Tags: thursday

Mimpi semalam malam sepulang dari Hulu Dong mencari Rafflesia

Korner komputer sanggar santai selalu


Mimpi semalam. Bukan mimpi malam tadi. Mimpi malam Isnin hari minggu 16 haribulan Ogos. Malam pulang dari Lata Jarum. Lata Jarum kali kedua dalam dua minggu. Lata Jarum mukim Hulu Dong pinggiran bandar Raub selatan barat negeri Pahang. Hulu Dong mengarah hala Kuala Lipis dari Raub. Hulu Dong lebih kurang 28 kilometer dari bandar Raub. Hulu Dong mengingatkan kepada cerita Mona kerat lapan belas.

Malam itu sesampai rumah dari Lata Jarum kala rembang senja. Antara aktiviti selepas solat Maghrib sebelum tidur awal. Hanya lebih kurang setengah jam sementara menunggu azan solat Isya'. Sebelum beransur berbaringan melelap mata melega penat badan. Penat badan mulai beransur pulih dari demam lebih dari tiga minggu sebermula pertengahan bulan Julai.

Penat delapan hari Pahang dalam seminggu. Enam kali berulang susuri jalan dari Raub pergi Kuala Lipis sampai Jengka dalam masa seminggu. Minggu-minggu sebelum itu. Selalu berulang pergi Cameron Highlands dan Bukit Fraser. Minggu-minggu sebelum itu. Genting Highlands dan Cherating singgah Kuantan. Memanglah tahun 2009 ini tahun Pahang sebagai rumah kedua buat kami suami isteri.

Cerita mimpi itu. Malam Isnin itu sebelum tidur. Sempat guna internet sebelum beri lampu hijau buat Muhammad Idris menggunakan laptop ibu. Laptop Muhammad Idris lembab semacam. Janji ibu pada Idris. Selepas ibu beli laptop baru. Laptop ibu ini ibu beri pada Muhammad Idris. Pun begitu selepas keputusan SPM tahun hadapan. InsyaAllah ayahanda Muhammad Idris belikan Muhammad Idris laptop baru. Apa-apa hal. Belajar rajin-rajin buat SPM hujung tahun ini.

Selepas dua kali berwisata Lata Jarum. Barulah malam itu sempat Google lokasi rumah bomoh Mona kerat lapan belas di Hulu Dong.

Aduh terkujatnya saya. Lokasi rumah seram itu kami sering kali lalu. Rumah itu berjiran hanya beberapa rumah dengan chalet kami sewa dua kali dalam dua minggu. Chalet dalam kawasan dusun tepian sungai. Sungai berair terjun berbatu-batuan granit berukuran bulat besar. Patutlah bila lalu situ sebelah malam. Seram semacam.

Selepas tahu lokasi rumah seram berperistiwa tragedi ngeri itu. Mulalah berkelibatan yang bukan-bukan. Sampai tidur bermimpi dikejar hantu. Hantu ini mengekori saya sampai halaman rumah kami. Bagaimanapun hantu lelaki berkulit cerah ini hanya termampu sampai setakat halaman rumah. Hanya termampu memandang rumah kami di tingkat tinggi. Saya terpandangkan kelibat hantu ini dari jendela bertingkap gelongsor kaca gelap. Cerita dalam mimpi bersuasana malam. Hantu lelaki ini seakan mengintai-mengintai mencari jalan menembus masuk rumah kami.

Selepas terpandangkan kelibat hantu mengintai-ngintai dari jauh. Saya tutup rapat semua tingkap dan pintu dengan pagar doa.

Tiba-tiba terbuka pintu gelongsor kayu padu tebal ruang tamu utama. Konon-kononnya rumah kami rumah kondominium. Terbuka saja pintu gelongsor kayu tebal padu bagaikan pintu gerbang kota. Pintu terbuka sebagaimana terbuka pintu lif. Muncul Suraya.

" Eh macam mana Adik boleh buka pintu ni? "

Kaget dalam hati. Pada hal aku dah pagar pintu ni dengan doa.

Kata Suraya. " Adik tahu password. "

Dalam hati. Tahu password?

Terus terjaga beberapa ketika selepas jawapan Suraya.

Saya tidur di atas katil saiz Queen Muhammad Idris. Terjaga dari mimpi. Terlihatkan Muhammad Idris sedang guna laptop ibu. Meja komputer Muhammad Idris. Sebagaimana di dalam gambar. Katil Muhammad Idris. Sebelah kiri meja komputer itu. Itu komputer Muhamamd Idris. Dua laptop dalam gambar itu. Satu daripadanya milik ibu Muhammad Idris. Itu gambar tahun lepas.

Juga berkelibat dalam gambar kelabu itu. Paling kiri. Kayu penggaru turut berfungsi sebagai kayu pengurut. Itu hadiah dari Bonda. Saya kerap gunakan kayu itu sebagai pengurut kaki bila lenguh kaki.

Pernah terlihat kayu penggaru bagaikan garfu besar ini terjual di Queen Victoria Market, Melbourne. Harga di Melbourne. Satu kayu itu AUD3.99 lebih kurang RM12 Malaysia. Bonda beli kayu penggaru itu di Johor Bahru dengan harga RM3 satu. Itu harga lebih dari sepuluh tahun nan lalu.

" Pukul berapa sekarang Idris?"

Muhammad Idris memandang jam. Jam terlekat pada dinding atas muka pintu tandas kamar Muhammad Idris. Jam Ikea bulat warna hitam.

" Pukul sepuluh malam. "

Sambung tidur. Lena jenera tidur sampai pukul lima pagi.

Bangun solat Subuh pagi hari Isnin itu. Pagi bertiga pergi utara. Pagi hantar pulang Muhammad Idris kembali ke asrama selepas MRSM itu tutup seminggu kerana kes Selesema Babi. Tersenyum sendiri bila teringatkan dialog Suraya dalam mimpi itu. Adik tahu password.

Sampai sebegitu sekali pengaruh kamputer dalam hidup ini masa kini. Sampai tersinggah dalam mimpi.

Kurang pasti samada mimpi hantu itu kerana terkujat tahu mana satu rumah itu ataupun memang ada yang mengikut dari Hulu Dong. Lebih kuat hati kepada itu hanyalah mainan tidur kerana kepenatan. Pun begitu tetap terfikir. Apakah mimpi itu mahu mengingatkan saya kepada pagar rumah perlu diperkukuhkan lagi.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Pergi utara lagi hanya tiga hari selepas Nibong Tebal sempat lagi singgah Kopitiam Bangi

Sarapan pagi Roti Bakar Kopitiam Bangi


Hari Khamis 30 April. Sudah Jun mulai melambai Julai waima masih dengan kisah dibulan April. Tulis ikut suka ikut mood semasa. Mood semasa mahu mencatat buat entri terkini. Mahu sebenarnya mencatat cerita terkini tetapi malaslah pula mengarang tulis panjang. Entri ini sudah lama dalam draft.

Hari Rabu hari Muhammad Idris selesai Kejohanan Taekwondo Se-MRSM di Nibong Tebal. Malamnya sepulang Idris dari Nibong Tebal sampai maktab sendiri. Panggilan telefon dari Idris lewat malam.

" 1 Mei ni boleh balik rumah tapi Idris lambat bagi nama. Bas dah penuh. "

" Okay Ayang tunggu sekejap. Mak nak tanya Baby. "

" Baby. Esok boleh kita pergi ambil Idris? Pergi balik hari. Macam biasalah. Upah upah.. "

Bila perlu pemandu berkelana jauh beratusan batu. Umpan selalu. Upah buat pemandu.

Wajah ceria suka bakal bertambah elaun pendapatan bulan ini. Ceria bersetuju.

" Okay esok Mak dengan Baby pergi jemput Ayang. Ayang tunggu je tau. "

Gamaknya Idris berharap-haraplah ibunya berkata. Tak de bas? Kalau macam tu tak payah baliklah. Tidaklah juga kita bertanyakan dulu pada suami kerana sudah menjangkakan kebarangkalian jawapan menampar telinga. Kalau tak de bas tak payahlah balik. Mungkin juga bukan begitu. Kini bila member baru tahu sebenarnya selama ini kita pergi sana sini mengupah pemandu. Member menurut saja. Sebenarnya bukan upah. Ganjaran kerana menyenangkan hati ibu.

Nasi Lemak Kopitiam Bangi sebelum pergi Penang


Makanya pagi ini. Keluar berdua dengan Safura selepas pukul sepuluh. Suami tidak ikut sama. Hari ini hari kerja. Sedikit wang petrol buat kami. Suraya pula kini pelajar berlatihan praktikal. Tempat berlatihan praktikal masih di bandar kediaman. Lalu sampai Julai ini. Bukan lagi hanya berdua.

Kami suami isteri pernah mengomen ramai pelajar masa kini gemar memilih tempat berlatihan industri berhampiran dengan rumah keluarga. Bukan seperti zaman kami dulu. Ramai mencari lokasi latihan jauh dari keluarga. Mencari pengalaman jauh dari tempat tinggal. Bila sampai masa anakanda sendiri. Su sendiri minta Suraya cari tempat latihan berhampiran rumah. Lebih selamat.

Mulanya jangkanya Suraya berlatihan di Melaka. Su mulai berusaha mencari serviced apartment sewa buat kami berdua. Alhamdulillah bila sudahnya berlatihan di Bangi.

" Kita nak singgah sarapan kat mana ni? Lepas tu tak payah berhenti dah. "

Mahu cepat kerana menurut kata Idris. Boleh pulang seawal pukul dua belas tengah hari. Cuti tiga hari kerana 1 Mei cuti Hari Pekerja.

Safura mencadangkan Kopitiam Bangi singgahan selalu. Setuju saja walaupun kita lebih berkira-kira mahu bersarapan di Restoran Jejantas PLUS Sungai Buluh. Itu singgahan bersarapan pagi kalau berwilmana berdua dengan suami.

Walaupun bukan hujung minggu. Seperti selalu bila singgah sini. Tetap ramai orang. Su hanya makan Roti Bakar dengan Telur Separuh Masak dan Scrambled Eggs. Safura berhidangan Nasi Lemak dengan Rendang Ayam.

Seperti selalu. Kerap benar Telur Separuh Masak kopitiam ini telurnya mentah. Minta tukarkan dengan telur lain. Saya kalau Telur Separuh Masak. Gemar kuning telur itu sedikit masak namun lembut bukan cair mentah.

Minum Teh O panas. Kopi bersusu buat Safura. Berdiri sebelah kami. Berdiri tepi kipas semacam pendingin udara. Dua pekerja restoran ini berbual dalam bahasa ganjil pada pendengaran kami. Bahasa daerah Indonesia tiada satu pun bunyi bahasa baku negara itu. Sama sebagaimana restoran di Jalan 11 itu. Restoran ini mulai berwajah ramai orang seberang.

Sarapan dan sembang-sembang. Pukul sebelas baru bermula perjalanan dari Bandar Baru Bangi. Itu pun sempat lagi singgah stesen petrol. Masuk Kedai Mesra beli air mineral dan singgah ATM.

Sembang-sembang sepanjang perjalanan. Perjalanan tanpa henti dari Bandar Baru Bangi pukul sebelas. Sampai sekolah Idris belum pukul tiga petang. Lengang parkir bukan seperti selalu kalau kami datang pada hujung minggu.

Safura telefon Idris. Idris belum mandi lagi.

Solat di surau MRSM ini. Senyap sunyi surau. Senyap sunyi sekolah. Ramai pulang hujung minggu cuti empat hari tiga malam. Surau lengang. Selain dari dua pelajar perempuan sedang solat. Seorang pelajar perempuan mengaji Al Quran selepas solat. Gamaknya tiga pelajar ini tidak pulang bercuti.

Penat teramat. Kuatkan hati dan badan. Sabar sabar. Kalau mahu pengsan pun. Tunggu sampai rumah.

Tunggu itu ini. Pergi sana sini. Sudahnya perjalanan dari sekolah Idris hanya selepas pukul empat.

Cucur Udang Penang Hentian  PLUS Juru


Singgah Kawasan Rehat PLUS. Ada dua meja panjang kosong. Sampai kami di meja panjang ini. Ada seorang lelaki di meja panjang sebelah beritahu kami. Meja itu ada orang. Hai tiada sesiapa pun di situ. Kami sampai situ dulu. Hai boleh senang-senang kata meja itu sudah dibooking. Tiada pun tanda booking seperti tinggalkan beg dan yang seangkatan. Malas cari fasal. Cari saja meja lain. Lelaki itu booking meja itu buat rombongan mereka ramai satu keluarga.

Makan Cucur Udang bercicahkan Kuah Kacang. Berbeza dengan Cucur Udang selatan atau kawasan tengah semenanjung berkuah Garam Lada atau Sos Cili cair. Cucur Udang sini kuahnya Kuah Kacang kacangnya kisar halus.

Tidak seperti kunjungan sini sebelum ini Cucur Udang ini panas-panas. Hari ini. Cucur Udangnya bukan baru lepas goreng buat kurang berselera makan. Kuahnya kurang sedap seperti selalu. Mungkin Safura beli cucur ini dari gerai lain. Bukan gerai Su biasa beli Cucur Udang bila singgah kawasan rehat ini.

Idris makan Nasi Ayam. Safura makan Laksa.

Bukan main lagi Idris. Sebelum keluar dari kereta. Salin baju. Tiada lagi kemeja batik berwarna biru. Salin pakai kemeja T Quicksilver beli di Melbourne. Ramainya pelajar sekolah Idris. Meja makan di sebelah kami. Satu keluarga dengan dua pelajar perempuan. Kata Idris. Itu junior. Begitu juga dengan meja makan di hadapan kami. Sekeluarga dengan seorang junior Idris. Pun pelajar junior perempuan.

Cerita Safura senyum-senyum selepas beli ABC dan Cucur Udang buat ibu.

" Budak perempuan sebelah tu tegur. Hai Abang Idris. "

Komen ibu. Komen bernada bergurau.

" Mesti laa kenal Abang Idris. Ketua pasukan rumah sukan. Nama dengan gambar tersenarai kat papan kenyataan tu. Top ten best students tingkatan empat tahun lepas. "

Datang pula seorang sahabat Idris. Pun sudah bertukar baju bukan lagi baju batik biru. Bersalaman dengan Idris sebelum menuju pergi parkir kereta. Pelajar lelaki ini senyum sambil menganggukkan kepala tanda hormat dengan ibu Idris. Tahu pun selalu kawan-kawan lelaki Idris. Sekadar senyum tanpa bersalam.

Mee Kari Shalala Coffee Kawasan Rehat PLUS Tapah sepulang dari Penang


Selepas pukul lima dari Kawasan Rehat PLUS singgah makan Cucur Udang minum ABC.

Kurang dari satu jam selepas itu. Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Gunung Semanggol. Bukan kerana mahu pergi tandas ataupun singgah minum kopi panas. Safura mahu berehat tidur. Tidurlah dua anakanda dalam kereta. Sabar menunggu. Malaslah pula keluar minum Nescafe kaw satu kedai minum situ. Penat teramat sangat badan. Radio kereta terpasang perlahan.

Sebelum pukul tujuh. Sebelum Maghrib. Sambung perjalanan pulang. Sebelum itu singgah stesen petrol situ.

Singgah pula Kawasan Rehat PLUS Tapah sebelum pukul sembilan malam. Selepas solat. Singgah Cafe Shalala Coffee. Makan Mee Kari. Sandwich dan Puff buat dua anakanda. Capucinno panas buat kita. Air dingin buat dua anakanda.

Sebelum itu. Singgah kedai cenderamata di sebelah cafe. Beli satu kaftan dan satu raga anyaman daun mengkuang.

Penat teramat. Sedari Tapah lebih kurang pukul sembilan setengah. Selepas kemas kerusi belakang. Su berbaring tidur di kerusi belakang. Siap buka tudung lagi. Idris mengambil tempat ibu. Kerusi permaisuri di sebelah kerusi pemandu.

Jenera tidur. Terjaga bangun bila susuran kereta bercahayakan terang benderang lebuhraya lalu kota. Lebuhraya Kuala Lumpur sekitar Sungai Besi.

Alhamdulillah selamat sampai rumah sebelum pukul dua belas malam.

Eh mana sebelah lagi sandal warna beige kita? Laa tadi sebelum kita memasuki kereta. Kita tertinggalkan sebelah sandal di luar kereta. Ini tertinggal hanya sebelah sandal. Pernah lebih dari sekali. Su tertinggal sandal di luar kereta semacam meninggalkan kasut di luar pintu rumah. Kali akhir sebelum ini. Tertinggal sandal di luar kereta selepas solat di Masjid Al Hasanah Bangi. Kembali berpatah semula pergi parkir masjid. Elok tersusun sepasang sandal merah di tengah parkir di hadapan anjung masjid.

Itu sandal kegemaran Su. Sandal dari Perancis beli di Malaysia bukan pun mahal harga. Sudah tersurat sampai sini saja jodoh sandal itu dengan kita. Kita beli sandal berfaktorkan keselesaaan bukan harga atau jenama.

Sesampai Idris di kamar tidur putera mahkota. Cari PSP. Sesekali. Beri peluang intan payung tidur lewat.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Menjelang senja mengintai kemunting Cina Al Hasanah

Suraya sekembali dari mengaji posing tepi bunga ungu biru Kota Kinabalu


Update cerita 27 April hari Isnin. Sehari selepas perjalanan pergi utara pagi pulang malam. Tanpa duga tersinggah MRSM Transkrian ziarah putera mahkota bermukim situ lima hari.

Antara aktiviti berdua masa kini. Aktiviti bila kini hanya berdua di rumah sedari putera mahkota pindah sekolah. Pun hanya bermula selalu aktiviti ini baru lagi tahun ini. Selalunya selepas pukul enam sehabis masa pejabat sesaorang itu. Keluar minum petang berdua. Selalunya istilah kami. Jom pergi minum kopi. Walhal selalunya minum teh.

Sesaorang itu yang memulakan ini. Satu hari member menelefon mencadangkan kami keluar petang berdua minum kopi. Ini selepas pernah kita mengingatkan. Kalau selalu sangat balik lewat sampai Maghrib. Selepas Asar saya pergi pejabat. Sama-sama kita tunggu pejabat sampai Maghrib. Jangan terkejut tiba-tiba saya muncul di pintu pejabat. Kalau pelajar buat temu janji selepas waktu pejabat. Biar kita temankan. Jangan ingat kita tiada kaki kita tidak boleh sampai pejabat. Tiada kaki kerana tiga kereta semuanya diguna pakai. Dua dibawa pergi U** kampus dua puteri.

Kini tiada lagi masalah memikirkan cahayamata kecil tertinggal di rumah. Kalau sihat kuat tanpa demam. Boleh terbang kemana saja. Antara sebab hampir sepanjang hujung minggu setengah tahun ini. Tiada di rumah pada hujung minggu selalunya sebermula hari Jumaat sampai hari minggu.

Hari Isnin selepas sehari sebelum itu berkisah peristiwa pergi Nibong Tebal tanpa rancang. Berdua keluar minum petang selepas pukul enam. Kami sekeluarga semua sama citarasa. Kalau sudah suka satu-satu kedai makan itu. Berulang kedai makan yang sama. Dua kali sebelum ini. Minum petang di restoran Nasi Kukus berhampiran rumah. Hari ini. Mahu cuba satu restoran baru hanya sepelaung dari rumah tetapi jauhlah juga kalau berjalan kaki buat saya ini. Restoran korner deret kedai seberang jalan sebelahnya Tasik Cempaka. Belakang blok restoran ini. Perumahan atas bukit sebelah hotel lima bintang. Situ rumah bekas juara satu siri realiti tv. Selebriti berasal dari tanah rancangan selatan.

Petang ini. Sesaorang itu bercerita. Ada orang beritahu. Rumah itu terjual tinggi sejuta lebih RM kerana nama orang yang membeli. Kata dalam hati. Hai? Orang U** pun sembang fasal ni?

Lengang restoran hanya dua meja dengan pelanggan. Satu daripada meja kayu coklat hitam itu. Berdua di meja itu. Rasa-rasanya itu pasangan tuan punya restoran berumur enam puluhan.

Makan Meehoon Goreng. Basahlah pula meehoonnya. Kita mana gemar meehoon goreng basah begini. Meehoon goreng kegemaran. Gorengan meehoon cara ibunda saya. Warna merah pedas cili dan sedikit kering. Kalau gorengan suami kita. Member pakar goreng Meehoon Singapura warna putih berlada hitam itu.

Apa pun walaupun basah lenjun. Okaylah juga rasa. Cuma sikit sangat portion hidangan.

" Sikitnya. Banyak lagi Meehoon Goreng seringgit setengah beli pagi-pagi kat warung tu. Restoran baru. Ke diaorang ni tak tahu kot nak agak berapa banyak satu pinggan. "

Suami seperti selalu masa kini. Bila makan di kedai makan. Makan Sup Sayur.

Oh ada ABC? Minta juga ABC selain dari minuman panas. ABC minuman berais kegemaran kita selalu selain dari Cendol Pulut. Okaylah juga ABCnya tetapi bahan-bahannya lebih kepada benda-benda bersedara mara dengan cincau. Boleh dikira bilangan kacang merah. Sedari cerita wabak kolera hujung dekad lalu kerana cincau. Sampailah sekarang ini Su tidak makan cincau dan yang seangkatan.

Keluar minum kopi tetapi dua-dua minum Teh O Limau panas kurang gula. Kalau di rumah. Sudah bertahun rasanya kita minum minuman panas tanpa gula. Kecuali sesekali minum minuman 3 dalam 1. Kini suami pun meniru kelaziman Su ini. Minum teh O panas tanpa gula.

Hanya tinggalkan restoran selepas habis siaran hafazan Al Quran ditayangkan di kaca tv restoran. Itu siaran ulangan.

Catharantus roseus vinca kemunting cina Masjid Al Hasanah Bangi


Alang-alang menjelang azan Maghrib. Su cadangkan kami terus pergi masjid. Tunggu Maghrib. Antara azam tahun baru setahun dua ini. Mahu lebih kerap solat di masjid. Terutamanya solat Subuh dan solat Maghrib dan Isya'.

Sesampai perkarangan masjid. Masjid Al Hasanah Bangi. Masjid bernostalgia perkahwinan puteri. Sampai parkir menghadap masjid. Seperti selalu. Kita curi masa merakamkan gambar seperdu pokok bunga kemunting cina warna ungu. Bunga kemunting ini ada versi warna putih. Antara bunga-bunga kegemaran kita. Bunga melur, bunga kemunting cina, bunga raya warna merah hati, bunga siantan atau ixora atau bunga jarum, bunga cempaka, bunga tanjung.

Semua bunga-bunga ini. Ikatan suka itu kerana bertautan dengan cerita nostalgia. Bunga melur bunga kegemaran ibunda sampaikan itu nama manja kita sedari lahir. Bunga raya merah hati antara bunga runasan kita selalu di halaman rumah Opah sepindah kami dari Singapura. Begitulah juga dengan bunga siantan atau ixora selalu Su hisap madu jejarum bunga itu. Pun di halaman rumah Opah. Rumah Opah berjiran dengan rumah keluarga Jins Shamsudin.

Itu arwah opah saudara. Ibu kandung Ayahanda meninggal semasa Ayahanda kecil. Ayahanda dan Bonda. Kedua-duanya anak yatim kematian ibu semasa kecil.

Kalau bunga kemunting cina berwarna ungu. Rumah lama kala masih serumah dengan ayah ibu di utara sana. Bersusun rimbunan pokok bunga kemunting cina warna ungu ini di atas batas di hadapan rumah. Bunga kemunting cina ini Bonda tanam berkumpul dengan perdu pokok bunga keembong warna ungu dan pokok puding berdaun warna jingga.

Rumah lama di Reservoir Garden Kota Kinabalu. Pun bersusun pepohon bunga renek comel ini. Sebagaimana kelihatan kelibat pokok bunga kemunting cina ini dalam gambar paling atas.

Gambar paling atas. Dua anakanda puteri posing tepi pokok bunga kemunting cina rumah Reservoir Garden. Gambar itu. Sepulang dua tuan puteri dari kelas mengaji Muqaddam di surau belakang rumah. Hari itu. Puteri kedua baru dua tahun sepuluh bulan. Hari itu. Su sarat hamilkan puteri bongsu lahir hanya beberapa hari selepas rakaman gambar ini. Puteri sulung hari itu. Baru enam tahun. Sebelah kiri bunga warna biru itu. Bunga raya merah hati lebat berbunga.

Tahun lepas kami ronda berkereta singgah pandang rumah lama ini. Pohon bunga raya merah hati tanaman Su itu sudah ditebang potong oleh tuan rumah baru bukan orang Melayu. Bunga raya merah hati ini bukan dengan lima kelopak ranggi. Bunganya bergumpal seperti bunga carnation.

Antara impian mungkin mustahil tercapai. Su berangan mahu beli rumah sekitar perumahan itu. Rumah persinggahan bila pulang Kota Kinabalu. Kenangan berumah situ. Antara nostalgia paling melekap tersemat kuat pada sanubari sepanjang tujuh tahun bermukim di kota kelahiran tiga puteri kami.

Vinca Catharantus Roseus Kemunting Cina kala senja Masjid Al Hasnah Bangi


Selepas solat. Suami mencadangkan kami singgah PKNS Bangi. Lamalah juga situ. Su belikan dua kemeja warna biru dan krim buat suami. Satu kemeja T warna merah jambu salmon buat putera mahkota. Suami beli fius dan itu ini buat bulb lampu kamar Idris. Lama kamar Idris bergelap sedari hujung tahun lepas. Bab membaiki benda rosak. Tunggu berzaman sebelum orang baiki. Itu cerita biasa. Semakin lali. Alah bisa tegal biasa.

Kereta meninggalkan Kompleks PKNS menjelang azan Isya'. Kita cadangkan singgah masjid dulu. Ada orang mahu pulang juga. Mahu hantar kita pulang ke rumah sebelum member pergi surau. Sudahnya singgah juga surau.

Ini bila kita mengingatkan. Janganlah sampai terlepas pula solat berjemaah kalau mahu hantar Su pulang dulu ke rumah. Sebelum ini. Kita menegur member kebelakangan ini terpaksa tinggalkan solat Zohor berjemaah kerana mesyuarat waktu tengah hari. Pesan kita. Berhati-hatilah bila kesibukan hal dunia buat kita beransur meninggalkan kelaziman selalu.

Su tunggu dalam kereta. Gelap lorong mahu menuju pintu ruang solat wanita. Penat pun sama.

Selepas itu pergi restoran singgahan selalu kami di Jalan 11. Belikan makanan buat Safura.

Sekali lagi. Su tunggu dalam kereta. Kebelakangan ini. Kurang selesa lagi pergi restoran sudah semacam restoran orang seberang ini. Dari petugas biasa sampailah tokeh kaunter bayar. Semuanya orang seberang. Kurang selesa kerana entah kenapa kini kalau pergi sana Su pulangnya mesti demam. Selalu petugas situ demam kot. Terutama yang baru sampai dari seberang. Kita ini mudah berjangkit demam. Daya tahan badan bukan seperti dulu lagi.

Teringat pernahlah sekali dulu kami di restoran itu. Kita minta seorang pekerja restoran sedang menyapu tolong kuatkan kipas. Boleh lelaki seberang ini tidak faham apa yang kita maksudkan dengan kipas laju. Selepas kita terpaksa beri isyarat tangan. Barulah lelaki muka seberang itu faham. Oh kipasnya mahu diputar keras. Kita pun ketawa mengulang kata. Ya minta kipasnya putar keras.

Komen kita pada suami. " Baru sampai dari Indonesia kot. "

Tadi di restoran baru berpandangan Tasik Cempaka itu. Belikan Suraya Meehoon Tomyam bungkus. Lama singgah sana singgah sini. Alamat kembanglah meehoon itu. Ini kerana meehoonnya sudah dicampur sekali ke dalam kuah tomyam.

Sudahnya asalnya keluar rumah sebelum pukul enam. Sampai rumah pukul sembilan. Mulanya hanya keluar minum kopi. Sudahnya shopping malam singgah dua restoran.

Apa-apa pun Alhamdulillah hari sentosa walaupun belum hilang penat semalam pergi utara pulang hari.

Hmm catatan cepat berlebih kurang kerana mahu mencatat cerita berulang pergi sekolah Idris kurang seminggu selepas pergi MRSM Transkrian. Saya mencatat ikut mood apa mahu dicatat cerita. Bukan ikut kronologi haribulan.


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Bertembung lewat berpesta-pestaan buku

Sabar menunggu satu petang Pan Pacific Kuala Lumpur


Setiap kali meredah pengunjung bertali arus Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Pasti bertembung dengan orang itu orang ini menangkap mata menguja meriah rasa. Paling mengujakan. Tentunya bila bertembung dengan mereka rapat karib atau pernah rapat dalam hidup. Sahabat handai dan saudara-mara. Manakala bertembung terpandang personaliti tertentu. Kekadang itu mampu merakam kenangan diari satu hari lewat berpesta buku.

1. Sepuluh tahun kebelakangan ini sedari bermula cerita kembali menginap di tanah semenanjung. Setiap kali berPesta Buku Kuala Lumpur. Selalunya kami menginap di hotel bersebelahan dengan bangunan PWTC itu. Buat lebih santai berpesta-pesta bagi kita dengan kesihatan kurang tahan bersesakan dalam suasana ramai gamat. Boleh berehat bila penat. Boleh dari hotel berulang jengah lokasi pesta lebih dari sekali dalam sehari.

Beberapa tahun lalu. Lupa tahun bila. Mungkin 2004 atau 2005. Malas singkap baca cari dalam arkib. Hari itu pukul dua petang. Selepas check-in. Sementara menunggu kamar sedang disiap kemas. Hari itu ramai personaliti dan artis tanah air baru lepas check-out. Selepas sehari sebelum itu berlangsung satu majlis anugerah di dewan dalam kawasan PWTC. Su suami isteri dan Muhammad Idris santai berehat menunggu sambil minum Jus Oren. Welcoming drinks. Sofa selesa seselesa mata memandang pandangan ruang lobi lembut redup dekorasi. Suasana lobi lebih tenang berbanding ramai dari lokasi pesta buku lalu lalang tepi hotel.

Pandang sana sini. Mata pandang hadapan. Mata terpandangkan kelibat seorang wanita kecil comel langsing bertudung. Manis berseri wajah bersenyuman menawan datang mampir set sofa di sebelah kami. Mula-mula kurang ingat itu siapa. Wajah seperti biasa terlihat. Selepas itu baru perasan itu siapa. Penyanyi lagu Wasini popular ketika itu.

Gurau Su dengan Idris. Mahukah ibu merakamkan gambar Idris dengan penyanyi itu. Jual mahallah pula Idris. Idris waktu itu umur sekolah rendah. Pun komen kita hari itu. Tak sesuailah Idris ambil gambar dengan dia. Lainlah Adik atau Baby.

Tahun sebelum tahun lepas. Muhammad Idris baru tingkatan tiga. Sepulang Idris dari bermain futsal dalam satu kejohanan futsal. Lokasi kejohanan. Gelanggang futsal bersebelahan dengan Lake Garden. Senyum meriah Idris bercerita. Ada Waheeda. Idris ambil gambar dengan dia. Bukan berdua. Ramai-ramai dengan kawan-kawan pemain futsal. Bukan hanya penyanyi itu selebriti dalam gambar itu. Juga dalam gambar itu. Seorang penyanyi lelaki. Kalau tidak silap namanya Didi. Dua penyanyi itu tetamu menyerikan kejohanan itu.

Komen ibu. Amboi. Masa kecik dulu bukan main jual mahal tak mau bergambar. Ni dah besar. Bukan main teruja lagi. Mana gambar tu Mak nak tengok..

Sampai kini. Belum lihat gambar itu. Guna kamera hand phone kawan.

2. Tahun 2004 kot. Tahun itu pun kami menginap di Hotel Pan Pacific itu. Sementara tunggu suami check in hotel. Su dan Muhammad Idris menunggu di Pesta Buku. Belum melepasi pintu kawasan booth buku. Menunggu di kawasan dengan meja-meja makan gerai makan. Sedang Su beli Nescafe panas dan sandwic. Tiba-tiba ada orang beri salam di belakang bahu. Tahun itu. Dua kali Su ditegur pembaca blog ini. Dalam hati ketika itu. Hai pembaca blog lagi ke. Toleh pandang. Lebih mengujakan. Salam dari isteri saudara sepupu. Antara bertembung bertemu mengujakan rasa. Tentu saja bila bertembung dengan saudara-mara. Saudara sepupu Su seorang profesor ini. Pun sama seperti Su. Ulat buku sedari kecil.

Muhammad Idris santai selepas sarapan pagi Pan Pacific Kuala Lumpur


3. Tahun yang sama bertembung dengan saudara sepupu itu. Hari yang lain. Su penat teramat. Berehat seorang diri. Minum Nescafe O panas sementara menunggu suami dan cahayamata shopping beli buku. Lalu tepi meja. Satu grup orang muda berpakaian ranggi. Terdengar siulan orang dari tepi. Mereka ini ceria menoleh. Beberapa ketika selepas itu baru perasan. Ini grup satu kumpulan penyanyi semua lelaki Su kurang pasti nama juga kurang pasti apa lagu mereka. Cuma Su perasankan pada wajah seorang dari mereka ini yang kemudiannya berkahwin dengan anak bekas menteri besar negeri Selangor.

4. Lupa tahun bila. Awalan dekad ini mungkin. Bertembung mata dengan seorang sahabat sama kolej zaman Shah Alam. Sahabat seorang jurutera ini sekeluarga dari Kuantan. Datang ke Kuala Lumpur semata-mata kerana Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu. Itu kali kedua Su bertembung dengan sahabat ini selepas kami grad. Kali pertama. Tahun pertama hari pertama kali kami suami isteri dan puteri sulung sampai London. Hari itu Su menyusukan puteri sulung belum pun berumur sebulan di satu kawasan lapang dalam tandas Malaysian Hall. Datang sahabat ini. Sahabat ini ketika itu baru berkahwin. Datang London dari bandaraya lain England kerana urusan biasiswa.

Sama seperti kami bertembung kali pertama. Su terlupa nama sahabat ini walhal dulu kami berjiran kamar dan selalu bertemu di surau. Lain kursus tetapi seorang sahabat karib Su sama kursus dengan sahabat ini. Hari itu di Pesta Buku. Su minta sahabat ini tuliskan nombor telefon dalam buku nota. Cara biasa untuk tahu nama kawan kita terlupa. Nama sahabat ini. Sama nama dengan nama seorang permaisuri.

5. Beberapa tahun lepas. Selepas check out dari Hotel Pan Pacific. Sempat lagi kami suami isteri dan Idris singgah lagi Pesta Buku. Petang itu. Berselisih dengan seorang sahabat Aberystwyth di sebelah dalam pintu ruang pameran tingkat buku-buku Melayu. Sahabat ini bertemankan tiga cahayamata terkecil. Sahabat satu taman perumahan. Walaupun satu perumahan. Pertemuan secara bertembung tanpa duga itu tetap menguja meriah hati.

6. Hari yang sama itu. Hari bertembung dengan Dr. Normadiah itu. Ketika mahu keluar dari ruang pameran. Berselisih dengan seorang novelis juga popular dengan buku masakan. Kecil comel orangnya. Rendah dari paras bahu kita.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur jumpa lagi tahun hadapan


7. April tiga tahun lalu. Lewat malam selepas pukul sembilan. Su dan suami. Hanya kami berdua. Buat kali pertama. Kami tidak menginap sewa di hotel sebelah PWTC itu selepas bertahun-tahun rutin tahunan bercuti berpesta buku menginap di Hotel Pan Pacific. Malam itu kami parkir kereta berhampiran bangunan dulunya pejabat imigresen berhampiran Hotel Dynasty. Kami pergi malam selepas Maghrib. Malam terakhir Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu.

Bangunan imigresen itu merakamkan kenangan Su pertama kali buat pasport antarabangsa. Sebelum buat pertama kali pergi Wales. Masa itu. Su masih dalam pantang selepas melahirkan puteri sulung berumur baru dua minggu.

Malam itu. Buat pertama kali. Kami suami isteri bersinggah makan lewat malam di medan selera berhampiran bangunan dulunya pejabat imigresen itu.

Pesta Buku Kuala Lumpur malam parkir berhampiran bangunan imigresen tahun 80-an itu. Malam itu berselisih dengan seorang sahabat bertahun-tahun Su simpan dalam berkecil hati dengan member ini. Satu hari lebih lima belas tahun lalu. Kami keluar tiga hari. Kami dengan bayi kecil ditempatkan di satu rumah bukan bersama dengan mereka datang tanpa anak kecil. Malam itu kami tidur bersebelahan atas satu tilam. Masing-masing susukan bayi. Idris belum pun setahun.

Malam itu. Swansea musim bunga. Member bertanyakan apa aktiviti dakwah Su di Aberystwyth. Kemudiannya member komen panjang. Bagaimana mahu majlis diberkati kalau para hadirin datang tanpa menutup aurat sempurna. Ini bila Su katakan itu halaqah santai. Apa yang utama. Kita mendekati mereka tanpa mengira latar belakang dan gaya kehidupan. Majlis berkumpul mengeratkan persaudaraan sambil menyulamkan peringatan dengan sesi tazkirah. Member ketika itu sentiasa berjubah tebal warna hitam. Purdah labuh hitam tutup muka.

Malam itu Swansea lebih lima belas tahun lalu. Member itu bertanyakan umur kita. Jawab member bila tahu umur kita. Eh nampak muda. Ingatkan muda dari saya. Patutlah kata-kata member malam itu pedas kurang menghormati kita. Member ingat kita ini lebih muda. Kami berbeza umur tiga tahun.

Malam itu. Pesta Buku Kuala Lumpur tiga tahun nan lalu. Kita bertembung dengan member ini pakai tudung sedikit jarang bukan lagi labuh. Komen suami kita. Eh baju pun nampak bentuk badan? Begitulah orang lelaki. Cepat terpandang hal sebegitu walhal malam itu Su kurang perasan tentang busana member itu. Hanya perasan tiada lagi kain tutupan wajah. Lebih bergaya dari dulu.

Baru-baru ini awal bulan April ini. Seorang sahabat lain menelefon. Menurut cerita sahabat menelefon itu. Member yang Su bertembung itu semakin seakan melarikan diri. Gaya kehidupan semakin bergaya orang kaya. Rezeki mencurah-curah. Wajah member terutamanya suami member seorang profesor. Semakin kerap keluar surat khabar dan tv. Baru-baru ini satu keluarga makan angin pergi Eropah. Bila mulai ternama kaya raya. Semakin kurang aktiviti dulu-dulu.

Komen Su. Itulah. Kita jangan sesekali memandang rendah orang lain yang terlihat kurang usaha dari kita. Kita belum tahu bagaimana kita ini esok lusa. Kalau terlihat sahabat kita kurang usaha. Kita mendoakan buat sahabat itu juga buat diri sendiri. Kita tidak tahu bagaimana ujian bakal kita terima esok dan lusa. Antara ujian bahaya. Ujian kemewahan harta. Juga dalam hidup ini biarlah berbagus sangka kalau hanya dari pandangan mata atau dengar-dengar cerita. Kita belum tahu antara orang itu dengan kita siapa lebih mulia pada hari kemudian nanti di hadapan Allah subhanahuwataala.

8. Tahun sebelum tahun lepas. Su pergi dengan dua puteri selepas solat Maghrib. Sampai Pesta Buku Kuala Lumpur tahun itu lewat pukul sembilan. Kami parkir kereta berhampiran tempat parkir kami pada tahun sebelum itu. Berhampiran dengan medan selera sebelah satu hotel bajet. Malam itu hanya beberapa hari sebelum kami terbang pergi Melbourne menjelang kelahiran Safiyyah. Sama sebagaimana tahun sebelum itu. Tiada cerita bermalam di Hotel Pan Pacific kerana semuanya tiada masa buat bermalam situ kecuali kita seorang.

Malam itu. Sedang Su memilih kitab ugama. Bertembung pandang dengan sesaorang popular dengan satu majalah wanita pada hujung tahun 80-an dan awal 90-an. Beliau ini menjengah booth yang sama. Besar tinggi lawa bergaya. Beliau ini tersenyum manis pada kita. Kalau bukan kerana kamera lemah bateri. Mungkin Su minta izin mahu bergambar. Ini kerana kita peminat majalah beliau pada hujung 80-an itu. Beliau dengan suami baru? bukan bekas suami dulu tokeh majalah-majalah Va*** popular pada dua dekad sebelum ini. Tokeh itu berkahwin dengan penyanyi Wirdaningsih dari Indonesia.

9. Beberapa tahun lalu. Susuri ruang legar PWTC menuju dewan pameran buku. Su dan Idris bertembung dengan seorang personaliti berketurunan Tionghua kini sudah berugama Islam dengan nama Adam. Beliau ini berdiri bersandar di dinding dewan. Senyum-senyum mesra pada seorang anak kecil berselisih dengan kami. Kata ibu anak lelaki mungkin berumur enam tahun itu. Pergi laa salam.

10. Beberapa tahun lalu. Su singgah booth UKM. Beli buku biografi Jins Shamsudin. Datang seorang profesor madya perempuan pakar bahasa Melayu. Beliau ini sahabat karib kepada Bonda. Bonda banyak memuji tentang pakar bahasa ini. Mulanya mahu menegur beritahu. Saya ini anakanda sekian-sekian. Melihatkan wajah serius tanpa senyum beliau ini. Malaslah. Apa pun memang Su perasan mata beliau itu sesekali mencuri pandang kita. Mungkin beliau itu tahu kita pun sedang pandang memandang.

11. April tahun ini. Hari Sabtu lepas selepas hari gaji. Ramai sungguh manusia. Su sedang berehat selepas pitam hampir terjatuh pengsan. Lalu sebelah kami. Seorang profesor perempuan bos kanan tempat kerja suami. TNC universiti tempat kerja suami. Beliau itu tidak perasankan kami tepi tiang. Baru seminggu lepas. Kami di satu hotel dalam negeri Pahang. Beliau ini datang bersalam dengan kita. Makan malam hari pertama seminar. Tanya beliau ini bersenyum mesra. Su ini U** dari fakulti mana. Jawab suami. Bukan orang U**.

Komen kita dengan seorang sahabat pun hadir makan malam itu. Beliau ini sama dengan bos nombor satu universiti. Tidak sombong. Tidak lokek senyum. Beliau yang datang menghampiri kita hulur tangan buat bersalam.

" Kadang-kadang yang sombong ni. Budak-budak yang baru kerja ni. Baru merasa duit lebih. Dah rasa besar sangat. "

Ada seorang pensyarah perempuan ini. Pensyarah muda baru bertugas belum pun sepuluh tahun. Setiap kali bertembung dengan kita. Kita senyum pun dia boleh buat dek. Satu ketika berselisih dengan kita dan suami. Bukan main lagi senyum meleret paling manis dia buat suami kita. Kita di sebelah suami boleh dia pandang sebelah mata berwajah sadin pura-pura tidak perasan. Bukan sekali cerita sebegitu. Apa dia ingat kita ini suri rumah tak sekolah?

Walhal ikut hukum ugama malah budaya bangsa. Sewajarnya senyuman itu lebih afdal buat kita bukan buat suami kita lelaki bukan muhrim dia.

Baru-baru ini member ini minta pertolongan suami. Member ini antara staf perempuan terbiasa berSMS dan menelefon nombor telefon bimbit suami kita. Kata orang. Kalau mahu mengorat anak. Buat baik dengan ibu. Mahu minta pertolongan suami orang. Jangan sombong dengan isteri lelaki itu. Kadang-kadang isteri ini ada kuasa veto dalam beberapa hal bila suami minta pandangan. Kata hati bila tahu tentang minta pertolongan itu. Dasar tidak tahu malu.

Apa yang Su ingat sangat tentang profesor lalu tepi kala Su baru lepas pitam petang Sabtu itu. Busana profesor itu sama dengan busana beliau pakai pada malam beliau mesra datang bersalam dengan Su di Pahang itu. Busana dan tudung yang sama serupa.

12. Juga tahun ini. Hari Sabtu lalu. Su dan Safura berehat dalam Cafe Riverside selepas Su terpitam. Suami dan Suraya shopping buku. Datang suami meriah wajah bercerita. Suami kita bertembung dengan pengantin baru. Kami hadir kenduri pengantin baru itu minggu lepas di Teluk Intan. Kekanda ipar kepada Khadijah. Kekanda kepada Naza itu datang suami isteri dengan rombongan orang kampung dari Teluk Intan. Rombongan pergi Pesta Buku Kuala Lumpur tahun 2009.

Ini catatan cerita bertembung tanpa dirancang. Bukan cerita berjumpa sudah awal terancang. Ataupun bertemu sesaorang memang dicari lewat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Sepagi sampai petang sampai malam hari kedua Bogor

Gelas turquoise kamar kecil Santika


Sepulang dari tiga hari Kemaman dan Cherating hari Isnin nan lalu. Serangan sakit biasa seperti lama dulu. Pun begitu hari ini. InsyaAllah berjalan jauh lagi. Bawah ini. Cerita 12 Februari hari kedua Bogor pagi sampai malam.

Selepas sarapan. Berdua kembali ke kamar. Sebentar selepas itu. Suami keluar berurusan IPB. Su pula. Berkira-kira mahu jalan-jalan ronda kota Bogor sekitar hotel. Teringat emel TNC IPB itu. Batalkan rancangan. Kot kot nanti isteri TNC itu menelefon. TNC atau Timbalan Naib Canselor.

Baca surat khabar. Pilihan tontonan tv hanya saluran berita sana sini dunia. Antara cerita utama dunia. Kebakaran di Victoria, Australia. Tv Indonesia pula. Berulang tayang berita kehilangan dua bekas pelajar Indonesia kebetulan berada sekitar lokasi kebakaran itu. Dua warganegara Indonesia itu berketurunan Tionghua. Selain dari sana sini saluran berita. Malas picit lihat saluran lain. Malas mendongak pandang tv tinggi pada dinding. Kalau berita. Boleh hanya mendengar suara penyampai berita.

Sesekali berdiri memandang pemandangan keluar dari tingkap kaca. Tingkap tingkat sembilan. Balkoni tiada kelihatan pintu. Kala mencatat ini baru perasan. Mungkin pintu itu terlindung oleh kain langsir tebal. Panorama kota Bogor dari hotel. Nun hadapan sana. Hutan Taman Botanikal Bogor. Bawah hotel. Bumbung hijau Botani Square Mall. Kanan dari hotel. Kelibat kedai-kedai. Juga kelibat kampus IPB.

Pagi mulanya terang kemudian mulai mendung. Bawah sana. Ada dua masjid. Satu masjid besar. Satu masjid atau surau. Kedengaran suara ustazah atau guru mengajari baca Al Quran. Suara bergema kuat guna pembesar suara. Mungkin dari surau berdekatan. Suara mengaji ustazah ini menggetar hati semangat Islam tersentuh sanubari hamba Ilahi.

Hujan turun renyai-renyai lewat pagi. Terus terbatal rancangan masih menimbang-nimbang keluar meronda Bogor seorang diri. Lagipun masih awal kunjungan Indonesia nan kali ini. Jangan penat awal. Jaga kesihatan.

Australia fires rage news at Santika Bogor


Datang orang housekeeping. Anak muda manis senyuman. Manis wajah berparas berpontensi jadi pelakon sinetron. Sementara menunggu anak muda ini mengemas. Su baca surat khabar. Bukan baca pura-pura. Memang baca. Berita kebakaran di Australia sana. Selalunya Su mesra bertegur sapa dengan pengemas kamar. Kekadang itu berbual bila orang housekeeping itu terlebih ramah. Selalunya mereka yang terlebih ramah ini. Mereka berusia emas. Kali ini. Kerana pengemasnya lelaki. Sekadar senyum membalas senyuman. Segan berlebih mesra.

Semua disalin tukar. Cadar dan sarung comforter serba putih. Sama sebagaimana dengan hotel-hotel di Beijing dan Chiang Mai. Kalau di Malaysia kita. Selalunya pengemas kamar hanya kemas katil tanpa salin tukar cadar. Hanya tukar segala cadar dan sarung bantal kalau kita minta. Ini kebanyakan hotel. Kecuali beberapa hotel terbilang. Ini pengalaman kami. Lain orang lain pengalaman cerita.

Hotel di Beijing. Lantai jubin digosok dengan kain tuala kecil basah. Pengalaman pertama kali melihat pekerja hotel terbongkok-bongkok mengelap jubin lantai. Orangnya pula lawa macam bintang filem Cina. Kamar Santika Bogor ini. Anak muda pengemas itu sapu lantai dengan penyapu besar. Chiang Mai dulu. Pengemas kamar sapu kamar menggunakan penyapu jerami. Setiap tiga hari selama dua minggu kami di hotel tengah kota Chiang Mai itu. Su minta lantai kamar divacuum. Selama dua minggu Chiang Mai itu. Setiap hari cadar dan sarung bantal ditukar ganti.

Seperti biasa. Walaupun kerja orang housekeeping itu bergaji. Ucapan terima kasih pasti terucap sejurus beres kemas kamar.

Mulanya berkira-kira mahu keluar selepas waktu Zohor. Petang masih hujan walaupun hanya turun renai. Bukan selebat deras petang semalam.

Suami pulang pukul lima. Member keluar semula bila tahu kita belum makan tengah hari. Belikan kita Nasi Goreng seperti semalam.

Suami beritahu. Malam ini TNC IPT Bogor itu menjemput kami geng Malaysia keluar makan malam.

" Kat rumah ke kat restoran? "

" Restoran. Pukul lapan. "

Mendung tanda mahu hujan Bogor


Selepas solat Maghrib dan Isya' jamaq dan qasar. Turun ke lobi. Satu lif dengan Prof Dr C. Sampai lobi. Tiga geng lelaki sudah berkumpul. Set sofa warna hijau. Mata terpandangkan TNC itu. TNC berbaju batik berwajah Sumatera. Kata Prof H bermaksud lebih kurang. Saya bawa isteri saya.

Geng lelaki berkumpul di satu set sofa. Su seorang diri di set sofa hanya dua kerusi. Tepi dinding kaca.

Beralih tempat menunggu. Semua berdiri menunggu di luar lobi. Malam dingin dengan kuatnya menderu pawana dari gunung. Terasa semacam malam musim panas Melbournelah pula.

Datang isteri Profesor H dan dua anak gadis bertudung berusia belasan tahun disuruhi bapa pergi salam dengan semua bapa-bapa dan ibu ini. Supir Innova pulang dengan kereta sedan hitam dengan dua puteri TNC itu. Isteri TNC sekereta Innova dengan kami. Tiga lelaki di belakang. Profesor C dan Profesor H di hadapan. Kami suami isteri dengan isteri Profesor H di tengah. Satu Su perasan. Warga Indonesia suka kenderaan warna hitam. Sana sini kenderaan hitam. Terutamanya kalau MPV. Sana sini MPV hitam.

Beberapa ketika selepas kereta Innova meninggalkan hotel tetapi belum melepasi get kawasan hotel. Tanya Dr H. Mahu makan apa ya? Makanan Thai atau Nasi Padang? "

Kata Su dalam hati. Kalau datang Indonesia. Mestilah mahu makan makanan Indonesia.

Syukurlah Dr C menjawab bagi pihak kami. Nasi Padanglah.

Kala lalu tepi restoran Donut J Co masih di dalam Botani Square. Su ceritakan pada isteri Profesor H tentang popularnya donut ini di Malaysia.

Bual-bual dengan Ibu A isteri TNC itu. Su ceritakan yang Bonda anak kelahiran pasangan kelahiran Medan. Ramai saudara mara di Medan. Kalau yang muda-muda pangkat ibu dan bapa saudara. Ramai di Jakarta. Itu belum lagi cerita tentang keturunan asal bapa. Juga terhenti kata walau pada mulanya mahu beritahu kita ini kelahiran Singapura. Nanti panjang lagi cerita.

Bila Su cerita yang Nenda H kita berketurunan Harahap. Ibu Profesor H pun bermarga Harahap berasal dari Medan. Bapa Dr H bermarga Saregar.

Ibu A*****. Orangnya berbeza dari sangkaan. Fikikan orangnya bergaya ibu-ibu orang kaya dalam sinetron. Ibu A di hadapan mata ini. Orangnya cukup sederhana. Berparas Melayu walaupun berasal dari Surabaya dengan wajah bersolekan nipis masih menyerlah ayu manis redup senyuman. Bertudung gaya orang Malaysia. Busana warna merah jambu sekali lihat mirip baju kurung tetapi sebenarnya jubah.

Restoran biasa bukan berbintang. Bukan tahap restoran-restoran kami singgah di Bandung dulu. Antara hajat kedatangan ke negara ini kali ini. Mahu singgah makan kedai-kedai makan biasa dan warung tepi jalan sini. Restoran ini menepati hajat walaupun sejujurnya sebelum itu kita memikirkan kami dibawa pergi restoran seperti restoran-restoran bergaya di Bandung itu. Ini jemputan TNC universiti.

Bermacam-macam lauk pauk masakan Padang terhidang. Semuanya tersusun dalam piring kecil. Antara lauk sedap pada selera ini. Hidangan ayam bakar lupa nama. Ayam bakar tetapi rasanya seperti ayam kukus. Rendang Daging Minang sama sebagaimana rendang-rendang Minang selalu kita makan di Malaysia. Gulai Daun Pucuk Ubi atau singkung sebutan orang Indonesia. Semuanya sedap belaka. Bagaimanapun Su kurang makan. Lebih ralit berbual dengan Ibu A.

Ibu A mencadangkan Su minum Ais Teler Shanghai atau ABC bersantan. Sedap tetapi tidak terhabis minum kerana sibuk berbual. Semua tetamu lelaki termasuk Ibu A. Minum Ais Alpokat warna hijau pandan bergula merah. Nampak sedap. Seperti biasa bila kita makan di kedai makan negara ini. Teh O percuma. Ini kelaziman kedai makan sini. Teh O panas dalam gelas kaca tinggi. Gelas air sirap kalau di Malaysia.

Bual-bual. Cerita Ibu A. Ibu A sesiang tadi menunggu Su menghubungi. Walhal kita pula menunggu dihubungi. Manalah kita tahu nombor telefon Ibu A. Salah komunikasi.

Kata ibu A. " Ibu muda lagi ya? Saya sekian-sekian tahun umur. " Baru memasuki tahun nombor empat.

Bila Su beritahu umur Su ini lebih senior dari dia. Ibu A berwajah terkejut. Sebelum itu pun Su fikirkan kami lebih kurang sama umur. Ibu A pun sama seperti kami suami isteri. Kahwin muda. Ibu A berkahwin semasa masih siswi IPB. Kini anak sulung Ibu A sudah siswi IPT. Tiga cahayamata Ibu A dan Profesor H. Semua perempuan. Kala kami suami isteri berumur sama dengan Ibu A ini. Pun anak sulung sudah sampai IPT. Ibu A pun sama seperti Su. Ahli kelab ibu-ibu domestic engineer. Ibu A suri rumah tidak pernah berkerja walaupun graduan IPB.

Su pula pernahlah juga bekerja sebagai guru walaupun hanya buat beberapa bulan. Walaupun pernah bergelar guru hanya buat seketika. Sampai kini. Ramai berpersepsi Su ini seorang guru. Kata ramai orang. Ada gaya guru. Walaupun tetamu berkenal kita hanya ketika bertandang di rumah. Terbiasa keluar soalan bernada Su** ni cikgu? Kurang pasti di mana cop bekas guru itu.

Kata Ibu A pernah menetap di Australia. Kalau diberi peluang Profesor H keluar negara. Ibu A suka kalau dapat menetap buat sementara di Malaysia. Ibu A paling suka Putrajaya. Pesan Su. Lain kali sampai Malaysia lagi. Hubungi kami.

Kala suami kita merakamkan gambar kami makan-makan. Kata Ibu A. " Oh memang bapak kelihatan muda lagi. " Ini kerana Su berkisah suami kita berkahwin ketika berumur baru sampai angka dua.

Bila Su cerita tentang mahu mencari busana Muslim Indonesia. Kata Ibu A. Beliau pula suka baju kurung sutera Malaysia. Begitulah dunia. Kita lebih mendambakan apa yang bukan selalu terpandang di hadapan mata. Apa yang bukan mudah diperolehi.

Selepas makan. Sebelum memasuki kereta. Datang dua orang warga emas perempuan minta sedekah. Tadah hulur tin kecil. Sampai menjengah-jengah tingkap kereta. Tiada wang kecil. Simpati juga kerana itu warga emas pangkat makcik kami atau opah-opah anak-anak kami. Ada orang itu tidak mahu hulur. Nanti ramai lagi berpusu datang. Itu pesanan orang sini.

Profesor H bawa kami meronda pusing lihat kota Bogor. Pusing lihat Taman Botanikal Bogor. Istana Presiden sebelah Taman Botanikal. Kampus IPB dari luar pagar. Ronda hanya dalam kereta. Meronda sambil berbual-bual cerita.

Sampai semula hotel. Esok pagi Ibu A akan menjemput Su pukul sepuluh pagi. Bawa Su shopping busana Muslim dan pergi Taman Botanikal. Sebelum sebelah petangnya kami semua pergi Puncak lawat ladang teh Gunung Mas.

Sama seperti tiga lagi kawan suami. Selepas saling mencatat nombor telefon dengan Ibu A. Kami suami isteri pergi Botani Square. Hajat kami. Mahu cari kedai buku. Suami mahu cari sambungan buku Laskar Pelangi. Juga kalau terjumpa DVD cerita itu. Su pula mahu cari apa-apa majalah Indonesia. Tidak jumpa kedai buku. Juga kebanyakan kedai mulai tutup pukul sepuluh malam. Mall sebesar lebih kurang Metro Plaza Kajang.

Terlihatkan Cafe J Co. Saja singgah beli. Mahu rakamkan gambar kita singgah J Co Indonesia di Bogor buat tatapan Suraya peminat Donut J Co. Ketika bertanya itu ini. Berbahasa Indonesia. Sekali bila kita tanya apa beza? Pecahlah tembelang. Orang Indonesia tidak sebut beza. Lekas kita ubah kata. Apa beda. Hanya beli dua. Sempat lagi kita bercerita tentang J Co Donut sudah sampai Malaysia. Senyum anak muda lelaki ini. Oh ibu dari Malaysia?

Singgah Giant. Beli air mineral hanya berharga satu ribu rupiah satu botol kecil. Lebih kurang 30 sen Malaysia. Kalau di Malaysia. Satu botol kecil itu. Selalunya lebih kurang RM1 satu. Kalau 30 sen Malaysia. Apa boleh dibeli dengan nilai 30 sen. Kalau di kampung-kampung. Mungkin harga satu kuih. Kalau Lembah Kelang. Satu kuih pun 40 sen.

Sampai hotel. Kekenyangan dan penat namun senang hati berlagu syukur. Seterika busana buat esok hari. Guna internet sambil tonton berita malam sebelum tidur. Sempat lagi rakam gambar donut ini. Tidak makan terus. Simpan buat esok-esok hari.


Chocolate donuts JCo satu malam Bogor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Pagi hari kedua Bogor berpesona senyum lagi

Seawal pagi Cafe Hotel Santika Bogor


Hari kedua Bogor 12 Februari. Update dari Terengganu. Hari kedua Terengganu. Hotel bajet tengah bandar dengan internet tanpa wayar percuma. Bila sampai masa catat cerita. Nanti promosi hotel ini pula. Hotel tengah bandar berhampiran Cherating. Malam ini. Pindah pergi Cherating.

Pagi hari kedua Bogor. Sarapan pagi berdua. Sarapan sebelum pukul tujuh pagi. Suami dan geng bakal dijemput pergi kampus IP Bogor seawal pukul lapan pagi. Kampus induk IPT ini. Bukan kampus bandar bersebelahan dengan Hotel Santika ini.

Dalam lif. Suami bertanya-tanya sendiri. Tercari-cari nama restoran di dinding lif sebelum picit nombor aras. Mana satu restoran dengan sarapan pagi. Sebelum Su beritahu tingkat tiga. Mata terpandang catatan nama cafe. Kata lelaki Indonesia sama dengan kami dalam lif. Restorannya di tingkat 3.

Kemudian masuklah pula dua wanita bertudung dan dua lelaki. Warga Indonesia. Dua daripadanya terpaksa keluar dari lif. Lif kecil tercatat hanya muat sembilan orang. Ini hanya boleh muat lima. Mungkin boleh kalau sembilan itu semuanya kurus kecil. Muatan sebenarnya berkadar dengan berat bukan pada bilangan orang.

Sesampai restoran atau cafe lupa nama kala mencatat ini. Wanita muda lawa menyapa dengan senyum manis mesra di pangkal ruang restoran. Bawa kami menuju meja empat persegi buat dua orang. Meja tepi dinding kaca berpandangan kolam renang di sebelah restoran. Kolam seakan lebih tinggi dari aras restoran. Sebagaimana dengan lobi. Ruang cafe ini pun bertema warna hijau serai lembut dan warna coklat. Kerusi makan warna hijau. Napkin pun warna hijau. Unifom petugas cafe pun dalam tona warna yang sama. Warna coklat berselitan warna hijau.

Seperti biasa. Suami ambilkan jus buat kami berdua. Sebelum kita ambil makanan sendiri. Jus warna merah buat suami. Jus oren buat Su. Selama ini Su suka Jus Mangga. Bila tahu Jus Mangga kurang bagus buat sakit kaki Su ini. Juga Jus Mangga tinggi kandungan gula. Kini memilih Jus Oren. Teh O panas buat kami berdua. Teh dihidang pelayan cafe. Sebagaimana selalu kini. Teh buat kami tanpa gula tanpa krim.

Makan Nasi Goreng bercampur Mee Goreng dalam satu pinggan. Mee halus semacam mee segera. Bukan seperti mee kuning kasar Malaysia. Jarang tinggalkan makanan di dalam pinggan. Selalunya Su senantiasa berusaha memastikan pinggan licin dari makanan. Kecuali bawang-bawang dan batang sayur dan tulang. Ikut sunnah Nabi. Habiskan semua makanan di dalam pinggan. Setiap butir makanan itu tersembunyi keberkatan. Bagaimanapun pagi ini. Terpaksa tinggalkan makanan di dalam pinggan. Bukan kurang sedap. Kurang menepati selera. Rasa tawar kurang perisa. Terbiasa makan mee goreng pedas dan nasi goreng berperisa. Juga kerana sebenarnya masih bersisa sakit gigi. Sebelum terbang datang Bogor. Sakit gigi selepas lebih dua tahun tanpa serangan sakit gigi.

Bagaimanapun. Tentang hidangan makanan hotel ini. Komen Su pada suami. Sedaplah sikit berbanding rasa makanan restoran hotel berbintang-bintang di Bandung itu. Kalau membandingkan hidangan hotel ini dengan hotel di Bandung itu. Walaupun hotel di Bogor ini hanya tiga bintang. Walaupun pilihan makanan kurang dari pilihan makanan hotel di Bandung itu. Ingat hotel di Bandung itu. Ingat betapa sakitnya perut selepas satu sarapan pagi di hotel itu. Pengalaman sakit perut pertama kali kerana keracunan makanan dalam dua puluh tahun kot.

Apa pun pada Su. Makanan hotel serantau Melayu semuanya hampir sama wajah dan rasa. Kalau sarapan pagi. Mesti ada hidangan nasi atau mee. Bubur Nasi dalam belanga besar. Sudut hidangan telur. Sudut roti. Sudut kuih-muih dan desserts. Kalau hotel berbintang-bintang. Ada sudut roti canai. Ada sudut lemang dan rendang. Macam-macam lagi. Ini kalau hidangan sarapan pagi.

Kembali kepada Hotel Santika Bogor. Satu pagi Jawa Barat nyaman hari bercahaya terang mentari pagi.

Suami ambilkan Omelet. Omelet kecil kurang lembut tengah. Bahasa mudah, Omelet sedikit keras.

Setahun dua ini. Hotel-hotel tempatan sedap hidangan pada selera ini. Atau berbeza rasa hidangan. Hotel Awana Kijal Kemaman. Hotel Royal Bintang Seremban sedap pilihan desserts. Cucur Bawang gaya cucur kampung Seri Malaysia Taiping. Kuetiau Kerang panas-panas Grand Plaza Penang. Omelet Renaissance Kuala Lumpur. Pilihan roti Renaissance Kota Bharu. Sambal Nasi Lemak Shahzan Inn Bukit Fraser. Waffle Casuarina Impiana Ipoh. Ini apa yang teringat kala mencatat ini. Hotel yang dulu-dulu. Sudah terlupa. Juga kebanyakan hotel-hotel singgahan kebelakangan ini. Semua hidangan terasa sama.

Kembali kepada catatan sarapan pagi. Hotel Santika Bogor.

Sudut kuih-muih dan buah-buahan. Sedang Su pandang-memandang melihat pandang pilihan makanan. Tanya seorang petugas cafe berdiri situ. Mesra bersenyum manis bertanya dalam bahasa Indonesia bermaksud mahu kuih mana satu bu. Siap lagi lelaki muda ini mencadangkan kuih itu ini. Siap beri penerangan ringkas lagi tentang kuih itu ini. Siap lagi tolong ambilkan pilihan kuih-muih ke dalam pinggan Su pegang. Layanan manis mesra bersenyum semanis wajah muka Melayu. Wah bagusnya. Masuk hari kedua. Semua layanan berbudi bahasa. Ramai manis wajah manis mesra senyuman. Terang benderang catatkan nama hotel. Kerana berpuas hati dengan servis hotel. Promosi percuma dari pelanggan senang hati.

Kita bercerita pada suami. Kata memuji-muji layanan petugas tadi. Pengalaman selama ini. Selalunya. Petugas restoran hotel hanya memerhati kelaku kita mengambil makanan. Juga komen kita. Semua petugas kelihatan muda-muda belum berumur suku abad.

Pengalaman mesra pelanggan petugas hotel masih boleh ingat kalau di negara sendiri. Pengalaman setahun dua ini. Seorang lelaki bertugas di dapur telur Hotel Promenade Kota Kinabalu. Bagaimanapun kini setiap kali pergi kota kelahiran tiga puteri kami itu. Kami memilih menginap di Hotel Meredien menghadap pasar menjual mutiara itu.

Juga komen kita. Sekeliling kami. Pelanggan Hotel Santika sedang makan. Rata-ratanya berwajah Melayu bukan Jawa. Bahasa pertuturan mereka di sekeliling kami. Bahasa Indonesia baku. Bukan bahasa orang Jakarta dalam cerita sinetron yang kekadang sukar kita fahami maksud kata.

Mungkin hotel ini sedang berkumpul para peserta seminar. Keliling kami. Bising bicara beberapa orang lelaki Indonesia pakai blazer tentang hal ehwal semasa dan ekonomi Indonesia.

Sedang makan. Lalu Dr W kawan sefakulti suami dan Dr Z dari Serdang. Berlalu keluar selepas makan.

Suami terima panggilan telefon dari Malaysia. Sesaorang dari jabatan kerajaan tentang iklim. Lamalah juga bualan. Orang itu bertanyakan tentang satu seminar bulan Mac nanti. Seminar berkaitan urusan suami kita di Bogor ini. Selesai bual. Kata suami. Habis kredit.. Bila di luar negara. Orang Malaysia telefon. Kredit kita pun turut susut sama.

Komen Su. " Dia tak kisah telefon keluar negara. Tapi dia lupa kredit orang di sini pun terjejas sama. "

Selesai makan. Semua petugas kiri dan kanan kami. Mesra senyum ucap terima kasih. Bagus bagus. Layanan mesra pelanggan semanis wajah. Allah taala izinkan. Boleh datang sini lagi.

Dalam lif. Sepasang orang Indonesia berketurunan Tionghua. Lelaki pasangan itu. Sedikit gempal. Isterinya kurus kecil. Tunjuk tanda lif hanya muat sembilan orang. Kata lelaki itu. Bohong! Tercatat muat sembilan orang. Walhal tadi kami hanya muat lima orang. Itupun bersempit-sempit.

Kata suami. Selepas pasangan Cina Indonesia itu keluar dari lif. Orang Indonesia tu orang Cina tapi bertutur dalam bahasa Indonesia.

Kuih muih dalam gambar. Satu kuih itu. Su ingatkan Kuih Lopes. Sebenarnya kuih diperbuat dari lecekan samada ubi keledek atau tepung sagu dengan tengahnya berisi gula Melaka. Mirip Kuih Abok-Abok Malaysia. Cuma Kuih Abok-Abok diperbuat dari sagu biji dan dibungkus dalam daun pisang.


Sarapan pagi hari kedua Santika Bogor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Santika Bogor kamar coklat sembilansatudozen

Petang sesampai Hotel Santika Bogor


Sesampai kamar Hotel Santika Bogor 11 Februari hari Rabu

Seperti biasa setiap kali kaki mula melangkah masuk sesampai memana kamar hotel bersinggah. Ucap Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh sebelum melangkah dulu kaki kanan. Mata memandang kamar selalunya bersambungan dengan kata ucap Alhamdulillah. Kalau kamarnya begitu indah nan selesa maka kekadang itu terpacullah kata wow. Buka sepatu atau sandal simpan tepi. Bagi tip pada bell boy. Curi pandangan dari tepi langsir. Bagaimana pandangan dari tingkap. Periksa kamar mandi. Bagaimana dengan tandas. Samada ada paip atau pili sebelah besin tandas.

Alhamdulillah kamar nombor 9*satu dozen* ini. Selesa redup mata memandang. Kamar bertema warna putih dan coklat. Kata hati. Mirip kamar Hotel Royal apa ke lupa lah pula di Ipoh itu. Bulan Mei lalu. Google sekejap. Casuarina Impiana Ipoh. Hilang sudah Royal itu. Kamar hotel Impiana Casuarina itu bulan Mei lalu. Berwajah baru diubahsuai. Memikat lawa warna baru serba coklat.

Pandangan dari tingkap kaca sepanjang kamar menghadap balkoni. Pandangan pusat kota Bogor. Seakan-akan sama dengan pemandangan dari tingkap kamar Holiday Inn Bandung tingkat lapan. Kalau kamar Holiday Inn itu menghadap kedai-kedai makan dan satu DFO. Hotel Santika Bogor ini menghadap kedai-kedai makan pusat kota dan kelibat bumbung Botani Square Mall. Sama serupa. Kedua-dua hotel ini dengan pandangan nun sana saujana gunung memagar kota.

Periksa kamar mandi. Ada paip sebelah besin tandas. Bagus bagus. Hotel di Bandung pun ada paip tandas. Juga hotel di Chiang Mai. Walhal Thailand bukan negara Islam. Hotel berbintang-bintang di Malaysia. Masih banyak belum ada paip tandas. Walhal melabelkan negara sebagai negara Islam.

Satu perkara menambat mata kamar mandi serba coklat berlantai jubin warna krim ini. Tong sampah kayu coklat bentuk empat segi bertutup. Gelas warna biru turquoise atas para atas sinki. Tuala bergulung kemas atas para kabinet kayu coklat hitam melekap pada dinding.

Serba putih krim coklat Santika Bogor kamar *sembilansatudozen*


Apa apa hal solat dulu. Selepas solat. Buka laptop. Su di meja tulis. Suami dengan laptop baru di atas katil. Laptop nombor dua member. Laptop kecil lebih kurang tujuh inci lebar buat bawa keluar bila outstation. Laptop nombor satu. Hanya guna di rumah atau pejabat. Kita pun berhajat beli laptop baru. Laptop besar skrin buat selesa mata. Laptop kecil ini hanya buat jalan-jalan. Mudah-mudahan murah rezeki buat hajat nan satu ini.

Tadi kata petugas hotel Su tanya waktu solat. Katanya ada tanda kiblat pada siling. Bagaimanapun tiada sejadah. Kini hotel-hotel di Malaysia sudah mulai menyediakan kain sajadah. Selalunya kami bawa sejadah nipis bila berpergian dari rumah. Kali ini dua-dua terlupa bawa. Bagaimanapun suami tidak lupa bawa selipar jepun buat dipakai dalam kamar mandi. Geli masuk kamar mandi tanpa pakai selipar.

Selalunya Su bawa selipar buat pakai dalam kamar hotel. Bukan selipar kamar mandi. Kaki Su perlu bersarung selipar nipis walaupun lantai berkarpet. Tanpa selipar. Kaki dan lutut diserang sakit goncang-goncang. Ini sedari Su kecil lagi. Kaki tidak tahan dingin lantai.

Selipar hotel selalunya Su simpan. Kali ini tidak bawa selipar dari rumah. Pakai selipar putih disediakan hotel.

Kata nan seorang itu. Ai seh lupa laa tadi minta bilik katil double. Kamar dengan dua katil single. Juga tersedia satu sofa warna coklat. Sofa panjang boleh buat tempat tidur. Nota buat rujukan kemudian hari. Kamar superior dengan harga promosi tiga malam lebih kurang RM500+. Sarapan percuma buat dua orang. Kalau mahu hotel lebih bagus. Ada hotel berbintang yang lain tetapi jauh dari pusat bandar. Lokasi Santika ini sudah cukup bagus.

Kalau bukan dengan harga promosi pembukaan ini. Hotel Santika ini hotel baru. Perasmiannya 5 Februari lalu. Tambahlah lagi dalam dua atau tiga ratus RM buat tiga malam. Pengamatan Su. Selalunya hotel-hotel sentiasa berpanjangan dengan harga promosi. Sebagaimana dengan harga tambang dua syarikat penerbangan negara kita itu. Selalu berpromosi harga murah.

Kamar hotel tiga bintang dengan kemudahan empat bintang walaupun tiada peti ais. Internet broadband laju tanpa wayar. Gratis atau percuma dua puluh empat jam. Jug pemanas boleh buat flask simpan air panas. Tiada seterika. Nanti kita telefon housekeeping tanya tentang hal ini.

Mula-mula masuk kamar ini. Komen kita. Eh tak de tv. Suami kita seperti biasa. Jawab pertanyaan dengan soalan. Itu apa? Tunjuk pada dinding. TV plasma dipasang tinggi melekap pada dinding. Tv dengan 39 saluran tv satelit atau digital. Holiday Inn Bandung dulu. Tv kamar eksekutif dengan lebih 50 saluran. Hotel di Chiang Mai dulu. Tv dengan 30 lebih saluran satelit semuanya berbahasa Siam kecuali saluran BBC News. Beijing dua hotel dengan 59 saluran semuanya saluran berbahasa Mandarin kecuali saluran-saluran berita BBC News dan Bloomberg dan satu saluran berita Beijing dalam bahasa Inggeris.

Komen suami. " Sini tv diaorang mana ada siaran cakap bahasa Cina atau India. Semua bahasa Indonesia. "

Komen kita. " Sini Shah Rukh Khan pun cakap bahasa Indonesia. Bila menyanyi baru tukar bahasa Hindi. "

Komen kita lagi. " Orang Cina Indonesia cakap bahasa Indonesia. Diaorang negara satu bangsa satu bahasa. Semua guna bahasa Indonesia. Padahal negara besar. Rakyat beratus juta. Kita negara kecil macam tu pun tak boleh nak jaga bahasa Melayu. "

Mereka yang sepatutnya menunjukkan contoh pun selalunya berbahasa Melayu campur-campur bahasa lain bila ditemuramah media.

Tv hotel-hotel berbintang kita selalunya hanya dengan lebih kurang sepuluh atau kurang saluran tv digital dan tiada satu pun saluran dengan sepenuhnya Bahasa Kebangsaan.

Dulu-dulu Su kalau buka tv. Mesti picit saluran satu dulu. Tahu itu saluran pemerintah. Tapi selalu pilih saluran itu. Selepas itu baru saluran berbahasa Melayu lain. Selepas itu baru saluran berbayar. Mulai 1 Januari tahun ini. Malas kita singgah saluran itu.

" Saluran satu tu sekarang ni dah jadi macam saluran rojak. Buka-buka waktu pagi. Rancangan bahasa Inggeris. Buka-buka berita. Berita bahasa Tamil. Bertahun-tahun tunggu berita pukul dua belas tengah hari. Kini bertukar bahasa. Masa Berita Perdana pukul lapan. Sudah dengan bahasa lain. Walhal selama berpuluh tahun ini. Itu saluran Nasional. Saluran Bahasa Kebangsaan. "

Juga dari berita tv Indonesia. Baru tahu. Pemilu Indonesia pada sama tarikh dengan tarikh harijadi Safura. Kata Safura. Harijadi Baby sama dengan harijadi *penulis novel Salina*.

Sumi keluar makan pukul dua setengah petang. Su sengaja tidak ikut. Bukan penat pun. Bagi can member dengan kawan-kawan meronda kota Bogor.

Sebelum itu. Suami terima panggilan telefon dari Melbourne. Kalau sebelum ini beberapa kali panggilan telefon dari sana dibuat oleh Safiyyah tanpa sengaja. Nama suami kita paling atas dalam buku alamat telefon bimbit Khadijah. Hari ini panggilan dibuat oleh ibubapa Safiyyah.

Sementara tunggu suami pulang. Guna laptop sambil sesekali bangun berdiri tepi tingkap. Pandang pemandangan kota Bogor. Kata hati. Benarlah kata Dr. W. Terasa seperti negara sendiri. Negara Melayu serumpun. Juga sayu hati rasa terharu. Sampai lagi saya negara asal nenda-nenda saya. Ini belum lagi sampai Sumatera. Datuk sebelah ibu berasal dari Medan. Nenda sebelah ibu berasal dari Jambi. Moyang-moyang sebelah bapa berasal dari Riau. Bagaimanapun menurut salahsilah. Sebelum sampai Riau. Keturunan moyang-moyang sebelah bapa beratus tahun dulu berasal dari tanah Arab pergi Kuala Kangsar sebelum pergi Riau dan kemudiannya kembali ke Kuala Kangsar semula sebelum bertebaran di Singapura dan Kuala Lumpur.

Kembali ke Hotel Santika Bogor.

Lama tunggu suami. Penat kerana tidur lambat. Su kalau mahu berjalan jauh. Terlazim mesti kemas kamar dan pastikan ruang tamu dan dapur kemas. Biarkan laptop terbuka di atas meja tulis. Berbaringan sebentar merehatkan badan.

Mula-mulanya berbaring sambil baca surat khabar. Sudahnya terlena. Namun tidur-tidur ayam. Risau kalau-kalau tidak dengar suami bunyikan loceng kamar. Sesekali bangun.

Bangun pukul lima. Lega kerana hilang sudah penat mata. Suami belum pulang. Bogor hujan petang dengan kuatnya angin menderu. Pandang bawah. Dalam hati. Basahlah diaorang.

Pulang suami pukul enam hampir Maghrib. Bawa Nasi Goreng beli dari Botani Square. Bawa pulang buah durian. Tertulis pada ulas durian berbungkus dalam plastik jernih polisterin. Durian Lokal. Kata suami. Mahu tahu bagaimana rasa isi durian Indonesia. Sama saja dengan durian Malaysia walaupun rasanya lebih kepada rasa durian Siam.

Saran Su. " Cepat makan. Nanti berbau. Salah ni bawa buah durian masuk bilik hotel. "

Juga suami beli buah salak. Buah salaknya besar-besar. Lebih besar dari buah rambutan. Juga buah limau mandarin sederhana besar. Sebesar buah limau kampung.

Soal selidik kita. Makan di mana. Merayau sampai mana. Makan Nasi Padang. Masa hujan. Sedang meronda Botani Square.

" Jauh ke kedai makan tu. Nanti boleh Su jalan kaki pergi sana. "

" Jauhlah juga. Kena naik jejantas lagi. "

Sebelum suami baring petang. Dr Wan telefon. Keluar malam pukul tujuh. Kata suami. Meeting.


Nasi Goreng Botani Square Mall Bogor


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Sehari selepas pulang dari Melbourne | Sehari sebelum pergi Cherating

Sampai pintu rumah TSG Kuala Lumpur


Sehari selepas pulang dari Melbourne 18 Disember

Alhamdulillah pagi meriah hati. Walaupun penat lenguh semua sendi. Kediaman bersuasana meriah ramai riang senang hati. Keluarga dari Johor sampai malam tadi. Sampai awal malam sebelum Su tiba rumah dari KLIA lewat malam. Tiga ahli keluarga rumah ini malam tadi sambut ketibaan dua rombongan. Satu pulang dari Melbourne. Satu datang dari Johor Bahru.

Alhamdulillah lega. Lega kembali ke persada kediaman dengan selesa terbiasa menunggu. Alhamdulillah bertemu melepas rindu pada anakanda putera mahkota penglipur kalbu. Alhamdulillah lega kembali kepada segala dirindu. Putera-puteriku. Kamar tidurku. Katilku. USB modem internetku. Buku-bukuku. Segala selama ini penghibur kalbu peneman sendu.

Sepagi ini masih penat badan. Selepas semalam seharian berperjalanan melangkaui lautan. Sedari dari pagi semalam belum pukul sepuluh keluar rumah pergi Lapangan Terbang Tullamarine. Sampai rumah selepas pukul sebelas malam. Penerbangan tujuh jam sampai KLIA pukul lapan malam. Lewat sampai rumah kerana singgah makan malam. Bandar Baru Bangi Seksyen 8. Restoran singgahan kami sekeluarga selalu.

Pagi ini. Sebagaimana selalu bila Ti bertandang. Semua sudah maklum kesihatan diri ini. Pandai-pandailah melayan diri. Sementelah dengan penat baru pulang terbang tujuh jam dari Melbourne.

Pagi ini belum pun pukul lapan pagi. Su panggil Ti dari tepi tangga di hadapan kamar utama tingkat atas. Kebetulan terdengar suara Ti berbual dengan anak-anak di ruang tamu. Hanya jerit kata dari tingkat atas.

" Ti. Minta maaflah. Hang pandai-pandailah sarapan sendiri hah? "

Semua sudah sarapan kecuali kita. Sarapan pagi dibawa putera mahkota sampai kamar tidur. Sarapan pagi ini. Suami beli Roti Canai dari Restoran Yus. Kuih-muih Melayu dari warung.

Belum setengah jam selepas itu. Ti pula menjerit panggil Su. Jerit kata dari pangkal tangga.

" Kami nak pergi rumah kawan Mustafa. Dekat-dekat sini je. "

" Kat seksyen berapa tu. Kot kot kenal. "

" Nanti nak tanya Muzaffar. "

Koleksi ensiklopedia itu seumur puteri


Pakai tudung hitam. Turun ke ruang tamu. Ti di bangku jati Madura. Kelibat bangku itu. Sebagaimana di dalam gambar nombor dua. Rak buku paling atas. Paling kanan. Itu kitab kiriman hadiah dari Mazrah pembaca blog ini dari Sabah. Kabinet buku kayu jati itu. Itu hadiah harijadi tahun sebelum tahun lepas. Ada satu lagi kembar kabinet buku ini. Tepi tangga. Kini setiap tahun. Saya minta hadiah perabot jati. Hanya tahun lepas. Tiada mandang hadiah sebegini. Kerana cerita mahu renovate rumah lagi. Tunggu selepas rumah berwajah baru.

Set buku-buku ensiklopedia itu. Sebaya lama umur puteri sulung. Bawa pulang dari Wales.

Cerita pagi ini. Sembang dengan Ti pagi ini. Ti di bangku Madura. Su sebelah kanan gambar. Duduk di bangku set Betawi.

Muzaffar berbual guna telefon di kerusi anjung luar rumah.

Rumah kawan itu. Seksyen 8. Belakang deret restoran singgahan selalu.

" Oh depan tu je. Selepas bulatan depan sana tu. Seksyen 8 dah. "

Ti dan Muzaffar dan Mariam pergi Seksyen 8 selepas pukul sembilan pagi. Keluarga kawan sepejabat Muzaffar itu baru pindah sini. Ziarah isteri kawan itu baru melahirkan cahayamata. Kawan itu khabarnya menginap buat sementara di rumah abang wanita bersalin itu. Sebelum pindah bandar pejabat baru di ibu negeri.

Sebelum itu. Kami bincang tentang program hari ini. Su pagi ini berehat pulihkan penat badan. Panjang lagi cerita jalan-jalan. Tiga cahayamata kami bawa Ti sekeluarga jalan-jalan shopping. Pavilion sana dan KLCC. Selepas itu. Terus pergi rumah Johan bukan pun jauh dari KLCC.

Mengiringi Ti sampai muka pintu. Sebenarnya sampai pintu pagar.

" Ke kami balik dulu sini. Malam lepas Maghrib baru pergi rumah Johan. "

" Jauhlah. Sebab rumah Johan tak jauh dah dari KLCC. "

Su dan suami bakal menyusul pergi rumah Johan selepas Maghrib.

Kata Ti. " Kita jangan kacau Abah Khadijah lah. Biar dia pergi kerja. "

Tiga anakanda. Tiga anakanda saudara. Pagi ini selepas sarapan. Makan Smith Potato Crisps kita bawa pulang dari Melbourne. Awal pagi selepas Idris mandi. Senyum-senyum Idris masuk kamar tidur ibu. Tanya tentang buah tangan makanan dipesan dari Australia. Potato crisp orang Australia sebut potato chips. Kalau orang Britain dan ramai kita. Chips itu kentang goreng.

Juga buah tangan coklat itu ini. Antara mesti wajib bawa pulang setiap kali pergi Melbourne. Coklat Cadbury Flakes kegemaran sekeluarga.

Pagi sebelum Ti pulang. Su berkirim saling berbalas SMS dengan Johan dan Rozi. Pemberitahuan tentang kunjungan kami dua keluarga malam ini bertandang pergi rumah Johan. Juga tentang program pergi Cherating.

SMS dari Rozi. OK. Dinner kat sini ye..

Pulang Ti dari Seksyen 8. Sebelum keluar semula pergi Pavilion. Cerita Ti. Kawan itu bersalin di Hospital Putrajaya.

" Hospital tu sebelum ni pengarah dia *kawan kami sekian-sekian*. Tapi dia dah pindah pergi ibu pejabat kementerian. Dia belum kahwin lagi. "

" Tak ingat laa. Tapi kalau tengok rupa mungkin boleh ingat. "

" Kakak dia yang bercinta dengan guru lelaki India tu. "

Bukan seorang dua kawan-kawan sebaya kami masih solo belum pernah berumah tangga. Samada kawan sama sekolah atau kawan sama belajar. Kata orang. Kalau sudah sampai umur berpangkal angka empat. Sudah selesa dengan kebiasaan bersendirian. Sudah redha lali dengan keadaan. Itu kata sesetengah orang. Pun ada orang lewat bertemu jodoh suratan. Saudara sepupu muda dua tahun dari Su. Bertemu jodoh dua tahun lepas. Bukan dengan orang muda atau suami orang. Jodohnya duda kematian isteri.

Selepas renai hujan petang awal Ramadhan laman cempaka Bandar Baru Bangi


Selepas Zohor. Pukul dua suku petang. Dua kereta beransur pergi Kuala Lumpur. Pavilion dan KLCC. Selepas itu terus pergi rumah Johan. Su dan suami menyusul pergi selepas Maghrib. Menunggu suami pulang dari ofis.

Sebelum itu. Cerita Ti. Sepagi tadi Muzaffar cari stesen petrol dengan NGV. Kebetulan kereta merah perlu disi tangki. Kata Safura. Stesen atas bukit sana. Stesen dengan servis NGV. Kereta merah mendahului kereta biru Johor Bahru.

Sebelum Asar. Ibu telefon Muhammad Idris. Kat mana sekarang? Pavilion. Jalan asing-asing. Enam sepupu jalan bersama. Mariam ikut Ti dan Muzaffar.

Sebelum Maghrib. Telefon Safura. Kat mana sekarang? KLCC.

Su dan suami beransur pergi rumah Johan sebelum Maghrib. Singgah Masjid Al Hasanah. Suami solat Maghrib. Su tunggu dalam kereta. Pandang sana sini. Sebelah kiri kereta. Rimbunan pohon kecil bunga kemunting Cina. Bunga warna ungu merah jambu.

Pukul lapan malam. Kereta baru berlalu meninggalkan masjid. Idris telefon. Sayup-sayup kedengaran suara Ti berbual dengan Rozi.

Pukul sembilan malam. Kereta sudah begitu menghampiri simpang ke perumahan Johan. Berhampiran kampus UIA sana. Boleh ada orang itu terus ke hadapan melepasi simpang. Sudahnya sampai Batu Caves sana. Ronda sana-sini dengan kesesakan jalan raya. Nyaris-nyaris sampai UIA. Gurau kita namun mengingatkan. Jangan sampai Pahang lagi.

Bulan Mei lalu. Kami dua keluarga pergi rumah Johan. Sepulang dari kenduri rumah Anizai di Cheras. Anizai sepupu kami. Petang itu hujan renai menjelang senja. Kita ralit. Ingatkan member sudah faham jalan pulang dari rumah Johan. Boleh member terlajak melepasi Genting Sempah sampai Bentong sana. Hari tu. Kereta Johor Bahru mengekori di belakang. Boleh bila Su tegur beritahu. Ini macam pergi Pahang. Kata member. Nanti ada simpang ke Kuala Lumpur. Alih-alih sampai Bentong. Walhal bukan baru sekali dua pergi rumah Johan. Bukan baru sekali susur lalu situ.

Hari itu buat pertama kali Ti dan Muzaffar susuri lalu Genting Sempah sampai Bukit Tinggi. Selalunya kalau pergi pantai timur. Orang Johor Bahru ikut jalan Segamat-Pekan sana. Itu antara sebabnya Cherating dan Kuantan menjadi pilihan percutian Hari Keluarga kami tahun ini. Kata Ti. Sedap mata memandang segar hijau hutan.

Malam ini. Sudahnya. Selepas beberapa kali Idris menelefon tanya mana sekarang? Sampai rumah Johan selepas pukul sepuluh malam.

Kalau Su dengan salah seorang dua puteri pergi sendiri rumah Johan. Selalunya kami sampai kurang 45 minit perjalanan dari rumah. Kali akhir pergi rumah Johan. Bulan Julai lalu. Su dan tiga puteri dan Safiyyah. Pergi bawa kek selamat harijadi buat Johan. Hari kami mengejar dua wanita muda bermotosikal terlanggar kiri badan kereta biru.

Bertandang TSG Kuala Lumpur


Lama tunggu kami. Semua sudah selesai makan. Makanlah kami berdua suami isteri. Namun Iman dan Kamal meneman di meja. Johan mengulang makan. Makan puding hidangan Rozi selalu. Puding Kastad dengan koktel buah-buahan.

Antara hidangan lauk istimewa. Pais ikan bakar dalam daun pisang.

Juga terhidang. Donat J Co Ti beli dua dozen.

Kalau bertandang rumah Johan. Semestinya berhidangan teh O panas bancuhan Johan. Manis gulanya sedang-sedang. Sesuai dengan selera Su kini selalu minum teh O tanpa gula.

Sembang-sembang. Lampu kamera sana sini. Tv terpasang. Cerita hantu puaka TV3 itu. Suara sembang menenggelamkan suara tv. Bersambung tayang pula satu drama tv lain. Pada mulanya Su ingatkan drama yang sama. Komen kita. Panjang benar cerita hantu puaka tu. Lagipun mata bukan memandang tv pun. Sembang di meja makan. Kata Ti. Tu cerita lain. Drama Melayu bertema siapa pembunuh isteri hero. Slot Samarinda.

Su dan Rozi dan Johan di meja makan. Juga Iman dan Idris dan Kamal. Ti bersimpuh tepi muka pintu. Bagaikan menepati rasa mahu beransur keluar dari pintu. Suami dan Muzaffar dan anakanda-anakanda lain. Santai di sofa ruang tamu. Dua bos sudah mulai terlelap mata.

Beransur pulang selepas pukul sebelas malam. Selepas Ti mula beri isyarat mahu beransur pulang. Bayangkan adinda ini keluar rumah sedari pagi. Semalam pula baru sampai dari Johor Bahru.

Pesan Kamal putera sulung Johan kala Su di muka pintu. Kamal sebaya dengan Suraya. Mak Long datanglah lagi.

Anakanda pendiam sedari kecil ini. Beransur pandai berbual.

Mulanya kami suami isteri dan Idris satu kereta paling terkebelakang. Kereta biru ungu Muzaffar mengekori kereta merah. Tahu-tahu bila sampai rumah. Dua kereta itu belum sampai lagi.

Sejurus kemudian sampai kereta biru ungu. Kata Ti senyum-senyum. Terror Pak Long. Tadi tertinggal belakang. Tahu-tahu sampai dulu. Muzaffar pun tanya. Bila masa Pak Long potong ni.

Kami pun pelik. Padahal kala masih di MRR2. Kami tertinggal jauh di belakang. Biasalah kalau suami kita memandu. Hanya antara 50 ke 70 had laju.

Telefon Iman satu kereta dengan dua kekanda puteri. Singgah mana? Singgah kedai beli top up telefon bimbit.

Sesampai di rumah. Belum apa-apa. Kereta merah keluar lagi. Dua puteri dengan Saiful pergi kedai Tujuh Sebelas. Belum beres urusan beli top up telefon bimbit.

Sebelum tidur. Pesan Su pada Ti. Esok pagi. Kita bertolak pukul lapan macam tu. Bertolak pergi Cherating. Kami dua keluarga bertolak awal pagi. Johan sekeluarga bertolak selepas tengah hari. Johan ada kerja di pejabat. Pendaftaran pelajar baru. Rozi ada mesyuarat di sekolah.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

1 Januari buat sematan kenangan | Awal pagi Bahulu Warisan | Nasi Kerabu sebelah malam

Kuih Bahulu Warisan Melaka Mall


1 Januari update pada bulan Februari

Sehari selepas pulang dari Melaka. Sepanjang kehidupan ini. Setakat teringat buat masa ini. Pernah lebih tiga tahun bermukim di negeri Melaka. Negeri Melaka negeri menemukan kami suami isteri pada umur awal belasan. Hampir setiap tahun lebih dari sekali dalam setahun pergi Melaka. Namun percutian tiga hari Melaka sampai semalam. Dalam hati ini. Cuti-cuti Melaka kali ini paling meriah hati. Alhamdulillah dengan rahmat ini.

Awal pagi ini. 1 Januari tahun baru 2009 ini. Makan kuih bahulu. Kuih Bahulu Warisan beli sehari sebelum semalam di Melaka Mall satu masa dulu Dataran Pahlawan. Dataran Pahlawan Melaka Mall.

Teringat cerita seorang kawan mula berkenal di Melbourne. Kawan ini berasal dari Johor Bahru tetapi kini menetap di Bandar Baru Bangi. Kata kawan ini. Kem Majidi sudah atau bakal dirobohkan buat membina satu mall baru. Kata kawan ini. Tak cukup-cukup ke lagi mall kat JB tu. Kem tentera berhampiran rumah keluarga Muzaffar itu dulunya tempat Su lalu lalang berjalan kaki semasa muda zaman belum berkahwin.

Antara gambar pertama terakam awal pagi 1 Januari ini. Gambar buku baru beli. Beli di Muzium Negeri Melaka. Buku Menyingkap Misteri Pulau Besar. Selalunya setiap kali pergi muzium. Su gemar beli buku terjual di muzium. Selalunya buku sejarah.

Pagi hari tahun baru. Pagi belum hilang penat sepulang dari Melaka.

Setiap tahun-tahun kebelakangan ini. Menjelang 1 Januari tahun baru. Tercatat tulis dalam draft atau bersusun di dalam kepala. Kompilasi rentetan dan senarai pilihan cerita sepanjang tahun berlalu. Namun sama serupa dengan tahun-tahun baru sebelum ini. Sudahnya semua senarai itu terperap simpan dalam draft sampai basi tahun baru.

Baru-baru ini Su singkapi baca mengimbas sambil lalu arkib tahun-tahun lalu. Sebermula bilakah jurnal ini mulai selalu kosong berkurangan entri. Sebermula penghujung tahun 2004. Semakin sengap lompong seawal tahun 2005. Awal tahun 2006. Paling lompong. Adakalanya hanya berupdate sekali dua sebulan. Sebelum itu. Empat tahun sebelum itu. Hampir setiap hari mesti berupdate sekurang-kurangnya satu entri.

Lebih kurang tiga tahun musim semedang malas update itu. Tahun-tahun memendam rasa. Namun kuatkan hati. Bangun tegas melawan. Berusaha mengubah membaiki situasi keadaan juga sanubari. Berusaha beralah demi hati ramai lagi. Alhamdulillah tahun lepas. Antara tahun paling sentosa dalam hidup terkini. Alhamdulillah dan semoga tahun ini pun tahun meriah sentosa. Sabar berusaha bergandingan dengan doa senantiasa. Malah pada diri ini. Solat hajat berterusan selalu. Istiqamah dengan segala ibadah sunat terlazim. Tekanan bertubi-tubi mampu buat sesekali tergelincir dari waras sanubari. Namun seandai bersandaran selalu hanya pada Ilahi. Rindu hati pada Allah subhanahuwataala buat kita ingat diri.

Selepas solat Asar. Tunggu orang itu orang ini bersiap. Sudahnya hanya beransur pergi selepas pukul enam petang. Bertiga dengan Idris dan Safura pergi Pavilion. Suami dipelawa ikut sama. Member malas ikut. Suraya pula selepas Zohor pergi Berjaya Times Square. Sebelum kami keluar rumah. Su teelefon Suraya. Kalau mahu jumpa kami. Datang Pavilion. Kita makan-makan. Kan dekat je dengan Pavilion.

Sesampai Pavilion. Terus pergi surau. Solat Maghrib. Seorang ibu orang Arab. Bawa anak lelaki berusia sekolah tadika masuk surau perempuan. Tiada masalah pada saya. Catatan ini buat kenangan bila satu hari nanti baca semula memori 1 Januari 2009. Hari solat Maghrib di surau Pavilion ada kanak-kanak lelaki kecil menunggu ibu solat.

Tuju Cafe Ais Krim Baskin Robbins tingkat atas sekali Pavilion. Komen kita. Mak lebih suka Haagen Dazs. Perasa ais krim pilihan selalu. Samada coklat atau mint. Sambil makan. Sambil merakamkan gambar kedai buku di seberang sana. Kedai Times Bookstore.

Teringat satu masa dahulu. Satu kioks ais krim ini. Pekerja kioks lelaki muda mungkin lewat belasan tahun. Siap lagi mengingatkan kita. Harga satu skop ais krim ini. Gaya beritahu bagaikan mengandaikan supaya jangan nanti kita terkejut pula dengan harga. Dalam hati. Hei. Engkau belum lahir saya dah makan ais krim ni.

Selepas makan ais krim dengan label 31 perasa itu. Singgah kedai buku Times. Ini antara aktiviti selalu bila pergi Pavilion dengan cahayamata. Makan Ais Krim 31 perasa itu. Selepas itu pergi kedai buku Times.

Pusing ronda cari buku itu cari buku ini. Sudahnya hanya beli majalah. Majalah masakan negara orang putih. Semasa mencatat ini. Lupa majalah apa. Lupa berapa majalah dibeli. Apa yang Su ingat. Salah satunya. Majalah dari Australia.

Safura mencadangkan kita beli buku berpromosi beli tiga bayar dua. Kurang berkenan. Selalunya buku-buku berkategori promosi sebegini. Buku-buku lama atau bukan buku pilihan hati.

Cari kalendar meja. Sudah 1 haribulan. Su belum ada satu pun kalendar meja Malaysia. Sebenarnya sudah pun ada satu. Itu kalendar meja beli di DFO Melbourne. Su lebih gemar guna kalendar meja dan kalendar poket. Kalau kalendar gantung. Alamatlah sampai hujung tahun masih bergulung tidak tergantung. Bagaimanapun tahun lepas sebagai rekod. Tergantung satu kalendar besar pada pintu kamar tidur utama. Tergantung kerana kalendar itu mirip kalendar kuda. Kalendar kedai pembekal barangan makmal sains.

Sepanjang kami di kedai Times Bookstore ini. Tiada pun kelibat Idris. Sangka ibu ini. Idris menunggu kami di luar kedai. Main PSP. Tadi seusai kami solat Maghrib. Pesan Su. Jaga baik-baik PSP tu. Jangan sampai hilang. PSP hanya tersimpan dalam poket seluar. Kata Idris. Kalau kedai ada Wifi percuma. Boleh layari internet guna PSP.

Keluar dari kedai Times Bookstore. Tunggu Idris. Safura telefon Idris. Rupa-rupanya Idris pun meronda cari buku. Idris bercerita pada ibu tentang satu buku sempat dibaca sepintas lalu di dalam kedai buku. Lupa pula apa ceritanya kala mencatat ini. Buku biografi sesaorang terkenal. Mungkin pemain bola. Atau selebriti dunia.

Juga baru ingat. Selepas itu kami berdua berbicara tentang seorang selebriti itu sudah memeluk ugama Islam.

Pergi Parkson. Ronda-ronda pandang tenang beg dan dompet dengan harga diskaun. Satu jenama beg ini. Kita sedikit masa dulu sesekali tertonton siri realiti diari kehidupan tuan punya jenama ini. Bekas model berdarah Afrika dan Korea itu. Kita ini bukankah gemar pada apa-apa bernada diari. Samalah sebagaimana dengan blog. Lama sudah tiada terpandang siri itu. Su kalau buka tv. Tiada siaran wajib tonton. Ikut musim hati suka musim mata. Saluran 703 pun sudah lama tidak singgah. Jemu pulalah hanya menghadap cerita makan. Malah buka tv pun ikut musim rasa. Kalau musim berpejabat di meja kamar putera. Jaranglah buka tv.

Safura panggil ibu. Tunjukkan beg idaman. Beg jenama orang muda. Su akui. Memang comel ranggi. Sesuai dengan personaliti comel riang Safura.

Idris sabar menunggu. Berehat di sofa sudut rehat sebelah kaunter beg jenama idaman Safura. Apalagi kalau bukan dengan PSP.

Ronda bahagian kasut. Ada yang berkenan tetapi sudah lewat pukul sembilan.

" Nanti tutup pula kedai makan. Jom kita pergi makan dulu. "

Makan-Makan malam hari tahun baru


Medan Selera Food Republic. Tarikan selalu medan selera ini. Kerang Bakar Bersambal satu kedai makan itu. Malam ini kita mahu cuba kedai makan lain. Satu kedai makan Melayu lupa nama tetapi ada perkataan kampung. Su pesan Nasi Dagang. Sebelum itu Su tanya kalau masih ada Nasi Hujan Panas. Nasi Hujan Panas ini mengingatkan kepada Nasi Hujan Panas hidangan perkahwinan puteri. Nasi Hujan Panas habis. Nasi Dagang ada lagi? Jawapannya masih ada. Su beli set Nasi Dagang dengan Kuzi Daging.

Sudah bayar bil. Lamalah juga berdiri menunggu. Ada orang lain beli kemudian dari kita. Boleh dapat dulu hidangan kerana dilayan oleh datang dari dapur seorang pekerja lelaki. Sabar menunggu kerana gadis yang Su bayar bil itu sempat berlembut bahasa beritahu. Walau berwajah serba kelibut melayan pelanggan. Tunggu sekejap ye kak. Kalau berbagus bahasa. Kita pun boleh bersabar tunggu.

Lelaki kelihatan berumur umur pesara itu menanyakan apa makanan Su beli. Bila Su beritahu apa dibeli. Kata lelaki itu. Nasi Dagang habis. Dalam hati. Laa punyalah lama kita tunggu.

" Apa yang ada lagi? "

" Nasi Kerabu. "

Kuzi pun habis. Terima sajalah apa yang ada. Mahu batalkan pesanan. Sudah berbayar bil. Boleh minta semula duit kalau mahu berkeras. Malaslah bersoal jawab. Terima apa saja. Lagipun alang-alang kaki sudah lama penat berdiri menunggu.

Sampai meja makan. " Mak pesan lain. Dapat lain. "

Serik datang lagi? Tidak juga. Lain kali datang. Mahu cuba Sate kedai itu.

Safura makan Meehoon Goreng Thai. Idris seperti biasa kalau singgah makan medan selera ini. Suka makan Nasi Lemak Kukus dengan Ayam Masak Sambal dari satu kedai Nasi Lemak Kukus. Idris mudah selera makan. Kurang teringin makan macam-macam. Hanya makan apa terlazim makan.

Tiada teh O limau panas. Malam ini Su minum Air Kacang Soya dingin. Sesekali minum minuman dingin.

Kiri kanan kami bising dengan meja dipenuhi oleh ramai pelancong dari Indonesia. Boleh tahu mereka ini bukan warga Indonesia pekerja sini kerana bergerombolan sekeluarga dengan datuk nenek dan cucu-cucu. Gaya orang berduit bercuti. Satu meja makan panjang. Sesekali semuanya ketawa gamat berdekah-dekah kuat bila ketua keluarga buka cerita. Meriah sakan.

Meja makan sebelah kanan kami. Dua ibu Indonesia dengan anak gadis berparas lawa pakai gaun hitam paras lutut. Mulanya seorang dari dua ibu Indonesia ini ambil kerusi kami tanpa minta izin. Ibu dengan beg Isetan. Pantas Su beritahu namun bukan bernada marah. Ada orang. Empat kerusi. Kami hanya tiga orang. Satu kerusi buat beg shopping.

Cerita Safura. Semasa tiga anakanda kami bawa Ti sekeluarga jalan-jalan shopping Pavilion bulan lalu. Sebelum kami pergi Cherating. Pak Ngah kata. Tak payah dah nak pergi Vietnam ke, Thailand ke. Semua makanan dunia dah ada kat sini.

Nama medan seleranya pun Food Republic.

" Ini bukan meja yang selalu kita duduk. Meja yang kita selalu duduk. Dekat dengan kedai jual kerang bakar tu. "

Selepas makan. Alang-alang kedai donut negara seberang itu lengang menjelang pukul sepuluh malam. Su tugaskan Safura dan Idris beli donat. Mulanya Safura dan Idris malas beli. Malas beratur. Ibu sarankan beli juga kerana menunaikan permintaan Suraya lewat telefon dari Berjaya Times Square.

Dalam rumah kami. Suraya peminat donat ini. Pada Safura pula. Donat Big Apple lebih lembut tetapi coklat donat seberang ini lebih mewah. Komen kita. Donat JCo itu terlalu manis. Dapurnya pula. Dapur Big Apple jauh lebih bersih. Memang Su perhatikan kelibat dapur dua kedai donat itu. Lain orang lain citarasa. Lain orang lain pilihan selera. Apa pun. Su sebenarnya lebih gemar donat asli tanpa salutan krim.

Telefon Suraya bertanya khabar. Jadikah datang bertemu kami.

" Kenapa tak mahu datang sini? "

" Adik dengan kawan-kawan. "

Selepas itu mungkin hantar kawan-kawan pulang ke rumah masing-masing. Komen dalam hati. Kita belikan kereta itu buat pakai pergi kuliah. Bukan buat meronda dengan kawan-kawan.

Itu kawan-kawan sedari sama sekolah. Sekolah di Cheras dulu. Musim cuti panjang begini. Cuti hari Khamis bersambungan sampai hujung minggu. Kawan-kawan sekampus pulang kampung. Kawan-kawan sekitar bandar kediaman pulang bercuti dari kampus IPT.

Sementara menunggu dua anakanda itu beratur beli donat. Belilah apa saja. Kita bukan pun peminat donat itu. Kita lebih suka donat Big Apple. Alang-alang terpaksa beratur. Belilah sedozen. Su duduk menunggu di atas pangkin batu. Sebelah Su. Seorang lelaki muda India sedang main PSP.

Bangun baca papan info Pavilion. Sematkan di dalam hati kalau boleh ingat. Alamat kedai-kedai sekian-sekian.

Selesai beli donat JCo. Senyum-senyum Idris. Lelaki India tu main PSP. Senyum-senyum bawa makna saya pun ada PSP.

Ada orang berkopiah minta derma dengan cara menjual poster. Tiada wang kecil. Safura berikan wang kertas seringgit lebihan beli donat. Kata Idris. Kan dia kata ikhlas berapa-berapa saja nak bagi.

Pintu kaca Pavilion sudah tutup pukul sepuluh. Senyum seorang wanita Cina. Wanita dengan anak lelaki kecil ini di seberang sana pintu kaca. Beri tanda isyarat tangan. Kami boleh keluar ikut dalam restoran masih ramai pelanggan. Restoran paling tepi. Angkat tangan tanda terima kasih.

Selepas bayar tiket parkir. Mesin autopay sebelah restoran. Rasa kasihan pula pada peminta derma itu. Baru perasan ada pun wang kecil. Pandang belakang tercari-cari. Idris pergi bagi duit kat orang tu. Orangnya hilang dari pandangan. Tiada rezeki orang itu buat menerima lebih lagi ringgit dari kami. Apa-apa hal dalam hidup ini. Perkara sudah berlalu. Kita kena yakin percaya itu sudah ketentuan Ilahi. Waima perlu pada fikir kenapa sesuatu itu boleh terjadi dan sebagainya.

Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Sehari berdua sepuluh hari Januari menunggu suara intan hati

Milo panas rasa chocolate minum petang


Sepuluh hari Januari. Hari Sabtu 10 Januari

Hari Sabtu hanya berdua. Dua puteri hanya pulang pada hari minggu. Ada kuliah hari Sabtu. Teramat jarang cerita berdua hujung minggu. Selalunya dua puteri mesti pulang hujung minggu. Semakin bermula masa-masa hanya berdua bagai mengulang bulan madu.

Baru-baru ini. Cerita Su pada suami. Sahabat-sahabat Su masih ramai dengan anak belum sekolah. Ramai dengan anak baru sekolah rendah. Misalnya Ti muda setahun dari Su. Anak bongsu baru sekolah tadika tahun ini. Sepupu kami sebaya Ti. Anak kecil belum umur tiga tahun. Anak bongsu Shimah tahun ini baru darjah satu. Anak bongsu Zzainon masih sekolah rendah. Komen suami. Habis diaorang sihat. Lambat berhenti lahirkan zuriat. Kita pula cepat berhenti melahirkan. Hikmahnya pada sudut lain. Lebih cepat rehat. Misalnya kini. Berjalan sesaja. Kalau kurang sihat. Lebih masa buat menghadap hobi.

Kalau dulu ramai bertanyakan apa yang Su buat sebagai suri rumah. Seolah-olah suri rumah ini berlebih-lebih masa lapang. Soalan popular masa kini. Apa Su buat tinggal sorang-sorang di rumah. Oh mereka tidak tahu. Saya bagaikan tidak cukup 24 jam. Macam-macam boleh diperbuat. Macam-macam agenda aktiviti dalam sehari. Bagaikan tidak cukup tujuh hari dalam seminggu namun bukan berlari mengejar masa. Lebih santai lebih harmoni walaupun kini bermula fasa masa-masa selalu merindu.

Malam tadi Su makan mee segera Maggi masakan suami. Su memang jarang makan Mee Maggi. Malam tadi. Makan Mee Maggi perasa asam laksa. Perasa buat selera mula rasa mahu demam. Mee tanpa telur kerana dapur kehabisan telur. Bagaimanapun malam tadi Su makan mee ini kerana suami pelawa mahu masakkan kita mee ini. Bila makan mee Maggi pada sebelah malam. Kenyangnya sampai pagi membawa sampai tengah hari. Lalu hari ini makan tengah hari hanya selepas Asar hampir pukul lima petang.

Tahun-tahun kebelakangan ini. Suami kita semakin jarang lagi memasak kecuali goreng mee atau meehoon pagi hari minggu. Itu antara hobi member pada hujung minggu. Hari ini. Hari sesekali suami kita masak lauk makan tengah hari. Masak Ayam Kari Pekat dan Tumis Air Cendawan campur Kobis.

Kata suami. Member tidak tahu apa nama resipi kari ayam ini. Masakan cincai. Komen kita. Cincai pun sedap. Cuma isi ayam itu lebih bagus hiris lebih kecil. Ini kerana suami kita suka masakan yang cepat dan pantas. Tanpa perlu berlama-lama di dapur. Kalau isi ayam dipotong lebih halus kecil. Tiadalah hasil masakan dengan ayam kurang lembut. Ayam sudah dimasak suami. Su keringkan lagi di dalam oven ketuhar gelombang.

Baru-baru ini Su terbaca satu artikel tentang makanan masakan dalam ketuhar gelombang boleh merendahkan IQ. Su beli ketuhar gelombang pertama kami ketika puteri sulung baru berumur setahun. Khadijah belum pun umur dua tahun. Sudah kenal semua abjad. Sepanjang persekolahan. Teramat jarang dapat markah bukan A. Begitu juga dengan yang lain. Tiada masalah rendah IQ. Idris anak paling terdedah dengan masakan ketuhar gelombang kerana Su semakin kurang sihat selepas melahirkan Idris. Pada pengamatan ibu ini. Muhammad Idris anakanda paling cerdas antara semua cahayamata kami. Dari segi kesihatan pula. Alhamdulillah semua sihat. Hanya Safura dengan gen penyakit darah warisan dari ibu.

Mudah-mudahan semuanya berterusan bagus sebagaimana hari ini. Dapur kami sudah terlazim dengan ketuhar gelombang lebih kurang suku abad lama. Antara barangan paling berharga di dapur. Nilai berharga dari segi keperluan.

Selalunya kini selepas makan. Su minum teh O lemon panas tanpa gula. Petang ini. Rasa mahu minum coklat. Minum Milo 3 dalam 1.

Sepanjang hari ini. Ibu ini menunggu panggilan telefon dari utara.

Pesan Su pada Idris sebelum meninggalkan sekolah Idris pada hari minggu lepas. Jangan lupa telefon selalu ibu. Telefon pada hari Jumaat malam Sabtu. Kalau-kalau hari Sabtu Mak nak datang lawat Idris.

Malam tadi. Sedari petang sampai pukul dua belas malam. Kita menunggu panggilan telefon dari utara. Selepas pukul dua belas malam pun masih tunggu. Sepanjang hari semalam. Masuk kamar mandi pun bawa telefon bimbit. Kalau-kalau intan payung telefon. Tidur dengan fikir rasa. Baru sekolah berasrama boleh lupa pesanan ibu. Pun begitu tetap mendoakan keselamatan buat anakanda. Bila hati sedikit kurang senang dengan sikap memana cahayamata. Su beristighfar dan melebihkan berlebih-lebihlah lagi doa keselamatan buat cahayamata. Berdoa pada Allah subhanahuwataala mohon janganlah rasa kurang senang hati ibu ini boleh berbalasan apa-apa menyusahkan anakanda.

Malam ini tunggu lagi panggilan telefon dari utara. Alhamdulillah Idris telefon selepas pukul sebelas malam. Selepas pulang dari kelas prep.


Selalunya Su akan tanya. Ramai ke beratur menunggu giliran? Giliran mahu menelefon. Pelajar dilarang menggunakan telefon bimbit. Bila ramai menunggu giliran. Su hanya tanya soalan yang penting. Ringkaskan perbualan.

" Jangan lupa tanya cikgu. Boleh balik tak raya Cina nanti. Homeroom teacher masih orang yang sama? Alhamdulillah. Macam mana bilik? "

Pintas Idris. " Bukan bilik. Dorm."

Tahun lepas Idris tinggal di kamar empat katil hanya dihuni tiga orang. Tahun ini. Aduhai. Dorm besar luas semacam dewan. Terbuka lapang. Kata Su pada rakan satu dorm Idris. Senang nak buat study group.

" Berapa orang dalam dorm tu. Sembilan belas orang? Idris okay ke? "

Su tahu. Semua anakanda kami berpersonaliti boleh bawa diri. Kurang berkisah kalau ditempatkan pada lokasi kurang selesa dari rumah.

" Ingat pesanan Mak. Sebelum tidur kibas katil. Baca Lahaula Wala Quwwata illa billahil Aliyyil Azeem tiga kali. [Baca dengan fahamkan makna. Tiada daya dan kekuatan kecuali dari Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung]. Jangan biarkan bilik tidur tanpa solat. Solat lima waktu pergi surau. Solat sunat kat dalam dorm. Jangan biarkan dorm tanpa bacaan Al Quran. Kalau boleh setiap hari mengaji walaupun hanya satu ayat. "

Sebelum berpisah bual.

" Esok Ayang telefon lagi tau. Mak nak tahu Ayang boleh balik rumah tak raya Cina nanti. "


Ayam Kari Pekat masakan Sar


Ssuriha. Get yours at bighugelabs.com/flickr

free counterTetamu Rasanubari
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape