Tags: saturday

Pergi utara lagi hanya tiga hari selepas Nibong Tebal sempat lagi singgah Kopitiam Bangi

Sarapan pagi Roti Bakar Kopitiam Bangi


Hari Khamis 30 April. Sudah Jun mulai melambai Julai waima masih dengan kisah dibulan April. Tulis ikut suka ikut mood semasa. Mood semasa mahu mencatat buat entri terkini. Mahu sebenarnya mencatat cerita terkini tetapi malaslah pula mengarang tulis panjang. Entri ini sudah lama dalam draft.

Hari Rabu hari Muhammad Idris selesai Kejohanan Taekwondo Se-MRSM di Nibong Tebal. Malamnya sepulang Idris dari Nibong Tebal sampai maktab sendiri. Panggilan telefon dari Idris lewat malam.

" 1 Mei ni boleh balik rumah tapi Idris lambat bagi nama. Bas dah penuh. "

" Okay Ayang tunggu sekejap. Mak nak tanya Baby. "

" Baby. Esok boleh kita pergi ambil Idris? Pergi balik hari. Macam biasalah. Upah upah.. "

Bila perlu pemandu berkelana jauh beratusan batu. Umpan selalu. Upah buat pemandu.

Wajah ceria suka bakal bertambah elaun pendapatan bulan ini. Ceria bersetuju.

" Okay esok Mak dengan Baby pergi jemput Ayang. Ayang tunggu je tau. "

Gamaknya Idris berharap-haraplah ibunya berkata. Tak de bas? Kalau macam tu tak payah baliklah. Tidaklah juga kita bertanyakan dulu pada suami kerana sudah menjangkakan kebarangkalian jawapan menampar telinga. Kalau tak de bas tak payahlah balik. Mungkin juga bukan begitu. Kini bila member baru tahu sebenarnya selama ini kita pergi sana sini mengupah pemandu. Member menurut saja. Sebenarnya bukan upah. Ganjaran kerana menyenangkan hati ibu.

Nasi Lemak Kopitiam Bangi sebelum pergi Penang


Makanya pagi ini. Keluar berdua dengan Safura selepas pukul sepuluh. Suami tidak ikut sama. Hari ini hari kerja. Sedikit wang petrol buat kami. Suraya pula kini pelajar berlatihan praktikal. Tempat berlatihan praktikal masih di bandar kediaman. Lalu sampai Julai ini. Bukan lagi hanya berdua.

Kami suami isteri pernah mengomen ramai pelajar masa kini gemar memilih tempat berlatihan industri berhampiran dengan rumah keluarga. Bukan seperti zaman kami dulu. Ramai mencari lokasi latihan jauh dari keluarga. Mencari pengalaman jauh dari tempat tinggal. Bila sampai masa anakanda sendiri. Su sendiri minta Suraya cari tempat latihan berhampiran rumah. Lebih selamat.

Mulanya jangkanya Suraya berlatihan di Melaka. Su mulai berusaha mencari serviced apartment sewa buat kami berdua. Alhamdulillah bila sudahnya berlatihan di Bangi.

" Kita nak singgah sarapan kat mana ni? Lepas tu tak payah berhenti dah. "

Mahu cepat kerana menurut kata Idris. Boleh pulang seawal pukul dua belas tengah hari. Cuti tiga hari kerana 1 Mei cuti Hari Pekerja.

Safura mencadangkan Kopitiam Bangi singgahan selalu. Setuju saja walaupun kita lebih berkira-kira mahu bersarapan di Restoran Jejantas PLUS Sungai Buluh. Itu singgahan bersarapan pagi kalau berwilmana berdua dengan suami.

Walaupun bukan hujung minggu. Seperti selalu bila singgah sini. Tetap ramai orang. Su hanya makan Roti Bakar dengan Telur Separuh Masak dan Scrambled Eggs. Safura berhidangan Nasi Lemak dengan Rendang Ayam.

Seperti selalu. Kerap benar Telur Separuh Masak kopitiam ini telurnya mentah. Minta tukarkan dengan telur lain. Saya kalau Telur Separuh Masak. Gemar kuning telur itu sedikit masak namun lembut bukan cair mentah.

Minum Teh O panas. Kopi bersusu buat Safura. Berdiri sebelah kami. Berdiri tepi kipas semacam pendingin udara. Dua pekerja restoran ini berbual dalam bahasa ganjil pada pendengaran kami. Bahasa daerah Indonesia tiada satu pun bunyi bahasa baku negara itu. Sama sebagaimana restoran di Jalan 11 itu. Restoran ini mulai berwajah ramai orang seberang.

Sarapan dan sembang-sembang. Pukul sebelas baru bermula perjalanan dari Bandar Baru Bangi. Itu pun sempat lagi singgah stesen petrol. Masuk Kedai Mesra beli air mineral dan singgah ATM.

Sembang-sembang sepanjang perjalanan. Perjalanan tanpa henti dari Bandar Baru Bangi pukul sebelas. Sampai sekolah Idris belum pukul tiga petang. Lengang parkir bukan seperti selalu kalau kami datang pada hujung minggu.

Safura telefon Idris. Idris belum mandi lagi.

Solat di surau MRSM ini. Senyap sunyi surau. Senyap sunyi sekolah. Ramai pulang hujung minggu cuti empat hari tiga malam. Surau lengang. Selain dari dua pelajar perempuan sedang solat. Seorang pelajar perempuan mengaji Al Quran selepas solat. Gamaknya tiga pelajar ini tidak pulang bercuti.

Penat teramat. Kuatkan hati dan badan. Sabar sabar. Kalau mahu pengsan pun. Tunggu sampai rumah.

Tunggu itu ini. Pergi sana sini. Sudahnya perjalanan dari sekolah Idris hanya selepas pukul empat.

Cucur Udang Penang Hentian  PLUS Juru


Singgah Kawasan Rehat PLUS. Ada dua meja panjang kosong. Sampai kami di meja panjang ini. Ada seorang lelaki di meja panjang sebelah beritahu kami. Meja itu ada orang. Hai tiada sesiapa pun di situ. Kami sampai situ dulu. Hai boleh senang-senang kata meja itu sudah dibooking. Tiada pun tanda booking seperti tinggalkan beg dan yang seangkatan. Malas cari fasal. Cari saja meja lain. Lelaki itu booking meja itu buat rombongan mereka ramai satu keluarga.

Makan Cucur Udang bercicahkan Kuah Kacang. Berbeza dengan Cucur Udang selatan atau kawasan tengah semenanjung berkuah Garam Lada atau Sos Cili cair. Cucur Udang sini kuahnya Kuah Kacang kacangnya kisar halus.

Tidak seperti kunjungan sini sebelum ini Cucur Udang ini panas-panas. Hari ini. Cucur Udangnya bukan baru lepas goreng buat kurang berselera makan. Kuahnya kurang sedap seperti selalu. Mungkin Safura beli cucur ini dari gerai lain. Bukan gerai Su biasa beli Cucur Udang bila singgah kawasan rehat ini.

Idris makan Nasi Ayam. Safura makan Laksa.

Bukan main lagi Idris. Sebelum keluar dari kereta. Salin baju. Tiada lagi kemeja batik berwarna biru. Salin pakai kemeja T Quicksilver beli di Melbourne. Ramainya pelajar sekolah Idris. Meja makan di sebelah kami. Satu keluarga dengan dua pelajar perempuan. Kata Idris. Itu junior. Begitu juga dengan meja makan di hadapan kami. Sekeluarga dengan seorang junior Idris. Pun pelajar junior perempuan.

Cerita Safura senyum-senyum selepas beli ABC dan Cucur Udang buat ibu.

" Budak perempuan sebelah tu tegur. Hai Abang Idris. "

Komen ibu. Komen bernada bergurau.

" Mesti laa kenal Abang Idris. Ketua pasukan rumah sukan. Nama dengan gambar tersenarai kat papan kenyataan tu. Top ten best students tingkatan empat tahun lepas. "

Datang pula seorang sahabat Idris. Pun sudah bertukar baju bukan lagi baju batik biru. Bersalaman dengan Idris sebelum menuju pergi parkir kereta. Pelajar lelaki ini senyum sambil menganggukkan kepala tanda hormat dengan ibu Idris. Tahu pun selalu kawan-kawan lelaki Idris. Sekadar senyum tanpa bersalam.

Mee Kari Shalala Coffee Kawasan Rehat PLUS Tapah sepulang dari Penang


Selepas pukul lima dari Kawasan Rehat PLUS singgah makan Cucur Udang minum ABC.

Kurang dari satu jam selepas itu. Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Gunung Semanggol. Bukan kerana mahu pergi tandas ataupun singgah minum kopi panas. Safura mahu berehat tidur. Tidurlah dua anakanda dalam kereta. Sabar menunggu. Malaslah pula keluar minum Nescafe kaw satu kedai minum situ. Penat teramat sangat badan. Radio kereta terpasang perlahan.

Sebelum pukul tujuh. Sebelum Maghrib. Sambung perjalanan pulang. Sebelum itu singgah stesen petrol situ.

Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Tapah sebelum pukul sembilan malam. Selepas solat. Singgah Cafe Shalala Coffee. Makan Mee Kari. Sandwich dan Puff buat dua anakanda. Capucinno panas buat kita. Air dingin buat dua anakanda.

Sebelum itu. Singgah kedai cenderamata di sebelah cafe. Beli satu kaftan dan satu raga anyaman daun mengkuang.

Penat teramat. Sedari Tapah lebih kurang pukul sembilan setengah. Selepas kemas kerusi belakang. Su berbaring tidur di kerusi belakang. Siap buka tudung lagi. Idris mengambil tempat ibu. Kerusi permaisuri di sebelah kerusi pemandu.

Jenera tidur. Terjaga bangun bila susuran kereta bercahayakan terang benderang lebuhraya lalu kota. Lebuhraya Kuala Lumpur sekitar Sungai Besi.

Alhamdulillah selamat sampai rumah sebelum pukul dua belas malam.

Eh mana sebelah lagi sandal warna beige kita? Laa tadi sebelum kita memasuki kereta. Kita tertinggalkan sebelah sandal di luar kereta. Ini tertinggal hanya sebelah sandal. Pernah lebih dari sekali. Su tertinggal sandal di luar kereta semacam meninggalkan kasut di luar pintu rumah. Kali akhir sebelum ini. Tertinggal sandal di luar kereta selepas solat di Masjid Al Hasanah Bangi. Kembali berpatah semula pergi parkir masjid. Elok tersusun sepasang sandal merah di tengah parkir di hadapan anjung masjid.

Itu sandal kegemaran Su. Sandal dari Perancis beli di Malaysia bukan pun mahal harga. Sudah tersurat sampai sini saja jodoh sandal itu dengan kita. Kita beli sandal berfaktorkan keselesaaan bukan harga atau jenama.

Sesampai Idris di kamar tidur putera mahkota. Cari PSP. Sesekali. Beri peluang intan payung tidur lewat.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Petang hujan Keramat bawa pulang misai kucing ungu

Harum merah jambu basah selepas hujan singgah Kuala Lumpur


Sehari selepas petang berdua berpandangan kelibat Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. 28 April hari Selasa.

Malam tadi. Terlupa catat. Sebelum restoran Jalan 11 itu. Kami singgah satu kedai dua puluh empat jam berhampiran situ. Pesanan beli top up telefon bimbit Safura. Sebelum kereta sampai parkir di hadapan kedai gunting rambut hanya selang beberapa pintu dari kedai mahu dituju. Terlihat sesaorang melintas jalan di hadapan kereta biru kami.

" Eh tu macam Ramlee AM je. "

Lamalah juga menunggu suami. Sambil menunggu. Pandang memandang kedai gunting rambut orang India singgahan selalu suami dan putera mahkota. Suami kita mana-mana pergi pun. Tetap cari kedai gunting rambut orang India.

Teringat semasa kecil dulu. Dari sekolah rendah sampailah tahun-tahun awal sekolah menengah kami hidup bertiga tanpa ayah ibu. Su selalu menemankan Johan pergi kedai gunting rambut. Selalunya sementara menunggu. Su baca majalah bertulisan Tamil. Bukan baca pun. Hanya tengok gambar filem-filem Tamil. Kalau Indian Movie News. Ada segmen filem-filem Hindustan. Filem Hindustan separuh majalah. Filem Tamil separuh majalah.

Datang suami. Teruja member bercerita tadi bersembang sebentar dengan Ramlee AM. Suami kita cerita pada Ramlee tentang pergi Pesta Buku Kuala Lumpur tempoh hari tidak sempat bertemu novelis itu.

" Ramlee bagitahu dia ada kat pesta buku tu sampai pukul tujuh. "

" Itu laa.. Ikut jadual. Diaorang kat situ sampai pukul tujuh.

Cerita kawan itu. Ramai betul orang bah. Orang surut saja aku cabut.

" Tahu dah malam-malam dia jemput anak dia kat tuisyen tu. Kalau nak minta dia sain buku. Lepas solat Isya' pergi laa situ. Tak boleh letak dalam blog nama tuisyen tu. Bahaya. "

Sepetang UIA Kuala Lumpur dari jendela kereta sebelum singgah Keramat


Sepatutnya petang semalam Su pergi rumah Shimah. Berjanji dengan Shimah mahu pergi rumah Shimah seawal petang semalam. Tiada kenderaan. Safura pergi pejabat pos. Lalu hari ini merealisasikan perjalanan tertangguh semalam. Semalam Safura ambil bungkusan dari pejabat pos.

Dua orang tuan puteri kami. Lima tahun kebelakangan ini. Selalulah dengan aktiviti shopping dan menjual barangan secara online. Masa mula-mula dulu. Selalulah kita ini menunggu di tingkat bawah pada hari-hari jangkanya sampai bungkusan. Kini malas lagi. Malas tunggu.

Selalunya selesai urusan berkebun dan kemas dapur dan apa-apa di tingkat bawah. Kita berehat di tingkat atas sebelum tengah hari. Jadi selalulah posman tinggalkan kad nota ambil bungkusan di pejabat pos.

Sedari awal tahun ini Su mulai melazimkan diri dengan tiga solat hajat selepas solat sunat pagi. Walau bagaimana penat sekali pun. Su tidak tinggalkan satu solat sunat hajat ini. Kurang sebulan selepas solat-solat hajat ini. Januari lalu kami suami isteri di Bogor. Su terima berturutan emel dari Shimah. Ada empat pelawaan perjalanan kalau Su mahu ikut sama. Bulan September pergi London. Bulan Mac pergi Padang. Bulan Julai pergi Korea singgah Vietnam. Satu lagi perjalanan. Hujung tahun ini.

Mulanya berkira-kira mahu pergi Padang. Bagaimanapun perjalanan itu hanya sebulan dua selepas Bogor dan Jakarta dan Sandakan. Baca itinerari wisata. Memenatkanlah juga. Sebelum Bogor itu baru pulang dari Melbourne. Berderetan penat berkumpul. Lalu tangguh dulu pergi Padang. Lagipun Julai ini mungkin pergi Jakarta lagi. September itu. Sukacita kalau dapat pergi tetapi perlu menimbangkan itu bulan Ramadhan. Juga Muhammad Idris bulan itu menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Korea dan Vietnam. Sedang timbang-timbangkan. Perjalanan bulan November sampai Disember itu. Itu sudah bulat hati.

Sujud syukur pada Ilahi. Kurang sebulan solat hajat. Sesungguhnya Allah subhanahuwataala itu Maha Mendengar.

Perjalanan petang ini pergi rumah Shimah. Berkaitan perjalanan hujung tahun ini InsyaAllah semoga diperkenankan Allah subhanahuwataala. Pada yang lama mengikuti cerita sanubari ini dan faham perjalanan itu pergi mana. Doa-doakanlah. Mulanya Su pergi seorang ikut rombongan Shimah. Alhamdulillah kini suami terbuka hati mahu ikut sama.

Misai kucing ungu petang hujan Keramat


Selepas solat Zohor sebelum pergi rumah Shimah. Singgah kampus U** dulu. Safura berurusan pembayaran denda lima puluh RM berkena mengena dengan hal kolej kediaman. Su tunggu dalam kereta. Kereta biru gelap menghadap pemandangan meredup mata sebagaimana tertera pada gambar nombor dua. Menurut Safura. Semasa cuti ada orang luar menginap di kamar itu tidak tutup lampu. Sudahnya mereka penghuni kamar itu kena bayar denda.

Sampai Keramat berhampiran rumah Shimah. Hujan mulai turun renyai-renyai. Sebelum lebih jauh ronda dan tawaf. Su telefon Shimah tanya arah. Kali akhir pergi rumah Shimah. Tiga tahun lepas.

Kali akhir datang perumahan situ. Tahun lepas. Hadir Jamuan Eidulfitri sahabat dulu sama sekolah di Melaka. Sahabat ini kini hilang khabar berita ramai mencari selepas khabarnya bermasalah suami bercinta dengan pembantu rumah berasal dari seberang. Suaminya senior lebih sepuluh tahun dari kami. Bukan muda pun lagi.

Shimah minta kami tunggu situ. Kami tunggu di hadapan satu rumah tadika. Tadika nama wanita Melayu. Shimah datang menjemput. Ekori kereta krim Shimah. Oh dekat saja rupanya dari situ. Selalunya kami terbiasa pergi lalu Jalan Jelatek dari Ampang. Hari ini lalu simpang lain dari lebuhraya. Terpusing ronda tawaf sana sini. Dulu kalau pergi rumah sepupu. Pun selalunya terpaksa tawaf sana sini.

Lalu lorong nama burung sedikit menuruni bukit hujungnya dulu rumah sepupu Su kini sudah terjual rumah itu bila sepupu perempuan ini beli rumah di Bangi.

Pesan kita pada Safura. " Ingat lain kali kalau kita datang sini. Dari depan tadika tadi. Simpang kiri lalu kedai. Simpang kanan. Simpang kiri turun bukit. Simpang kanan simpang kanan lagi. Simpang kiri simpang kiri. "

Waduh berbelit-belit berapa banyak simpang. Sebagaimana kata Shimah. Memang ramai mengadu susahnya cari rumah Shimah ni. Walhal ini bukan kali pertama Su pergi situ.

Alhamdulillah bertemu lagi berpandangan mata. Sahabat sedari umur Su tujuh belas tahun. Antara sahabat paling tahu tentang cerita hidup kita ini. Bukan cerita masa kini. Cerita masa lalu.

Hujan semakin deras lebat kala kereta sampai di hadapan rumah Shimah. Shimah datang memayungkan kita dari kereta. Hanya dua orang cahayamata Shimah di rumah. Seorang ralit dengan laptop. Seorang lagi ralit dengan komputer desktop. Anak perempuan menghadap laptop. Baru selesai kursus matrikulasi.

" Cadangnya nak pergi mana selepas ni? "

" UKM. Kursus Kejuruteraan. "

Anak lelaki guna komputer. Baru bersekolah rendah. Manakala anak lelaki paling bongsu. Baru darjah satu ke dua. Lupa. Antara ramai sahabat karib lebih kurang sama umur. Su saja yang tiada lagi anak kecil. Intan payung putera mahkota. Itulah anakanda paling kecil. Sebelum ini. Tidaklah tersangka itu yang bongsu.

Hanya selang dua pintu dari rumah Shimah. Rumah sahabat karib sama sekolah menengah di Melaka. Malah kami sama sekolah sedari zaman bersekolah rendah di Taiping. Setiap hari kami berseiringan berjalan kaki pergi sekolah kerana kami hidup berjiran. Kali akhir Su bertemu mata dengan sahabat seorang doktor perubatan ini. Kenduri kahwin puteri sulung. Ini bukan sahabat yang suami buat hal itu. Ramai lagi sahabat dulu sama sekolah di Melaka rumahnya sekitar sini.

Dua tahun lepas. Kami suami isteri hadir jamuan Eidulfitri alumni sekolah lama kami di Melaka di rumah seorang sahabat di sini. Pertemuan pertama kali dengan ramai selepas berpisah selepas tingkatan tiga. Kalau sahabat sama sekolah di Pahang. Ramai di Bangi. Sahabat-sahabat Aberystwyth dari dua dekad. 80-an dan 90-an. Ramai di Bandar Baru Bangi.

Solat Asar di rumah Shimah. Kamar tingkat bawah. Minum secawan kopi O panas. Kopi dalam cawan warna coklat kopi. Sesekali minum kopi panas. Hari hujan pula. Terasa lazat mereda penat.

" Dulu malam Su** datang masa pergi rumah sepupu Su** tu saya tak de kat rumah "

" Sepupu tu dah jual rumah tu. Dia beli rumah di Bangi. Dua tahun lebih dah. Rumah dia tu dekat dengan rumah MP Kulim dulu lawyer sekian-sekian orang. Apa nama dia. Lupa laa.. Muka ingat. "

" Oh yang selalu naik motor besar tu? Zulkifli ******. "

Pulang sebelum pukul enam berbekal sepasu pokok misai kucing warna putih, seperdu pokok bunga misai kucing warna ungu, beberapa kuntum bunga waterlilies. Lupa apa nama bunga hidup terapung atas air ini dalam bahasa Melayu. Bukan bunga teratai. Juga satu beg buah mangga segar hasil tanaman Shimah. Sempatlah lagi bergambar-gambar. Bukan selalu bertemu mata walaupun kerap berhubungan samada menelefon atau beremel-emelan.

Lalu satu bangunan besar tepi lebuhraya.

" Orang muka hero sinetron Indonesia yang dulu suka kat Mak masa kat I** tu. Dulu dia kerja kat sini laa.. Rumah dia pun dekat-dekat sini. Baru-baru ni Mak terjumpa blog dengan Buku Muka dia. "

" Kawan-kawan I** Mak ramai betul rumah kat sini. Macam berkampung kat sini. "

Sampai Bandar Baru Bangi. Perjalanan sepatutnya lebih kurang tiga puluh lima minit sudah jadi hampir satu jam lama kerana kesesakan lebuhraya waktu orang pulang dari pejabat. Pun begitu sampai bandar kediaman sebelum pukul tujuh. Telefon suami. Jom minum kopi di restoran sekian-sekian. Restoran Nasi Kukus. Suami kita pergi dulu. Berbasikal dari rumah. Restoran ini hanya sepelaung dari rumah. Masih satu seksyen. Bandar Baru Bangi pun baru lepas hujan.

" Orderkan Su Teh O Limau panas. "

Sampai restoran. Suami kita sudah sedia menjamu selera. Makan Meehoon Sup. Su makan Mee Goreng. Safura makan Kuetiau Goreng. Beli bungkus dua ketul Ayam Goreng Kampung buat Suraya malas keluar rumah kerana penat baru pulang dari kerja. Suraya sudah seminggu berlatihan praktikal.

Azan Maghrib berkumandang. Suami kita pulang dulu. Suami terus pergi surau bukan pun jauh dari situ. Su dan Safura menghabiskan makanan. Tuan punya restoran mejanya di belakang meja makan kami. Pun bangun meninggalkan meja bila azan berkumandang. Lelaki berumur mungkin lewat 60-an itu. Sebelum itu ralit menghadap komputer. Intai lihat apa dibaca tokeh itu. Satu forum maya. Antara aktiviti dunia internet. Antara teramat-amatlah jarang kita singgah. Memana forum dan sesi sembang maya. Lebih gemar pada apa-apa berkaitan baca membaca.

Alhamdulillah sampai rumah sebelum pukul lapan malam. Alhamdulillah syukur dengan perjalanan petang ini. Perjalanan ambil borang. Pada yang tulus hati mengenangkan diri ini. Tolonglah doa-doakan semoga tercapai hajat Su berperjalanan nan satu ini. Semoga doa-doa itu pun terkembali semula makbulnya buat orang yang berdoa.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Dari Nibong Tebal singgah malam Kuala Kangsar

Nibong Tebal kala matahari baru terbenam pesona dari Masjid Transkrian


Petang 26 April hari Ahad itu. Selepas meninggalkan pintu pagar MRSM Transkrian. Selepas hilang Muhammad Idris dari pandangan. Selepas berhenti tangan melambai.

Singgah Masjid Transkrian. Masjid bersetentangan dengan kampus cawangan USM. Masjid besar masjid baru. Terlalu baru sampaikan pintu masjid pun berkunci. Tandas dan tempat wudhu' wanita pun berkunci. Ada sehelai sejadah di luar kawasan solat tepi tiang seri. Lalu nampak gayanya terpaksalah Safura solat di anjung masjid.

Belum pun Safura solat Asar di luar kawasan solat. Kami suami isteri berehat-rehat santai di pangkal tangga menunggu Maghrib. Alang-alang sudah pukul tujuh. Tunggu sajalah azan Maghrib. Lagipun sebagaimana selalu. Misi bila bermusafir. Menambah lokasi bersujud dalam solat buat dibawa pergi akhirat.

Santai pandang memandang. Pandangan senja kampung Melayu berpohon kelapa bersusun dari masjid itu. Pandangan mempesona pada mata ini.

Sampai siak masjid bermotosikal. Siak berumur mungkin sekitar lewat enam puluhan. Siak ini buka kunci pintu masjid. Maka solatlah Safura di dalam masjid. Bukan hanya di foyer atau anjung masjid.

Suami berbual dengan siak baru sampai itu. Memang ini masjid baru.

Ambil wudhu' di tempat wudhu' lelaki terdedah lapang tanpa dinding menghadap jalan raya bersimpang empat selepas nun MRSM Transkrian hanya sepelaung dari situ. Kalau dalam gambar nombor dua di bawah ini. Sebelah kiri dalam gambar. Tempat wudhu' itu. Sebelah kiri tangga masjid.

Selepas solat. Sempat lagi bergambar-gambar. Rakaman gambar ruang dalam masjid serba baru. Rakaman gambar langit malam biru ungu. Langit biru ungu Maghrib berbulan penuh mengambang. Gambar tertera. MRSM Transkrian di sebelah kanan gambar. Kampus USM itu di sebelah kiri gambar.

Mahu singgah tandas. Tandas masih berkunci rapat. Walhal selama ini saya kurang gemar singgah tandas masjid kecuali tandas-tandas beberapa masjid. Antara tandas masjid bersih pernah disinggah. Tandas Masjid UKM. Itupun singgahan kali akhir. Entah beberapa tahun lalu. Berkira-kira mahu singgah tandas masjid ini kerena mengenangkan ini masjid baru. Masjid baru mestilah bersih tandas. 

Giliran Safura pula memandu. Kala kereta melintas susur lalu di hadapan MRSM Transkrian. Kelihatan dewan maktab itu terang benderang. Menurut Idris. Malam ini. Majlis perasmian Kejohanan Taekwondo Se-MRSM tahun 2009 ini. Mudah-mudahan Allah subhanahuwataala permudahkanlah semuanya buat anakandaku itu. Mudah-mudahan selamat semuanya sampai pulang kembali ke kampus maktab sendiri. Pasti bila lalu berpandangan maktab ini. Teringat Idris sedang buat apa. Baru lepas solat Maghrib. Sebentar nanti pergi dewan.

Belum pun kereta meninggalkan Nibong Tebal. Sampai SMS Idris buat Ayahandanya. Pemberitahuan sudah terima topup. Jawab Ayahanda. Nanti telefon Mak bila lapang. Baca SMS jawapan ini setelah sampai rumah.

Kereta melepasi jambatan selepas meninggalkan jauh bandar Nibong Tebal. Berkisahlah kita. Transkrian ini bersempena dengan nama ladang kelapa sawit Transkrian. Sebagaimana dengan Bandar Baru Bangi dan Putrajaya. Transkrian ini penempatan baru dulunya ladang. Dua kampus di Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan ini, MRSM dan kampus cawangan USM itu, merujuk kepada nama Transkrian bukanlah nama tempat. Itu nama mukim. Sebagaimana daerah Larut. Tiada tempat atau pekan nama Larut. Tiada pekan Kerian. Tiada bandar Batang Padang.

Juga berdasarkan pemahaman saya setakat ini. Transkrian itu pastinya merujuk kepada dua tanah antara Sungai Kerian. Sebagaimana makna trans itu. Penghubung atau antara. 

Berkisahlah kita pada dua ahli keluarga. Dulu semasa kecil. Biasalah saya dengan dua saudara dibawa selalu ibu menaiki feri rakit menyeberangi Sungai Kerian dari Parit Buntar dalam negeri Perak pergi Bandar Baharu dalam negeri Kedah. Zaman saya bersekolah dulu. Tercatat peristiwa tragedi feri karam di Sungai Kerian. Selepas tragedi feri karam awal pagi mengorbankan ramai pelajar sekolah. Barulah terbina jambatan menghubungi antara dua pekan dalam dua negeri. Antara nostalgia daerah Kerian melekat dalam ingatan. Kenangan menaiki feri rakit ini. Itu zaman belum bersekolah. Zaman ayah ibu belum bercerai. Feri rakit ini rakit besar tanpa bumbung.

Singgah solat Masjid baru Transkrian Nibong Tebal


Alhamdulillah sampai Kawasan Rehat Sungai Perak belum pun pukul lapan. Kurang satu jam perjalanan dari Nibong Tebal. Setelah setahun lebih selama kawasan rehat ini tutup kerana kerja-kerja pengubahsuaian. Inilah kali pertama kami singgah. Kali akhir singgah. Tahun 2006 dulu kot. Hari pergi Taiping.

Wah berseri-seri kawasan rehat kini berwajah baru dengan kioks buah-buahan bergerai batu. Kalau dulu. Gerai-gerai buah-buahan sederet di tepi jalan antara ruang legar lapang menuju medan selera. Kini gerai-gerai batu ini memenuhi ruang legar berbumbung. Meriah walau tidaklah seluas Kawasan Rehat Tapah.


Ruang tandas lebih besar lebih banyak bilangan kamar kecil. Bersih berkilat-kilat kerana masih baru. Kalau dulu tandas duduk hanya satu dua. Kini tandas duduk berderet hampir sepuluh.

Surau baru kelihatan lebih besar lebih selesa. Bagaimanapun malam ini tiada singgahan surau sini kerana sudah solat di Masjid Transkrian serba baru itu.

Selama ini. Memang jaranglah Su singgah solat di surau kawasan rehat ini kerana kurang selesa dengan surau lama itu. Kurang selesa kerana panas dalam surau. Kalau bersinggah sini. Selalunya kerana mahu makan nasi berlaukkan Gulai Tempoyak Ikan Patin dari sekian-sekian gerai. Juga kerana mahu beli buah mangga.

Selalunya kalau kami susuri Lebuhraya PLUS dari utara. Kawasan Rehat PLUS singgahan selalu kami. Tapah dan Sungai Buloh. Pemilihan kerana tandas bersih dan surau selesa. Masa pergi. Selalunya singgah Sungai Buloh dan Bukit Merah. Sungai Buloh kerana singgah kedai buku beli bekalan bahan bacaan bawa pergi hotel. Singgah Bukit Merah kerana kedai makan berlauk-pauk daerah kelahiran ayah ibu.

Kalau Bukit Merah dari utara. Singgahan selalu situ kerana Nescafe panas kaw satu kedai minuman situ. Setahun dua ini Su sudah teramat jarang minum Nescafe kerana sakit kaki. Pun begitu bila singgah Kawasan Rehat Bukit Merah menuju selatan. Su selalu minum Nescafe jangan kacau susu satu kedai minuman di situ. Selalunya kalau beli Nescafe panas. Su pesan jangan kacau susu pekat manis itu. Nanti terlebih manis.

Sebenarnya Kawasan Rehat PLUS Gunung Semanggol tetapi kami sekeluarga terbiasa sebut Bukit Merah. Ini kerana dulu-dulu semasa puteri sulung kolejnya nun di Pulau Pinang sana. Kami selalu singgah bermalam di Bukit Merah Resort berhampiran kawasan rehat itu.

Makan malam atau makan tengah hari tertunda sampai malam. Seperti dulu-dulu bila singgah sini. Mesti beli semangkuk Gulai Tempoyak Ikan Patin. Kini setiap kali beli Gulai Ikan Patin. Mata periksa harga dulu. Pernah dulu suami dan kawan singgah gerai makan nasi bergulai ikan patin. Masa bayar. Terkejut sepotong kecil ikan patin berharga RM65. Ikannya pula diambil lebih dari sepotong. Bukan restoran. Hanya warung kecil kampung tepi jalan. Lebih kurang sama cerita kedai makan Nasi Dagang heboh keluar surat khabar dulu. 

Sambil makan. Rancak berbual dengan Safura. Suami lebih awal makan lebih awal sudahnya. Bangun dengan muka kelat berlalu pergi selepas merungut. Bising.

Komen dalam hati. Kalau pelajar-pelajar perempuan dengan kawan-kawan pensyarah perempuan awak tu bising tak paa. Boleh senyum-senyum lagi. Bising orang lain bising manja menggoda telinga. Bising hebat. Bising meriah. Bising ahli keluarga buat muka mencuka. Ini kerana dalam seminggu dua ini telinga kita ini terpaksa menahan bising-bising kawan-kawan member dalam bukan hanya satu peristiwa. Member pula kelihatannya bersenang hati tersenyum sendiri dengan bising sebegitu.

Satu kejutanlah pada saya dalam sebulan dua ini dengan kelaku pelajar perempuan dan wanita muda hari ini. Dalam bas kerusi belakang. Satu bas universiti. Pelajar-pelajar wanita dan pensyarah wanita muda bersembang kuat sesama sendiri sampai boleh terdengar pada kami jauh di kerusi hadapan. Penumpang-penumpang lelaki lebih sopan berbual hanya buat didengari teman duduk di sebelah. Pelajar-pelajar perempuan bersembang ketawa kuat berdekah-dekah dari atas bukit boleh terdengar sampai bawah bukit. Anak dara sembang kuat boleh dengar satu dewan makan hotel. Anak dara pelajar universiti mengada manja dalam kapal terbang dengan staf pangkat bapa dipanggil abang boleh dengar rengekan sampai dua tiga baris kerusi. Pada member bila terdengar itu. Senyum-senyum sendiri gamaknya merasakan itu semua kelaku comel. Cuba kalau anak dara sendiri atau kita bising sebegitu. Mahu nanti ada orang menyelap kerana terperanjat.

Mungkin akan ada yang berkata. Biar orang lain buat jangan ahli keluarga sendiri buat. Kenyataannya bila orang lain buat, member tumpang suka. Kerana apa? Kerana syaitan bergantung di telinga. Bising suara bukan muhrim rasa indah. Bising ahli keluarga menyesakkan telinga.

Kalau setakat cerita bising. Itu perkara boleh diterima walaupun satu kejutanlah juga. Bukan berdosa pun bising kalau tiada gangguan bertahap kritikal pada orang lain dengan bising itu. Bab bising berlagu manja mengada. Itu meloyakan.

Cerita dalam kapal terbang itu. Awal tahun ini. Terkejutlah saya hari itu. Begitu manjanya pelajar awal 20-an dengan staf lebih kurang sebaya suami kita. Boleh berabang-abang. Merengek manja semacam dalam kamar tidur. Kerusi kami di hadapan kerusi anak dara dan dua staf lelaki ini. Bang, bang, tak de bantal laa. Nak bantal.. Nak bantal.. Tak best laa tak de bantal. Bang bang tak nampak ape pun. Tak nampak pun Gunung ********. Lapar laa bang.. Bila nak sampai ni. Dua lelaki diabang-abangkan itu. Suami-suami dan bapa-bapa orang. Entah-entah lebih kurang sebaya bapa pelajar itu. Suara lembut melentuk manja mengada-ngada. Ada orang itu senyum-senyum saja sepanjang terdengar semua itu. Kami suami isteri mengisi sederet tiga kerusi di hadapan pelajar dan dua kawan suami itu. Entah-entah member sudah terbiasa dengan suara manja mengada sebegitu. Hari itu barulah saya tahu. Ada pelajar perempuan manja membahasakan staf lelaki universiti dengan panggilan abang. Cukup mesra. Atau terlebih mesra?

Kita pula. Komen kita pada suami. Geli geleman. Macam dalam bilik tidur. Itu dalam pesawat ramai orang. Kalau berdua-duaan di dalam makmal ataupun berdua-duaan di dalam kamar pejabat pensyarah. Tidak tahulah bagaimana. Sepanjang penerbangan itu. Sebelum destinasi atau selepas terbang sampai lapangan terbang. Memang saya melarikan muka dari pelajar mengada-ngada itu. Saya kurang pandai berpura-pura. Berpura-pura senyum walhal hati kurang senang. Hari itu. Terpandang muka pun saya bukan muka derk. Berdiri di sebelah pun saya buat tidak tahu. Prinsip saya selalu. Apa terkata apa terluah apa terpancar dari muka. Itulah dari hati. Kalau kurang gemar. Saya tidak akan pura-pura memaniskan muka. Kalau saya senyum mesra wajah. Itu tumpahan terus dari hati.

Sebagai rekod. Dua lelaki dengan pelajar itu. Staf universiti bukan pensyarah. Seorang daripadanya muda setahun dari suami kita tetapi berwajah awet muda. Seorang lagi. Kelihatan muda sepuluh tahun dari umur sebenar. Mereka berdua ini selamba melayan tanpa begitu menonjol gelagat memanjakan. Mungkin waras memikir. Ramai melihat ramai mendengar. Apa terdengar apa terpandang. Orang muda lebih bermanja-manja. Pun begitu sebagaimana kata sahabat. Kalau orang lelaki tidak beri muka. Bagaimana orang muda boleh berani terlebih manja.

Gulai Tempoyak Ikan Patin Kuala Kangsar


Kembali kepada cerita Kawasan Rehat PLUS Sungai Perak. Selepas makan. Safura pergi tandas. Kita lalu kioks buah-buahan mahu menuju parkir. Terlihat suami duduk di bangku menghadap ruang tengah dengan gerai buah-buahan. Bersegera melarikan diri dari laluan itu. Lalu ikut laluan lain. Malas menghadap pandang ketika kita sedang berwajah protes.

Lamalah pula menunggu Safura. Lama Su berdiri menunggu di sebelah kereta biru. Suami masih di kawasan rehat. Patah semula pergi kawasan rehat. Beli buah jambu potong tabur serbuk asam. Terlihat suami beli buah mangga.

Tadi siang di Hentian PLUS Simpang Pulai. Bila kita minta tolong belikan buah mangga. Ada orang jawab. Belilah sendiri. Member malas keluar dari kereta sebagaimana begitu juga halnya dengan kita. Malam ini. Member beli mangga kita minta siang tadi. Mungkin juga kerana member terperasan pada wajah tidak mahu senyum kita semasa lalu tadi. Selalunya begitulah. Kalau kita berwajah kelat. Pantas kilat boleh dapat apa diminta. Kalau kita berbahasa sopan hormat meminta. Ada orang buat muka tidak punya perasaan sebagaimana selalu. Sebagaimana kata seorang sahabat dengan cerita lebih kurang begini. Takkanlah kita nak kena tarik muka kelat selalu. Atau sebenarnya lelaki-lelaki seperti ini mahu sesekali isteri merajuk. Walhal saya ini bukan jenis begitu. Sedari kecil. Sudah terbiasa memanjakan orang bukan manja pada orang. Terbina sikap ini sedari zaman kecil belum sekolah selalu sendiri tanpa ayah ibu. Bertanggung jawab menjaga dua adinda seawal umur belum sekolah. Terpaksa cepat jadi dewasa. 

Alhamdulillah perjalanan bermula selepas pukul lapan dari kawasan rehat itu. Alhamdulillah sampai rumah sebelum pukul dua belas malam. Lega dan redha dengan apa sahaja ketentuan cerita hari ini. Alhamdulillah ketentuan hari ini berhikmah sampai Masjid Transkrian bersinggah mukim nostalgia masa lalu.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Selepas PWTC singgah pesta buku mini The Mall pula

The Mall usai berPesta Buku Kuala Lumpur


Masih seperistiwa berpesta buku cerita 25 April hari Sabtu hampir sebulan lalu.

Keluar dari surau The Mall. Suasana di luar surau sama seperti kala kami baru sampai surau ini tadi. Kalau dalam surau bahagian perempuan. Panjang barisan menunggu giliran mengambil wudhu'. Luar muka pintu surau. Beratur panjangg orang lelaki menunggu giliran memasuki surau. Keluar dari lorong menuju surau. Hadapan satu salun rambut. Kanak-kanak sabar menunggu ayah ibu. Kanak-kanak pra sekolah bersila atas lantai sambil baca buku baru beli dari pesta buku.

Pemandangan biasa ibu kota ini pada waktu Maghrib. Ramai memenuhi surau. Apalagi dengan ramai serbu pesta buku. Mungkin ramai juga sama seperti kami. Lari pergi surau sini bila surau PWTC sana penuh ramai.

Sama sebagaimana pemandangan semasa di medan selera The Mall tadi. Rata-rata orang ramai sekitar surau ini adalah mereka dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Rata-rata dengan beg-beg beli buku. Orang kita sebenarnya ramai suka beli buku. Orang-orang kita seawal usia belum sekolah. Ramai suka baca buku. Hanya budaya kita belum menonjol semangat membaca sampai keluar rumah. Belum lagi sampai ralit membaca sambil berjalan atau sambil berdiri dalam komuter atau LRT. Cahayamata bongsu saya begitu. Ralit baca buku sambil berjalan walaupun di tengah kota. Walaupun di tengah kota Melbourne. Namun Su melarang feel begini mengenangkan tahap keselamatan dan sebagainya.

Kala mencatat tulis tentang membaca buku sambil berjalan ini. Teringat pada seorang pensyarah orang putih di Shah Alam dulu. Beliau ini. Selalu kelihatan membaca buku sambil berjalan. Sampaikan kami lali dengan pandangan ini.

Pesta buku dengan tarikan harga buku lebih murah menggamit ramai berpusu-pusu bukan mereka hanya dari Lembah Kelang. Semoga pada masa hadapan pihak penganjur pesta ini lebih menimbang rasa tentang keselesaan pengunjung. Timbang rasa tentang susun atur booth buku. Jangan sampai hampir tiada tempat lalu.

Teringat pada awal dekad lalu. Susun atur booth buku lebih menyelesakan pengunjung. Mungkin kerana waktu itu jumlah penerbit buku mengambil bahagian tidaklah seramai hari ini. Pun begitu dengan pengalaman penganjur lebih dari suku abad. Sewajarnya arif berpengalaman dalam menangani hal kesesakan ini. Ini tahun demi tahun lebih dari sepuluh tahun kebelakangan ini. Tetap cerita yang sama. Malah rasanya semakin tahun semakin sempit.

Setahun dua ini minat bersinggah pesta buku ini semakin pudar bila mengenangkan tentang kesesakan ini. Lagipun pada Su. Pergi pesta buku bukan kerana harga buku lebih murah. Pada Su. Selalunya bila berpesta buku ini. Su mencari buku-buku sukar didapati di kedai-kedai biasa. Misalnya ada kedai-kedai menjual buku ugama yang Su kurang tahu lokasi kedai. Peluang menjengah booth penerbit-penerbit ini di pesta buku. Satu peluang keemasan mengaut beli buku Su susah jumpa. Misalnya dua tahun lepas Su beli kitab-kitab Al Quran bersaiz hanya besar sedikit dari kotak mancis api.

Juga setiap tahun pergi pesta buku ini. Su angkut buku-buku biografi dan buku-buku memoir Su susah jumpa di kedai buku kami biasa singgah. Selalunya buku-buku biografi lama. Misalnya lewat Pesta Buku Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Beli buku biografi Doris Day kerana nostalgia siri Doris Day Show masa baru sekolah. Juga selalunya setiap kali berpesta buku ini. Su mesti beli satu biografi orang besar negara. Kecuali tahun ini.

Kalau novel. Senang cari di kedai-kedai buku biasa pada hari-hari biasa. Kalau novel masa pesta buku. Su lebih gemar mencari novel-novel lama jarang lagi terjual di kedai-kedai buku biasa. Novel-novel Melayu dulunya Su pinjam baca dari perpustakaan sekolah. Walaupun novel-novel itu versi terbitan hari ini. Misalnya beberapa tahun lepas Su beli novel Anak Raja Anak Papa terjemahan Zaaba terbitan baru walaupun kami sudah ada buku ini versi bahasa Inggeris Mark Twain. Beli buku terjemahan Zaaba itu kerana nostalgia pernah pinjam buku itu dari perpustakaan kelas masa sekolah rendah.

Kitab 101 Doa beli dari gerai Telaga Biru Pesta Buku Kuala Lumpur


Keluar kami dari surau. Sementara menunggu suami hilang kelibat entah pergi mana. Suraya semedangnya dengan telefon bimbit. Safura pula singgah satu kedai berwarna-warni menjual barang perhiasan gerek. Ini gerek dalam bahasa surat. Bukan gerek dalam bahasa slanga Singapura atau gerek orang Kedah.

Semasa kami baru keluar dari surau. Seorang ibu menanyakan tentang betapa ramai orang di dalam surau. Kala berdiri merakamkan gambar-gambar ruang legar The Mall. Terpandangkan ibu itu masih berdiri menunggu di luar surau. Mungkin ibu itu bukan dari lembah kota ini. Bermusafir dari jauh kerana pesta buku. Boleh berniat qasar dan kumpulkan solat.

Bersenyum-senyum kita dengan seorang wanita muda sedikit gempal namun manis orangnya berdiri di sebelah. Wanita bertudung murah senyuman ini dengan bagasi bukan hanya satu dua. Gaya seperti baru turun dari bas ekspres. Tunggu orang datang menjemput gamaknya. Stesen Bas Putra hanya sepelaung sana. Mungkin singgah surau The Mall selepas turun di stesen itu.

Jumpa semula suami kita baru keluar dari Parkson. Turun pergi aras G. Tiga orang itu bukan main laju lagi ke hadapan menaiki eskalator menurun ke bawah meninggalkan kita di belakang. Kita masih di atas eskalator tingkat atas. Begitulah selalunya ahli keluarga saya. Terlupa kita ini bukannya kuat seperti mereka. Terlupa kita belum pun hilang pening selepas terpitam tadi.

Susuri ruang legar aras G. Suami dan Suraya singgah Parkson sedang berjualan murah. Su dan Safura menjengah kioks jual barangan dari Kashmir. Beli satu shawl warna biru. Kalau tidak dipakai sebagai selendang. Boleh buat kain alas meja. Sebelum itu lama memilih antara biru turquoise lembut atau biru nilam gelap. Pilih warna biru turquoise.

Selepas itu. Oh The Mall pun ada pesta buku? Dalam pada badan mulai kepenatan teramat. Tadi tidak beli buku di Pesta Buku Kuala Lumpur. Beli buku di pesta buku sini.

" Kat dalam PWTC sana pesta buku. Diaorang pun ambil kesempatan buka gerai buku. Buku-buku lama ni. Ni semua sepuluh ringgit satu. "

Apa dibeli. Dua buku komik tahunan beli kerana nostalgia masa kecil. Suraya pun teruja terpandang buku-buku komik ini. Beli dua buah buku memoir dalam bahasa Inggeris. Satunya berlatarkan pengalaman hidup zaman perang dunia di kota London. Satu lagi. Memoir orang kampung Ireland zaman awal abad lepas. Beli satu buku kad buat Safiyyah. Satu buku bukan fiksyen berkaitan sejarah dunia buat diri sendiri. Satu buku buat Suraya. Satu buku buat Safura.

Mulanya Su berkira-kira mahu beli autobiografi pelakon Goldie H bermata besar itu. Sekali Suraya minta kita belikan buku fesyen Victoria isteri pemain bola itu. Sampai jadi terlupa pasal buku Goldie itu. Ni buku lama laa Adik. Fesyen dia pun semua dah ketinggalan zaman. Lainlah buku biografi. Lagi lama lagi bernilai. Kalau Adik nak sangat. Mak boleh belikan. Tidak beli pun buku Victoria itu. Suraya akur. Itu buku lama dengan gambar-gambar lama. Sebenarnya kurang berkenan dengan buku itu kerana kita kurang gemar dengan pasangan selebriti itu.

The Dandy & Dennis the Menace nostalgia masa kecil rembatan pesta buku The Mall


Singgah pula pasaraya CS selalunya Su kurang gemar singgah kecuali stor di Alamanda kerana stor di Alamanda itu tidak menjual alkohol. Hanya Suraya masuk pasaraya. Ibu minta tolong belikan Teh Boh 3 dalam 1. Akhir-akhir ini. Lama tidak minum minuman bersusu kerana sakit kaki. Kita gemar minum teh kegemaran suami ini. Pernah beli versi 2 dalam 1 tanpa gula. Kurang umph.

Sementara tunggu Suraya. Sesi merakamkan gambar. Safura pantang jumpa cermin. Mesti ada sesi merakamkan gambar dalam cermin. Gambar-gambar dalam cermin tandas memana mall. Itu cerita biasa. Kalau kami sekeluarga. Cerita biasa rakaman gambar dalam cermin lif hotel.

Sebagai rekod diri sendiri. Hari ini kami suami isteri boria pakai baju batik warna biru. Su pakai baju kurung batik sutera warna biru. Suami dengan baju batik biru hadiah dari kita. Minggu lepas. Kita belikan tiga pasang baju batik buat suami. Satu warna biru. Satu warna biru kelabu. Satu warna krim jingga. Bukan mahal pun setiap satu. Harga jualan murah.

Dua puteri pergi parkir kereta. Su dan suami menunggu di pintu belakang aras LG. Sempat lagi beli sebotol air mineral.

Suami terlihatkan sesaorang mirip wajah seorang kerabat dari negeri pantai timur. Orang itu lalu tepi kami dari mesin tiket parkir. Suami dengan orang itu sama-sama berbaris tunggu giliran di hadapan mesin parkir itu.

" Bukan orang tu. Su dah dua kali berselisih dengan dia tu. Sekali tu kat Pavilion. Sekali lagi kat The Gardens. Orang tu ranggi macam orang muda. Nampak muda padahal umur dah dekat tujuh puluh kot. Ni orang lain. Kat Pavilion tu nampak dia dengan perempuan muda. Bukan isteri dia bekas penyanyi tu. Bukan anak dia. Tapi macam suami isteri laa.. "

Giliran Safura pandu kereta. Tadi semasa datang. Suami pandu kereta.

Susur Bukit Tunku sebelum sampai Lebuhraya Mahameru. Sesekali meronda Kuala Lumpur waktu malam.

Susur Lebuhraya Kuala Lumpur sekitar Sungai Besi. Safura tanya tentang rancangan kami berdua pagi esok mahu ke utara. Singgah sekolah Idris. Melayan rindu hati ibu ini pada putera mahkota.

Tanya Safura. " Abah ikut ke? "

" Eh Abah kamu pun nak jumpa anak lelaki sorang dia. "

Jarum mulai mengena.

" Kita pergi lewat sikit laa. Tunggu Abah habis main futsal. Kalau sempat. Kita singgah pesta buku sekejap. "

Alhamdulillah lega sampai rumah. Sesampai rumah. Sempat lagi rakamkan gambar buku-buku baru beli.

" Eh engkau orang beli kitab doa ni sebab penulis dia pensyarah U** ke? "

" Tak kenal pun. Saja beli. "

Kitab doa dalam gambar itu.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Pisang Goreng Roti Canai tepi sungai sesanggar pesta buku

Pisang Goreng PWTC Riverside Cafe masa Pesta Buku Kuala Lumpur


Sambung cerita Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. 25 haribulan hari Sabtu terakhir April tahun ini.

Keluar dari dewan pameran buku. Mana bisa berehat di surau tanpa kerusi. Kaki kiri kita belum boleh bersimpuh. Berkira-kira mahu berehat di ruang makan terbuka antara dewan pameran dan restoran. Safura mencadangkan kami berehat di dalam restoran. Cafe Riverside dalam PWTC itu lebih nyaman pendingin udara. Cafe pun lengang kurang orang berbanding dengan ramai memenuhi meja makan bersusun di luar.

Sementara menunggu suami dan Suraya shopping beli buku. Makan Pisang Goreng panas Cafe Riverside. Pisang Goreng potong kecil panjang. Kita gemar goreng pisang sebegini. Kita kalau goreng pisang. Suka pisangnya dipotong kecil-kecil panjang. Pisang gorengnya nanti jadi lebih rangup. Selalunya kalau Su menggoreng pisang. Pisang itu Su belah dua dan setiap belahan itu potong dua atau tiga lagi. Jadi jejari Pisang Goreng.

Pisang Goreng atau Goreng Pisang? Keluarga kami terikut-ikut sebutan biasa kita. Pisang Goreng. Kalau goreng pisang. Su gemar guna pisang belum terlalu ranum. Kalau di Sabah dulu. Pisang kerap guna buat Pisang Goreng. Pisang awak ataupun kami orang semenanjung di Sabah sebut pisang Sabah. Pernah Su tanya pada seorang sahabat. Hari menjengah sahabat ini di dapur sedang goreng pisang. Rumah di Kota Kinabalu berhampiran dengan Hospital Queen Elizabeth 11.

Petang hari itu kita santai bertanya. Pisang ni kalau di semenanjung bukan pisang awak ke? Jawab sahabat itu. Orang semenanjung sebut pisang Sabah sebab pisang ni banyak kat sini kot. Sahabat itu orang Terengganu berkahwin dengan sahabat suami kita. Sahabat orang Terengganu ini. Senior Su semasa di Shah Alam. Bulan Disember lalu. Bertembung dengan keluarga sahabat ini di KLIA pada hari Su bakal berlepas terbang pergi Melbourne.

Pisang belum ranum lebih rangup bila digoreng. Suka pisang goreng sedikit keras rangup. Bukan hanya bancuhan tepung rangup. Gorengan pisang itu pun mesti rangup. Bukan Pisang Goreng lembik benyek. Ahli keluarga kami sedia tahu. Kalau beli Pisang Goreng. Pisang Goreng yang sedikit keras itu buat kita. Itu pilihan saya. Lain orang lain selera.

Lebih satu jam menunggu. Selepas Pisang Goreng dan Nescafe Ais. Sesekali minum Nescafe buat hilang penat. Beli lagi sepiring Pisang Goreng. Kalau tidak silap. Sepiring tiga ringgit. Makan pula sekeping Roti Canai dengan Kari Ayam. Minum pula Teh Tarik panas. Sebenarnya saya bukan penggemar Teh Tarik. Teringin pula minum bila terpandang ramai sekeliling kami minum Teh Tarik ini. Teh Tarik dalam gelas kaca tinggi.

Safura makan Tiramisu. Jamah rasa sedikit Tiramisu itu.

" Sedap lagi Tiramisu San Francisco Pizza. "

Malam tadi kami berempat makan malam di restoran itu. Sesekali berkumpul semua makan malam di luar. Selalunya Su dan cahayamata yang kerap keluar makan malam bersama.

Roti Canai Cafe Riverside PWTC masa Pesta Buku Kuala Lumpur


Pukul enam setengah. Datang Suami dan Suraya.

Teruja suka suami kita bercerita bertembung dengan Nizam kekanda kepada Naza. Pengantin baru kami hadir kenduri perkahwinan pasangan ini baru saja minggu lepas. Baru saja lima hari lepas. Rombongan satu bas orang kampung datang ke Kuala Lumpur kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dari Teluk Intan. Boleh beli buku buat perpustakaan rumah yayasan anak yatim situ. Kediaman terkini Ayah Bonda Naza. Dalam kawasan rumah anak yatim usaha keluarga Naza.

Komen kita. Kekanda kepada Naza itu. Bertahun-tahun merantau bawa diri ke Mesir. Sudahnya jodohnya dengan orang kampung sebelah baru saja berpandangan mata. Jodohnya di hadapan mata.

Suami dan Suraya tidak beli walau satu pun buku. Walhal sudah pun kita beri sedikit wang buat Suraya shopping buku. Pesan kita. Belikan buku Catatan Hati Nik Nur Madihah pelajar 20A SPM tahun lalu. Juga buku biografi-atau-memoir-kurang pasti-kerana belum baca- isteri orang besar negeri Madihah. Buku-buku itu dari booth Telaga Biru.

Buku Mikhail diusung suami tiada tanda tangan penulis. Menurut suami. Tak de pun Ramlee.

" Dah balik kot. Sesi diaorang sampai pukul tujuh. "

Tadi sebelum kami sampai dewan pameran buku. Terlihatkan poster sesi bersama novelis popular dari Indonesia. Kala kami berempat menaiki eskalator menuju tingkat atas. Kita mensarankan suami kita menjengah sesi bersama novelis itu.

Kata suami. Member bukan peminat novelis itu. Member peminat Andrea Hirata penulis tetralogi Laskar Pelangi.

" Eh kalau tak minat takkanlah baca sampai lima kali. "

Giliran suami pula meneman kita. Cafe Riverside. Sempat suami bersalaman dengan seorang profesor sama tempat kerja lain fakulti duduk di meja sebelah kami.

Safura meneman Suraya kembali ke dewan pameran buku. Takkanlah pergi pesta buku tak beli buku langsung. Juga pesan kita. Tolong rakamkan gambar booth buku tadi pekerjanya membantu kita masa terpitam. Mahu tahu itu booth penerbit mana. Buat kenangan mengenang budi.

Pukul tujuh. Telefon dua puteri. Kami suami isteri mahu ke surau.

" Nanti kita jumpa di surau. "

Terlalu ramai orang. Nanti terpitam pula saya dalam surau. Kami menunggu di luar surau. Kebetulan ada pangkin di luar surau. Rakam gambar pandangan luar sekitar PWTC menjelang Maghrib.

Bual tanya tentang buku-buku rembatan dua puteri.

Tiga buku nota Telaga Biru dari Pesta Buku Kuala Lumpur 2009


Tiada buku-buku kita pesan. Apa dibeli dari booth Telaga Biru. Tiga buku nota. Satu kitab doa. Novel New Moon sambungan Twilight jual murah hanya RM20. Novel itu beli dari booth lain.

Setengah jam selepas Maghrib. Masih ramai orang. Berkeputusan pulang dan solat di memana surau dalam perjalanan.

Mata mengintai-ngintai buku kanak-kanak satu booth buku Muslim. Berkira-kira mahu beli buat Safiyyah. Nanti terlepas pula Maghrib. Juga terpandangkan booth busana T labuh Ana Muslim.

" Baby. Esok kita datang lagi hah. Kita keluar awal pagi. Kita singgah sini dulu sebelum pergi Penang. Mak nak beli baju Ana Muslim tu untuk Safiyyah. "

Safura dan Suraya bergegas laju pergi parkir The Mall. Su dan suami tunggu di hadapan hotel.

Rakam gambar malam bangunan The Mall. Kala berdiri antara bangunan PWTC dan hotel itu.

Timbang fikir. Nanti terlepas pula Maghrib. Minta suami tolong telefon beritahu dua anak dara. Jumpa di surau The Mall.

Alhamdulillah bertemu pandang dua tuan puteri di tepi eskalator tingkat tiga sebelum sampai tingkat surau. Suami sudah solat di surau PWTC. Meronda The Mall sorang-sorang.

Surau The Mall pun penuh. Pun begitu Alhamdulillah masih selesa walau terpaksa menyempit tempat buat bersolat.

Selesai solat. Alhamdulillah lega.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Cerita berpesta buku sampai pitam April tahun ini

Tiga buku nota Telaga Biru dari Pesta Buku Kuala Lumpur 2009


Walaupun ketinggalan dua minggu. Tetap mahu mencatat tulis simpan. Setiap tahun saban tahun. Mesti bercatat simpan kenangan peristiwa nan satu ini. Sedari tahun 2001 lagi. Tahun pertama jurnal ini bercerita pesta buku itu. Lalu mana mahu ketinggalan. Tahun demi tahun catatan buat kenangan.

Tahun ini. Sampailah seminggu pesta buku itu. Berat hati mahu pergi. Malas pergi bila mengenangkan nanti terpaksa meredah himpitan manusia. Terpaksa berusaha menyusur lalu lorong-lorong booth buku sempit bersemutan manusia. Belum pun pergi sudah dapat merasakan kesesakan dan kegamatan. Belum pergi sudah terasa pening dengan suasana. Suasana ramai pesta buku itu.

Tahun sebelum tahun lepas dan tahun sebelum itu. Kami sengaja pergi sebelah malam selepas solat Maghrib. Pergi pada malam terakhir. Sedikit lapang dari kesesakan kerana kami sampai menjelang pukul sembilan malam. Dua tahun itu mulai tidak bermalam di hotel sebelah PWTC itu. Bila semuanya sibuk tiada masa buat bersanggar malam.

Tahun lepas. Su dan Safura di Melbourne. Masih ingat lagi pada minggu pesta buku itu. April tahun lalu. Satu malam di Melbourne. Su dan Safura santai berehat di kamar tidur. Kata Safura. Eh tahun ni kita tak pergi Pesta Buku!

" Ha ah laa. Pertama kali dalam sepuluh tahun ni. Apa nak buat. Kita tak de kat Malaysia. "

Tahun ini. Mulanya berat mahu pergi. Sementelah kebelakangan ini badan bukan kuat seperti dulu. Juga penat semedang seusai berhujung minggu keluar dari bandar kediaman. Hari-hari Isnin sampai Khamis hari-hari berehat melega badan. Selalunya cuti hujung minggu bermula dari hari Jumaat. Sedari Januari ini. Hampir setiap hujung minggu keluar makan angin.

Hari Ahad 19 April pulang dari Teluk Intan bermalam di Ipoh. Kereta menghampiri Kuala Lumpur. Malam pukul sebelas. Tanya Suraya. Bila kita nak pergi Pesta Buku?

Diam sebentar sebelum jawab. Tengoklah macam mana nanti.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  2006 malam terakhir


Hari Jumaat 24 April malam Sabtu. Kita masih lagi menimbang-nimbang mahu pergi atau tidak pesta buku itu. Hati lebih kuat mahu pergi utara. Rindu pada teruna intan payung nan seorang itu.

Kita mencadangkan. Hari Sabtu kami bermalam tidur di hotel sebelah PWTC. Hari Ahad pergi utara selepas check out dari hotel. Atau tinggalkan saja pesta buku kali ini. Lebih mahu bertemu anakanda dirindu. Bulan April ini belum sekali pun lagi kami pergi sekolah anakanda putera. Hampir sepurnama lama tanpa bertentangan mata dengan ibu.

Tuan puteri berdua malas tidur di hotel. Hujung minggu hari berehat di rumah. Tv hotel Malaysia walau lima bintang. Hanya beberapa saluran saja. Semua anakanda kami. Sudah sampai peringkat malas lagi bermalam di hotel. Sudah acap kali benar sedari baru lahir. Sedari zaman setiap tahun berulang antara Kota Kinabalu dan semenanjung. Kecuali lokasi itu bertarikan sesuatu menambat hati. Samada lokasi shopping atau pantai.

Pun begitu dua puteri mahu pergi pesta buku. Lalu dalam pada takut mengenangkan terpaksa meredah ramai manusia. Berkeputusan pergi pesta buku itu pulang hari.

Lagipun kata orang. Sesuatu sudah bermula dengan sekali. Akan ada kali kedua mengikuti. Jangan sampai tiga. Baru sekali ponteng pergi. Janganlah pula tahun ini merupakan tahun kedua membawa kepada kali ketiga dan kali seterusnya.

Pagi Sabtu 25 April. Mulanya berkira-kira pergi seawal pagi. Sudahnya keluar rumah selepas solat Zuhur. Kala mencatat ini. Lupa lambat itu kerana apa. Oh baru teringat. Pagi itu suami kita ada perlawanan futsal. Member pemain kumpulan futsal kelab veteran perumahan kami.

Sebelum itu. Pesan kita pada suami. Jangan lupa bawa buku Mikhail tu. Boleh minta sain. Dah check kat laman web Alaf **. Dia ada hari ni dengan hari penghabisan.

Bukan main lagi member itu. " Apa susah. Nanti pergi saja laa rumah dia. "

Rumah penulis itu hanya bersebelahan seksyen dengan kami. Hanya bersempadankan persiaran. Tahu alamat rumah tahu nombor telefon. Isteri penulis itu masih kerabat suami.

" Ini lain. Tanda tangan istimewa kat pesta buku. Bawa sajalah. Kot kot sempat jumpa. "

Seawal pagi. Suami mencadangkan kami makan tengah hari di luar sebelum pergi PWTC. Kita pula dalam hati. Memikir-mikir lokasi makan tengah hari paling bagus bersesuaian dengan berpesta buku. Restoran dalam PWTC itu.

Sampai Jalan Putra. Risau tiada parkir kosong. Kita mencadangkan guna parkir The Mall. Parkir tingkat basement.

" Doa-doalah jangan hujan. Bahaya kalau kawasan ni hujan lebat. Ni parking kat basement. Baru-baru ni banjir. Kawasan PWTC yang paling teruk sekali. "

Mungkin kerana sebatang sungai di belakang PWTC itu.

Komen suami. " Macam mana nak tahu hujan kalau kita kat dalam bangunan tu. "

Malas jawab namun mengiyakan dalam hati.

Keluar dari parkir. Suami berkeputusan kami makan di The Mall. Tiga lawan satu. Kalah satu.

Medan selera ramai orang. Bising gamat. Ini belum lagi pesta buku. Sementara menunggu makanan dibeli Safura. Kita mulai pening. Panas tidak terasa aircond. Bising bukan main. Bau macam-macam.

Ramainya orang. Ramai pelanggan dengan beg beli buku. Pelanggan dari pesta buku.

Habis saja Nasi Goreng Pedas kurang mari. Kita bangun.

" Mak tunggu kat kolam tu. Panas.. "

Sanggar kolam The Mall berkenangan masa lalu selalu singgah situ


Tunggu di kolam baru saja kita mencatat tulis tentang kolam ini dalam entri beberapa hari sebelum hari singgah lagi mall ini. Suasana keliling kolam bukan lagi setenang sunyi sebagaimana kami singgah sini lima tahun lalu. Hari ini. Suasana sekeliling kolam ini lebih bising.

Safura menelefon bertanya. Mak kat mana? Walhal kita kan sudah beritahu. Kita tunggu tepi kolam tadi kami lalu dari parkir. Air kolam mengalir terjun dari batu mereda panas.

Sebelum tiga orang itu datang. Panasnya bukan main. Walaupun duduk tepi kolam. Bangun tunggu di pintu utama The Mall lebih berangin. Angin dari mesin penyaman udara di pangkal pintu.

Terpejam-pejam mata menyeberang jalan menahan pancaran panas matahari awal petang. Panas waktu Asar. Bila muka terdedah pada panas begini. Komen sendiri selalu. Habislah muka aku. Kepantangan kita. Muka terdedah pada matahari pagi dan awal petang. Bayangkan buah prun berjemuran matahari pagi petang.

Kala melintas jalan. Berselisih dengan seorang lelaki mengusung buku dalam kotak besar. Kami sudah sedia bawa beg kain lipat dalam beg sandang Suraya. Beg kain warna jingga dari Melbourne buat mengisi buku-buku bakal dibeli.

Berkumpul semula berempat. Sebenarnya dari muka pintu utama The Mall. Apa-apa hal. Pergi surau dulu. Apa-apa hal. Solat Asar dulu.

Laju-laju pergi surau. Memanjat tangga sebelum sampai surau. Alhamdulillah selesa nyaman surau dengan penyaman udara. Walaupun terpaksa menunggu tempat kosong. Pun begitu bukanlah lama. Kurang lima minit.

Selesai solat. Jumpa suami di pintu lif. Baru perasankan pada lif ini. Kalaulah tahu awal-awal lagi. Tidaklah perlu kita memanjat tangga. Walhal ini bukan kali pertama solat di surau ini.

Anak dara berdua itu bergegas pergi tingkat sekian-sekian. Tengok pancaragam sekolah sekian-sekian.

Kami suami isteri tunggu di tingkat bawah dari tingkat surau. Berhampiran tangga menuju surau.

Ibu ini menelefon puteri kedua. Belum pun lama menunggu. Pesanan mengingatkan.

" Adik. Mak dengan Abah tunggu kat pintu pameran buku ni. Kalau dah masuk dalam dewan. Susah nak jumpa nanti. "

Berempat masuk dewan. Cari booth sekian-sekian. Aduh ramainya manusia. Kita mulai pening. Pandangan mulai kelabu. Minta suami jangan tinggalkan kita. Apa-apa hal. Susah nanti kalau kita ini terpitam sorang-sorang. Sebagaimana cerita pada tahun 2002 atau 2003? Tahun itu kita terpitam hampir terpengsan sorang-sorang di tengah celahan ramai orang di hadapan booth DBP. Ingat lagi dengan budi petugas-petugas booth itu membantu kita.

Sampai satu booth ini. Seorang lelaki India mempromosi buku pendidikan. Kita geleng kepala. Lelaki ini pandang kita. Puan penat? Mungkin beliau ini perasankan muka mulai pitam kita.

Kebetulan Su berdiri di tepi tiang. Tangan cepat pegang tiang. Pandangan sekeliling mulai kelabu gelap. Minta dua puteri carikan kerusi sebelum terjatuh. Terlihatkan seorang wanita muda berbaju merah hati bergegas laju datang bawa kerusi. Terima kasih pada wanita muda ini.

Selepas itu. Lebih dari seorang datang bertanyakan kalau kita mahu air minuman. Sudah pun tersedia sebotol air mineral bawa dari rumah. Memang terlazim kini kami bawa sebotol air mineral kalau keluar rumah. Terima kasih pada seorang wanita India meminjamkan kita sebotol kecil minyak cap kapak. Petugas booth buku berikan dua buku besar nipis buat dua puteri kipaskan kita. Ramai bertanyakan kalau memerlukan bantuan. Ramai prihatin. Alhamdulillah budaya orang kita masa kini.

Kata seorang wanita muda. " Ramai sangat orang. Saya pun macam nak pening. "

Kala berehat inilah terlihatkan TNC U** lalu tepi. Masa itu. Walaupun penat. Tetap ingat. Baju profesor itu. Sama dengan baju beliau itu pakai pada malam dinner hari pertama seminar suami di Pahang. Baju warna putih seluar merah jambu. Tudung krim. Ingat busana beliau itu kerana malam itu beliau itu datang bersalam dengan kita.

Lega penat. Keluar dari dewan. Kami buat keputusan. Safura menunggu Su berehat. Suami dan Suraya shopping buku. Sebelum itu. Seorang wanita muda mencadangkan Su berehat di surau. Sebelum meninggalkan lokasi kita terpitam itu. Bangun ucapkan terima kasih pada petugas-petugas wanita muda booth situ. Sempat lagi kita mengingatkan dua puteri. Cuba ingat apa nama gerai-gerai buku tu. Gerai-gerai dengan petugas-petugas budiman itu.

Kala mencatat ini pun masih seakan terasa pitam kerana pening dan rimas ramainya orang lewat pesta buku itu. Sudah 28 tahun umur pesta ini. Setiap tahun semakin ramai pengunjung. Tahun lepas lebih dua juta ramai. Tahun ini mungkin lebih ramai. Kenapalah pihak yang berwajib tidak berusaha mengubah sedikit pelan pameran. Luaskan sedikit kawasan lalu lalang pengunjung. Ubahsuai mana yang patut buat keselesaan semakin ramai pengunjung.

Kala kereta kami melepasi Jalan Putra menuju parkir The Mall. Bersusun bas di seberang sana The Mall menghadap Jalan Kolam Air sana. Bas dari serata Malaysia. Bas dari utara. Bas dari pantai timur. Bas dari Melaka dan Johor. Ada bas sekolah. Ada bas persiaran. Ada bas institut perguruan. Rombongan pergi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tahun hadapan. Seram rasanya mahu datang lagi. Ataupun kalau mahu datang. Kata Su pada ahli keluarga. Buat diri ini. Terpaksalah juga menginap di hotel nan itu. Apa-apa hal kalau terpitam. Boleh lari pergi hotel. Itu pun kalau panjang umur hidup lagi sampai tahun hadapan. Harap-harap tersambunglah lagi catatan ini dengan cerita selepas pitam.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Sepagi sampai petang sampai malam hari kedua Bogor

Gelas turquoise kamar kecil Santika


Sepulang dari tiga hari Kemaman dan Cherating hari Isnin nan lalu. Serangan sakit biasa seperti lama dulu. Pun begitu hari ini. InsyaAllah berjalan jauh lagi. Bawah ini. Cerita 12 Februari hari kedua Bogor pagi sampai malam.

Selepas sarapan. Berdua kembali ke kamar. Sebentar selepas itu. Suami keluar berurusan IPB. Su pula. Berkira-kira mahu jalan-jalan ronda kota Bogor sekitar hotel. Teringat emel TNC IPB itu. Batalkan rancangan. Kot kot nanti isteri TNC itu menelefon. TNC atau Timbalan Naib Canselor.

Baca surat khabar. Pilihan tontonan tv hanya saluran berita sana sini dunia. Antara cerita utama dunia. Kebakaran di Victoria, Australia. Tv Indonesia pula. Berulang tayang berita kehilangan dua bekas pelajar Indonesia kebetulan berada sekitar lokasi kebakaran itu. Dua warganegara Indonesia itu berketurunan Tionghua. Selain dari sana sini saluran berita. Malas picit lihat saluran lain. Malas mendongak pandang tv tinggi pada dinding. Kalau berita. Boleh hanya mendengar suara penyampai berita.

Sesekali berdiri memandang pemandangan keluar dari tingkap kaca. Tingkap tingkat sembilan. Balkoni tiada kelihatan pintu. Kala mencatat ini baru perasan. Mungkin pintu itu terlindung oleh kain langsir tebal. Panorama kota Bogor dari hotel. Nun hadapan sana. Hutan Taman Botanikal Bogor. Bawah hotel. Bumbung hijau Botani Square Mall. Kanan dari hotel. Kelibat kedai-kedai. Juga kelibat kampus IPB.

Pagi mulanya terang kemudian mulai mendung. Bawah sana. Ada dua masjid. Satu masjid besar. Satu masjid atau surau. Kedengaran suara ustazah atau guru mengajari baca Al Quran. Suara bergema kuat guna pembesar suara. Mungkin dari surau berdekatan. Suara mengaji ustazah ini menggetar hati semangat Islam tersentuh sanubari hamba Ilahi.

Hujan turun renyai-renyai lewat pagi. Terus terbatal rancangan masih menimbang-nimbang keluar meronda Bogor seorang diri. Lagipun masih awal kunjungan Indonesia nan kali ini. Jangan penat awal. Jaga kesihatan.

Australia fires rage news at Santika Bogor


Datang orang housekeeping. Anak muda manis senyuman. Manis wajah berparas berpontensi jadi pelakon sinetron. Sementara menunggu anak muda ini mengemas. Su baca surat khabar. Bukan baca pura-pura. Memang baca. Berita kebakaran di Australia sana. Selalunya Su mesra bertegur sapa dengan pengemas kamar. Kekadang itu berbual bila orang housekeeping itu terlebih ramah. Selalunya mereka yang terlebih ramah ini. Mereka berusia emas. Kali ini. Kerana pengemasnya lelaki. Sekadar senyum membalas senyuman. Segan berlebih mesra.

Semua disalin tukar. Cadar dan sarung comforter serba putih. Sama sebagaimana dengan hotel-hotel di Beijing dan Chiang Mai. Kalau di Malaysia kita. Selalunya pengemas kamar hanya kemas katil tanpa salin tukar cadar. Hanya tukar segala cadar dan sarung bantal kalau kita minta. Ini kebanyakan hotel. Kecuali beberapa hotel terbilang. Ini pengalaman kami. Lain orang lain pengalaman cerita.

Hotel di Beijing. Lantai jubin digosok dengan kain tuala kecil basah. Pengalaman pertama kali melihat pekerja hotel terbongkok-bongkok mengelap jubin lantai. Orangnya pula lawa macam bintang filem Cina. Kamar Santika Bogor ini. Anak muda pengemas itu sapu lantai dengan penyapu besar. Chiang Mai dulu. Pengemas kamar sapu kamar menggunakan penyapu jerami. Setiap tiga hari selama dua minggu kami di hotel tengah kota Chiang Mai itu. Su minta lantai kamar divacuum. Selama dua minggu Chiang Mai itu. Setiap hari cadar dan sarung bantal ditukar ganti.

Seperti biasa. Walaupun kerja orang housekeeping itu bergaji. Ucapan terima kasih pasti terucap sejurus beres kemas kamar.

Mulanya berkira-kira mahu keluar selepas waktu Zohor. Petang masih hujan walaupun hanya turun renai. Bukan selebat deras petang semalam.

Suami pulang pukul lima. Member keluar semula bila tahu kita belum makan tengah hari. Belikan kita Nasi Goreng seperti semalam.

Suami beritahu. Malam ini TNC IPT Bogor itu menjemput kami geng Malaysia keluar makan malam.

" Kat rumah ke kat restoran? "

" Restoran. Pukul lapan. "

Mendung tanda mahu hujan Bogor


Selepas solat Maghrib dan Isya' jamaq dan qasar. Turun ke lobi. Satu lif dengan Prof Dr C. Sampai lobi. Tiga geng lelaki sudah berkumpul. Set sofa warna hijau. Mata terpandangkan TNC itu. TNC berbaju batik berwajah Sumatera. Kata Prof H bermaksud lebih kurang. Saya bawa isteri saya.

Geng lelaki berkumpul di satu set sofa. Su seorang diri di set sofa hanya dua kerusi. Tepi dinding kaca.

Beralih tempat menunggu. Semua berdiri menunggu di luar lobi. Malam dingin dengan kuatnya menderu pawana dari gunung. Terasa semacam malam musim panas Melbournelah pula.

Datang isteri Profesor H dan dua anak gadis bertudung berusia belasan tahun disuruhi bapa pergi salam dengan semua bapa-bapa dan ibu ini. Supir Innova pulang dengan kereta sedan hitam dengan dua puteri TNC itu. Isteri TNC sekereta Innova dengan kami. Tiga lelaki di belakang. Profesor C dan Profesor H di hadapan. Kami suami isteri dengan isteri Profesor H di tengah. Satu Su perasan. Warga Indonesia suka kenderaan warna hitam. Sana sini kenderaan hitam. Terutamanya kalau MPV. Sana sini MPV hitam.

Beberapa ketika selepas kereta Innova meninggalkan hotel tetapi belum melepasi get kawasan hotel. Tanya Dr H. Mahu makan apa ya? Makanan Thai atau Nasi Padang? "

Kata Su dalam hati. Kalau datang Indonesia. Mestilah mahu makan makanan Indonesia.

Syukurlah Dr C menjawab bagi pihak kami. Nasi Padanglah.

Kala lalu tepi restoran Donut J Co masih di dalam Botani Square. Su ceritakan pada isteri Profesor H tentang popularnya donut ini di Malaysia.

Bual-bual dengan Ibu A isteri TNC itu. Su ceritakan yang Bonda anak kelahiran pasangan kelahiran Medan. Ramai saudara mara di Medan. Kalau yang muda-muda pangkat ibu dan bapa saudara. Ramai di Jakarta. Itu belum lagi cerita tentang keturunan asal bapa. Juga terhenti kata walau pada mulanya mahu beritahu kita ini kelahiran Singapura. Nanti panjang lagi cerita.

Bila Su cerita yang Nenda H kita berketurunan Harahap. Ibu Profesor H pun bermarga Harahap berasal dari Medan. Bapa Dr H bermarga Saregar.

Ibu A*****. Orangnya berbeza dari sangkaan. Fikikan orangnya bergaya ibu-ibu orang kaya dalam sinetron. Ibu A di hadapan mata ini. Orangnya cukup sederhana. Berparas Melayu walaupun berasal dari Surabaya dengan wajah bersolekan nipis masih menyerlah ayu manis redup senyuman. Bertudung gaya orang Malaysia. Busana warna merah jambu sekali lihat mirip baju kurung tetapi sebenarnya jubah.

Restoran biasa bukan berbintang. Bukan tahap restoran-restoran kami singgah di Bandung dulu. Antara hajat kedatangan ke negara ini kali ini. Mahu singgah makan kedai-kedai makan biasa dan warung tepi jalan sini. Restoran ini menepati hajat walaupun sejujurnya sebelum itu kita memikirkan kami dibawa pergi restoran seperti restoran-restoran bergaya di Bandung itu. Ini jemputan TNC universiti.

Bermacam-macam lauk pauk masakan Padang terhidang. Semuanya tersusun dalam piring kecil. Antara lauk sedap pada selera ini. Hidangan ayam bakar lupa nama. Ayam bakar tetapi rasanya seperti ayam kukus. Rendang Daging Minang sama sebagaimana rendang-rendang Minang selalu kita makan di Malaysia. Gulai Daun Pucuk Ubi atau singkung sebutan orang Indonesia. Semuanya sedap belaka. Bagaimanapun Su kurang makan. Lebih ralit berbual dengan Ibu A.

Ibu A mencadangkan Su minum Ais Teler Shanghai atau ABC bersantan. Sedap tetapi tidak terhabis minum kerana sibuk berbual. Semua tetamu lelaki termasuk Ibu A. Minum Ais Alpokat warna hijau pandan bergula merah. Nampak sedap. Seperti biasa bila kita makan di kedai makan negara ini. Teh O percuma. Ini kelaziman kedai makan sini. Teh O panas dalam gelas kaca tinggi. Gelas air sirap kalau di Malaysia.

Bual-bual. Cerita Ibu A. Ibu A sesiang tadi menunggu Su menghubungi. Walhal kita pula menunggu dihubungi. Manalah kita tahu nombor telefon Ibu A. Salah komunikasi.

Kata ibu A. " Ibu muda lagi ya? Saya sekian-sekian tahun umur. " Baru memasuki tahun nombor empat.

Bila Su beritahu umur Su ini lebih senior dari dia. Ibu A berwajah terkejut. Sebelum itu pun Su fikirkan kami lebih kurang sama umur. Ibu A pun sama seperti kami suami isteri. Kahwin muda. Ibu A berkahwin semasa masih siswi IPB. Kini anak sulung Ibu A sudah siswi IPT. Tiga cahayamata Ibu A dan Profesor H. Semua perempuan. Kala kami suami isteri berumur sama dengan Ibu A ini. Pun anak sulung sudah sampai IPT. Ibu A pun sama seperti Su. Ahli kelab ibu-ibu domestic engineer. Ibu A suri rumah tidak pernah berkerja walaupun graduan IPB.

Su pula pernahlah juga bekerja sebagai guru walaupun hanya buat beberapa bulan. Walaupun pernah bergelar guru hanya buat seketika. Sampai kini. Ramai berpersepsi Su ini seorang guru. Kata ramai orang. Ada gaya guru. Walaupun tetamu berkenal kita hanya ketika bertandang di rumah. Terbiasa keluar soalan bernada Su** ni cikgu? Kurang pasti di mana cop bekas guru itu.

Kata Ibu A pernah menetap di Australia. Kalau diberi peluang Profesor H keluar negara. Ibu A suka kalau dapat menetap buat sementara di Malaysia. Ibu A paling suka Putrajaya. Pesan Su. Lain kali sampai Malaysia lagi. Hubungi kami.

Kala suami kita merakamkan gambar kami makan-makan. Kata Ibu A. " Oh memang bapak kelihatan muda lagi. " Ini kerana Su berkisah suami kita berkahwin ketika berumur baru sampai angka dua.

Bila Su cerita tentang mahu mencari busana Muslim Indonesia. Kata Ibu A. Beliau pula suka baju kurung sutera Malaysia. Begitulah dunia. Kita lebih mendambakan apa yang bukan selalu terpandang di hadapan mata. Apa yang bukan mudah diperolehi.

Selepas makan. Sebelum memasuki kereta. Datang dua orang warga emas perempuan minta sedekah. Tadah hulur tin kecil. Sampai menjengah-jengah tingkap kereta. Tiada wang kecil. Simpati juga kerana itu warga emas pangkat makcik kami atau opah-opah anak-anak kami. Ada orang itu tidak mahu hulur. Nanti ramai lagi berpusu datang. Itu pesanan orang sini.

Profesor H bawa kami meronda pusing lihat kota Bogor. Pusing lihat Taman Botanikal Bogor. Istana Presiden sebelah Taman Botanikal. Kampus IPB dari luar pagar. Ronda hanya dalam kereta. Meronda sambil berbual-bual cerita.

Sampai semula hotel. Esok pagi Ibu A akan menjemput Su pukul sepuluh pagi. Bawa Su shopping busana Muslim dan pergi Taman Botanikal. Sebelum sebelah petangnya kami semua pergi Puncak lawat ladang teh Gunung Mas.

Sama seperti tiga lagi kawan suami. Selepas saling mencatat nombor telefon dengan Ibu A. Kami suami isteri pergi Botani Square. Hajat kami. Mahu cari kedai buku. Suami mahu cari sambungan buku Laskar Pelangi. Juga kalau terjumpa DVD cerita itu. Su pula mahu cari apa-apa majalah Indonesia. Tidak jumpa kedai buku. Juga kebanyakan kedai mulai tutup pukul sepuluh malam. Mall sebesar lebih kurang Metro Plaza Kajang.

Terlihatkan Cafe J Co. Saja singgah beli. Mahu rakamkan gambar kita singgah J Co Indonesia di Bogor buat tatapan Suraya peminat Donut J Co. Ketika bertanya itu ini. Berbahasa Indonesia. Sekali bila kita tanya apa beza? Pecahlah tembelang. Orang Indonesia tidak sebut beza. Lekas kita ubah kata. Apa beda. Hanya beli dua. Sempat lagi kita bercerita tentang J Co Donut sudah sampai Malaysia. Senyum anak muda lelaki ini. Oh ibu dari Malaysia?

Singgah Giant. Beli air mineral hanya berharga satu ribu rupiah satu botol kecil. Lebih kurang 30 sen Malaysia. Kalau di Malaysia. Satu botol kecil itu. Selalunya lebih kurang RM1 satu. Kalau 30 sen Malaysia. Apa boleh dibeli dengan nilai 30 sen. Kalau di kampung-kampung. Mungkin harga satu kuih. Kalau Lembah Kelang. Satu kuih pun 40 sen.

Sampai hotel. Kekenyangan dan penat namun senang hati berlagu syukur. Seterika busana buat esok hari. Guna internet sambil tonton berita malam sebelum tidur. Sempat lagi rakam gambar donut ini. Tidak makan terus. Simpan buat esok-esok hari.


Chocolate donuts JCo satu malam Bogor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Pagi hari kedua Bogor berpesona senyum lagi

Seawal pagi Cafe Hotel Santika Bogor


Hari kedua Bogor 12 Februari. Update dari Terengganu. Hari kedua Terengganu. Hotel bajet tengah bandar dengan internet tanpa wayar percuma. Bila sampai masa catat cerita. Nanti promosi hotel ini pula. Hotel tengah bandar berhampiran Cherating. Malam ini. Pindah pergi Cherating.

Pagi hari kedua Bogor. Sarapan pagi berdua. Sarapan sebelum pukul tujuh pagi. Suami dan geng bakal dijemput pergi kampus IP Bogor seawal pukul lapan pagi. Kampus induk IPT ini. Bukan kampus bandar bersebelahan dengan Hotel Santika ini.

Dalam lif. Suami bertanya-tanya sendiri. Tercari-cari nama restoran di dinding lif sebelum picit nombor aras. Mana satu restoran dengan sarapan pagi. Sebelum Su beritahu tingkat tiga. Mata terpandang catatan nama cafe. Kata lelaki Indonesia sama dengan kami dalam lif. Restorannya di tingkat 3.

Kemudian masuklah pula dua wanita bertudung dan dua lelaki. Warga Indonesia. Dua daripadanya terpaksa keluar dari lif. Lif kecil tercatat hanya muat sembilan orang. Ini hanya boleh muat lima. Mungkin boleh kalau sembilan itu semuanya kurus kecil. Muatan sebenarnya berkadar dengan berat bukan pada bilangan orang.

Sesampai restoran atau cafe lupa nama kala mencatat ini. Wanita muda lawa menyapa dengan senyum manis mesra di pangkal ruang restoran. Bawa kami menuju meja empat persegi buat dua orang. Meja tepi dinding kaca berpandangan kolam renang di sebelah restoran. Kolam seakan lebih tinggi dari aras restoran. Sebagaimana dengan lobi. Ruang cafe ini pun bertema warna hijau serai lembut dan warna coklat. Kerusi makan warna hijau. Napkin pun warna hijau. Unifom petugas cafe pun dalam tona warna yang sama. Warna coklat berselitan warna hijau.

Seperti biasa. Suami ambilkan jus buat kami berdua. Sebelum kita ambil makanan sendiri. Jus warna merah buat suami. Jus oren buat Su. Selama ini Su suka Jus Mangga. Bila tahu Jus Mangga kurang bagus buat sakit kaki Su ini. Juga Jus Mangga tinggi kandungan gula. Kini memilih Jus Oren. Teh O panas buat kami berdua. Teh dihidang pelayan cafe. Sebagaimana selalu kini. Teh buat kami tanpa gula tanpa krim.

Makan Nasi Goreng bercampur Mee Goreng dalam satu pinggan. Mee halus semacam mee segera. Bukan seperti mee kuning kasar Malaysia. Jarang tinggalkan makanan di dalam pinggan. Selalunya Su senantiasa berusaha memastikan pinggan licin dari makanan. Kecuali bawang-bawang dan batang sayur dan tulang. Ikut sunnah Nabi. Habiskan semua makanan di dalam pinggan. Setiap butir makanan itu tersembunyi keberkatan. Bagaimanapun pagi ini. Terpaksa tinggalkan makanan di dalam pinggan. Bukan kurang sedap. Kurang menepati selera. Rasa tawar kurang perisa. Terbiasa makan mee goreng pedas dan nasi goreng berperisa. Juga kerana sebenarnya masih bersisa sakit gigi. Sebelum terbang datang Bogor. Sakit gigi selepas lebih dua tahun tanpa serangan sakit gigi.

Bagaimanapun. Tentang hidangan makanan hotel ini. Komen Su pada suami. Sedaplah sikit berbanding rasa makanan restoran hotel berbintang-bintang di Bandung itu. Kalau membandingkan hidangan hotel ini dengan hotel di Bandung itu. Walaupun hotel di Bogor ini hanya tiga bintang. Walaupun pilihan makanan kurang dari pilihan makanan hotel di Bandung itu. Ingat hotel di Bandung itu. Ingat betapa sakitnya perut selepas satu sarapan pagi di hotel itu. Pengalaman sakit perut pertama kali kerana keracunan makanan dalam dua puluh tahun kot.

Apa pun pada Su. Makanan hotel serantau Melayu semuanya hampir sama wajah dan rasa. Kalau sarapan pagi. Mesti ada hidangan nasi atau mee. Bubur Nasi dalam belanga besar. Sudut hidangan telur. Sudut roti. Sudut kuih-muih dan desserts. Kalau hotel berbintang-bintang. Ada sudut roti canai. Ada sudut lemang dan rendang. Macam-macam lagi. Ini kalau hidangan sarapan pagi.

Kembali kepada Hotel Santika Bogor. Satu pagi Jawa Barat nyaman hari bercahaya terang mentari pagi.

Suami ambilkan Omelet. Omelet kecil kurang lembut tengah. Bahasa mudah, Omelet sedikit keras.

Setahun dua ini. Hotel-hotel tempatan sedap hidangan pada selera ini. Atau berbeza rasa hidangan. Hotel Awana Kijal Kemaman. Hotel Royal Bintang Seremban sedap pilihan desserts. Cucur Bawang gaya cucur kampung Seri Malaysia Taiping. Kuetiau Kerang panas-panas Grand Plaza Penang. Omelet Renaissance Kuala Lumpur. Pilihan roti Renaissance Kota Bharu. Sambal Nasi Lemak Shahzan Inn Bukit Fraser. Waffle Casuarina Impiana Ipoh. Ini apa yang teringat kala mencatat ini. Hotel yang dulu-dulu. Sudah terlupa. Juga kebanyakan hotel-hotel singgahan kebelakangan ini. Semua hidangan terasa sama.

Kembali kepada catatan sarapan pagi. Hotel Santika Bogor.

Sudut kuih-muih dan buah-buahan. Sedang Su pandang-memandang melihat pandang pilihan makanan. Tanya seorang petugas cafe berdiri situ. Mesra bersenyum manis bertanya dalam bahasa Indonesia bermaksud mahu kuih mana satu bu. Siap lagi lelaki muda ini mencadangkan kuih itu ini. Siap beri penerangan ringkas lagi tentang kuih itu ini. Siap lagi tolong ambilkan pilihan kuih-muih ke dalam pinggan Su pegang. Layanan manis mesra bersenyum semanis wajah muka Melayu. Wah bagusnya. Masuk hari kedua. Semua layanan berbudi bahasa. Ramai manis wajah manis mesra senyuman. Terang benderang catatkan nama hotel. Kerana berpuas hati dengan servis hotel. Promosi percuma dari pelanggan senang hati.

Kita bercerita pada suami. Kata memuji-muji layanan petugas tadi. Pengalaman selama ini. Selalunya. Petugas restoran hotel hanya memerhati kelaku kita mengambil makanan. Juga komen kita. Semua petugas kelihatan muda-muda belum berumur suku abad.

Pengalaman mesra pelanggan petugas hotel masih boleh ingat kalau di negara sendiri. Pengalaman setahun dua ini. Seorang lelaki bertugas di dapur telur Hotel Promenade Kota Kinabalu. Bagaimanapun kini setiap kali pergi kota kelahiran tiga puteri kami itu. Kami memilih menginap di Hotel Meredien menghadap pasar menjual mutiara itu.

Juga komen kita. Sekeliling kami. Pelanggan Hotel Santika sedang makan. Rata-ratanya berwajah Melayu bukan Jawa. Bahasa pertuturan mereka di sekeliling kami. Bahasa Indonesia baku. Bukan bahasa orang Jakarta dalam cerita sinetron yang kekadang sukar kita fahami maksud kata.

Mungkin hotel ini sedang berkumpul para peserta seminar. Keliling kami. Bising bicara beberapa orang lelaki Indonesia pakai blazer tentang hal ehwal semasa dan ekonomi Indonesia.

Sedang makan. Lalu Dr W kawan sefakulti suami dan Dr Z dari Serdang. Berlalu keluar selepas makan.

Suami terima panggilan telefon dari Malaysia. Sesaorang dari jabatan kerajaan tentang iklim. Lamalah juga bualan. Orang itu bertanyakan tentang satu seminar bulan Mac nanti. Seminar berkaitan urusan suami kita di Bogor ini. Selesai bual. Kata suami. Habis kredit.. Bila di luar negara. Orang Malaysia telefon. Kredit kita pun turut susut sama.

Komen Su. " Dia tak kisah telefon keluar negara. Tapi dia lupa kredit orang di sini pun terjejas sama. "

Selesai makan. Semua petugas kiri dan kanan kami. Mesra senyum ucap terima kasih. Bagus bagus. Layanan mesra pelanggan semanis wajah. Allah taala izinkan. Boleh datang sini lagi.

Dalam lif. Sepasang orang Indonesia berketurunan Tionghua. Lelaki pasangan itu. Sedikit gempal. Isterinya kurus kecil. Tunjuk tanda lif hanya muat sembilan orang. Kata lelaki itu. Bohong! Tercatat muat sembilan orang. Walhal tadi kami hanya muat lima orang. Itupun bersempit-sempit.

Kata suami. Selepas pasangan Cina Indonesia itu keluar dari lif. Orang Indonesia tu orang Cina tapi bertutur dalam bahasa Indonesia.

Kuih muih dalam gambar. Satu kuih itu. Su ingatkan Kuih Lopes. Sebenarnya kuih diperbuat dari lecekan samada ubi keledek atau tepung sagu dengan tengahnya berisi gula Melaka. Mirip Kuih Abok-Abok Malaysia. Cuma Kuih Abok-Abok diperbuat dari sagu biji dan dibungkus dalam daun pisang.


Sarapan pagi hari kedua Santika Bogor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Pagi KLIA sebelum sampai Jakarta sebelum Bogor

Sesampai Soekarno Hatta Airport


Masih bersiaran dari Bogor. Update cerita 11 Februari hari Rabu

Pagi selepas Subuh. Sepulang suami dari surau solat Subuh. Sampai teksi dari KLIA di hadapan pintu pagar. Suami tempah teksi ini petang semalam. Sampai teksi selepas pemandu teksi ini menelefon suami menanyakan jalan walaupun teksi itu sudah sampai seksyen perumahan kami. Walaupun teksi KLIA itu sudah sampai surau berhampiran rumah kami.

Lebih kurang pukul 6.40 pagi. Penerbangan pergi Jakarta pukul 9.10 pagi. Tidaklah pun mahu bergegas laju perjalanan. Masih sempat lagi. Ini bukan penerbangan dari LCCT yang kaunter check in boleh ikut suka hati tutup walaupun masih dua jam sebelum pesawat mula berlepas. Ini berdasarkan pengalaman. Pernah hilang hangus RM3000+ hanya kerana kami terlewat lima minit sebelum kaunter check in tutup awal.

Walaupun bukan mahu bergegas. Pemandu teksi orangnya muda mungkin awal 30-an. Waduh memandu bagaikan mahu terbang. Sudahlah teksi ini susuri lalu Bangi lama sana. Jalan berpusing-pusing bagai ular berlingkar. Kalau kami pergi dengan kereta sendiri. Lebih gemar lalu lebuhraya.

Gerun sampai kita tutup mata. Kata hati. Kalau apa-apa hal. Mata katup tidak terlihat apa di hadapan.

Punyalah laju. Dari rumah kami pukul 6.45 pagi. Sampai KLIA pukul 7.10 pagi. Kurang setengah jam. Sebelum kami keluar dari teksi. Sempat lagi Azizan nama pemandu teksi ini mempelawa kami telefon dia kalau mahu teksi sepulang dari Jakarta. Oh takut saya. InsyaAllah hari kami pulang dari Jakarta. Dua puteri menjemput kami.

Apapun lega juga kerana sampai KLIA awal. Pun seawal begini. Panjangnya barisan menunggu di hadapan kaunter C. Ada petugas KLIA sarankan kami check in guna kioks layan diri. Pun petugas ini menasihatkan seorang dari kami tunggu bagasi. Kalau-kalau komputer kioks itu hang.

Suami siap check-in. Terpaksa pula beratur di hadapan kaunter bagi mereka sudah check-in sendiri. Sudahnya bila sampai giliran kami. Lebih kurang sama dengan giliran kalau kami terus menunggu di hadapan kaunter C tadi. Lainlah kalau sedari awal kami terus pergi kioks layan diri. Apapun kioks layan diri ini bagus bagi mereka check in tanpa bagasi.

Berat bagasi hanya 18 kilogram. Sengaja bawa kurang barang. Nanti mahu isi barang shopping dari seberang.

Suami pergi bank tukar sedikit lagi wang RM kepada rupiah. Sebahagian darinya duit Su. Su booking meja makan Asean Cafe. Lamalah juga berteleku menunggu sampai terpaksa kita menelefon kemana member menghilang. Jawapan orang itu sedikit bernada mendengus. Katanya terpaksa beratur panjang [di hadapan kaunter tukar duit].

Wah sekelip mata kita jutawan. Berjuta-juta wang bukan RM dalam dompet. Bagaimanapun mahal kalau tukar di kaunter bank di KLIA ini. Pagi ini. Tukarannya RM360 dapat 1 juta Rupiah. Kelmarin suami tukar di kaunter money changer PKNS Bangi. RM315 dapat 1 juta Rupiah. Pagi ini. Merasalah pegang duit sampai lebih kurang lima juta walhal kurang separuh dari lima kalau ribu RM.

Sarapan pagi makan Meehoon Goreng dengan Telur Goreng Mata Lembu. Suami belikan. Tiada pula sambal. Bangun pergi minta sambal.

Selepas makan. Singgah kedai coklat. Buat kudap-kudapan nanti di hotel. Tiada coklat menawan mata. Sebenarnya kalau bukan kerana terlalu gemar satu-satu coklat kegemaran di kedai ini. Su tidak beli. Zaman dulu-dulu. Setiap kali singgah kedai ini. Su beli coklat mesti beratus-ratus RM.

Satu hari entah berapa tahun lalu. Kedai coklat ini. Sementara Su menunggu giliran membayar. Seorang wanita Cina sedang bayar. Beli coklat seratus lebih RM. Pakai kad kredit. Coklatnya dihulur dalam beg kertas lawa kedai coklat. Bila giliran kita. Beli lebih kurang RM300+. Bayar tunai. Coklatnya dalam beg plastik biasa. Selepas itu. Kalau singgah beli. Kita beli kurang seratus. Kalau boleh. Biar kurang lima puluh RM. Mentang-mentanglah orang itu bergaya orang kaya-kaya. Walaupun beli hutang. Walaupun hanya beli seratus RM. Lain layanan. Hari itu. Gadis kasyier itu bukan Melayu.

Aerotrain penuh ramai penumpang. Walaupun masih awal pagi. Pun begitu Alhamdullah dapat tempat duduk. Sebelah Su. Satu keluarga orang Arab berwajah India bermata bulat hitam. Selepas kes suami kita kena pukau oleh sepasang pelancong orang Arab rupa-rupanya perompak bergaya orang kaya. Pakai kereta mewah. Lokasi kejadian. Restoran Jejantas Sungai Buluh. Tiadalah kita mudah bersenyum-senyum dengan mereka ini. Mereka pelancong orang Arab ini. Bukan semua pelancong orang Arab itu kaya raya. Bagaimanapun pagi ini. Su senyum pada anak-anak keluarga Arab ini yang keletah comel.

Keluar dari Aerotrain. Berkira-kira mahu singgah kedai coklat. Beli coklat. Beli air mineral.

Masuk satu kedai coklat. Su tanya gadis kaunter bayaran. Samada kedai itu ada jual air mineral. Tiada terjual air mineral.

" Puan beli di kedai buku sebelah sana atau Delifrance sana. "

Beli air mineral di kedai buku. Beli satu surat khabar perdana kerana cerita muka hadapan. Selalunya Su jarang beli surat khabar ini. Surat khabar bermula dengan huruf U. Cerita saman menyaman ekoran krisis terkini politik negeri kelahiran ibu saya.

Alhamdulillah dapat kerusi tepi tingkap. Kata suami. Mulanya kerusi kami bukan bersebelahan. Ini kerana tiket suami dibeli U**. Suami tukar nombor kerusi bila check in guna kioks layan diri.

Tanya Su pada suami. Tadi semasa kami bersarapan pagi di kafe sebelah surau itu. Apa yang Su suka pada pesawat satu lagi yang tiada servis itu pada pesawat MAS. Pandai pun suami. Beli makanan.

" Ha ah. Kalau kapal terbang MAS. Kita makan apa yang dihidang. Sedap tak sedap kena makan. "

Kalau naik pesawat satu lagi itu. Belum terbang. Su dan putera puteri sudah berkira merancang mahu makan apa.

Sembang-sembang sesama kami kalau menaiki pesawat yang lagi satu itu. Sembang santai seperti ini sebelum menaiki pesawat.

Masa pergi ni Mak nak makan Nasi Goreng. Masa balik nanti Mak nak makan Vegetarian Beriani.. "

Pagi ini. Sarapan pagi dalam pesawat. Nasi Lemak dan roti bun dan sehiris kek buah dan biskut. Hanya makan nasi dan roti bun. Bawa pulang bekas makanan MAS itu dengan makanan belum makan. Nasi itu terasa seperti nasi di dalam pesawat yang lagi satu itu.

Komen suami kita. " Sikit makanan. "

" Baguslah sikit dari flight pergi KK. Kalau pergi KK. Sandwic je. Padahal KK lagi jauh. "

Atas pesawat Mas terbang pergi Jakarta


Penat dan letih kerana lambat tidur. Lambat tidur kerana mengemas bagasi dan kemas kabinet pakaian. Pun begitu tidaklah terlelap mata. Baca surat khabar. Pandang-pandang luar. Perjalanan sepatutnya dua jam jadi satu jam kerana hilang satu jam bila sampai Jakarta.

Antara cerita dalam surat khabar. Cerita hutan selatan Victoria terbakar. Juga berita perompak pelancong orang Arab bukan saja pandai memukau. Malah sudah mulai mengganas dengan memaksa mangsa. Sudah sanggup memukul mangsa. Juga khabarnya mereka ini golongan orang Arab yang datang ke negara ini semata-mata bertunjangkan karier merompak secara memukau. Datang dengan visa pelancong.

Su mengomen tentang pengumuman dalam pesawat hanya berbahasa Inggeris. Hanya sekali kapten kapal berbahasa Melayu. Pengumuman ketika pesawat mahu mendarat.

" Kapal terbang lagi satu tu pun pengumuman dalam dua bahasa. Padahal dalam kapal terbang ni berapa kerat sangat laa orang putih. Rata-ratanya orang Melayu Malaysia dengan orang Indonesia. Orang Cina Malaysia. Kalau pesawat Garuda. Mesti diaorang utamakan bahasa Indonesia. "

Pesawat pagi ini. Penerbangan MAS bekerjasama dengan Garuda Indonesia.

Bagaimanapun pagi ini. Kosonglah juga pesawat.

" Orang Indonesia ramai naik pesawat yang lagi satu tu. Orang kita pun. "

" Kota Kinabalu lagi jauh. Pergi Kota Kinabalu dua jam tiga suku. Pergi Jakarta dua jam saja. "

Alhamdulillah sampai Lapangan Terbang Soekarno Hatta pukul 10 lebih waktu Jakarta pukul 11 waktu Malaysia.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Donat Epal Agam + Epal merah Good Food + Bangi Walk lewat malam

Lawa frangipani merah jambu berlatar hijau The Gardens larut malam


11 Januari hari minggu tiga minggu nan lalu

Awal pagi ini Suraya pulang dari kampus. Pulang hari tanpa bermalam. Safura pula malas pulang. Alasan malas pulang. Banyaknya assignment.

Jangkanya petang selepas solat Zohor. Suraya keluar petang dengan kawan-kawan sekolej. Sudahnya Suraya tidak jadi keluar pun. Walhal sedari awal pagi lagi kita merancang keluar rumah selepas solat Zohor. Sudahnya bersiap pakai selepas pukul enam petang. Tunggu suami pulang dari kedai gunting rambut di atas bukit sana Seksyen 4. Tunggu kereta biru gelap.

" Ni alang-alang dah dekat pukul tujuh. Kita tunggu Maghrib sajalah. Tapi empat puluh minit lagi baru Maghrib. Boleh sampai Mid Valley sebelum Maghrib ni. Ke nak Maghrib dulu kat rumah. "

" Adik tak kisah. Mana-mana je. "

" Kalau pergi lepas Maghrib. Dapatlah Mak tengok sekejap satu rancangan TV3 tu. Nak tengok apa cerita. Promo selalu tayang kat tv tu.. "

Promo berulang selalu tayang dengan dialog buat kita sesekali bergurau mengiyakan. Dah dapat yang sama gatal. So padan le muka.. Hidup sama-sama. Takkanlah susah nak sorang-sorang..

" Nak tahu siapa yang sama-sama gatal padan muka tu. "

" Bukan rancangan tu tengah hari tadi ke? "

" Ini kompilasi siaran paling kontroversi tahun 2008. "

Selama ini kita bukanlah peminat rancangan itu pun.

Telefon tanya suami. Lambatkah lagi sampai rumah.

" Su pergi pakai kereta merah tu sajalah. "

" Abah suruh kita pergi pakai kereta merah. Lagi pun Abah kamu mesti nak singgah pejabat lagi tu. Mak pun dah berbulan-bulan tak naik kereta merah tu. "

Sudahnya beransur pergi sebelum Maghrib. Sesampai Mid Valley City. Dari parkir The Gardens. Pergi surau Mid Valley. Jauhlah juga buat orang sakit kaki seperti kita ini. Su pernah tanya pengawal keselamatan The Gardens mana surau The Gardens. Surau The Gardens belum selesa buat bersolat. Bagus lagi pergi surau Mid Valley sana.

Payahnya mahu menembus berkumpul ramai orang berhimpit di hadapan Pasaraya Jusco. Bersempit-sempitan dengan cong cong ceh gendang latar tarian. Bising gamat. Tarian naga di hadapan pasaraya. Terpaksalah bersempit-sempit mencelah lalu meredah ramai orang. Berhati-hati jangan sampai terbatal wudhu'. Lokasi surau di sebelah Pasaraya Jusco.

" Tak sesuai betul diaorang buat tarian ni kat sini. Orang tak boleh masuk pasaraya. "

Setuju dengan kata Suraya. " Tarian naga ni Jusco yang punya. "

" Jusco yang rugi bila orang tak boleh pergi pasaraya Jusco. "

Seperti biasa memana surau dan musolla mahu pun masjid di Lembah Kelang ini. Bila Maghrib. Penuh ramai musolla. Surau sebelah Pasaraya Jusco ini. Sebesar-besar luas surau. Bila Maghrib. Mahu masuk pintu pun terpaksa beratur.

Selepas solat Maghrib. Berkira-kira mahu merakamkan gambar kelibat tarian naga. Sesi tarian naga usai sudah. Penari-penari sedang berehat. Penari-penari tarian naga rata-ratanya kelihatan berusia belasan tahun.

Jusco tingkat satu. Tuju tingkat barangan dan pakaian wanita. Nyaris-nyaris lagi kita terbeli satu dompet kulit warna merah dari Jerman. Kebelakangan ini mata ini berkenankan dompet kulit warna merah dan warna-warna bukan coklat kulit. Minggu lepas terbeli beg tangan kulit warna merah burgundi.

" Mak nak beli dompet ni kat butik jenama tu lah. Kalau beli kat sini. Beli beg mahal-mahal. Dapat beg plastik Jusco. Kalau beli kat kedai tu. Dapat beg jenama tu. Kedai jenama ni ada kat Pavilion. "

Kembali menghala The Gardens.

Suraya sempat melencong pergi satu kedai di hujung bertentangan dengan Jusco. Kedai satu jenama baju remaja.

" Mak tunggu di kedai Big Apple. Adik nak donat yang mana satu? "

" Belikan Adik yang Iceberg. "

" Mana Mak tahu Iceberg tu yang mana satu. Mak beli sajalah apa-apa. "

Sudahnya tahu pun donat Iceberg yang mana satu dari nama donat tercatat tulis. Iceberg itu donat bersalut glaze gula halus. Beli setengah dozen donat kegemaran semuanya bersalut coklat kecuali satu. Beli sebotol air mineral. Sementara menunggu Suraya. Duduk di kerusi PVC putih kafe Big Apple Donuts and Coffee. Minum air mineral.

Datang Suraya. Bangun sebelum Suraya datang ke kerusi.

" Jom kita pergi Borders. Mak nak cari satu buku ni. "

Beli buku cerita cinta hantu drakula. Buku bermuka kulit dengan gambar epal merah. Beli majalah BBC Good Food edisi bulan Disember. Cari majalah Delicious terkini. Tiada terpandang mata.

Sebelum itu. Kami singgah Restoran Italienne di tingkat bawah dari tingkat kedai Borders. Restorannya mulai tutup malam. Pembantu kedai perempuan muda. Halus budi bahasa beritahu tentang dapur sudah mulai tutup pukul sepuluh.

Jengah pula Restoran Paddington's Pancake. Restoran ini sudah tutup beberapa minit sebelum pukul sepuluh malam.

" Kita makan kat Subway sajalah. "

Suraya mahu makan makanan berat. Subway kedai Australia itu hanya jual sandwic. Hanya Restoran T*** Roma's masih beroperasi. Sudah hampir pukul sepuluh malam. Su tanya dulu samada masih boleh pesan makanan. Pekerja wanita Melayu ini bertanyakan pula kepada seorang pekerja lelaki mirip wajah orang Pakistan. Masih boleh.

Kalau ikutkan selera kita. Berkira-kira mahu ke Food Junction tingkat paling atas. Lama tidak makan Meehoon Goreng Singapura satu kedai makan Singapura. Apa pun pastinya medan selera itu sudah tutup pukul sepuluh malam.

Sedang tunggu makanan. Baca menu. Alahai. Antara pilihan minuman. Minuman keras. Terbantut selera. Hidangan pun kurang mencapai piawan selera. Ayam panggang keras liat. Lalu hanya terdaya makan kentang goreng. Suraya makan burger besar. Pun pada Suraya. Kurang sedap. Alamatlah ini kunjungan terakhir kedai makan ini.

" Restoran pancake kat sebelah ni lagi mahal. Tapi puas hati laa. Sedap dan lagi banyak pilihan. Bukan pancake manis saja. Hidangan nasi dengan pancake pedas pun ada. "

Selepas pukul sepuluh malam. Restoran ini masih terima pelanggan.

Tiada terlarat mahu menghabiskan makanan. Ayam Panggang hampir tidak terjamah langsung. Kami minta bungkus semua makanan. Boleh Suraya bawa pulang ke kolej.

Kala susuri kedai-kedai pergi parkir. Lengang mall. Kami antara paling akhir pergi parkir mulai lengang malam.

Bergegas pulang rumah. Suraya mahu pulang ke kampus malam ini juga.

Kala kereta lalu Sungai Besi. " Eh hari ni kan kenduri kahwin orang tu kat hotel kuda emas tu. "

Safura telefon minta belikan makanan. Pesan beli burger.

Beli burger restoran pandu lalu. Restoran pandu lalu bersebelahan laman Bangi Walk itu. Selepas itu. Sempat lagi kami ronda-ronda berkereta pusing Bangi Walk menghadap Tasik Cempaka. Sini ke Abah selalu jogging pagi-pagi hujung minggu. Lain kali Mak nak ikut lah. Mak tak jogging laa. Brisk walk. Bila penat. Mak duduklah tunggu Abah.

Lima belas minit sebelum pukul dua belas malam. Suraya mahu pulang ke kampus walaupun ibu sarankan pulang pagi. Banyak kerja nak buat.

Selepas pukul dua belas setengah malam. Ibu ini menelefon Suraya. Alhamdulillah selamat sampai kolej. Pintu pagar kolej tutup pukul dua belas malam. Kereta merah ditinggalkan di tepi jalan luar pintu pagar kolej. Maka terpaksalah Suraya berjalan kaki pulang ke blok kediaman bukannya dekat dengan pintu pagar.

" Eh tak bahaya ke kereta tinggal malam-malam kat luar tu? "

" Ramai lagi orang lain tinggal kereta kat situ. "

" Adik jalan kaki sorang-sorang saja ke. Ada orang lain juga? "

Apa pun Alhamdulillah lega. Bila anakanda selamat sampai kolej.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape