama sebagaimana restoran di Jalan 11 itu. Restoran ini mulai berwajah ramai orang seberang.

Sarapan dan sembang-sembang. Pukul sebelas baru bermula perjalanan dari Bandar Baru Bangi. Itu pun sempat lagi singgah stesen petrol. Masuk Kedai Mesra beli air mineral dan singgah ATM.

Sembang-sembang sepanjang perjalanan. Perjalanan tanpa henti dari Bandar Baru Bangi pukul sebelas. Sampai sekolah Idris belum pukul tiga petang. Lengang parkir bukan seperti selalu kalau kami datang pada hujung minggu.

Safura telefon Idris. Idris belum mandi lagi.

Solat di surau MRSM ini. Senyap sunyi surau. Senyap sunyi sekolah. Ramai pulang hujung minggu cuti empat hari tiga malam. Surau lengang. Selain dari dua pelajar perempuan sedang solat. Seorang pelajar perempuan mengaji Al Quran selepas solat. Gamaknya tiga pelajar ini tidak pulang bercuti.

Penat teramat. Kuatkan hati dan badan. Sabar sabar. Kalau mahu pengsan pun. Tunggu sampai rumah.

Tunggu itu ini. Pergi sana sini. Sudahnya perjalanan dari sekolah Idris hanya selepas pukul empat.

Cucur Udang Penang Hentian  PLUS Juru


Singgah Kawasan Rehat PLUS. Ada dua meja panjang kosong. Sampai kami di meja panjang ini. Ada seorang lelaki di meja panjang sebelah beritahu kami. Meja itu ada orang. Hai tiada sesiapa pun di situ. Kami sampai situ dulu. Hai boleh senang-senang kata meja itu sudah dibooking. Tiada pun tanda booking seperti tinggalkan beg dan yang seangkatan. Malas cari fasal. Cari saja meja lain. Lelaki itu booking meja itu buat rombongan mereka ramai satu keluarga.

Makan Cucur Udang bercicahkan Kuah Kacang. Berbeza dengan Cucur Udang selatan atau kawasan tengah semenanjung berkuah Garam Lada atau Sos Cili cair. Cucur Udang sini kuahnya Kuah Kacang kacangnya kisar halus.

Tidak seperti kunjungan sini sebelum ini Cucur Udang ini panas-panas. Hari ini. Cucur Udangnya bukan baru lepas goreng buat kurang berselera makan. Kuahnya kurang sedap seperti selalu. Mungkin Safura beli cucur ini dari gerai lain. Bukan gerai Su biasa beli Cucur Udang bila singgah kawasan rehat ini.

Idris makan Nasi Ayam. Safura makan Laksa.

Bukan main lagi Idris. Sebelum keluar dari kereta. Salin baju. Tiada lagi kemeja batik berwarna biru. Salin pakai kemeja T Quicksilver beli di Melbourne. Ramainya pelajar sekolah Idris. Meja makan di sebelah kami. Satu keluarga dengan dua pelajar perempuan. Kata Idris. Itu junior. Begitu juga dengan meja makan di hadapan kami. Sekeluarga dengan seorang junior Idris. Pun pelajar junior perempuan.

Cerita Safura senyum-senyum selepas beli ABC dan Cucur Udang buat ibu.

" Budak perempuan sebelah tu tegur. Hai Abang Idris. "

Komen ibu. Komen bernada bergurau.

" Mesti laa kenal Abang Idris. Ketua pasukan rumah sukan. Nama dengan gambar tersenarai kat papan kenyataan tu. Top ten best students tingkatan empat tahun lepas. "

Datang pula seorang sahabat Idris. Pun sudah bertukar baju bukan lagi baju batik biru. Bersalaman dengan Idris sebelum menuju pergi parkir kereta. Pelajar lelaki ini senyum sambil menganggukkan kepala tanda hormat dengan ibu Idris. Tahu pun selalu kawan-kawan lelaki Idris. Sekadar senyum tanpa bersalam.

Mee Kari Shalala Coffee Kawasan Rehat PLUS Tapah sepulang dari Penang


Selepas pukul lima dari Kawasan Rehat PLUS singgah makan Cucur Udang minum ABC.

Kurang dari satu jam selepas itu. Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Gunung Semanggol. Bukan kerana mahu pergi tandas ataupun singgah minum kopi panas. Safura mahu berehat tidur. Tidurlah dua anakanda dalam kereta. Sabar menunggu. Malaslah pula keluar minum Nescafe kaw satu kedai minum situ. Penat teramat sangat badan. Radio kereta terpasang perlahan.

Sebelum pukul tujuh. Sebelum Maghrib. Sambung perjalanan pulang. Sebelum itu singgah stesen petrol situ.

Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Tapah sebelum pukul sembilan malam. Selepas solat. Singgah Cafe Shalala Coffee. Makan Mee Kari. Sandwich dan Puff buat dua anakanda. Capucinno panas buat kita. Air dingin buat dua anakanda.

Sebelum itu. Singgah kedai cenderamata di sebelah cafe. Beli satu kaftan dan satu raga anyaman daun mengkuang.

Penat teramat. Sedari Tapah lebih kurang pukul sembilan setengah. Selepas kemas kerusi belakang. Su berbaring tidur di kerusi belakang. Siap buka tudung lagi. Idris mengambil tempat ibu. Kerusi permaisuri di sebelah kerusi pemandu.

Jenera tidur. Terjaga bangun bila susuran kereta bercahayakan terang benderang lebuhraya lalu kota. Lebuhraya Kuala Lumpur sekitar Sungai Besi.

Alhamdulillah selamat sampai rumah sebelum pukul dua belas malam.

Eh mana sebelah lagi sandal warna beige kita? Laa tadi sebelum kita memasuki kereta. Kita tertinggalkan sebelah sandal di luar kereta. Ini tertinggal hanya sebelah sandal. Pernah lebih dari sekali. Su tertinggal sandal di luar kereta semacam meninggalkan kasut di luar pintu rumah. Kali akhir sebelum ini. Tertinggal sandal di luar kereta selepas solat di Masjid Al Hasanah Bangi. Kembali berpatah semula pergi parkir masjid. Elok tersusun sepasang sandal merah di tengah parkir di hadapan anjung masjid.

Itu sandal kegemaran Su. Sandal dari Perancis beli di Malaysia bukan pun mahal harga. Sudah tersurat sampai sini saja jodoh sandal itu dengan kita. Kita beli sandal berfaktorkan keselesaaan bukan harga atau jenama.

Sesampai Idris di kamar tidur putera mahkota. Cari PSP. Sesekali. Beri peluang intan payung tidur lewat.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Sewilmana sesampai Jakarta pergi Bogor

Sawah ikan pandangan terawal Jakarta


Masih catatan 11 Februari hari sampai Jakarta. Apa terlihat apa terpandang apa tersembang sewilmana dari Jakarta pergi Bogor

Antara pandangan pertama dari pesawat kala pesawat MAS MH771 menghampiri ruang udara kota Jakarta. Saujana luas mata memandang petak-petak berkolam sekali pandang seperti sawah padi tepi laut dilanda banjir. Kata suami. Itu sawah padi dilanda banjir. Sawah padi tepi laut?

Siap suami minta kita merakamkan gambar sawah banjir itu. Tadi dalam pesawat. Kawan sefakulti suami kerusinya di hadapan kami kerusi no 36, pun merakamkan gambar pandangan Jakarta dari udara. Selalunya satu kemestian setiap kali pesawat mula mendarat atau pesawat mula terbang. Kita merakamkan gambar panorama nun di bawah sana.

Seperjalanan dari Jakarta pergi Bogor. Antara pemandangan dari tingkap sejurus kereta MPV hitam menyusuri lebuhraya meninggalkan kota Jakarta. Pandangan sawah-sawah berkolam tepi lebuhraya tadinya terpandang dari udara. Terpandang kelibat beberapa lelaki tempatan sedang memancing. Juga menangguk ikan.

Kita mengomen tentang kolam meluas saujana pandangan ini. Kata suami. Banjir laa tu.

Lekas dosen bernama bermaksud negara itu menyampuk kata. Dosen atau pensyarah universiti. Duduk di kerusi sebelah pemandu.

" Bukan banjir. Itu sudah di apa yaa. Ampang. Buat pelihara ikan. Ini dulu kawasan paya. "

Komen kawan sebelah suami. " Ada pokok bakau tu. "

Komen kita buat didengari suami. " Oh kolam ikan peliharaan. Kawasan paya ni selalu banjir. Diaorang manfaatkan buat kolam ikan. "

Komen Profesor Dr C. " Kalau pecah laa tembok tepi ni. Habis banjir lebuhraya ni. "

Ini memandangkan kolam-kolam luas ini sama tinggi dengan lebuhraya. Gerun juga mendengar komen itu. Kata orang tua-tua. Jangan sembarangan kata semasa berkenderaan. Kolam ikan sebagaimana pada gambar tertera. Gerun kerana sememangnya benar apa yang dikatakan Dr. C itu.

Terpandangkan papan tanda pergi Ancol. Suami kita lupa. Bila Su kata kami pernah sampai Pantai Ancol dua tahun lalu. Satu petang selepas singgah ziarah rumah balu bapa saudara Su di Kelapa Gading. Arwah bapa saudara ini saudara sepupu Bonda. Su pernah bertemu bapa saudara ini di Johor Bahru. Bapa saudara ini antara saudara di Indonesia yang keraplah juga singgah ziarah keluarga kami di Johor Bahru. Bonda dan Ti sekeluarga pun pernah berkunjung ke rumah bapa saudara ini.

Kala kereta hitam baru saja meninggalkan Bandara Soekarno Hatta. Suami kita menanyakan dua lelaki Bogor itu. Jauhkan Kelapa Gading dari bandara.

Kala kereta hitam baru mula memasuki lebuhraya. Masih di kota Jakarta. Kata kawan di sebelah suami.

" Mula-mula datang sini dulu rasa laa pergi luar negara. Tapi bila dah selalu datang. Rasa sama saja macam Malaysia. "

Su bersetuju dalam hati. Apalagi bila terlihatkan sana sini berwajah Melayu. Kalau bukan kerana papan tanda dan billboard dengan ejaan Indonesia. Rasa masih dalam sama negara. Semacam orang Selangor pergi Kelantan. Orang Perlis pergi Sabah. Hanya kota Malaysia lebih kemas lebih maju lebih bersih lebih berkilat lebih baharu. Sini kelihatan lama serba kelabu lebih ramai lebih padat namun dengan keunikan tersendiri.

Misalnya lebuhraya. Binaan lebuhraya di negara sendiri jauh lebih kemas buatan, lebih menawan mata landskap laman tepi, lebih bergaya plaza tol. Plaza tol di negara Indonesia dipanggil Gerbang Tol serba sederhana.

Setakat ini pada pandangan mata ini. Plaza tol kota Beijing paling unik lawa. Plaza tol berwarna-warni dengan gerbang atau gapura berseni bina gapura Cina. Pun begitu plaza tol kita lebih kemas lebih kelihatan mantap modern binaan.

Melbourne pula. Kenderaan hanya di-skan kala lalu plaza tol. Mesin skan bagaikan kamera jerangkap samar. Nanti kita bayar bil tiket tol di pejabat berkaitan. Kalaulah sistem begini diamalkan di negara kita. Mungkin ramai yang menangguh bayar tiket parkir.

Susuran lalu dari Jakarta pergi Bogor


Antara billboard terpandang oleh mata dan sempat dirakamkan gambar. Billboard iklan saranan pemerintah. 2 Anak Lebih Baik. Kalau pemerintah Malaysia pernah dengan kempen negara meramaikan warganegara. Kempen meramaikan zuriat pada awal dekad tahun 80-an dulu. Terutamanya pada bumiputera. Indonesia pula dengan kempen kurang anak lebih bagus.

Semasa kempen bumiputera meramaikan zuriat itu, kita baru berumah tangga berkebetulan berhajat mahukan tujuh atau paling kurangnya lima cahayamata. Sudah dirahmati dengan empat orang ini pun satu rahmat. Berbanding dengan kawan yang hanya dengan seorang cahayamata. Atau belum dirahmati zuriat sampai kini.

Juga terpandangkan billboard dengan gambar presiden Indonesia dan nama parti pemerintah. Dalam hati. Pemilu?

Terpandangkan pejabat Bulog tepi lebuhraya. Kami berdua bicara tentang dua sahabat Aberystwyth berasal dari Indonesia. Dua sahabat ini bertugas di Bulog ini. Bapak Maskor dan Bapak Harris Nasution.

" Tajuddin bukan Bulog? Oh dia di Acheh sana. "

Suami terima panggilan telefon dari Profesor Dr. F pun berketurunan Dusun Sabah dulu serombongan dengan kami suami isteri pergi Chiang Mai.

" Eh aku sekarang ni kat luar negara laa.. Jakarta. "

Bersambutan ketawa empat lagi orang Malaysia dalam kereta hitam.

Luar negaranya hanya di seberang selat.

Keluar dari kota Jakarta. Sawah-sawah padi tepi lebuhraya. Satu keunikan Jakarta. Sawah-sawah padi pinggiran kota. Kuala Lumpur pula. Ladang kelapa sawit pinggiran kota.

Terpandangkan kelibat bendera-bendera parti pemerintah Indonesia. Dalam hati. Indonesia bermusim pemilu atau pilihan raya? Kurang tahu pula saya.

Antara pandangan menambat mata. Sentul dalam daerah Bogor sebelum sampai kota Bogor. Sentul City sebelum kota Bogor.

Komen kita buat didengari suami. " KL ada Sentul. Sini pun ada Sentul. "

Sembang-sembang suami dan kawan-kawan yang tiga orang itu. Ada yang mengatakan kota Bandung itu di Jawa Timur sana. Malaslah saya beritahu. Bandung itu di Jawa Barat. Kota besar Jawa Timur. Kota Surabaya.

Suami menanyakan samada Su bawa nombor telefon Dr. Diah dulu sama rombongan dengan kami di Chiang Mai. Terlupa laa. Memang benar-benar terlupa. Kalau tidak. Boleh juga bertemu Diah dulu kami rapat berkawan semasa di Chiang Mai. Nombor telefon itu tercatat dalam buku nota suami guna semasa di Chiang Mai itu. Dr Diah orang Surabaya menetap di Bogor.

Kereta kuda delman kota Bogor


Sebelum terbang. Suami forwardkan satu emel dari TNC [Timbalan Naib Canselor] IPT di Bogor itu. Pemberitahuan tentang nama hotel penginapan kami di Bogor. Juga tentang isteri TNC itu akan bawa isteri-isteri tetamu dari Malaysia jalan-jalan melihat kota Bogor. Hanya kita seorang isteri dalam rombongan ini. Makanya berdua sajalah nanti Su dengan ibu itu.

Sudah Su cari informasi tentang Bogor dan hotel kami bakal diami selama tiga malam di Bogor. Selepas itu baru bermalam di Jakarta sebelum terbang pulang. Kalau ikut cadangan suami. Kalau cukup masa. Mungkin boleh pergi Bandung.

Selepas bulatan pangkal bandar dengan papan tanda kurang faham saya maksud bahasa. Sekawan kereta kuda selepas bulatan ini. Kumpulan van Angkutan Kota warna hijau selepas kawanan kereta kuda ini. Angkutan Kota ini semacam bas mini tetapi hanya van biasa. Kereta kuda itu salah satu dari pengangkutan awam di Bogor ini. Selepas stesen bas sebelah kedai makan Nasi Padang. Terlihat dari pangkal jalan atau sebenarnya lorong. Nama hotel kami bakal diami.

Juga mata ini. Tidaklah terlepas pandang satu mall sebelah hotel ini. Mall masih dalam kawasan hotel. Botani Square dan Hotel Santika atas tanah IPT Bogor itu. Kawasan hotel sebelah kampus bandar IPT itu. Hotel Santika ini satu daripada pelaburan IPT di sebelah hotel itu. Institut Pertanian Bogor berstatus universiti. Sama dengan status Institut Teknologi Bandung dulu suami berurusan sana. Tahun kami sekeluarga ikut suami pergi Bandung.

Kata dalam hati. Sedang pengawal berunifom biru gelap di pintu pagar hotel skan lantai kereta. Apa-apa hal nanti. Bolehlah saya jalan kaki dari hotel pergi mall ini.

Van angkutan kota hijau Bangor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Petang berwilmana meriah segar harapan tersusur lalu Bandar Tasik Selatan

Selepas singgah Sungai Besi menuju Sogo shopping 1 Januari tahun baru


Sudah merancang berminggu-minggu lalu. Cadangan rancangan kami bercuti di memana hotel di tengah ibu kota. Hotel berpandangan meriah bunga api malam tahun baru. Bukan pun terlalu mengagung-agungkan sambutan 1 Januari tahun baru kalendar Gregorian ini. Sesaja menggembirakan hati cahayamata sementara masih berusia muda remaja begini. Bila semua anakanda semakin meningkat umur dewasa. Lain pula nanti tahap maksud lebih meriah menguja gembira beriringan masa semakin pantas beredar lalu.

Sebagaimana semasa semua cahayamata ini masih kecil comel dulu. Taman binatang dan taman tema antara persinggahan wisata bersantai selalu. Begitu juga dengan merata taman-taman permainan selalu disinggah lebih sepuluh tahun lalu. Kini semua itu bukan lagi pilihan semua cahayamata semakin meningkat besar tinggi di hadapan mata ibu. Sebagaimana semakin berpeningkatan tulus doa ibu buat semua cahayamata semoga selamat perjalanan kehidupan dunia akhirat. Senantiasanya tulus doa-doa ibu.

Sudahnya terbatal rancangan malam tahun baru di Kuala Lumpur bila orang itu orang ini berancangan tersendiri. Safura bermalam malam tahun baru nun di Shah Alam. Rumah sahabat sama kuliah. Sudah lebih kurang setahun lama Safura tiada cerita bermalam di rumah kawan. Suraya lagilah lama. Bertahun-tahun Suraya tiada lagi cerita bermalam di rumah kawan. Cerita selalu semasa lampau musim masih bersekolah menengah rendah. Kini semua sahabat-sahabat lama ini terpisah mengikut haluan masing-masing selepas SPM. Sahabat-sahabat karib masa kini. Sahabat sedari tahun matrikulasi.

Dua puteri kami ini seakan berhaluan pun sama seperti Su. Sahabat-sahabat paling karib sepanjang kehidupan. Sahabat mula berkenal tahun-tahun selepas SPM. Sahabat mulai berkenal rapat pada tahun-tahun pertama di kampus. Tahun peralihan musim dari musim berzaman sekolah menuju zaman lebih berwarna-warni cerita hati dan hidup.

Idris pula tahun 2007 merekodkan pertama kali bermalam tidur di rumah kawan. Rumah sahabat karib sama sekolah. Sahabat karib sama geng main futsal. Sahabat karib sedari sekolah rendah. Sahabat ini adinda kepada seorang pelakon baru khabarnya sudah dua filem berkisah cerita keluarga orang tanjung. Rumah sahabat Idris ini hanya bersebelahan seksyen. Baru-baru ini Idris menemankan sahabat ini mencari kitab tafsir Al-Quran di kedai buku Kinokuniya KLCC. Sahabat Idris ini pun 8A dalam keputusan PMR baru-baru ini. Kebanyakan geng sahabat karib Idris semuanya 8A.

Satu hari Idris pulang dari kedai beli surat khabar. Mak. Kakak kawan Idris masuk surat khabar. Dalam hati. Pelajar cemerlang? Ini kerana Idris bercerita dengan wajah ceria. Jawapan Idris bagaikan anti klimaks kepada sangka hati tertunggu-tunggu berantisipasi seterusnya cerita. Dia berlakon dalam cerita Mami Tanjung.. Bagaimanapun lega kerana pada mulanya pun terselit juga sedikit cemas risau samada itu berita musibah seperti kemalangan misalnya kala belum terlihat wajah ceria bercerita Idris. Kala belum menoleh pandang Idris baru pulang dari kedai beli surat khabar. Kala Idris baru berlalu datang dari belakang kerusi kayu jati kita sedang berehat santai di hadapan tv. Jejari tangan mengulit guna laptop. Awal petang lebih kurang pukul tiga.

Menanyakan sahabat yang mana satu. Kawan yang Idris tidur rumah dia tu..

Sambung ibu menyambung cerita santai petang itu. Oh anak orang kaya tu. Kawan tu keturunan Mami ke. Begitulah lebih kurang. Sambung lagi cerita. Mak ayah dia tak kisah ke kakak dia berlakon. Muka kawan tu macam muka kakak dia ke.. Bla, bla, bla..

Pandai pula Idris menjawab. Mak ayah dia sibuk. Orang kaya. Selalu tak de kat rumah.. Berkebetulanlah pula Idris bersahabat karib dengan beberapa orang sahabat berlatar belakang cerita sebegini rupa. Keluarga orang berada tetapi selalu seakan kesaorangan kerana ayah ibu sentiasanya sana sini berurusan kerja pejabat. Idris pun semakin selalu bapa hilang ghaib dari rumah. Bagaimanapun Idris kami ditemani ibu selalu. Pun begitu rata-rata sahabat-sahabat karib Idris ini semuanya berkeputusan PMR 8A tahun lepas.

Sekembali dua kekanda dari kampus U** baru-baru ini. Ucapan tahniah dan menanyakan keputusan sahabat-sahabat karib Idris. Huisy.. Semuanya 8A.. Hanya Iskandar seorang berkeputusan 7A. Dalam kelas Idris berjumlah semua pelajar 33 orang. 30 orang 8A. 3 orang 7A. Lima kelas terbagus. Semuanya 8A kecuali kurang lima orang dengan 7A.

Selalunya sekolah Idris ini berkeputusan lebih dari 80 peratus pelajar dengan 8A. Sedikit musykil kerana tidaklah pernah pula keluar berita dalam media massa tentang keputusan cemerlang sekolah selalu berkeputusan SRK terbagus Malaysia ini. Sekolah rancangan khas tanpa asrama. Tawaran tempat hanya buat mereka UPSR 5A. Kata Idris. Sekolah ni low profile. Orang Bandar Baru Bangi sebut Sekolah Bistari. Hanya beberapa meter dari kediaman kami. Sekolah gemilang tepi bukit.

Hanya seorang sahabat karib Idris kurang cemerlang PMR baru-baru ini. Bukan sama sekolah dengan Idris kerana UPSR bukan 5A. Pun komen Su. Kurang cemerlang dalam pelajaran tiada masalah asalkan orangnya soleh dan bagus kelaku. Sahabat sedari umur enam tahun. Sahabat paling selalu kot Su sebut nama dalam jurnal ini. Lagipun masih ada dua tahun buat membaiki memana terkurang.

Satu hari baru-baru ini. Idris bercerita tentang sahabat orang kaya itu rumahnya bersusun empat kereta. Komen kita. Kita yang tak kaya ni pun ada tiga kereta. Ibu Idris hanya domestic engineer. Sambung Idris. Kereta diaorang semua harga dua ratus ribu lebih. Kereta sekian-sekian. Sambung kita tersenyum termalu. Oh iye ke. Spontan jadi teringat pada perbualan santai ini bila menulis tentang sahabat karib Idris ini.

Sambung cerita 1 Januari. Beginilah bila datang semula mood mencatat bercerita.

Seawal pagi merancang pergi Kuantan pulang hari. Seminggu dua ini bagaikan melambai mata pandangan samudera. Selepas tiga minggu gunung dan kota dua negara Asean. Bila hari mulai meninggi matahari. Bertukar pula rancangan. Pantai Port Dikson pergi petang. Sudahnya terbatal terus rancangan mencari pantai bila hujan turun renai petang. Sudahnya berkeputusan pergi Sogo. Lambaian satu dompet kulit sedang berharga sales hujung tahun. Jualan murah ini tamat pada hari ini.

Beransur keluar dari rumah selepas pukul enam petang. Hanya bertiga dengan Suraya dan Idris. Safura pulang awal pagi dari Shah Alam. Malas ikut. Suami pula seperti biasa bila hujung minggu. Hampir sepanjang hari di hadapan kabinet rendah menempatkan tv. Kecuali keluar rumah pergi surau bila azan berkumandang dari surau di belakang rumah. Kecuali datang angin member mahu menjengah dapur. Terutamanya pagi hari minggu.

Idris memandu bawa keluar kereta merah terang berkilat-kilat masih baru dari anjung. Kebelakangan ini putera ini bersemangat mahu memandu kereta. Sudah boleh memandu bertahap lesen L tetapi belum cukup umur kalau mahu belajar memandu mohon lesen. Tunggu dua tahun lagi. Sengaja dilatih memandu sebagai persediaan kalau-kalau berlaku kecemasan bila hanya tinggal berdua dengan ibu. Kalau-kalau tiba-tiba ibu sakit ketika hanya kami tinggal berdua di rumah. Kalau tahun hadapan Idris pindah sekolah. Itu lain cerita. Hadapi segala cerita mendatang dengan optimis harapan.

Alhamdulillah boleh pun Idris memandu kereta mengundur bawa keluar dari dalam pagar. Suraya sebenarnya di sebelah Idris sebagai guru. Kita menutup pintu pagar. Terpaksalah bertempiasan renyai hujan petang. Hujan membasahi tudung selalunya tetap berupaya buat pening kepala. Kita mudah kalah dengan basahan tempiasan hujan. Mudah pening kepala kalau bertempiasan hujan walaupun bertudung kepala.

Kata Idris selepas bertukar tempat dengan Suraya. Abah tengok Idris undur kereta. Idris nampak Abah tengok dari langsir sliding door.

Singgah Petronas Sungai Besi lebih kurang pukul enam setengah petang. Idris beli Ais Krim Magnum. Terlupa pula Idris beli air mineral dipesan ibu. Sedari kereta meninggalkan rumah. Terasa dahaga. Terlupa bawa sebotol air mineral selalunya benda wajib dibawa kalau keluar dari rumah. Sebenarnya singgah stesen ini kerana mengisi tangki kereta.

Idris keluar dari kereta di hadapan pintu Kedai Mesra. Kereta merah menunggu di parkir bersebelahan Restoran McD selalu kami lalu laluan drive-thru. Oh semua cahayamata kami kecuali yang sulung mungkin. Makanan restoran ini belum pernah jemu. Su hanya gemar Chocolate Sundae. Itu pun Su selalunya hanya makan bahagian coklat panas. Ais krim disambung makan oleh memana cahayamata.

Kita menyusun wang dalam dompet. Dompet Su sentiasa kemas tersusun isian dompet. Semua wang kertas diratakan kemas dan tersusun mengikut warna. Duit lebihan beli air mineral. Juga buka sedikit tingkap kereta kerana Idris makan ais krim. Sesekali boleh makan dalam kereta. Ralit menyusun duit sampai kurang perasan susuran jalan.

Suraya tersilap simpang. Suraya terambil simpang pergi MRR2. Selepas beberapa meter dari Stesen Petronas. Sengih-sengih Suraya mengaku bersalah. Adik terlupa. Ingat pergi UIA.. Tersilap simpang sebelum beberapa meter dari kelibat simpang pada gambar tertera. Gambar dirakamkan beberapa minit selepas singgah Kedai Mesra.

Kembali susuri Lebuhraya Persekutuan dari simpang menuju Bandar Tasik Selatan. Sempat lagi Idris bergurau mencadangkan. Kita pergi Sogo naik LRT lah. Tinggal kereta kat Stesen Bandar Tasik Selatan.. Suatu masa dulu. Stesen itu singgahan selalu. Kali akhir singgah stesen itu. Mungkin tiga tahun lalu. Tahun Idris masih bersekolah rendah.

Menanyalah kita walaupun tahu itu cadangan bergurau. Habis Mak macam mana?

Cadangan Idris. Mak naiklah juga LRT. Kini kurang kuat lagi kaki dan lutut kita menaiki turun tangga-tangga stesen komuter. Boleh dan larat kalau berjalan jauh perlahan-lahan tetapi kurang terlarat memanjat tangga. Sakit lutut memanjat tangga.

Lalu kemudiannya berceritalah kami bertiga tentang dulu-dulu selalu Su dan Idris pergi Kuala Lumpur menaiki komuter dan LRT. Masa Idris kecil-kecil. Zaman itu Idris suka benar jalan-jalan turun naik komuter dan LRT. Kedai kesukaan Idris. Kioks Candy Island @ Sogo. Kioks kesukaan Idris sampai hari ini.

" Ingat Idris masa tu. Bila naik komuter pergi Sogo. Mak bila kita nak sampai.. Bila dah sampai. Mula-mula mesti pergi kedai gula-gula. Lepas tu Idris nak makan. Makan kat tingkat lima tu. Mak bila kita nak pergi makan. Lepas makan pergi toilet. Idris kan lepas makan kat kedai. Mesti nak pergi toilet. Lepas tu. Belum sempat pun lagi Mak shopping. Mak bila kita nak balik rumah. Bila dalam komuter balik rumah. Mak bila kita sampai rumah.. "

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Singgahan berhujan malam sebelum Mutiara RINI melambai nostalgia biskut riben merah jambu


Biskut riben merah jambu Mutiara RINI
Originally uploaded by Ssuriha

Sambung cerita 13 Oktober lalu. Rakaman tinta kenangan 1 Syawal 1428H hari Sabtu. Update pada 29 Oktober hari Isnin. InsyaAllah hari keenam puasa enam Su tahun ini.

Perjalanan dari Melaka menuju Johor Bahru. Perjalanan dari Bandar Baru Bangi singgah Seremban singgah Melaka bersuasana meriah bercerita bergurau senda. Perjalanan dari Melaka mulai senyap sunyi dalam kereta. Tiga cahayamata mulai penat. Semua terlena tidur selepas kekenyangan makan tengah hari lewat pukul lima petang.

Hanya lebih kurang sepuluh minit selepas kereta meninggalkan Restoran Jejantas Ayer Keroh awal pukul enam. Semua kat belakang tu tidur.

Kata suami kita. Saja Adik nak duduk belakang. Nak tidur.

Kata Su. Malam tadi tiga orang itu tidur lewat. Suami tidur awal selepas pukul sepuluh. Tiga anakanda tidur lebih kurang pukul dua setengah pagi. Selepas beres siap masakan Rendang Daging. Selepas Suraya siap seterika semua busana pagi raya. Su tidur awal kerana masih bersisa demam.

Hujan mulai turun hanya lebih kurang sepuluh minit selepas kenderaan kami beransur meninggalkan kawasan rehat. Hujan mulai lebat selepas simpang exit menuju Melaka.

Sepanjang perjalanan dari Ayer Keroh ini. Kami berdua suami isteri. Sesekali memerhati pandangan tepi jalan di sebelah kanan. Satu bangunan itu. Su katakan bangunan warna krim terang ini sebelum Kawasan Rehat Ayer Keroh. Suami kata bangunan ini selepas Kawasan Rehat Ayer Keroh. Sudahnya sampai negeri Johor. Tiada kelibat bangunan ini.

" Lain kali pergi Melaka. Kita tengok sebelah kanan sebelum sampai restoran jejantas. "

Hujan tanpa henti dari Melaka sampai Machap. Hanya reda hujan kala Maghrib selepas Pagoh. Berulang cerita tahun lepas. Hujan lebat 1 Syawal dari Melaka sampailah Johor. Hanya hujan 1 Syawal tahun lepas turun lebat selebatnya dengan kilat dan guruh. Hujan 1 Syawal tahun ini bersederhana deras walaupun tanpa henti dari Melaka sampai Johor.

Sampai Kawasan Rehat PLUS Machap sekitar pukul lapan setengah malam. Seperti selalu bila singgah Kawasan Rehat Machap ini. Su hanya menunggu di dalam kereta. Penat selepas separuh perjalanan berwilmana. Namun antara sebab utamanya. Malas memanjat tinggi tangga batu. Kaki belum kuat memanjat tangga.

Kereta diberhentikan tepi tangga. Hanya satu kereta MPV biru kelabu di hadapan kereta kami. Selepas itu tangga batu putih. Selalunya menunggu lelaki-lelaki Cina bermotosikal menjual buah-buahan di pangkal tangga ini. Bila tidak hujan. Ini pengalaman kami setiap kali singgah sini.

Hampir sepanjang perjalanan seawal dari Bangi menuju Melaka. Kami memerhati apa kenderaan lebih memenuhi lebuhraya. Sempatlah kita mengenen kata. Tahun lalu kita mengandaikan itu tahun terakhir pulang Johor Bahru dengan kereta biru gelap ini. Tiada sepakatan apa kereta baru buat mengganti kereta lama. Kita lebih selesa dengan kereta keluarga. Ada orang itu lebih berminat dengan kereta boleh meredah hutan dan gunung ganang. Kalau beli kereta macam tu. Beli sekarang sebelum lutut ni tak larat lagi panjat kereta tinggi macam tu.

Kala berbincang jenis kereta buat Suraya. Su bergurau kata mahu belikan Safura kereta Perdana atau Waja. Mak masih mampu kalau nekad beli kereta ansuran seribu lebih sebulan. Tapi kuranglah duit shopping.. Jawab Suraya. Tak mahulah. Nanti orang ingat Adik dah kahwin. Nanti orang tol panggil Adik ni puan atau kak. Mahu belikan MyVi. Ramai sangat pakai MyVi. Lagipun itu kereta keluarga. Sudahnya beli kereta pilihan Suraya tetapi warna pilihan ibu. Suraya mahu warna hijau. Su mahu warna merah kalau bukan biru. Sudahnya warna merah pihan pertama.

Kembali kepada cerita 1 Syawal.

Selalunya kalau singgah Kawasan Rehat Machap. Su minta belikan Roti Bakar. Masih kenyang. Tiada apa-apa pesanan. Kala bersendirian menunggu di dalam kereta. Mata memandang sana sini. Kawasan rehat basah selepas hujan awal malam. Tingkap kereta berkelabu cermin. Kelabu dengan wap.

Sibuk kawasan rehat malam hari raya pertama. Buat pertama kalinya kita terlihatkan pengawal-pengawal keselamatan mengawal trafik kenderaan di kawasan rehat ini.

Suami dan Idris solat di surau kawasan rehat. Su berniat mahu solat di rumah Bonda.

Perjalanan dari Machap selepas pukul sembilan malam. Sebelum ini. Musim pilihan raya di Machap Melaka. Su kaget kerana Machap itu dalam negeri Melaka. Selama ini kita hanya tahu Machap dalam negeri Johor. Kini baru tahu. Itu Machap Baru dalam negeri Melaka. Machap Johor ini dalam daerah Keluang.

Zaman belum siap Lebuhraya PLUS. Zaman saya berulang dari Johor Bahru pergi Shah Alam. Kenderaan lebih kerap singgah Air Hitam masih berhampiran Machap negeri Johor ini. Selepas Air Hitam. Bas ekspres akan berhenti di Muar pula. Perjalanan dari Johor Bahru pergi Kuala Lumpur memakan masa berjam-jam. Itu awal 80-an.

Tadi kala kereta kami melepasi Plaza Tol Bangi. Su berkisah dengan suami. Anakanda-anakanda kami tidak tahu lamanya perjalanan dulu dari Kuala Lumpur pergi Johor Bahru. Zaman sebelum Lebuhraya PLUS. Kali pertama berkereta susur Lebuhraya PLUS belum siap sepenuhnya. Awal 90-an sebelum kami terbang pergi Wales buat kali kedua. Lebuhraya PLUS tahun itu hanya baru bermula selepas Muar.

Hari itu kami singgah rumah sahabat niaga Muzaffar di Muar. Su berempat dengan Ti sekeluarga. Kami menuruti suami sedang berkursus SLAB di Lembah Pantai. Kami dua keluarga bermalam di rumah Johan tahun itu di Cheras. Pulang dari Wales empat tahun selepas itu. Pertama kali lalu lebuhraya baru.

Sampai Plaza Tol Skudai selepas pukul 10 malam. Dua lelaki anggota Rela mengawal laluan kenderaan menuju plaza tol. Dua daripadanya berwajah hampir sama serupa. Su mengandaikan mereka berdua ini bersaudara kembar. Suami dan tiga cahayamata mengatakan tidak sama serupa walaupun mirip wajah. Lalu kita berandaian. Mungkin bersaudara. Dua anggota Rela berwajah Cina tetapi mungkin saja warga bumiputra dari Malaysia Timur. Entah-entah memang orang Cina Johor.

Setiap kali sampai Johor Bahru. Setiap kali melepasi Plaza Tol Skudai. Perasaan kalbu berlagu tersendiri. Harmoni rasa bersulam nostalgia berlagu sanubari kalbu sendu nan tersendiri.

Setiap bandar singgahan berlagu sanubari tersendiri. Taiping berlagu nostalgia berbaur rasa sedih pilu. Melaka negeri berkenangan orang itu mula terpandang mata. Kuantan berlagu nostalgia masa belasan tahun. Kota Kinabalu istimewa nostalgia masa umur 20-an bercahayamata tiga puteri kecil. Johor Bahru berlagu nostalgia bersulam sendu kalbu. Namun istimewa rasa tanah jauhari masih berselayangan pandang tanah tumpah darah. Istimewa tahun-tahun akhir sebelum bergelar puan.

Selepas plaza tol. Kala kereta lalu sebelah Skudai Parade. Telefon Ti. Beritahu kami mahu singgah Mutiara RINI sebelum pergi rumah Bonda. Singgahan sekadar hantar lemang dan rendang. Menelefon mahu memastikan Ti dan keluarga ada di rumah.

Sampai rumah Ti selepas pukul sepuluh. Alhamdulillah bersalaman Selamat Hari Raya. Ti dan Iman mesra menyambut kami di pintu pagar. Mariam berbaju kurung sepasang warna merah jambu samar menyambut kami di muka pintu. Setiap kali datang. Tegur kita hampir sama dialog kata namun ikhlas dari hati. Mariam dah besar.. Disember ini Mariam cukup empat tahun. Pantasnya masa berlalu. Dari hari pertama Su disambut Ti sarat hamil di muka pintu. Hampir empat tahun lalu. Tahun itu Su keguguran.

Iman berlalu ke tingkat atas selepas Su hulurkan satu kotak besar coklat Cadbury. Kata Mak Long. Ni untuk sekeluarga.

Hanya singgah sekadar lima belas minit. Tidaklah mahu berlama-lama kerana kurang selesa kalau Bonda menunggu-nunggu sampai larut malam.

Antara teguran Su pertama-tama buat Muzaffar sebelum sempat duduk di sudut ruang tamu di hadapan tv kini berkabinet rendah baru. Pertanyaan selepas terpandangkan kelibat wireless router putih di atas meja kopi kayu jati turut berhidangan biskut raya. Su sekarang sedang menimbang-nimbang antara wireless Maxis atau Celcom.

Tahun lepas Su menanya kenapa rumah Ti tiada talian internet. Kata Ti. Kami suruh budak-budak ni pergi CC je. Kalau ada internet kat rumah. Entah apa-apa nanti diaorang tengok. Komen Su. Kalau kat CC lagi bahaya. Kita tak tahu apa diaorang tengok. Kalau internet kat rumah. Sekurang-kurangnya kita boleh pantau. Pembaca entri musim Aidilfitri 1427H mungkin masih ingat dengan sembang ini.

Suami dan Muzafar di ruang tamu bersofa biru muda. Juga tiga anakanda. Su dan Ti di hadapan tv. Bualan pertama selalunya bila bertemu. Berita ahli keluarga dan saudara mara. Berita baru-baru ini keluarga dari Taiping dan Lenggong berkunjung datang Johor Bahru. Berita anakanda kepada Kekanda Fauziah kini pun pemilik rumah di Mutiara RINI. Juga kunjungan dua saudara sepupu dari Kedah dan Kuala Lumpur.

Kita mula buka cerita. Eh hang tau kaa N beli rumah kat Mutiara RINI ni?

Kata Ti. Dia balik dari UK bulan Julai tahun lepas. Bulan dua belas baru aku tahu. Dia ada datang rumah ni. Jemputan kenduri kahwin adik dia tu.

" Jom kita pergi beraya rumah dia. Seumur hidup tak pernah jumpa. Kalau jumpa kat jalan pun tak kenal. "

" Ni mesti dia balik Taiping ni. Jiran sebelah ni. Satu fakulti dengan N. Sama jabatan. "

" Kuasa Allah taala.. Siapa sangka. Kawan N sebelah rumah hang. Kawan hang sepupu madu sepupu kita. "

Su pula ditanya tentang berita terkini dari Melbourne. Ti sama dengan kami suami isteri. Bersetuju dengan bab mencari pengalaman di negara orang. Pengalaman mahal itu boleh dibawa pulang buat negara.

Mariam mengangkut keluar satu bekas kotak-kotak air minuman. Milo dalam kotak buat semua tetamu.

Sambil berbual di hadapan tv. Ti atas karpet. Su di atas sofa kulit coklat muda. Sambil makan Kerepek Ubi. Cerita Ti. Ini kerepek baru buat kedai M dalam negeri Johor. Sedap rempeyeknya. Kata Muzaffar. Ini ubi keledek. Bukan ubi kayu.

Menjamah satu biskut comel berwarna merah jambu. Biskut riben menimbul nostalgia. Nostalgia biskut riben begini pada tahun-tahun ayah ibu baru bercerai di Taiping dulu. Biskut itu Bonda beli dari bazaar kami selalu singgah. Bazaar di sebelah stesen bas lama. Bazaar kami selalu singgah kerana ada kedai buku Zaniah. Begitulah lebih kurang nama kedai. Kini di atas tapak bazaar lama ini. Berdiri kompleks beli-belah.

Antara kenangan bazaar ini. Setiap kali ke bandar Taiping. Kami mesti singgah beli buku di kedai ini. Setiap kali Su dapat nombor satu dalam periksa penggal sekolah. Kami ke kedai buku ini. Su boleh memilih beli sendiri buku cerita sampai sepuluh buah. Ini kedai paling mendamba pandangan Su di bandar Taiping pada musim itu.

Satu ketika itu. Bonda memarahi kerana Su mahu beli buku lagu. Buku senikata lagu. Marah-marah pun Bonda tetap beli. Itulah Bonda kami. Juga kedai ini merakamkan kenangan Su mula mengumpul beli buku-buku cerita Shakespeare dari kedai ini.

Kembali berkisah singgah Mutiara RINI.

Turun Saiful bakal berpeperiksaan SPM hujung tahun ini. Saiful berbaju merah. Mak Long menanyakan apa azam dan harapan selepas SPM. Saiful berkira-kira memilih UiTM atau UIA. Komen kita. Baguslah kalau dapat masuk satu U itu. Masih sempat satu kampus dengan dua puteri Mak Long. Lalu memuji-mujilah Mak Long ini tentang persekitaran kampus pengajian dua puteri itu.

Bagaimanapun kalau mengikut kursus pilihan Saiful. Bagus lagi UiTM. Selepas diploma. Boleh sambung ijazah. Apa-apa hal pun berusaha sebelum SPM dan berdoa mohon apa yang lebih bagus dengan izin Alah taala.

Beransur ke rumah Bonda dihantari Ti sekeluarga di pintu pagar. Hanya Taza sekadar turun bersalam dan kembali ke tingkat atas. Taza baru pulang kerja malam sebelum kami sampai. Kerja walaupun hari raya. Kerja sementara.

Taza menangguh pengajian setahun kerana ralit bekerja. Hari ini Taza kerja syif petang sampai malam. Safura pun pernah bekerja di restoran makanan segera di PKNS Bangi sementara menunggu keputusan SPM. Selepas keputusan SPM sementara mendapat tawaran sambung belajar, Safura berkerja di satu department store di Alamanda. Kaunter beg tangan dan sepatu.

Menurut Ti. Selepas cuti setahun ini. Samada Taza kembali menyambung pengajian atau berkira-kira mahu tukar minta IPT lain. Bidang lebih sesuai dengan Taza.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Singgah Melaka panas petang 1 hari 1 Syawal 1428 H



Sambungan cerita catatan 1 Syawal 1428H hari Sabtu 13 Oktober lalu. Antara catatan kenangan cerita harian paling kita suka mencatat tulis. Mencatat dengan bersenang hati gembira rasa. Catatan kenangan pada hari raya pertama. Kenangan semusim hari raya. Update entri sambungan cerita 1 Syawal ini pada 27 haribulan petang hari Sabtu.

Alhamdulillah serba selesa perjalanan berkereta sepetang 1 Syawal 1428H dari Bandar Baru Bangi singgah Seremban menuju Melaka. Perjalanan berwilmana bersantai selesa tanpa perlu berkejar laju mengejar masa. Setengah awal perjalanan masih bising kereta dengan sembang bergurau berkedengaran perlahan suara dan lagu dari radio kereta.

Awal perjalanan kala kereta melepasi simpang dua antara selatan dan Kuala Lumpur. Lagu hari raya Junainah M. Amin.Marilah adikku. Marilah bersamaku. Ku pakaikan baju baru.. Lagu hari raya kegemaran sedari zaman belasan masih sekolah. Mungkin masih gemar itu kerana nostalgia. Nostalgia zaman belasan tahun masih sekolah di Melaka.

Berceritalah santai tentang lagu hari raya. Lagu asal Sanisah Huri versi baru dendangan penyanyi Lelaki Ini. Lebih suka lagu asal versi Sanisah Huri. Tiga cahayamata lebih suka lagu versi baru. Pun begitu. Tiga cahayamata bersetuju dengan kita. Inilah satu-satunya antara lagu-lagu dendangan semula yang dilagukan dengan versi sendiri dengan bagus sekali tanpa terikut-ikut gaya penyanyi asal. Sebelum ini. Pada pandangan kita. Hanya Sudirman paling bagus dalam melagukan semula lagu-lagu lama. Lagu Tanggal 31 Ogos misalnya. Juga Sharifah Aini. Bunga Tanjung. Syair Kamaruzzaman.

Lain-lain lagu raya kegemaran. Lagu Anuar Zain masa kecik-kecik dulu. Lagu Aidilfitri Fazidah Junid. Lagu Dengar-dengar beduk berbunyi.. Rafeah Buang. Lagu Selamat Hari Raya Ahmad Jais. Pilihan nombor satu. Satu Hari Di Hari Raya. Lagu paling nostalgia. Minta Mak kuih sepotong. Saya mahu makan kerna perut kosong. Versi asal Saloma tahun kita masih di Singapura. Versi ada senikata dang dang dum bunyi mercun..

Berceritalah kita. Kamal putera sulung Johan semasa kecil. Suka melagukan lagu ini. Kamal umur belum tadika. Suka melagukan senikata minta mak kuih sepotong..

Sampai Restoran Jejantas PLUS Ayer Keroh sekitar pukul lima setengah petang. Seperti selalu. Selalulah pula cerita sama dari salah seorang cahayamata bila sampai kawasan rehat ini pada siang hari. Dulu kita nampak Ramli Sarip kat kawasan rehat ni. Hari kami bersama pasangan anakanda melawat Safura di Pontian. Pasangan anakanda bercuti dari Melbourne.

Kekadang itu kita sambung kata. Dah dua kali kita ternampak dia. Kali pertama dulu kat Temerloh. Tahun itu kami suami isteri dan dua cahayamata. Pulang dari Kelantan dari Banding. Singgah Terengganu singgah Cherating singgah Temerloh. Singgah makan tengah hari di satu kedai makan di hadapan masjid. Sebelum singgah masjid. Penyanyi itu baru keluar dari masjid berkubah kuning di bandar Temerloh itu. Itu zaman belum siap LPT. Kini kalau ke pantai timur. Jaranglah lagi singgah bandar Temerloh. Kini lebih selalu singgah Kawasan Rehat LPT Temerloh.

Kereta diberhentikan di hadapan surau. Berderetan kami berlima menuju kedai makan. Kereta diberhentikan terang benderang di hadapan surau. Parking sebelah kereta Naza Ria hitam. Lalu kami bertawakal tinggalkan tiga laptop di dalam but kereta.

1 Syawal tahun lalu suasana lebih ramai meriah di kawasan rehat ini. 1 Syawal tahun ini kelihatannya kurang begitu ramai bersinggah sini. Tahun-tahun lepas pada singgahan 1 Syawal di kawasan rehat ini berduyun-duyun ramainya manusia. Pun begitu pemakaian busana hari raya menyerlah suasana hari raya walaupun sederhana ramai.

Hari ini ramai musafir lalu bersinggah rehat kelihatannya hanya lebih kurang ramai pada hari-hari biasa. Mungkin tahun ini ramai pulang kampung sebelum hari raya. Selalunya ramai sungguh manusia pada setiap singgahan kami di kawasan rehat ini pada hari raya pertama. Sederhana ramai sampai boleh memilih-milih meja makan kosong. Selalunya kalau singgahan 1 Syawal. Terpaksa menunggu meja kosong. Seperti selalu. Meja–meja restoran ini berkawan lalat. Walaupun tahun ini kawanan lalat ini sedikit kurang. Sebelum ini lalat-lalat ini bagaikan menyerang.

Mulanya Su memilih satu meja empat kerusi. Memilih meja ini kerana sedikit bersih dan jauh dari hurungan lalat. Safura mahu kami memilih meja lain. Meja pilihan Safura ini sedikit berlekit. Malasnya kita makan di meja berlekit ini. Tinggalkan tiga anakanda dan suami yang sedang menjengah restoran menjual nasi campur. Su mencari restoran lain. Mencari sampai seberang sana. Hanya ada restoran makanan segera. Berkira-kira mahu makan Kentang Goreng KFC. Ramailah pula beratur.

Berselisih dengan suami di hadapan Restoran KFC. Suami mencari restoran menjual sup ataupun soto. Su mencadangkan suami menjengah restoran paling hujung bersempadan dengan deretan kedai mengarah utara.

Sudahnya kembalilah kita bersinggah restoran hujung sedang berkumpul makan tiga orang anakanda. Suami sendirian mencari restoran menjual sup.

Sebelum itu. Singgah kedai menjual barangan Agro lupa apa nama penuh kedai. Beli Kopi Latte. Panas petang buat terasa dahaga. Bagaimanapun panas 1 Syawal hari ini hanya bersederhana bahang. 1 Syawal tahun lepas di kawasan rehat ini lebih panas berbahang. Walaupun kami berteduh melega rasa panas di tepi kolam seperti di dalam gambar tertera. Gambar pada 1 Syawal tahun lepas. Su dan dua cahayamata menunggu suami di tepi kolam berbatu itu.

Melambai pada Safura kelihatannya baru terpandangkan ibu di dalam kedai minuman. Berselisih pandangan dengan seorang lelaki Melayu beratur di hadapan kita. Member melemparkan senyuman. Beliau mungkin awal 50-an ini pakai baju Melayu sepasang warna merah jambu samar seakan burgundi muda. Siap bersamping bersongket. Beliau ini sebelum ini berbual dengan seorang lelaki Cina. Terdengar perbualan mereka berdua ini dalam bahasa Inggeris. Beliau ini menemankan seorang kawan datang dari Jerman. Terpandangkan seorang perempuan orang putih menunggu di meja makan.

Sudahnya sekali lagi bersinggahlah kita restoran paling hujung selalu kami singgah bila singgah kawasan rehat ini. Singgah selalu kerana tiada pilihan lain restoran menjual nasi campur di Restoran Jejantas Ayer Keroh mengarah selatan ini. Ada satu restoran lain menjual nasi. Restoran kafe berpendingin udara. Hanya pernah sekali singgah makan di restoran ini. Makan Mee Kari. Mulanya tadi suami mencadangkan singgah makan di restoran ini. Kita berkeputusan kami singgah restoran hujung sana. Restoran hujung itu lebih pilihan makanan.

Makan Nasi Lemak. Tiada pilihan lauk-pauk. Hanya Nasi Lemak dengan sambal merah menyala dan Telur Goreng Mata Lembu dingin. Juga beli Kuih Bakar Melaka. Kalau orang utara. Kuih Bakar Kemboja. Inilah antara Kuih Bakar Melaka paling menepati citarasa. Kuih Bakar Melaka beli di restoran ini.

Kembalilah berkumpul dengan tiga anakanda. Kita mengomen sedap sambal walaupun pedas. Tiga anakanda makan Nasi Campur berlauk Kari Ayam. Su pula memang kurang gemar masakan ayam kalau beli dari kedai makan. Kecuali Ayam Goreng.

Sambil makan. Mata pandang-pandang wanita pencuci kawasan rehat sedang berdiri berehat di tepi restoran. Seperti selalu. Pencuci berunifom putih berketurunan India ini. Seperti selalu. Wanita separuh umur ini selalunya kelihatan penat.

Juga mata ini terpandangkan seorang pekerja restoran. Lelaki muda Melayu kelihatan bersungguh-sungguh bergaya menyanyikan satu lagu tahun 80-an. Menyanyi menuruti lagu berkumandang kuat di radio. Su tersenyum sendiri. Bercerita hal ini pada tiga anakanda. Kata Safura. Biarlah dia.

Selepas makan. Singgah semula kedai Agro. Beli dodol buat Bonda. Bonda penggemar dodol. Sebagaimana dengan Su juga. Dodol bungkus dalam upih pinang. Pun pilihan dodol dalam upih pinang ini lebih kerana nostalgia masa kecil. Suraya menunggu di luar kedai selepas menjengah sekejap. Menanyakan ibu mencari apa. Cari kuih nak bagi Mak Ngah.

Masih ingat lagi 1 Syawal tahun lepas. Panasnya hari itu. Su sengaja berlama-lama di bawah kipas siling kedai. Tahun ini sederhana panas. Masih okay walau tanpa lalu di bawah kipas.

Sehari dua sebelum ini. Kala tv bertayangan iklan kanak-kanak riang bermain tarik upih pinang. Kata Su pada Safura dan Idris. Engkau orang tak de kenangan main macam ni kan. Mak dulu selalu main mcam ni kat Taiping. Pakcik Abi tukang tarik upih.

Menurut Safura. Safura pernah berpengalaman bermain upih begitu. Satu masa dulu bila bercuti di rumah seorang sahabat di Pontian.

Selepas bayar harga dodol. Terlihatkan pula satu bekas buah-buahan potong di dalam peti ais. Minta tolong Suraya belikan satu bekas buah itu buat ibu. Panas-panas begini. Leganya kalau makan buah-buahan potong dingin dari peti ais.

Menuju kereta. Dari jauh kelihatan suami duduk di atas batu tepi perdu pokok. Member senyum sorang-sorang. Sambil tangan ralit memicit tulis SMS. Sepetang ini memang member kerap benar melayan balas SMS. SMS hari raya.

Tengok tu Abah engkau orang. Dah macam orang muda. Tangan asyik picit SMS.

Satu pandangan hari ini di kawasan rehat ini. Ramainya sana sini orang ralit membalas SMS. Tua dan muda tidak kira umur. Apa lagi kalau bukan balas SMS hari raya.

Sampai Su dan Suraya ke kereta. Datang suami baru selesai balas SMS. Masih senyum sorang-sorang walaupun baru selesai berSMS. Senyum semacam. Dalam hati. Hmm ini mesti SMS pelajar. Senyum bukan main..

" Amboi bukan main senyum panjang balas SMS. "

Jawab suami. SMS Mohamad sekian-sekian.. Setahu kita. Mohamad itu bukan orangnya akan berkirim SMS bergurau senda sampai buat member tersenyum begitu.

Dalam hati. Ye lah tu. Saya kenallah senyum itu.

Alhamdulillah perjalanan seterusnya dari Ayer Keroh sekitar pukul 6 suku petang. Giliran suami sambung memandu.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

1 Syawal 1428H masih sempat singgah Seremban



Sambung cerita 13 Oktober. 1 Syawal 1428H. Update pada 26 Oktober hari Jumaat. Hari kelima berpuasa enam. Sambil mata sesekali meleret pandang tv saluran 703. Chef Wan dalam siri buat roti. Buat Roti Bersama Chef Wan. Ini saluran terkini kegemaran. Buat masa ini. Kalau kita ini di hadapan tv. Tiadalah saluran lain lagi. Siang malam saluran 703 ini. Asian Food Channel. Siri Gila Makan dari Singapura itu. Buat rasa rindu dan mulalah merancang mahu jalan-jalan cari makan wisata negara kelahiran kita. Kita pergi naik keretapi. Balik singgah Johor Bahru. Bagaimanapun AFC ini dari Hong Kong. Jadi sesekali itu memanglah lekas-lekas menukar kepada saluran lain. Saluran 707 itu.

Sekitar pukul 3.30 petang. Singgah Seremban 2. 1 Syawal 1428H hari Sabtu.

Selepas kereta meninggalkan Plaza Tol Bangi. Suami menambah nilai Kad TNG. Barulah tahu. Seorang anak dara dan Idris belum solat Zohor sebelum keluar dari rumah. Teralit tadi kita kemas bagasi sampai tidak perasan Idris tidak ke surau. Membebellah sibapa. Kita pula memang sering mengingatkan. Apa-apa hal sebelum keluar rumah atau bila dalam perjalanan. Solat dulu bila masuk waktu solat. Memudahkan segala urusan. Allah taala berkati perjalanan dan urusan disepanjang perjalanan. Terbiasa waktu memulakan perjalanan kami selalunya selepas solat awal waktu selepas azan. Selepas solat Zohor. Selepas solat Asar. Selepas solat Maghrib. Awal pagi selepas solat Subuh.

Kita beritahu suami. Memang bercadang singgah Seremban 2. Bolehlah sesiapa yang belum solat itu bersolat di surau Jusco Seremban 2. Bercadang singgah Seremban 2 kerana mahu beli coklat. Hadiah coklat buat keluarga di Johor Bahru.

Kali kedua kereta diberhentikan di parkir luar bangunan Jusco Seremban 2. Kali pertama. Larut malam sales pemegang kad Jusco pada bulan Mei lalu. Malam kita beli kamera baru. Malam sebelum keesokan harinya bercuti berdua pergi Pulau Banding. Seminggu sebelum terbang pergi Melbourne. Berkira-kira ini hanyalah kamera sementara. Kamera kedua. Sebelum beli kamera lebih bagus. Malam beli kamera baru itu. Dapatlah percuma boucer RM10 lebih dari sepuluh. Masih belum guna semua boucer-boucer ini. Selalunya bila singgah sini. Kami guna parkir di dalam bangunan.

Suami menunggu di dalam kereta. Tiga laptop di dalam but kereta. Malaslah mengusung bawa keluar semua laptop. Pernahlah terbaca. Juga diberitahu polis bapa kepada kawan seorang puteri kami. Ada alat buat mengesan laptop ditinggalkan di dalam but kereta.

Su dan Suraya terus menuju pasaraya. Idris dan Safura pergi surau. Berpisah di hadapan lif. Kami tidak bercadang menjengah Jusco. Nanti teralit terleka. Kebetulan pula Jusco masih lagi berjualan murah. Nanti mungkin Nenda Johor Bahru membebel perli kalaulah tahu kami sempat singgah bershopping-shopping sebelum sampai Johor Bahru. Nanti membebel berkelabu wajah orang yang sedang menunggu di dalam kereta itu. Su dan tiga cahaya mata pun sebenarnya baru saja beberapa hari lepas shopping sini.

Snggah pasaraya sekadar beli dua bekas Biskut Nestum dan dua kotak besar coklat Cadburi. Coklat sebagai buah tangan buat keluarga dua adinda. Buah tangan buat Bonda sudah dibeli malam tadi di Alamanda.

Singgah Watson hanya beli syampu rambut. Suraya datang kala Su sedang beratur menunggu giliran di kaunter bayaran. Suraya dari kedai kasut.

Tegur gadis India petugas di kaunter bayaran. Gadis India manis ini mulanya Su fikirkan orang Melayu. Tak balik kampung? Raya pun shopping?

Singgah surau. Alang-alang hujung waktu Zohor. Solat Asar dulu. Mahu tunggu waktu Asar. Suraya menunggu di luar surau. Bangku di sebelah surau.

Menunggu di surau dalam lima belas minit. Menelefon suami menanyakan waktu Asar. Selepas itu barulah terpandangkan jadual solat di dinding surau. Asar Seremban pukul 4 suku. Hanya kita seorang di dalam surau. Bising bunyi suara-suara orang muda dalam bahasa Cina di luar surau. Surau bersebelahan tandas.

Keluar dari surau seusai solat Asar. Hilang pula Suraya. Tadi Suraya tunggu di bangku sambil tangan berSMS. Menelefon menanya Suraya di mana. Suraya singgah satu kedai kasut di tingkat G.

Menaiki lif turun ke tingkat G. Terlihatkan Suraya di kedai kasut. Sehari dua ini Suraya shopping kasut raya. Belum ketemu kasut menambat mata. Mak terus ke kereta tau. Adik jangan lama. Nanti Abah marah.

Sebelum itu menelefon Idris dan Safura mana pula hilang. Mengarahkan segera ke surau solat Asar.

Tiba-tiba rasa lapar. Baru teringat. Belum makan tengah hari. Walhal sudah pukul empat setengah petang. Mulanya berkira-kira mahu beli Kentang Goreng dari memana restoran makanan segera. Ramailah pula orang berbaris menunggu. Cuti hari raya. Sesak ramai mall dengan orang China. Hanya kami saja kot orang Melayu. Selain dari pengawal orang Melayu dan mereka bertugas di bangunan dan kedai-kedai di mall ini.

Tadi sesampai Su dan Suraya di ruang legar berhadapan pintu utama Jusco sebelah kafe kopi. Bersebelahan dengan ruang play centre berwarna-warni. Kami berselisih dengan seorang petugas kedai berketurunan Cina. Lelaki Cina berbaju Melayu sepasang warna hijau. Su senyum mengomen sambil mata meleret pandang. Komen kita pada Suraya. Segak lelaki Cina tu berbaju Melayu. Entah-entah orang Melayu bermata sepet berkulit cerah. Bagaimanapun pada firasat saya. Wajah lelaki itu memang air muka orang Cina. Suraya pun mengandaikan begitu.

Keluar dari pintu bangunan Jusco lalu pintu di sebelah kafe kopi. Sebelum mengarah ke kereta parking sedikit hujung dari pintu. Syukur sempat mata terpandang kereta sudah suami pindahkan berhampiran dengan pintu. Lalu tidaklah penat kita berjalan jauh mahu ke kereta. Lalu tepi dua wanita Melayu berurusan hal dengan pengawal keselamatan bermotosikal. Siap lagi bertukaran tangan baca dokumen. Mengandaikan mereka ini staff bangunan mall ini.

Kata pertama kala memasuki kereta. " Su suruh budak-budak tu solat Asar dulu. "

Suami pun mahu solat Asar. Giliran kita pula menunggu di dalam kereta. Sementara menunggu. Merakamkan gambar sekitar mall. Gambar tertera. Kereta kuning krim itu di hadapan kereta kami. Sejurus selepas merakamkan gambar ini. Idris lalu tepi kereta ini dari pintu utama Jusco di hadapan sebelah kiri.

Terlihatkan kelibat Idris berdiri di luar Starbucks Cafe. Idris tercari-cari mana kereta. Kita melambai-lambai sakan. Tangan kiri melambai-lambai keluar dari tingkap kiri kereta. Idris tidak perasan ibu melambai. Menelefon Idris. Lima minit kemudiannya datanglah Idris.

" Hensemlah anak Mak pakai songkok dengan baju Melayu. "

Baju Melayu dengan seluar jeans. Sepadan warna biru.

Alhamdulillah berkumpul semua sekitar pukul lima. Semua mulai mengadu lapar. Kami bercadang singgah makan di Restoran Jejantas PLUS Ayer Keroh. Sementara itu. Tiga anakanda makan biskut dan coklat baru dibeli di Jusco. Idris pula. Sebelum datang dua kekanda. Sudah habis makan satu bungkus biskut gulung coklat. Biskut rokok panjang. Kita minta satu biskutnya. Sudah habis dimakan Idris. Idris suka biskut tu? Nanti kita balik rumah. Mak beli satu tin besar biskut tu. Sesekali boleh makan di dalam kereta.

Suraya sambung memandu dari Jusco Seremban. Jangkanya bertukar pemandu selepas singgah Melaka. Su mencadangkan Suraya terus sajalah memandu sampai Johor Bahru. Safura memandu bila pulang nanti dari Johor Bahru.

Sebelum kereta mula meninggalkan kawasan mall. Minta kusyen kita dibawa dari rumah. Kusyen tadi tersimpan di kerusi belakang. Kusyen coklat muda beli dari Ikea. Kusyen buat selesa diletakkan di atas riba. Kebiasaan Su begini kalau berkereta jauh beratusan batu. Kamera pun sentiasa di atas riba.

Alhamdulillah kembali selesa menyambung perjalanan satu hari 1 Syawal 1428H dari Bandar Baru Bangi pulang Johor Bahru.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Larut malam bersaujana kekwa merah ungu berpawana hutan danau ungu

Chrysanthemum merah jambu malam Lenggong tepian danau


Terlalu berselirat penuh himpunan cerita sampaikan kurang muktamad keputusan mahu mendahulukan kisahan yang mana satu. Hari ketiga demam berselsema. Seusai pulang dari cuti-cuti tiga negeri pantai timur. Sedari pulang dari Melbourne. Tanpa dirancang. Berulang pergi selalu pantai timur. Hutan bukit bergunung-ganang. Pantai berpasir halus bersaujana samudera. Hening harmoni danau mempesona.

Mahu mencatat tulis satu peristiwa ini masih kuat melekat ingat dalam ingatan. Mahu merakamkan kenangan pada satu malam terpandangkan satu kemalangan. Kesan dari terpandangkan kemalangan ini begitu melekat kuat sampailah kini. Sebelum kembali kepada cerita Melbourne. Masih berwawasan mahu membereskan catatan kenangan Melbourne winter tahun ini.

Dua minggu lepas. Petang hari Jumaat 17 Ogos. Sehari sebelum hari berulang tahun perkahwinan. Berdua dengan suami ke Pulau Banding. Beransur dari Bandar Baru Bangi selepas pukul lima petang. Rancangan awalnya Idris turut ikut sama. Terpaksa Idris tinggal bersama dua kekanda bila tiba-tiba guru mengumumkan ada kelas tambahan hari Sabtu. Menuju Gemilang sebelum PMR 2007 bulan Oktober nanti.

Singgah petang Restoran Jejantas Sungai Buloh menjelang rembang pukul enam. Suami makan Meehoon Sup. Su sekadar minum Nescafe O panas. Ramai pemusafir singgah petang. Sementelah bermula cuti sekolah. Bersusun bas sekolah berasrama di parkir kawasan rehat. Merakamkan gambar bunting dan bendera Jalur Gemilang meraikan Hari Merdeka. Seminggu dua ini. Kerap merakamkan suasana berkibaran Jalur Gemilang.

Singgah makan malam di Kawasan Rehat bersebelahan dengan Jambatan Raja Muda Nazrin sekitar pukul 10 setengah malam. Kawasan rehat di atas bukit sekitar Lenggong. Singgahan kali kedua dalam masa sebulan. Singgahan pertama pada bulan lepas dalam hujan lebat lewat petang menjelang malam. Singgahan kali ini mulai larut malam. Pun selepas hujan turun awal malam selepas melepasi plaza tol menuju Lenggong.

Makan nasi putih panas-panas berlaukkan Ikan Tilapia Bakar mencecah selera. Sambal Belacan bergaulan tempoyak memecah selera. Ulam-ulaman petai dan daun gajus muda membangkit selera. Pacri Terung gulai kegemaran. Teh O Limau panas selepas makan.

Selepas makan. Suami singgah tandas sunyi sepi malam. Su sendirian menunggu di dalam kereta. Kawasan rehat sunyi malam. Hanya satu dua kedai makan masih buka larut malam. Sesekali lalu sekawan orang muda bermotosikal. Sunyi hening kawasan rehat tepi danau. Berhati-hati bercega bila lama menunggu seorang. Bukan takut pada hantu. Apa-apa hal. Tangan mahu bersegera pantas pada hon kereta. Bukanlah kita mahu berburuk sangka. Sekadar berhati-hati.

Seusai kembali suami dari kamar rehat tepi danau. Su keluar dari kereta. Merakamkan gambar seperdu pohon bunga kekwa berwarna merah. Su berkisah pada suami. Itulah pokok bunga kekwa. Atau chrysanthemum. Masa berumah di utara Taiping. Memang bersusun perdu pokok bunga kekwa di halaman rumah. Bunga kekwa warna ungu muda.

Kala kereta berhenti di simpang sebelum keluar dari kawasan rehat. Satu kereta kecil di tepi simpang. Kalau tidak silap. Kereta berwarna biru. Komen kita pada suami. Kenapa kereta itu senyap terus-terusan menunggu di tepi simpang itu. Tidaklah pula meneruskan perjalanan walaupun tiada kenderaan menghalang lalu. Seorang lelaki muda Melayu di dalam kereta. Anak muda ini relaks tanpa memegang setereng kereta.

Belum berapa lama dari jambatan. Simpang menuju MRSM Lenggong. Kelihatan dua kereta tersadai di tengah jalan. Kiranya kemalangan baru berlaku belum pun lama.

Mata pandang sana sini. Terpandang tepi jalan. Kus semangat. Terpandangkan sekujur tubuh bertutup muka dengan kain batik sarung. Tubuh lelaki kurang pasti bangsa tetapi orangnya muda. Mungkin sekitar awal 30-an.

Tiba-tiba.. Tersirap darah. Kus semangat. Kata Su pada suami. Hissh.. Tersilaplah tadi sebab terpandang. Mana nak sangka ada orang mati kat tepi tu. Mata bagaikan terlihat sesuatu kurang patut terlihat. Selayangan semangat hitam. Seram dingin badan. Kita ini terbiasa mudah terlihat kelibat bayangan itu ini.

Berceritalah kita pada suami yang kurang perasan pada sekujur tubuh baru meninggal dunia itu. Suami lebih terpandangkan pada dua buah kereta berkemalangan. Satu kereta merah sedan. Satu kereta kecil mungkin Kancil atau Kenari. Pecahan kaca berterabur di atas jalan. Sekumpulan wanita Melayu berbaju kurung bertudung di tepi jalan. Beberapa kereta lain di tepi jalan. Membantu mangsa kemalangan.

Pertama kali Su terlihatkan jenazah meninggal dunia sejurus baru selepas kemalangan. Jenazahnya keras bagaikan batang kayu. Berbeza dengan jenazah selalu dilihat. Mereka meninggal dunia kerana sakit dan sebagainya. Begitu mungkin jenazah mati terkejut. Keras sebegitu sekali.

Bacaan spontan selepas terpandang jenazah tepi jalan itu. Innalillahiwainnailaihirojiun..

Kemudiannya badan mula dingin semacam. Bacaan Auzubillah.. Bacaan sebagainya.

Juga hati ini mulai dub dab dub dab. Lenggong dan Kuala Kangsar ini. Juga Taiping dan Gerik. Ramai kaum kerabat. Janganlah kemalangan itu tadi melibatkan sesiapa yang kita kenali. Janganlah saudara-mara sekitar mukim kawasan kemalangan.

Berceritalah kita pada suami. Kisah seorang ibu ini. Pagi ke tempat kerja. Kereta susur lalu satu kemalangan jalan raya. Ibu ini memperlahankan kereta. Menjengah pandang kemalangan. Kemudiannya bila ibu ini sampai pejabat. Panggilan telefon. Rupa-rupanya kemalangan pagi itu melibatkan anak kepada ibu ini. Anak remaja ini meninggal dunia di tempat kemalangan. Walhal pagi kemalangan itu. Ibu mangsa ini menjengah-jengah pandang kawasan kemalangan. Kemalangan berhampiran bandar kediaman kami.

Sejurus selepas beberapa kilometer selepas Lenggong. Lebih kurang setengah jam dari simpang berkemalangan tadi. Kelihatan satu ambulan datang dari Gerik. Kata suami. Mungkin itu ambulan ke tempat kemalangan. Komen kita. Kenapa lambat benar datang ambulannya.

Lebih kurang setengah jam selepas meninggalkan tempat kemalangan. Sekitar pukul 12 malam. Tiba-tiba Su terperasankan satu lori ini seakan-akan mahu menghimpit dari sebelah kiri. Kedudukan lori begitu rapat dengan kereta kami. Suami melajukan kereta. Lori ini semakin merapati. Malah berkali-kali meninggikan lampu. Rungut suami bernada mulai marah. Kalau nak potong.. Potong sajalah.

Sesekali lori ini meninggikan lampu sampai terkejutlah kami bila tiba-tiba lampu dari lori ini menerang-benderang dalam kereta kami. Bagaikan tiba-tiba disambar cahaya kilat. Suami memotong lori di hadapan kami. Peliknya lori tadi turut memotong lori di hadapan kami. Kemudiannya lori besar ini berterus-terusanlah pula laju mengekori kami. Juga berterus-terusan meninggikan lampu. Suami melajukan kereta. Tertinggal jauh lori ini.

Menghampiri bandar Gerik. Tiba-tiba satu kenderaan lain mengekori kami. Pun kereta ini turut berkali-kali meninggikan lampu. Sesekali membunyikan hon. Barulah kami perasan. Lori tadi sebenarnya mahu beritahu sesuatu. Bukannya mahu memotong.

Kami saling bertanya. Semua pintu kereta tutup rapat. Kain Su tidaklah tersangkut pada pintu sebagaimana keraplah juga begitu. But kereta? But kereta tidak dibuka sedari meninggalkan rumah.

Kita pula berkomen. Perasan tak? Lori ni ikut kita selepas kawasan kemalangan tadi tu. Hai! Ada yang menumpang kat belakang ke?

Sambung suami sambil ketawa. Kot kot ada yang tercongok kat belakang tu.

Berceritalah kita. Pengalaman orang memandu larut malam tepi hutan. Bagaimana ada orang lain terlihatkan ada kelibat lembaga menumpang di dalam kereta.

Suami berzikir perlahan. Kita mendoakan keselamatan. Memang sedari selepas tempuh lalu kawasan kemalangan. Terasa seram semacam. Bukan seram di dalam kereta. Lebih terkenangkan pada belakang kereta dan kawasan susuran lalu.

Alhamdulillah selamat sampai pusat bandar Gerik sekitar pukul 12 setengah malam. Selepas kereta diberhentikan di hadapan hotel. Suami memeriksa belakang kereta. Kita pun memeriksa pandang. Semuanya kelihatan okay. Tiada singgahan semangat hitam atau yang seumpamanya. Pun begitu tertanya-tanya kenapalah tadi kami diekori.

Malamnya Su mimpi kawasan kemalangan. Terlihatkan satu kelibat putih. Seperti orang tua beratusan tahun berselubung putih menutup badan. Juga terlihatkan satu kota batu lama serba putih di tepi jalan berlaku kemalangan. Kota batu ini di seberang longkang tepinya terbaring kaku mangsa kemalangan.

Keesokan pagi barulah kami tahu. Salah seorang dari mangsa kemalangan. Anak kecil meninggal dunia di dalam pelukan ibu. Ibu ini berjiran rumah dengan rumah seorang sahabat kami berkenduri durian pada bulan lalu. Kami lalu tepi rumah keluarga mangsa kemalangan ini pada bulan lalu. Rumah sahabat dan rumah mangsa kemalangan ini di hujung Gerik berdekatan Banding. Manakala lelaki meninggal dunia itu. Bukan orang tempatan sekitar Lenggong.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Selamat datang berimbasan memori segar Philip Island pulau alam Victoria

Wisata Pulau Philip Nature Island Australia


Sebelum sambung cerita Melbourne tahun ini. Imbasan kenangan bercuti dua hari wisata Philip Island musim winter setahun lalu. Catatan buat merekod kenangan. Winter 28 Jun tahun lalu. Segar memori walaupun setahun telah berlalu. Kisahan ini bersempena cerita meriah empat anakanda berwisata sehari Philip Island pada 2 Jun tahun ini.

Sebelum Cuti-Cuti Melbourne tahun lalu. Belumlah Su tahu apa-apa tentang Philip Island. Pertama kali mendengarkan nama Philip Island ini. Bila tahun lepas pasangan anakanda mencadangkan kami bercuti bermalam pergi Philip Island pulau penguin. Bersetuju bila diberitahu Philip Island ini pulau bertaman haiwan-haiwan asal negara Australia seperti kanggaroo dan beruang koala. Mengenangkan putera mahkota. Wisata melihat haiwan memang minat Idris. Putera ini meminati bacaan berkaitan zoologi dan botani.

Mulanya saya fikirkan Philip itu bersempena dengan nama Putera Philip suami Queen Elizabeth. Philip itu Arthur Philip gabenor pertama Philip Island pada awal tahun 1800-an. Tidaklah pula dinamakan bersempena dengan nama George Bass penemu pulau ini dari Westernport Bay pada bulan Januari tahun 1798. Pendaratan kali kedua dibulan sama di Pantai Rhyll bersama Matthew Flinders. Memorial tempat pendaratan ini di Pier Rhyll. Pantai Rhyll Philip Island pada hari ini.

George Bass dan Mathew Flinders berasal dari Linconshire, England. Kedua-duanya tentera laut. Bass seorang doktor tentera laut seawal umur lapan belas tahun. Flinders menukar nama Terra Australis kepada Australia. Penulis A Voyage To Terra Australis. Juga menamakan Port Lincon bersempena dengan nama Linconshire. Tadi sempat baca sepintas lalu biografi dua explorer Australia berasal dari England ini

Nama Flinders itu mengingatkan kepada Stesen Flinders Street kota Melbourne. Stesen keretapi utama kota Melbourne. Bass Coast di pulau ini. Kemungkinan kot bersempena dengan nama George Bass itu. Juga nama Bass itu. Spontan mengingatkan kepada ikan bass. George Bass kedengaran seakan-akan George Best. Lagenda bola itu.

Sebelum itu pulau ini beribu-ribu tahun lamanya didiami awal oleh aborigin Bunurong. Keluarga McHaffie merupakan pemukim pertama Philip Island pada tahun 1840-an. Kini pulau ini dengan lebih kurang 7,000 orang pemastautin tetap. Mungkin lebih ramai pemastautin pulau ini merupakan mereka yang datang sesekali bercuti di rumah-rumah musim panas di pulau ini. Itu belum dikira betapa ramai pelancong dari serata dunia.

Gemawan redup pagi winter Victoria


28 Jun tahun lepas. Berempat kami dari Richardson Hall kolej kediaman universiti seawal pukul lapan pagi terang matahari. Pagi segar itu Monash sedikit dingin bukan kerana suhu. Suhu berbelas-belas celcius. Panas bagi musim winter. Dingin segar berhembusan halus mulus pawana winter benua selatan bulan Jun. Berbeza dengan negara-negara di sebelah hemisphere utara bermusim winter hujung tahun.

Kelihatan lalu dua pelajar perempuan Malaysia kala kami baru memasuki kereta di parkir kolej. Pelajar junior pasangan anakanda. Sebenarnya lengang kawasan kolej atau hall. Ramai pulang bercuti musim winter. Hanya sesekali berkelibat pandang pelajar. Selesa buat tetamu dari Malaysia bersenyap-senyap Hai Hong.

Menuju Philip Island di selatan timur Melbourne. South Eastern Freeway. Selepas itu South Gippsland Highway. Sampailah satu bulatan besar namanya Anderson. Selepas bandar-bandar kecil tepi lebuhraya dengan nama-nama menggapai tanya silam asal-usul nama. Misalnya Tooradin dan Grantville. Ini sebelum sampai bandar kecil San Remo.

San Remo bandar nelayan hujung tanah besar berpandangan tanah Philip Island selepas jambatan. Jambatan merentasi Selat Bass. Kala kereta susuri lebuhraya menuju San Remo. Kelihatan Philip Island di seberang sana. Pagi terang baru pukul 10. Kala kereta susur perlahan menuju bandar paling hujung sebelum jambatan penghubung.

Entah kenapa. San Remo ini mengingatkan kepada pekan-pekan kecil dalam siri cerita koboi di kaca tv masa saya kecil dulu. Masa saya kecil dulu. Memang meminati siri-siri koboi tv. The High Chaparral. The Virginians. The Big Valley. Walhal San Remo ini bandar nelayan tepi laut. Mungkin kerana saiz kecil pekan.

Antara papan tanda terawal menghampiri San Remo. Gemar merakamkan gambar papan tanda di tepi jalan. Papan tanda bertulis selamat datang. Welcome To Phillip Island & Gippsland Discovery. Gippsland wilayah selatan Melbourne sampai Philip Island.

Sampai Philip Island lebih kurang pukul 10.30 pagi. Singgah Pusat Informasi Philip Island di pangkal pulau. Hanya beberapa meter selepas jambatan menghubungkan San Remo di tanah besar dengan Newhaven pangkal pulau. Newhaven bandar utama Philip Island.

Mulanya Su bersendirian menunggu di dalam kereta. Tiga anakanda menjengah pusat informasi binaan papan berwarna hijau lembut. Bertepatan dengan moto pulau sebagai Nature Island. Parkir di belakang pusat informasi tanpa turapan. Basah sepatu bila tanah basah selepas mungkin hujan malam tadi. Tanah parkir berpasir lembab kurang rumput. Bagaikan melawat kampung Australia. Memang pun antara hajat wisata. Mahu melihat suasana lain dari pandangan bandaraya Melbourne. Pemandangan kampung-kampung dan pendalaman bukan terlalu hulu. Kawasan parkir berpasir ini menuruni bukit landai. Bangunan pejabat informasi di atas bukit rendah mengadap pandang lebuhraya.

Redup lawa bangunan namun kurang mesra pelanggan @ Philip Island


Sudahnya Su keluar juga dari kereta. Menjengah bangunan informasi bila Naza bercerita tentang informasi berkaitan pulau di pusat itu. Pun sebenarnya sekadar mahu menjengah kedai menjual cenderamata. Bila kemudiannya tahu pejabat informasi itu ada kedai menjual cenderamata. Souvenir shop. Idris menemani ibu. Walaupun pada awalnya Idris sudah menjengah pejabat informasi bersama dua kekanda. Putera hati peneman setia ibu. Mudah-mudahan berterusan begitu. Putera tunggal meredup hati.

Sebelum sampai bangunan papan hijau. Merakamkan gambar tiga anakanda bersibukan membaca info di pondok kecil After Hours Information. Pondok papan bagaikan wakaf tanpa pangkin. Hanya beberapa meter dari bangunan informasi.

Hanya Su dan Idris pelanggan kedai lengang bersunyi sepi. Beli dua patung lembut gebu kanggaroo kecil berharga AUD5 setiap satu. Warna biru kelabu dan warna coklat gelap. Satu daripadanya sebagai cenderamata buat guru kelas Idris. Guru perempuan ini bergurau berpesan. Jangan lupa beli hadiah dari Australia untuk cikgu. Ini bila Idris hantar surat pemberitahuan bercuti dua minggu ke Australia. Perkara biasa. Idris beri surat cuti sekolah kerana mahu mengikut keluarga pergi bercuti. Guru kurang mengomen kerana pelajaran Idris Alhamdulillah bagus. Antara pelajar lelaki terbagus pelajaran dalam kelas. Mudah-mudahan begitulah seterusnya. Semoga masin kata catat ini.

Wanita orang putih bertugas kurang mesra. Layanan tanpa senyuman. Barangan dibeli tidak dibungkus dalam beg walaupun sekadar beg kertas. Tanpa bertanyakan kalau kita mahu beg. Tidaklah mesra sebagaimana ramai orang putih kebetulan sebelum itu rata-ratanya Su jumpa mesra mudah senyum. Orang putih di Melbourne. Ini bukan wajah selamba. Lebih kepada kurang mesra bagaikan kurang selesa diganggu. Member sedang mengadap komputer. Manakala seorang lagi pekerja lagi. Berurusan menjawab panggilan telefon. Kedengaran seperti panggilan dari pelanggan. Pekerja lelaki berjanggut.

Komen dalam hati hari itu. Ini baru kampung pendalaman berdekatan Melbourne. Belum berkembara jauh lagi. Belum pun keluar dari Victoria.

Kenangan Philip Island. Kaunter pusat informasi atau Information Centre kurang mesra pelancong. Bercadang konon-kononnya mahu menulis surat atau e-mel kepada pusat ini. Maniskan sedikit wajah pada pelancong datang jauh beribuan batu. Sudahnya sudah pun setahun. Sudahnya belum pun lagi bertulis. Pun begitu mahu tulis juga satu hari nanti. Komen pelancong dari jauh.

Gambar di tengah itu. Pemandangan perjalanan seawal sampai Philip Island. Mendung pagi selepas terang cerah Monash. Terpaut pandangan pada awan biru gemawan rendah bagaikan kanopi beralun. Bagaikan baldu putih memayungi bumi. Awan gemawan sini memang kelihatan rendah. Sebagaimana bawah rendah negara down under berlanskap istimewa tersendiri ini. Bagi Su gemar memerhati pandang pesona panorama sekeliling. Awan rendah ini satu kelainan istimewa Australia.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counter Tetamu Rasanubari

Sampai awal malam Kuala Berang bandar bersejarah silam batu bersurat



Sepetang 5 November 2006 dari bandar kediaman pergi Kuala Berang. Update pada 1 April 2007. Sehari dua ini mulai kurang sihat semula. Malas menghadap pandang jurnal sendiri. Sambung catatan kembara Terengganu November 2006 mengenangkan sudah 1 April. Belum berupdate catat bersusun rakaman catatan tersimpan sedari 1 Januari 2007. Lalu 1 April 2007 merakamkan catatan cerita 5 November tahun lalu.

Sampai bandar Kuala Berang selepas senja berawal malam. Hanya kurang satu jam dari simpang tiga Bukit Besi-Dungun-Kuala Berang-Kuala Terengganu. Perjalanan mahu Su mengulangi lalu kalau berkesempatan lagi. Kalau panjang umur dan dimurahkan rezeki. Petang ini kurang pandang memandang tepi memandangkan hari semakin gelap kelam. Sementelah semakin letih memandangkan lebih setengah hari berkereta. Sementelah masih belum hilang penat sana sini bertandang musim raya 2006 seminggu dua ini.

Selepas bertukar pemandu selepas simpang tiga itu. Hari semakin gelap. Kurang perasan lagi pada pemandangan. Lebih kepada leka berbual-bual. Berbual itu ini memeriah kalbu.

Simpang tiga sebelum suami kembali bertukar memandu dengan Safura. Safura hanya memandu kembali lebih kurang 10 minit. Simpang tiga dengan kain rentang berucap Selamat Hari Raya Aidilfitri dari VIP-VIP negeri. Poster bunting Enapan Tar Berlaku Dalam Paru-Paru Akibat Rokok. Iklan Tak Nak Merokok. Poster kolej IPT swasta. Poster Unit Perancang Negeri bertulis Terengganu Tiada Halangan Hanyalah Peluang. Bertiang bendera-bendera negeri dan bendera-bendera parti pemerintah di belakang dua bunting rentang ucap Selamat Hari Raya Aidilfiri.

Su pernah catatkan mungkin lebih dari sekali. Suami kita suka menjawab soalan dan pandangan kita dengan soalan. Kelakar cerita kami. Berbeza hal kalau dengan orang lain bukan keluarga. Jawapan bersetuju ya, bah, alright, okay, Insya-Allah bermanis wajah. Sekadar bercerita. Sudah lali terbiasa. Bagaimanapun hari ini member bermood dengan senang hati bersetuju bila Su mengomen tentang susur lalu ke Kuala Berang-Kuala Terengganu ikut Highway Jerangau dari Kuantan. Jarang amat member dengan mood begini kalau dengan kita ini. Lain cerita kalau dengan handai taulan.

" Cepat lagi kan kalau lalu sini.. Banding dengan jalan ikut tepi laut sana. Tapi kalau siang macam ni okaylah. Kalau malam lepas pukul 10 kurang selesalah. Mesti sunyi lalu sini. Lalu ladang dengan hutan. Tepi laut sana hampir sepanjang jalan terang. "

Kali akhir kami berkereta ke Kuala Terengganu. Perjalanan lewat malam sampai Kuala Terengganu selepas pukul 12 malam. Itu akhir bagi Su dan cahayamata. Suami selalu berulang pergi pantai timur berkenderaan universiti.

Bersahutan setuju suami. Betul.. Betul.. Jarang terdengar di telinga ini komen setuju begini. Hari ini member bermood bagus.

Sambung lagi komen Su. Pandangan hanya selepas pertama kali lalu sini.

" Kalau ada urusan kerja macam ni. Okaylah lalu sini. Tapi kalau saja-saja bercuti. Su lebih suka jalan tepi laut sana. Tapi kalau lalu sini dapat tengok tempat-tempat sini. Lalu Jerangau. Lalu Bukit Besi.. Lalu kampung-kampung pendalaman. Boleh lalu sini sekali lagi kot. Lain kali kita singgah pekan Bukit Besi tu.. "

Kereta diberhentikan di tepi jalan di seberang sana rumah tumpangan jangkanya kami mahu bermalam. Bandar Kuala Berang awal malam.

Suami menelefon pembantu penyelidik sudah berehat di rumah tumpangan. Menanyakan tentang rumah rehat VIP itu. Su pula pandang sana pandang sini. Inilah pertama kali Su sampai bandar bersejarah ini. Sedari bersekolah rendah Su tahu Kuala Berang sebagai Bandar Batu Bersurat. Lama berhajat datang sini. Baru ini sampai sini.

Deretan kedai di tepi jalan lurus di tengah-tengah bandar. Bandar sunyi walaupun baru berawal malam. Kebanyakan kedai tutup malam. Jalan lurus di tengah bandar. Jalan lurus menuju Tasik Kenyir dan hulu negeri.

Tiada unit kosong rumah VIP. Hanya berjaya menyewa satu unit rumah rehat VIP dengan beberapa kamar tidur. Unit rumah ini buat semua ahli rombongan penyelidikan ini. Kami perlu satu unit keluarga berasingan. Perlu menunggu selepas pukul 10. Seorang VIP itu belum pasti mahu bermalam sini malam ini atau pulang ke bandar asal. Lambat kalau mahu tunggu pukul 10. Baru pukul 8 malam.

Su mencadangkan kami terus pergi Tasik Kenyir Resort. Masalahnya resort itu terpencil. Satu hal pula nanti mahu berpatah semula pergi Kuala Berang buatnya nanti tiada chalet kosong di Kenyir sana. Satu hal pula malam-malam begini mahu cari chalet berkategori terpencil sekitar danau atas bukit sana. Kami selalunya berkembara tanpa menempah hotel terlebih dahulu. Su senang begini kerana kadang-kadang kami bersinggah tanpa dirancang di memana singgahan kalau pemandu penat dan sebagainya.

Kereta terus mara pergi hadapan. Melihat-lihat kalau ada kelibat hotel. Awal-awal lagi Su beritahu. Tidak kisahlah murah bagaimanapun hotel asalkan bersih. Bagaimanapun tiada terpandang di mata memana hotel bandar.

Suami menunjukkan simpang kiri kalau mahu ke Kompleks Batu Bersurat Kuala Berang di sebelah kiri jalan. Simpang sebelum batu tanda besar warna merah terracotta bercatat nama bandar di atas danau.

Berpatah semula menghala ke rumah tumpangan tepi jalan. Kereta diberhentikan di hadapan rumah tumpangan. Suami menelefon pula seorang lagi geng rombongan kini sedang dalam perjalanan dari Bangi ke Kuala Berang. Rombongan kereta yang ke tiga dalam rombongan ini jangkanya tiba Kuala Berang sekitar pukul 10 malam. Bakal bersusul satu lagi rombongan dengan wakil dari J** dan kerajaan negeri. Penyelidikan konsultansi ini berkaitan tanah hutan negeri. Konsultansi suami sebagai pakar perunding penyelidikan.

Berbincang-bincang. Su menanyakan berapa jauh Kuala Berang dari Kuala Terengganu. Berapa jauh Kuala Berang dari Tasik Kenyir. Su belum pernah sampai sini. Tasik Kenyir lebih dekat dengan Kuala Berang tetapi belum tentu lagi beroleh tempat bermalam. Kuala Terengganu sedikit jauh tetapi hanya lebih kurang 45 minit memandu. Kuala Terengganu berpilihan deretan hotel. Sudah tahu mana-mana hotel bagus disinggah.

Komen Su kala memikir-mikir pilihan rancangan seterusnya.

" Lupalah pula sebelum pergi tadi baca kat internet fasal hotel-hotel kat kawasan sini. "

Selalunya Su buat sedikit survey tentang destinasi bakal kami singgah pergi. Kuala Terengganu selalu sampai. Selalu terbaca tentang Kenyir dan danau. Terlupa pagi tadi survey tentang pilihan penginapan di bandar batu bersurat ini. Sempat sebenarnya update satu entri jurnal sebelum berlepas memulakan perjalanan lewat pagi tadi.

Su mencadangkan bagus kami pergi Kuala Terengganu sajalah. Awal pagi esok kami hantar suami pergi Kuala Berang. Suami dan geng kerja lapangan bakal meneruskan perjalanan ke Hutan Hulu Terengganu seawal pagi dari sini. Kami bertiga bakal berpatah semula pergi Kuala Terengganu sebelum memulakan kembara kami samada ke Hulu Terengganu atau Kelantan. Suami bersetuju dan ke Kuala Terengganulah kami sekitar pukul 8 malam. Kenyir lebih dekat dengan Kuala Berang. Bagaimanapun bandar ibu negeri berpilihan tempat penginapan.

Perjalanan susur jalan terus lurus menuju bandar ibu negeri. Berbual-bual itu ini kami berdua suami isteri. Safura dan Idris lena tidur. Sepanjang perjalanan berpandangan terang lampu-lampu bangunan di kiri kanan kanan.

Lalu Ajil selepas Kuala Berang. Sekali lagi mengomen tempat pertama kali sampai. Ajil berbangunan terang benderang bagaikan bangunan gudang kilang. Oh sinilah Ajil. Ajil lebih kurang 35 kilometer dari ibu negeri. Selama ini Su belum pernah sampai mukim sekitar Hulu Terengganu. Hanya terbiasa lalu mukim-mukim sepanjang tepi laut sana.

Sembang itu ini. Berbual tentang sahabat-sahabat karib dari negeri kami sampai ini. Sahabat-sahabat berpasangan suami isteri orang Terengganu.

Juga berbual bila kali akhir suami ke Tasik Kenyir. Suami ingat-ingat lupa tetapi Su boleh ingat lebih kurang tarikh haribulan itu kerana catatan terekod pada entri Rasanubari. Berulang seperti biasa dialog begini. Nanti kita check kat jurnal.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari

Jalan Gambang berkenangan lalu bersimpang lalu Bukit Goh tempuh Jerangau

Merah samar rembang petang Temerloh


Sepetang 5 November 2006. Update pada 27 Mac 2007 hari Selasa panas berbahang.

Selepas Gambang dari Maran sekitar pukul 5.30 petang. Sebelum kawasan lapangan terbang kem tentera udara berkenangan singgahan pertama Kuantan sehari sebelum Su mendaftar di sekolah menengah sains itu. Sebelum berkelibatan kawasan sekolah itu. Kereta dipandu mengambil simpang kiri lalu Bukit Goh bukan terus ke Kuantan. Suami kembali memandu sebelum simpang ini memandangkan hanya suami berpengalaman lalu kawasan ini. Komen Su. Terlepas pandang sekolah lama saya.

Ini pengalaman pertama kali kami bertiga lalu simpang mengarah kawasan berpandangan perumahan kampung Felda Bukit Goh berladang hijau kelapa sawit mukim pendalaman Kuantan. Namun bukanlah pertama kali pada suami. Suami sudah biasa berulang lalu sini berurusan kerja lapangan penyelidikan konsultansi.

Pandangan istimewa pada mata kerana rumah-rumah Felda di tepi jalan besar. Kawasan Felda bukan jauh dari bandar besar bandar ibu negeri.

Lalu kawasan berpapan tanda kawasan-kawasan ladang Felda Jerangau bila kereta susur bersederhana laju lalu Jalan Kuantan-Jabor-Jerangau menghala Hulu Terengganu. Jerangau mengingatkan kepada seorang saudara sepupu.

Lalu Jerangau [Jerangau Highway] kawasan pembangunan Ketengah dengan komen Su bercerita. Jerangau Highway terbina lebih 20 tahun lalu namun selama ini kurang pasti kedudukannya di mana sampailah hari ini.

" Oh sinilah Jerangau. Isteri MA sepupu Su tu orang Jerangau lah. Barulah tahu Jerangau ni kat sini. Ingatkan jauh sangat ke dalam. Mungkin rumah Ina tu jauh ke dalam. "

Keluarga sepupu mempelawa kami ikut rombongan meminang Ina kini isteri MA sepupu Su. Peminangan itu sekitar hujung tahun 1990-an. Bertolaknya lewat malam dari Kuala Lumpur dan pulang keesokan petang. Kus semangat perjalanan jauh hanya dalam masa 24 jam. Cerita Allahyarham Pak Ngah. Jauh betul kampung dia. Masuk nun ke dalam. Bagaimanapun Su sekeluarga tidak ikut semasa hari meminang dan kenduri kahwin. Kebetulan suami berurusan kerja pada dua tarikh itu.

Sebenarnya Su pun ingat-ingat lupa samada kami hadir kenduri kahwin sepupu ini di Kuala Lumpur. Lupa kala sedang mencatat ini.

Berpandangan kampung-kampung comel sesekali terpandang papan tanda homestay. Khabarnya kawasan ini bertarikan hutan rekreasi lata berair terjun. Lata Chelemong.

Komen Su pula bila inilah pertama kali Su lalu bandar Bukit Besi dalam daerah Dungun. Entah kenapa Bukit Besi mengingatkan kepada belimbing besi. Mungkin kerana besi di hujung nama berseirama. Sungai Besi pun dikaitkan dengan lombong.

" Oh sinilah Bukit Besi. Inilah pertama kali Su sampai Bukit Besi."

Pertama kali dalam hidup kita sampai Bukit Besi. Bukit Besi merekodkan sejarah pernah tersenarai antara lombong besi terbesar dalam dunia selepas pembukaan lombong ini pada tahun 1916 oleh Nippon Mining Company. Lombong ini beralih tuan kepada syarikat Eastern Mining and Metal Comany dari Britain pada tahun 1949. Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua. Lombong besi ini mulai ditutup lewat dekad 1970-an.

Suami memang biasa sampai kawasan bekas lombong besi lama ini. Kajian tanah-tanah bekas kawasan lombong memang antara bidang suami. Lombong-lombong Bukit Besi, lombong tembaga Mamut, tanah bekas lombong di Kota Tinggi, Bukit Belimbing, merata lagi tanah berbukit bekas lombong di Malaysia.

Suami bercerita tentang satu rel lama keretapi dari Bukit Besi ke Dungun. Sambung kita bercerita. Jalan keretapi itu dibina orang putih buat mengangkut besi dari lombong ke pelabuhan di Kuala Dungun sana. Bukit Besi pekan pusat perlombongan. Dungun bandar penempatan orang putih pengusaha lombong dizaman kegemilangan Bukit Besi.

Beberapa orang sahabat karib disepanjang kehidupan berasal-usul dari daerah sini. Sahabat-sahabat sedari zaman baru meninggalkan sekolah. Antaranya ASH sahabat sedari minggu orientasi tahun 1 buat rindu kala mencatat ini.

Tadi awal perjalanan masih di negeri Pahang. Su bercerita tentang berkebetulan Su ramai sahabat kamcing berasal dari negeri destinasi hari ini. Lalu berkenang-kenang dan mengira siapa-siapa sahabat karib ngam sehati dan mereka ini berasal dari mana. Ini mengambil kira sahabat-sahabat kamcing melebihi 20 tahun.

Hilang siaran radio pilihan dari Kuala Lumpur selepas melepasi Bukit Besi. Bersiaran radio tempatan berloghat daerah Terengganu. Mata mulai berat amat. Terlelap mata sampailah kereta tiba di simpang tiga semakin redup hari. Simpang tiga antara Dungun, Bukit Besi dan Kuala Berang. Sebenarnya punyalah bertahan jangan terlelap mata. Terlelap bila mulai penat setengah hari berkereta. Safura dan Idris putera mahkota sudah lama lelap beradu sedari Bukit Goh lagi.

Mulanya kembali bertukar pemandu selepas simpang ini. Bertukar pemandu di Jalan Dungun ke Kuala Berang. Safura tersilap simpang. Tersalah faham pilihan simpang diberitahu bos kembali pindah duduk di belakang. Terpandu ke simpang pertama kanan jalan besar ke Kuala Berang.

Kala kereta berpatah semula di hadapan pintu pagar rumah comel teres setingkat. Suami kita beriya-iyalah menasihatkan Safura itu ini. Tunggu.. Tunggu. Motor tu. Tengok kiri kanan.. Sekejap-sekejab berkejutan dengan Hah! Tunggu.. Tunggu.. Kami yang lebih terkejut bila suami tiba-tiba menegur mengejut-ngejut. Terkejut berlagu kelakar.

Sudahnya kita menasihatkan suami sajalah memandu. Nanti satu hal pula bila tiba-tiba nanti ada yang diserang sakit dada. Kita sudah terbiasa dengan laju Safura memandu. Senyum-senyum suami kita. Bertukar semula pemandu di hadapan satu kedai runcit kecil di tepi jalan menuju Kuala Berang. Kedai runcit kampung binaan papan sedikit membukit rendah kawasan belakang kedai.

Pertama kali lalu jalan berpandangan kampung tepi jalan ke Kuala Berang. Hari semakin redup gelap kala kereta meluncur perlahan menuju Kuala Berang. Mata mulai penat mahu pandang memandang. Pun begitu belum letih berbual-bual disepanjang berwilmana menuju bandar batu bersurat. Masa-masa berkereta begini selalunya masa-masa santai berbual sampai penat mencari bahan mahu dibual cerita.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari